Bayangkan seorang kanak-kanak lima tahun yang tidak begitu sihat diperlakukan kejam oleh nenek saudaranya.
Kanak-kanak yang dikatakan tidak mampu berjalan dan berdiri ini jadi mangsa sepak dan terajang nenek saudara hingga meninggal dunia.
Disepak dan ditendang sehingga pecah usus. Demikian nasib malang menimpa seorang budak perempuan berusia lima tahun yang maut didera nenek saudaranya dalam kejadian pada 30 Disember lalu.
Jadi Mangsa “Sepak” Nenek Saudara Hingga Meninggal Sejak 2017
Mangsa dipercayai diperlakukan sedemikian oleh suspek yang juga warga Indonesia berusia 55 tahun, sejak tinggal bersama pada 2017.
Memperincikan kejadian, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata mangsa ditemui tidak sedarkan diri oleh ibu saudaranya di rumah mereka di Kampung Sungai Chinchin, Rawang, Selangor pada jam 7 malam, sebelum menghubungi bantuan ambulans.
Beliau berkata, pemeriksaan perubatan kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
Katanya, bedah siasat yang dijalankan hari berikutnya mendapati mangsa maut akibat kecederaan di bahagian usus yang pecah dipercayai kerana didera.
“Keluarga mangsa pada mulanya mendakwa mangsa mengalami sakit perut dan muntah sebelum ditemui tidak sedarkan diri di ruang tamu, selain enggan membenarkan bedah siasat.
Ads
“Berdasarkan keputusan bedah siasat itu, polis menahan enam individu masing-masing tiga lelaki dan tiga wanita berusia 25 hingga 55 tahun, termasuk suspek utama, yang juga nenek saudara mangsa untuk siasatan lanjut.
“Pemeriksaan lanjut juga menemui kesan parut lama tubuh mangsa dicucuh dengan ubat nyamuk yang dibakar,” katanya dalam sidang media di Balai Polis Rawang, di sini, hari ini.
Penemuan Unsur Jenayah
Arifai berkata, susulan penemuan unsur jenayah pada mayat mangsa, mengklasifikasikan semula kes terbabit daripada mati mengejut kepada kes bunuh.
Beliau berkata, hasil siasatan lanjut tidak menolak kemungkinan suspek mendera mangsa yang tidak mampu berjalan dan berdiri kerana sering buang air besar tanpa sedar.
Ads
“Mangsa juga mempunyai rekod penyakit lebihan cecair dalam otak, selain pernah menjalani pembedahan namun mampu bertutur dengan baik.
“Bapa mangsa yang tinggal bersama dipercayai tidak menyedari kejadian yang menimpa anaknya kerana bekerja sebagai pemandu lori dan sering tiada di rumah,” katanya.
Katanya, semua suspek ditahan 1 Januari lalu kini direman selama enam hari sehingga 7 Januari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
MW: Kasihan pada mangsa yang belum mengerti apa-apa didera sedemikian rupa. Kejadian yang berlaku ini seharusnya menjadi pengajaran buat mak ayah agar tidak mempercayai sesiapa pun walaupun ahli keluarga sendiri.
Sentiasa ambil berat dan ambil tahu apa yang anak lalui setiap hari. Jangan letakkan sepenuh kepercayaan kepada penjaga anak.
Sumber: BH Online
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Siti Norhafiza Kamarudin telah disahkan menghidap kanser payudara pada bulan Julai 2018. Sungguh dia tidak menyangka akan menghidap penyakit yang paling ditakuti oleh semua wanita di dunia ini. Sudah lebih setahun dia menjadi ‘ cancer survivor’ dan kelihatannya dia tabah dalam menghadapinya.
Jelas Siti Norhafiza atau lebih mesra dengan sapaan Fiza, kisah kansernya bermula dengan rasa sakit pada bahagian payudara di sebelah kanan. Kesakitan itu telah berlaku pada hujung tahun 2017.
“ Tetapi bila kesakitan itu saya rasa boleh atasi sendiri membuatkan saya ambil ubat tahan sakit. Ada beberapa kawan yang tahu saya sakit, dia suruh saya berjumpa doktor. Tetapi saya tidak mahu dan terus memakan ubat tahan sakit.
” Sakit itu datang tanpa mengira masa. Bila rasa sakit saya akan ambil ubat tahan sakit. Sampailah satu tahap itu saya tidak boleh tidur. Rasa sakitnya seperti dihiris pisau. Masa itu saya ada buat pemeriksaan sendiri untuk memeriksa ketulan dan sebagainya. Semua itu tidak ada. Sebaliknya pada bahagian puting payudara ada seperti jerawat tumbuh.
” Sehinggalah rasa sakit itu tidak dapat saya tahan, saya ajak suami pergi ke sebuah hospital swasta. Kami pergi waktu malam. Setelah pemeriksaan dilakukan, mereka menasihati saya agar datang pada esok hari kerana doktor pakar ada di kliniknya.
” Esoknya saya dan suami datang semula ke hospital. Saya telah menjalani pemeriksaan mammogram dan biopsi. Seminggu selepas itu doktor panggil semula saya datang ke hospital dan memberitahu keputusan pemeriksaan mendapati saya ada kanser payudara tahap 3,” ujar Fiza membuka bicara.
Tidak Boleh Terima Kenyataan Hidap Kanser
Mati. Itulah perkara pertama yang terlintas dalam fikiran Fiza apabila disahkan menghidap kanser. Dia menangis. Suami yang berada di sebelahnya turut terkejut dengan berita tersebut.
“ Saya keluar dari bilik doktor sendirian. Kemudiannya saya duduk bersandar pada dinding berhampiran meja pendaftaran di hadapan bilik doktor. Memang saya tidak boleh terima kenyataan apabila doktor memberitahu rawatan yang perlu saya buat dalam membuang payudara sebelah kanan saya.
” Lagi saya terasa sedih kerana apabila bercakap pasal payudara, itu adalah aset wanita. Saya minta diberikan pilihan lain. Saya kemudiannya pergi ke PPUM dan buat pemeriksaan sekali lagi. Doktor di sana juga mencadangkan sama ada saya buang terus payudara sebelah kanan atau buat pembedahan rekonstruktif.”
Bukan senang Fiza hendak menerima keputusan doktor itu. Namun dia reda kini dengan apa yang berlaku. Tetapi pada peringkat awal dia memang sedih. Akhirnya dia ambil keputusan untuk membuat pembedahan rekonstruktif di Hospital Sunway.
Buat Rawatan Rekonstruktif
Fiza, 36 tahun, amat bersyukur kerana memiliki suami yang bertanggungjawab. Semasa dirinya sedih dan ‘down’, suaminya Mohd Roshdi Ramli adalah insan yang paling menyokongnya.
“ Suami saya ialah tulang belakang yang paling kuat dan dekat sebab semasa saya dalam tempoh saya sedih. Tanpa saya sedar dia juga telah mendaftarkan saya untuk mengikuti program kesedaran kanser payudara.
” Apabila dia bawa saya ke sana, saya tengok ramai lagi pesakit yang lagi teruk daripada saya. Ketika itu saya ada bertemu dengan seorang wanita berumur berbangsa Cina dan saya menangis di hadapannya.
” Dia bertanya kenapa saya bersedih. Dia beritahu saya bahawa dia sendiri juga adalah pesakit kanser payudara dan sudah 30 tahun dia survived. Umurnya kini dalam lingkungan 60 tahun lebih.
” Wanita itu menasihati saya agar jangan takut dan ikut sahaja apa kata doktor sarankan. Dia juga minta saya jangan fikir kanser ini boleh mati dan minta saya buat pembedahan dengan segera.
” Daripada wanita itulah saya mendapat kekuatan. Terus saya menjalani pembedahan membuang payudara sebelah kanan.
” Saya perlu buat rawatan rekonstruktif agar saya tidak rasa ‘down’ dan rasa cacat. Tetapi dalam pada saya rasa takut itu, ada saya ayat daripada suami yang buat saya rasa kuat. Dia cakap kenapa awak hendak rasa down kalau payudara sebelah kanan itu tidak ada.
” Malah suami telah hashtag di Instagram dan tunjuk kepada saya beberapa gambar pesakit kanser payudara yang tidak ada kedua-dua payudara mereka. Memang suami banyak sokong saya selain daripada emak, ayah, ahli keluarga dan kawan-kawan lain,” ceritanya panjang lebar.
Jalani Rawatan Dengan Tenang
Sewaktu ditemui, Fiza baru sebulan habis menjalani rawatan radioterapi. Dia telah menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam kitaran.
“ Saya bersyukur kerana dapat menjalani rawatan tersebut dengan tenang. Saya rasa tidak susah buat kemoterapi. Saya tahu semua orang takut buat kemoterapi. Itu juga perasaan saya pada mulanya. Takut juga. Tetapi bila sudah buat, saya tidak rasa apa-apa pun. Selepas habis kemoterapi saya menjalani radioterapi selama 15 kali di Institut Kanser Negara.”
Melalui rawatan demi rawatan amat memeritkan. Namun Fiza kuat semangat untuk melaluinya apabila melihat keadaan pesakit-pesakit lain yang turut menjalani rawatan yang sama.
“ Kalau kita menjalani kemoterapi sebagai contohnya di Hospital Sunway, kita akan dapat tengok lagi ramai orang yang lebih teruk daripada kita. Ada yang tidak boleh berjalan dan hanya mampu duduk di kerusi roda.
” Jadi kita yang boleh berjalan dan bercakap ini tidak perlu rasa takut. Ketika itu saya cuba alihkan tumpuan minda dengan beranggapan saya hanya buat rawatan masukkan vitamin C dalam badan supaya tidak rasa takut.
” Saya dapat atasi enam kitaran itu dengan baik. Memang ada kesan sampingan seperti rasa pening, mual, loya, muntah, penat dan letih. Tetapi selepas rawatan kemoterapi saya akan makan terlebih dahulu sebelum balik ke rumah.
” Rambut saya gugur selepas kemoterapi kedua. Tetapi itu pun suami yang tolong cukur dan licinkan kepala saya kerana jika tidak rambut masih akan gugur dan melekat di bantal apabila berbaring. Sekarang ini rambut saya sudah tumbuh dengan lebatnya.”
Ibu kepada dua orang cahaya mata ini gembira dengan perkembangannya sekarang. Dia hanya perlu mengikut nasihat doktor dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan diet yang seimbang.
“ Tidak ada pantang larang dalam pemakanan. Doktor menasihatkan saya agar tidak percaya dengan khabar angin. Saya boleh makan apa sahaja tetapi dalam kuatiti sederhana,” ulasnya lagi.
Sama Seperti Dahulu
Jelas Fiza tidak banyak perubahan berlaku dalam hidupnya sebelum dan selepas disahkan menghidap kanser payudara.
“Bagi mereka yang mengenali diri saya, mereka tahu saya seorang yang ceria. Saya rasa sekarang ini pun saya masih ceria seperti dahulu. Cuma satu fasa saya rasa down apabila saya disahkan ada kanser.
” Tetapi selepas buat pembedahan dan dengan kata-kata nasihat orang, saya masih Fiza yang dahulu. Saya tidak pernah fikir yang saya ada kanser. Tetapi kadang-kadang perasaan itu datang dan saya elakkan untuk melayannya. Saya tidak mahu rasa saya ini sakit malah saya masih boleh bekerja.
” Saya positif sebab bila saya fikir masih ramai lagi orang yang kita sayang dan orang yang sayang kita, buat apa kita hendak rasa takut dan tidak ada semangat. Sebenarnya kita perlu fikir mengenai orang lain yang lagi teruk daripada kita keadaannya.”
Nasihatnya kepada wanita yang disahkan menghidap kanser payudara atau sebarang kanser, pertama sekali mereka boleh rasa down atau putus asa.
“Tetapi jangan ambil masa terlalu lama sebab kita perlu ingat orang-orang yang sayang kita. Kalau kita tidak sayang diri kita, sekurang-kurangnya kita perlu ingat kita ada anak yang memerlukan kasih kita.
“Jangan terlalu down atau stres kerana bila kita stres, kanser ‘suka’. Sel kanser ini bijak. Jadi kita sebagai manusia yang dikurniakan akal dan fikiran kita perlu buktikan pada kanser kita yang kita lebih bijak daripadanya kerana kita yang mengawalnya.
” Oleh itu jangan sesekali rasa hidup ini pendek. Buat apa yang kita suka dan teruskan kehidupan seperti biasa. Kita perlu ingat masih ramai orang yang lebih teruk daripada kita ujiannya. Ujian yang kita lalui ini tidak seteruk orang lain,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Foto: Tuan Azman dan Koleksi peribadi Siti Norhafiza Kamarudin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Dari kecil, kerjaya sebagai wartawan atau media tidak pernah terlintas di fikiran. Maklumlah pelajar aliran Ekonomi sepertiku lebih tertarik dengan perkembangan melibatkan kewangan.
Malah sejak di bangku sekolah, aku sebenarnya bercita-cita menjadi pakar ekonomi. Ha!Ha! Tapi lain pula jadinya.
Namun begitu di satu sisi yang lain, rupanya baruku sedar diri ini gemar juga berkarya. Kata orang, dalam hati ada taman. Jiwang giler. Usai tamat pengajian, aku bergelar wartawan. Rutin kerja memang padat, aku perlu bergerak aktif dan berfikir di luar kotak.
Masa bujang dulu okaylah tapi bila sudah berkahwin dan punya anak, aku perlu bijak bahagi masa.
Walau sesibuk manapun, aku pastikan anak-anak dan suami tidak terabai. Bukan senang menjadi ibu bekerjaya, memang kena banyak berkorban.
Habis kerja, bekejar pulang ke rumah. Walaupun penat sangat menempuh jam. Aku tetap gagahkan diri demi keluarga. Ketika sampai di kawasan perumahan, aku sudah mengambil mood.
Senyum lebar sendirian (mesti driver lain ingat aku gila) dan buang jauh-jauh masalah kerja yang menyesak fikiran.
Suara Anak-anak Bergema Satu Rumah
Baru sahaja parking kereta, suara anak-anak sudah bergema satu rumah. Yang sorang minta susu, yang bongsu nak dukung, anak sulung pula mahu disuap makan.
Manakala anak kedua merengek minta mainan. Aku yang vouge tadi di pejabat dengan dress potongan princess terus jadi serabai. Hu! Hu!
Belum sempat melepaskan lelah, sudah diserbu anak-anak. Aku simpan letih dan lelah, aku layan kerenah anak-anak.
Kadang-kadang rasa macam nak tongkat mata dengan mancis tatkala menemani anak-anak menyiapkan kerja sekolah, maklumlah mamanya dah mengantuk sangat.
Bila anak-anak sudah tidur, giliran suami pula tagih perhatian. Time-time tu lah dia nak air kopi panas. Hasrat nak berehat terbantut, penuhi pula permintaan encik suami.
Naik ke bilik konon nak baca buku, sudahnya terbongkang. Sedar-sedar jam sudah jam 2 pagi, ini yang sering terjadi. Apa lagi kelam kabut bangun tunaikan solat Isyak.
Di sebalik kekalutan dan kesempitan ruang ini, aku tetap berusaha memberikan yang terbaik untuk suami dan anak-anak.
Seharian anak di sekolah, di rumah pengasuh jadi sudah tentu mereka dahagakan perhatian dan kasih sayang. Jadi kepada ibu bekerjaya di luar sana, bertabahlah ye.
Walau Terkear-kejar, Mesti Cium Dan Peluk Anak-Anak
Rutin aku sejak dulu, walau terkejar-kejar macam mana pun mesti cium dan peluk anak-anak waktu pagi ketika mereka keluar rumah dan cium mereka ketika kita pulang ke rumah.
Biar anak pergi sekolah atau ke rumah pengasuh dengan kehangatan kasih sayang. Biar mereka rindu-rindukan ciuman dan pelukan kita.
Percayalah sentuhan dan kasih sayang inilah yang membuatkan anak-anak ‘dekat’ dengan kita. Walaupun kini anak sulung aku sudah tujuh tahun, dia masih manja, masih mahu dicium (kadang geli hati juga pasal dia lelaki).
Ciuman rindu inilah yang mengikat kami sekeluarga. Jangan lupa juga cium tangan suami sebelum keluar bekerja, cium-cium yang lain tidak perlulah aku huraikan! 🙂
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Anak sedih, itu jurulatih mereka. Rayu tolong jangan ambil tindakan, mereka sayang cikgu” begitulah yang diluahkan oleh bapa kepada salah seorang pemain bola tampar yang ditampar jurulatih.
Sebelum ini satu video memaparkan tindakan jurulatih sebuah pasukan bola tampar menampar pemainnya tular di laman media sosial.
“Anak Sedih, Itu Jurulatih Mereka.”
Seperti mana dipetik menerusi Sinar Harian, Juruteknik kilang, Abd Halim Bakar, 50 menyatakan apa yang berlaku mungkin sedikit kesilapan jurulatih berkenaan namun mengakui tamparan yang dilakukan tidak sehingga mendatangkan kecederaan kepada anaknya yang berusia 14 tahun.
Abd Halim juga turut meluahkan anaknya lebih merisaukan keadaan jurulatih itu kerana telah banyak mengorbankan wang ringgit dan masa untuk memastikan sukan bola tampar terus membangun.
Katanya, bukan seorang bakat anaknya yang digilap jurulatih berkenaan, malah anak yang berada di Tingkatan Empat turut diasah bakat oleh individu terbabit.
“Daripada tak tahu tentang bola tampar, sampai sekarang anak-anak saya telah dapat mewakili Melaka ke kejohanan bola tampar, sedangkan anak saya bersekolah kampung sahaja.
“Kadang kala mereka tak ada tempat nak berlatih, sampai ke kawasan tanah merah tapi jurulatih mereka tetap membantu dan berkorban masa untuk mereka,” ujarnya.
Tamparan Biasa & Tak Menyakitkan
Bapa kepada lima orang anak itu juga telah bertanya kepada rakan anaknya yang turut ditampar jurulatih terbabit dan remaja itu juga menganggap tamparan biasa dan tidak sehingga menyakitkan mereka.
“Anak sedih sebab itu jurulatih mereka dan mereka rayu tolong jangan ambil apa-apa tindakan, mereka sayang cikgu itu.
“Memang tak nak ambil tindakan pada cikgu yang banyak berbakti pada Melaka terutama bola tampar dan kami pun tidak berniat untuk membuat laporan polis,” tambahnya yang turut memberitahu anaknya bimbang sekiranya guru lelaki berkenaan dikenakan sebarang tindakan hingga tidak lagi menjadi jurulatih mereka memandangkan individu itu benar-benar ikhlas untuk melihat sukan bola tampar mampu menaikkan nama negeri Melaka.
Berlatih Bersama Sejak Di Sekolah Rendah
Jelasnya lagi, sejak anaknya bersekolah rendah lagi mereka telah berlatih dengan jurulatih tersebut sehinggalah sekarang anaknya berada di sekolah menengah.
Jurulatih itu juga telah berhubung dengannya dan memohon maaf malah berhasrat untuk berjumpa serta membuat permohonan maaf secara terbuka.
“Pelik selepas dua minggu baru tular, namun tindakan netizen buat dia takut dan dia ambil masa sesuai untuk tenangkan jiwa.
“Dia (jurulatih) hubungi saya, dan dia bersedia datang minta maaf untuk bersihkan namanya,” katanya.
Abd Halim turut berasa pelik apabila insiden yang berlaku pada 16 Disember lalu di Johor tular selepas pasukan anaknya berjaya ke peringkat separuh akhir di Selangor yang mana ketika itu pasukan bola tampar Melaka mendapat tempat keempat.
Sebak bila Achey dedah isteri serahkan wang gaji ketika bekerja. Terbaru menerusi program realiti TV, Achey memberitahu dirinya sangat kagum dengan pengorbanan suri hatinya...