Kalau Ada Anak Nak Jadi Gamer Atau YouTuber, Mak Ayah Buat Begini

Sekarang ini, bila saja anak-anak beritahu ada impian nak jadi Gamer mahupun YouTuber, mak ayah jangan cepat melatah. Tak salah sokong sepenuhnya minat anak itu. Macam mana pun, panduannya kenalah ada.

Bila mana anak sulung, Guru Bimbingan dan Kaunseling, SMK Sungai Besar, Abdul Muiez Ruslee maklumkan mahu jadi gamer, guru ini sokong saja minat anaknya itu. Tetapi, dia mengenakan syarat khas ini.

Ramai Gamer Yang Dah Berjaya, Siap Beli Kereta ‘Cash’

Sebelum ini saya pernah tanya anak sulung saya mengenai hala tuju bila dah besar nanti.
Dia bagitahu, dia nak jadi gamer. Ya, saya nampak kesungguhan dia nak jadi gamer tu. Saya sokong saja. Saya bagitahu dia, walaupun nak jadi gamer, akademik tetap perlu diutamakan.

Benar, ramai gamers yang dah berjaya. Ada yang siap beli kereta secara tunai lagi. Cuba tanya, bila mereka bermula? Mungkin empat lima tahun lepas. Atau mungkin lebih awal lagi. Pada waktu itu, mungkin e-sport pun tak berapa popular. Merekalah antara pelopor kepada permainan ini. Jadi, tidak hairanlah mereka boleh berjaya kini.

Sekarang, berapa ramai gamers newbie yang muncul? Persaingan juga semakin sengit. Kalau mula dari sekarang, nak selesa mungkin makan masa tiga empat tahun lagi. Masa itu, saya yakin, pasti lebih ramai pro gamers yang wujud.

Di mana kedudukan anak-anak kita pada waktu itu?

Baca sini : Mak ayah berbuallah dengan anak sulung, jangan buat emosinya terbeban tanggungjawab.

Ads

Kisah Anak Murid Yang Obses Bola Sepak

Pagi tadi, saya mendengar perkongsian di Youtube mengenai isu ini semasa dalam perjalanan ke sekolah. Anak sulung saya pun dengar sekali.

Banyak perkara menarik yang dikongsi. Youtuber itu turut datangkan contoh, katakan Ali dan Abu bercita-cita nak jadi gamer. Ali main game sepenuh masa, manakala Abu pula memilih untuk sambung belajar dan dalam masa yang sama turut bermain game.

Selepas 3 tahun, Ali dan Abu pun masuk tournament. Kedua-duanya kalah. Apa yang ada pada mereka waktu itu?

Ali mungkin tiada apa-apa, tetapi Abu ada diploma.

Ads

Saya datangkan contoh pemain bola sepak pula. Ada anak murid saya yang obses dengan permainan ini. Hanya datang sekolah sewaktu ada game sahaja. Waktu lain, ponteng. Selepas keputusan SPM diumumkan, dia tidak berjaya, seiring dengan permainan bola sepaknya.

Apa yang tinggal pada dia? SPM ke mana, bola sepak pun habis macam tu saja.

Pendapatan Dari YouTube Ini Pun Ada Turun Naiknya

Bukanlah tidak boleh main game, cuma, biarlah game dan akademik itu seiring. Saya pernah tonton video mengenai kehidupan seorang Youtuber. Walaupun pendapatan bulanan dia dah cecah ribu riban, dia tetap tak berani berhenti kerja. Sebab pendapatan Youtube ni bersifat tidak tetap. Kadang-kadang naik mencanak, kadang-kadang biasa saja dan kadang-kadang boleh jadi tidak dapat apa-apa.

Macam mana dia nak pastikan Youtube dan kerjaya dia sama-sama meningkat?

Ads

Siang kerja macam biasa, malam dan hujung minggu dia buat Youtube. Sama-sama up, orang kata.

Anak-anak ini masih belum kenal apa erti komitmen. Itu yang saya cakapkan kepada anak saya tadi. Duduk dengan mak ayah, semua ada. Hatta gajet nak main game pun mak ayah belikan.

Tapi, sampai satu masa, saat kena berdikari, masa itu mereka baru sedar, pusing ke mana pun, ilmu juga yang penting.

Nanti ada yang jawab, Syahmi Sazli, Iman Kamil (sekadar menyebut beberapa nama) tak habis belajar pun boleh jadi Youtuber terkenal. Saya tanya balik, dalam ramai-ramai youtuber yang tak habis belajar, berapa ramai yang berjaya? Seribu? Dua ribu? Sejuta?

Ibu ayah, kalau ada anak-anak macam ni, kita sokong saja minat mereka. Bukan sahaja game, tapi apa sahaja bidang yang mereka minat. Dalam masa yang sama, pasakkan dalam kepala mereka. Pokok pangkalnya tetap kembali kepada ilmu juga.

MW : Kalau bukan mak ayah yang sokong cita-cita anak siapa lagi nak sokong kan..

Sumber/Foto : Abdul Muiez Ruslee *Artikel diterbitkan dengan keizinan daripada penulis.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI