Kalau isteri selalunya bila dah terlalu penat, akan terkeluar juga keluhan daripada mulutnya. Yang Tak syoknya, bila macam tu, suami tuduh isteri tak ikhlas pulak jalankan tanggungjawab uruskan keluarga. Alahai, bukan tak ikhlas ye. Tapi ada masanya isteri nak luahkan apa yang dia rasa je. Biar suami faham dan kalau ada hati dan perasaan, tolonglah mana yang patut!
Isteri Tahu Tanggungjawab
Jangan salah faham, semua isteri tahu akan tanggungjawab masing-masing, tak kira yang bekerja atau pun suri rumah sepenuh masa. Sedaya upaya mereka akan berusaha untuk melakukan yang terbaik untuk rumah tangga dan keluarga. Kalau tidak, takkan rumah kemas, makanan untuk suami dan anak-anak tersedia, anak-anak elok terjaga. Ha…itu bermakna isteri memberikan komitmen penuh pada urusan rumah tangga.
Bagi isteri yang bekerja, mereka kena bijak uruskan dan bahagikan masa di antara karier dan keluarga. Sebab itu, biasanya isteri yang terkejar-kerjar balik kerja untuk sediakan makan malam. Belum lagi kalau isteri yang kena ambil anak di nurseri dan sekolah dulu. Suami? Ada Yang sanggup bagi alasan kerja OT sebab sebenarnya tak sanggup redah Kesesakan lalu lintas. Sanggup duduk ‘ngopi’ dengan rakan-rakan seopis dulu sementara tunggu jalan ‘clear’. Mengaku tak agaknya ye?
Kalau tengok isteri, 10 minit sebelum waktu kerja tamat, dah tergesa-gesa siapkan kerja kerana tak nak lewat ambil anak dan sampai rumah. Lambat sampai bermakna lambat masak. Nanti lambatlah anak-anak dan suami boleh makan. Nak beli makanan siap, suami tak nak. Katanya tak ada selera makan makanan kedai. Amboi!
Ads
Kalau Peduli, Tolong…Bukan Marah!
Kena ingat, isteri bukan robot. Tekan butang, semua kerja settle. Isteri juga tahu penat hinggakan nak duduk rehat pun tak sempat sehinggalah tiba waktu tidur. Belum lagi kalau ada kerja opis yang belum beres, lepas anak-anak dah tidur, barulah buka laptop untuk sambung buat kerja. Esok pagi sebelum subuh dan bangun. Jadi, dapat tak bayangkan isteri tu penat ke tak agaknya?
Apa salahnya suami ambil sedikit tugas yang isteri buat. Tolong ambil anak di nurseri misalnya. Bila sampai rumah, mandikan anak. Sekurangnya isteri boleh fokus masak. Kemudian, bila makan malam dah siap, tolonglah suapkan anak-anak makan. Ini tak, lepas perut dia kenyang, melenggang ke ruang tamu tengok tv. Isteri pula masih sibuk suap anak makan dan dia sendiri pun belum makan. Tak kasihan agaknya suami pada isteri.
Kalau isteri merungut penat, suami dengar dan biarkan saja. Isteri hanya nak luahkan apa yang dia rasa. Kalau dia tak luahkan pada suami, nak luahkan pada siapa?
Kemudian seeloknya tawarkan diri untuk picit bahu isteri. Tentu lega rasa penat yang sedang dia rasa. Tak percaya? Cubalah.
Ucapan Terima Kasih
Pertanyaan untuk suami. Berapa kali pernah ucapkan terima kasih pada isteri bila tengok isteri kepenatan dan lesu uruskan keluarga? Tahu tak, kata-kata yang mungkin tak ada makna bagi suami itu, membawa satu kesan besar pada isteri. Sejuk hatinya bila suami lafazkan terima kasih. Terasa segala penat lelahnya dihargai suami. Itu pun dah cukup.
Pendek kata, isteri merungut bukan dia tak ikhlas, tak reda dan tak suka dengan tanggungjawabnya sebagai isteri dan mak. Tapi kerana dia adalah manusia biasa yang ada masanya akan rasa down. Tentu dia akan luahkan dengan kata-kata. Jadi, suami, tolong fahami kepenatan isteri. Jangan bagi alasan dah penat kerja kerana isteri juga keluar bekerja kan?
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bila bercuti atau berjalan ke mana-mana, tip jaga tuala mandi pun cukup penting. Sebab kalau tak pandai jaga, silap-silap taual naik bintik hiam dan berbau hapak!
Ok, perasan tak kalau setiap kali selepas mak-mak cuci tuala dan bila ia kering, tekstur tuala ni rasa keras kejung dan tak lembut macam kita mula-mula beli dan pakai.
Hah, sebenarnya ada cara dan penjagaan mudah agar tuala yang kita gunakan tetap lembut selepas dibasuh dan tidak mudah rosak atau reput mahupun mengeluarkan bau yang menyenangkan setiap kali selepas digunakan.
Sebaiknya ikut cara ini.
Tip Menjaga Tuala:
1.Jemurkan tuala di tempat yang ada cahaya matahari setiap kali selepas menggunakannya agar tiada bakteria yang dapat membiak pada Tuala mandi kita.
2.Bagi menjaga kebersihan tuala, cucilah tuala sekerap yang mungkin, sekurang-kurangnya dua kali seminggu.
3.Untuk membasuh tuala, rendamlah tuala dengan sabun pencuci selama 30 minit bersama air suam untuk membunuh bakteria. Sebaiknya, rendamkan tuala berasingan dengan pakaian lain.
4.Untuk bersihkan tuala yang baru beli, rendamkan tuala selama 1 jam bersama air suam, ½ cawan cuka dan ½ sudu garam halus dan bilas hingga warna dari tuala hilang sepenuhnya.
Jangan tergoda dengan warna kain tuala yang warna warni, kerana fungsi menyerap air adalah fungsi utama yang harus di beri perhatian.
Pilihlah kain tuala yang mempunyai material yang elok, dan paling penting, setiap kali menukar tuala, gunalah tuala yang berbeza-beza agar kain tuala tidak cepat rosak.
Tip Cari Tuala:
Belilah tuala yang 100% egyptian cotton, berkualiti baik dan mempunyai daya serapan yang tinggi.
Petua Elak Tuala Berbau & Kusam:
Gunakan 1 cawan cuka atau ½ cawan soda bikarbonat ketika melakukan bilasan terakhir ketika membasuh tuala. Langkah ini akan menyegarkan tuala yang kelihatan kusam dan berbau.
Selamat mengguna tuala mandi dengan bijak dan berhemah. Semoga jangka hayat tuala mandi anda akan panjang hayatnya jika anda tahu menjaganya dengan bijak.
Selamat Mencuba!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bagi kebanyakan lelaki, perkahwinan bukan alasan untuk mereka ‘melupakan’ hobi mereka.Bahkan ramai yang sanggup ‘bergaduh dengan isteri bila hobi mereka tak disukai isteri.
Berbeza dengan wanita. Kebanyakannya secara rela akan melepaskan aktiviti yang mereka gemari sewaktu bujang kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian pada keluarga. Lebih-lebih lagi apabila sudah mempunyai anak. Soal hobi ditolak ke tepi sepenuhnya!
Lelaki pula selalunya tiada masalah untuk meneruskan hobi mereka selepas kahwin. Tapi, bagaimana sekiranya isteri tidak merestui dan tak suka anda meneruskan hobi itu? Bagaimana caranya untuk memujuk isteri? Mungkin tips yang Mingguan Wanita berikan ini boleh dipraktikkan.
Telus Dengan Isteri
Dari awal anda perlu telus dan berterus terang dengan isteri. Jika anda sudah berjanji dengan rakan-rakan untuk pergi bermain futsal selepas waktu kerja, jangan pula bagi alasan perlu kerja ‘overtime’. Sikap sebegini yang membuatkan isteri tidak mempercayai anda dan seterusnya akan menghalang anda meneruskan hobi anda itu. Ingat ye, Tak rugi berterus terang. Mungkin kadangkala isteri akan membebel, tapi jauh di sudut hatinya dia menghargai kejujuran anda.
Buat Perjanjian
Tak dinafikan, isteri mana yang tak marah jika suami lebih pentingkan hobi daripada keluarga. Jadi, anda perlu buat perjanjian tak formal dengannya. Yakinkan dia bahawa anda tidak akan pinggirkan dirinya dan anak-anak. Tapi anda perlukan hobi untuk menghilangkan tekanan kerja dan sedikit waktu bersama rakan-rakan. Yang paling penting, jangan sampai dia terasa terabai.
Hadkan Masa
Selain itu, seeloknya anda hadkan masa. Mungkin hanya dua kali dalam seminggu. Tidaklah setiap hari. Isteri mana yang tak sakit hati. Sudahlah seharian bekerja, di sebelah malam pula anda sibuk membuat aktiviti lain. Bila pula masa anda hendak luangkan bersama anak dan isteri? Memang patut pun isteri anda marah!
Ajak Isteri Dan Anak-Anak Bersama
Pernahkah anda terfikir hendak membawa isteri dan anak-anak bersama untuk melakukan aktiviti yang anda sukai itu? Dengan itu isteri dapat lebih memahami hobi anda kerana pernah berada di tempat aktiviti berlangsung. Silap hari bulan, jika dia bosan, konfim dia takkan ikut lagi!
Beralih Pada Hobi Untuk Sekeluarga
Apa salahnya jika anda bertukar hobi, selari dengan diri anda yang sudah berkeluarga. Pilih hobi yang boleh disertai oleh isteri dan anak-anak. Misalnya hobi memancing, berbasikal, bermain boling dan sebagainya. Ia juga boleh dijadikan waktu untuk anda luangkan bersama keluarga tersayang.
Mesti Ingat Isteri!
Selalunya isteri akan marah jika mereka telefon tak berjawab dan anda pula tidak menghubungi mereka. Tentu mereka kerisauan. Contohnya anda ingin bermain badminton. Apa salahnya anda telefon isteri sebelum bermula dan selepas tamat permainan. Jadi isteri akan tahu apa yang anda lakukan. Tidaklah tertanya-tanya.
Jangan Khianati Kepercayaan Isteri
Selain itu, jangan sesekali khianati kepercayaan isteri. Konon sibuk buat aktiviti dengan rakan-rakan, pergi memancing misalnya, tapi rupanya ‘pacing’ perempuan lain. Itu cari nahas namanya bro!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Tahu tak sebenarnya mewarna ini membantu untuk melatih anak kecil menulis garisan penuh berulang kali, dan paling penting dalam ruang yang ditetapkan.
Ini juga bagus dari aspek koordinasi mata-tangan, skill melihat dan menentukan warna yang lebih sesuai macam awan warna apa, baju nak kaler warna apa dan sebagainya.
Jadi skill ini mungkin akan jadi aset anak-anak bila dia dewasa yang mana kita sendiri pun tak tahu apa minatnya nanti. Ini samalah seperti yang dikupas oleh Puan Ainizal Abdul Latif tentang kepentingan anak belajar mewarna.
Ajar Anak Pandai Mewarna
Okay mommies… seperti dijanjikan saya akan explain kaitan antara hasil kerja anak-anak dengan keupayaan mereka memberi fokus ketika belajar. Langkahnya, ambil sehelai kertas A4, lukiskan satu bulatan sederhana besar di tengah then bagi arahan untuk anak warnakan bulatan tersebut… just arahan “warnakan bulatan itu”
Untuk anak 3 hingga 6 tahun ye.
Take note ye parents, fokus adalah kemahiran… bila sebut kemahiran ni, anak boleh belajar melalui aktiviti-aktiviti semudah menuang air dari bekas ke bekas, bermain penyepit baju dan lain-lain yang penting kita dapat tahu keupayaan dan tahap fokus anak. Jangan compare antara satu sama lain.
1) MENCONTENG DAN TIDAK MENGIKUT ARAHAN
Jika anak tidak mewarnakan bulatan tersebut, sebaliknya hanya menconteng keseluruhan kertas, bermakna dia belum mampu mencipta fokus ketika proses pembelajaran dijalankan ke atasnya.
2) MEWARNA SATU BAHAGIAN SAHAJA DARIPADA KESELURUHAN BULATAN
Bermakna anak hanya mampu fokus pada satu-satu perkara yang disukainya sahaja. Dalam erti kata lain, anak hanya memberi fokus jika kita ajar perkara yang diminatinya. Anak takkan fokus kepada sesuatu yang tidak diminatinya.
3) MEWARNA SELURUH BAHAGIAN, TETAPI BANYAK YANG MELEPASI GARISAN BULATAN (TERKELUAR)
Ini bermakna anak sudah memberi fokus semasa belajar tetapi tidak konsisten. Kadangkala sangat fokus, namun ada masanya tidak menunjukkan minat langsung ketika belajar.
4) MEWARNAKAN BULATAN TERSEBUT SEPENUHNYA DAN TIDAK MELEPASI GARISAN
Tidak perlu ambil kira faktor kekemasan @ kecantikan warna, apabila anak berjaya mewarnakan keseluruhan bulatan tanpa melepasi garisan, bermakna anak mampu mencipta fokus dengan baik ketika proses pembelajaran dilakukuan ke atasnya.
Jadikan ini sebagai penanda aras untuk kenalpasti kemampuan fokus anak-anak. Mereka perlu difahami, barulah mudah untuk beri kefahaman kepada mereka… fokus adalah kemahiran yang boleh dipertingkatkan dari masa ke masa. Perlu lebih kreatif untuk anak lebih fokus, pelbagaikan aktiviti untuk tingkatkan fokus mereka!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!