
Isi Kandungan
TogglePuas bagi ubat tetapi demam anak tetap tak kebah. Haa… itu kena semak balik bab dos ubat demam yang dibagi pada anak.
Bila anak-anak demam, punyalah mak-amak gelisah. Nak tidur pun tak lena sebab risau demam anak makin melarat, jadi kerjanya asyik tengok jam sebab nak bagi ubat ikut masa yang betul.
Namun macam mana pula dos ubat yang anda bagi kepada anak-anak? Ikut yang ditulis doktor pada botol atau main teka-teka? Maklumlah kadang tulisan di botol pun boleh hilang. Haaa… nak selamat eloklah mak-mak ambil tahu cara pengiraan dos ubat demam kanak-kanak berdasarkan perkongsian Puan Huda Azmin ini…
15mg/kg berat anak/dose
Jika berat anak 11kg
15mg x 11kg = 165mg
Di pasaran terdapat 2 jenis kekuatan ubat paracetamol iaitu 120mg/5ml dan 250mg/5ml.
Pastikan ibu-ibu semua tahu kekuatan ubat sebelum kira ya.
Bagi kekuatan 250mg/5ml
*5÷250 × 165mg*
Perlu minum 3.3ml 3kali sehari
Bagi kekuatan 120mg/5ml
*5÷120×165mg*
Perlu minum 6.8 ml 3 kali sehari
Pastikan ibu-ibu semua membuat pengiraan dengan betul dos ubat agar anak diberikan ubat yang mencukupi berdasarkan berat anak. Ini penting untuk pastikan tidak berlaku ‘underdose’ mahupun ‘overdose’.
NOTA:
Ubat demam tidak perlu simpan dalam peti, ya. Simpan sahaja dalam suhu bilik di dalam almari yang jauh dari capaian anak-anak.
Selepas botol dibuka, boleh digunakan sehingga 1 bulan. Ibu-ibu boleh tulis tarikh buka pada botol ubat.
Jika belum buka, boleh digunakan sehingga tarikh luput yang tertera pada botol.

Semoga anak-anak kita semua sentiasa dalam jagaan Allah swt. Kita berusaha Allah jua penyembuhnya.
Huda Azmin
Ummu Huzair Humaidi Husaini
Puan Farmasis Gomen
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Pergi Solat Luar, Budak Budak Tak Bersih..” Wanita Terkilan Anak Dihalang Solat Dalam Masjid

Isi Kandungan
ToggleAnak-anak seharusnya digalakkan untuk menunaikan solat di masjid sejak dari kecil, agar jiwa mereka subur dan dekat untuk mencintai rumah Allah ini. Mak ayah juga pastinya tahu dan bertanggungjawab dalam memastikan anak-anak mereka, bersih daripada najis mahupun segala kekotoran sebelum datang ke masjid. Ini kerana kebersihan diri dan tempat solat merupakan salah satu syarat sah sembahyang.
Namun terkilannya, terdapat segelintir jemaah masjid mempunyai persepsi dan merasakan anak-anak tidak sesuai solat di masjid serta dianggap ‘kotor’ kerana tidak tahu menjaga kebersihan diri.
Situasi ini dialami dan dikongsikan oleh Puan Syahidah Mardhiah Azmi sendiri, yang rasa cukup terkilan apabila anak-anaknya dihalau daripada menunaikan solat didalam masjid kerana dianggap ‘kotor’. Menurut wanita ini, beliau datang ke masjid bersama 4 orang anak angkat( yang merupakan anak jiran) selain 2 orang anak sendiri yang berumur 2 dan 5 tahun.
Berikut luahan yang wanita ini kongsikan;
“Semalam saya kena halau masa nak solat dengan anak-anak 5 orang di masjid. Sedih saya. Masa saya nak pilih telekung untuk anak-anak, ada makcik tak bagi ambil. Dia kata anak-anak saya tak bersih. Dia beri 2 helai je telekung yang dah memang kotor. Lepas saya ambil dia kata, “Haa, dah pergi solat luar. Budak-budak tak bersih.”
“Saya terkejut. Menggigil tangan nak marah. Lepas dia kata tu, saya keluar masjid. Saya duk luar 2 minit. Saja nak redakan emosi. Lepas tu saya masuk balik.”
“Saya pergi dekat makcik tu. Saya kata, “Makcik, anak-anak saya tak kotor. Sampai hati makcik cakap gitu dekat anak-anak saya. Yang saya bawak ni semua anak-anak pondok, makcik. Bersih hati mereka. Saya dari Pasir Puteh. Jauh saya datang. Saya singgah solat masjid ni kejap je.”
Makcik tu kata, “Budak-budak ni lepas main pastu datang masjid. Tu yang kotor. Pastu nak solat.”
“Allahuakbar. Anak-anak saya 6 orang ni baru je saya mandikan sebelum keluar rumah pukul 7.30 petang tadi. Sebelum masuk masjid, saya basuh kencing anak-anak 5 orang ni dengan tangan saya sendiri. Saya pantau diorang ambik wudhuk. Sedih saya orang kata anak saya macam ni.”
“Lepastu saya bukak tudung saya. Saya pakaikan dekat anak yang paling besar 8 tahun. Saya kata, “haa pakai ni. Tudung ciksya tak kotor pun. Boleh pakai solat. Awak pun tak kotor, sayang. Ok semua jom kita solat. Yang takde telekung pun ikut ciksya.”
“Saya imamkan 5 orang anak saya. Ada pakai seluar pendek, ada yang tudung pun tak pakai. Anak saya yang umur 8 tahun jawab bila ada orang tanya, “Takpe tak sempurna pun asalkan solat. Kan ciksya?”
“Dia ulang balik ayat saya kata pada dia masa solat Asar tadi. Saya sedang pindah rumah. Saya bawak semua anak-anak 6 orang. Semua barang duk dalam kotak lagi. Nak cari telekung pun tak tahu kotak mana satu. Saya solat dengan pakaian saya. Anak-anak saya pakaikan tudung saya. Kepala tutup kaki togel.Saya kata takpelah asalkan solat.”
Doa Allah Hilangkan Kesedihan
“Lepas solat, saya masih lagi sedih. Saya doa moga Allah hilangkan kesedihan saya. Moga Allah beri kefahaman pada makcik tersebut. Moga Allah berikan saya dan anak-anak kesabaran untuk menghadapi ujian ini.”
“Masa tu ada ustaz tengah mengajar. Sambil sangkut telekung, sambil dengar. Ustaz kata, kita yang asyik datang masjid ni, jangan duk rasa diri tu dah hebat ye. Allah tak jamin lagi orang datang masjid ni masuk syurga.”
“Hmm rugilah kamu, makcik. Tak dapat apa. Ustaz mengajar kat depan, makcik mengajar kat belakang.”

“Dalam perjalanan pulang, saya tanya suami saya, “apa ye perasaan orang yang baru nak berubah, dia baru nak dekat-dekat dengan masjid, lepas tu jumpa makcik bawang yang macam tadi tu?”
Suami saya kata, “orang macam ni lah sebenarnya yang buatkan orang muda taknak pergi masjid. Kita baru nak kenal masjid, kena pulak macam tu. Sudah tentulah orang tu makin jauh dan duk asyik rasa diri tak layak nak jadi baik. Lepastu selama-lamanya dia lalai. Berdosa orang macam ni”.
Hidup Di Dunia Tak Terlepas Dari Ujian
Begitulah kita hidup di dunia ini tak terlepas dari ujian. Orang yang hidupnya rajin beribadah, dia diuji dengan penyakit hati. Merasakan diri sudah dijamin syurga. Manakala kita yang masih lalai ini, diuji pula dengan rasa tak layak nak jadi baik. Duk rasa diri dah pun dijamin neraka.
Kita ni kalau tak mampu nak tarik orang dekat dengan agama, jangan pulak kita jadi penyebab orang makin jauh dari agama. Cukuplah berdiam diri kalau tiada apa yang baik untuk diperkata, dan tunjukkan akhlak yang mulia walaupun kita ni penuh aib dan dosa.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Anak-anak seharusnya digalakkan mendekati rumah allah ini dan rajin solat di masjid. Ubah persepsi bahawa masjid selayaknya hanya untuk orang dewasa.
Sumber: Syahidah Mardhiah Azmi
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Magis Kuasa Pelukan, Mak Ayah JANGAN BERHENTI Peluk Anak-Anak

Kuasa pelukan mempunyai ‘magisnya’ yang tersendiri. Mampu memberi kesan positif baik pada pasangan suami isteri mahupun anak-anak. Pesanan buat mak ayah biasakan memeluk anak-anak dengan pelukan kasih sayang sejak mereka kecil dan teruskan rutin tersebut sehingga mereka meningkat remaja dan dewasa. Tak kiralah baik pada anak lelaki mahupun perempuan, dan lihatlah kesannya nanti.
Namun demikian, Kena Betulkan Cara Bercakap Dan Peluk Anak Lelaki Atau Perempuan, Hasilnya Mereka Lebih Dengar Kata.
Baca perkongsian Puan Noor Afidah Abu Bakar daripada Parent Connect Consultancy ini;
Jangan berhenti memeluk anak-anak baik lelaki atau perempuan.
Pelukan ayah ibu dapat meredakan ledakan emosi yang dialami anak. Apabila anak-anak mengalami ‘temper tantrum’ atau tekanan, anak menghadapi masalah dengan regulasi emosi. Pelukan mengurangkan hormon stres (cortisol) dan menaikkan hormon kasih sayang (oxytoxin) yang meredakan emosi.Bukan itu sahaja, pelukan anak-anak juga dapat meredakan tekanan yang sedang dialami ayah dan ibu.
Jika dari kecil diamalkan, tidak ada sesiapa yang akan merasa kekok. Jika baru hendak bermula, teruskanlah, tidak ada salahnya. Tidak haram bagi ibu memeluk anak lelaki dan tidak haram bagi ayah untuk memeluk anak perempuan.
Jika ada yang melarang ayah dari memeluk anak perempuan dan sebaliknya, itu bermakna orang yang melarang itu mungkin pernah mengalami pengalaman yang tidak elok dengan ayahnya atau dengan lelaki dewasa rapat dalam keluarganya. Oleh itu nasihat tersebut tidak releven untuk keluarga normal dan harmoni seperti keluarga anda.
Peluklah anak lelaki dan anak perempuan anda. Itulah cara termudah dan termurah untuk membina ‘connection’ pada zaman di mana kita sering sibuk terkejar-kejar masa.Pelukan tidak menjadikan anak lelaki lembik, sebaliknya ia memberi kekuatan dalaman kepada mereka.

Noor Afidah Abu Bakar
Parent Connect Consultancy
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Biasakanlah memeluk anak-anak kita dengan penuh kasih sayang sejak dari kecil dan penuhilah ‘tangki emosi’ mereka. Ia bukan sahaja mampu meredakan emosi, mengawal sikap anak-anak, malah menjalin hubungan erat di antara mak ayah dan anak-anak.
Sumber: Parent Connect
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
15 Sikap Suami Macam Inilah Yang Buat Jadi Musuh Isteri. Tolong Berubah Sebelum Rumah Tangga Barai!

Isi Kandungan
TogglePercayalah sebab sikap suami pun si dia boleh minta bercerai sebab kadang lelaki tak sedar yang perbuatan mereka dibenci dan perlahan-lahan akan jadi musuh isteri. Kebanyakan suami selalu menyalahkan isteri apabila isteri kerap merajuk dan marah tanpa mengetahui apakah puncanya. Kerap kali apabila timbulnya masalah sikap isteri yang dikatakan mengada-ngada, itu menjadi punca pertengkaran.
Cuba anda semak kalau ada 15 sikap ini dalam diri, anda kenalah ubah. Buang terus pun lagi ok…
1. Suka tunjuk baran
Pantang silap sikit, terus nak maki. Lagi parah, kaki tangan cepat nak tampar atau mencekik leher isteri nak tunjuk dia berkuasa. Kalau dah selalu hadap, wanita akan jadi trauma dan benci dengan lelaki. Tapi ada juga yang sanggup bertahan, terpaksalah berendam air mata dan membiarkan hidup menderita. Lama kelamaan wanita ini akan hidup dalam keadaan tertekan dan boleh menyebabkan kemurungan!
2. Semua tak boleh
Kontrol sudut yang betul tak apa, ini kalau nak keluar dengan kawan-kawan perempuan sesekali pun kena marah. Kalau cakap elok-elok tak apa. Yang tak adil, kalau dia keluar melepak malam-malam sampai ke pagi, isteri tanya lebih terus dicop ‘queen control’. Aduhaaaiii… tolonglah saling memahami dalam dunia masing-masing. Mungkin cemburu, tapi jangan sampai seksa isteri, ya.
3. Buat salah tak minta maaf
Kalau gaduh, wanita selalu dipersalahkan. Kadang marahnya sudah hilang tetapi ego punya pasal sanggup mendiamkan diri nak tunggu isteri pujuk. Sesekali boleh, tapi jangan sampai perempuan merajuk dan keluar ego dia pula.
4. Suka cuci mata
Tak semua tapi ada yang jenis isteri dah cantik, mata masih lagi suka pandang wanita lain. Bayangkan kalau berjalan sebelah dengan anak isteri pun mata sempat ‘cuci mata’ tengok perempuan lain. Eh, ada ke isteri tak kisah bab ini?
5. Cepat mesra dan over
Peramah biar bertempat. Ini ada kes sampai nak tolong hantar ke rumah (dah kahwin), ada lagi pelik yang pantang jumpa wanita cantik terus banyak cakap sampai tak malu minta nombor telefon. Konon nak berkawan. Tak payah nak jadi ‘teman tapi mesra’ sangatlah.
6. Tak sensitif perasaan wanita
Wanita kadang suka merajuk, tapi lelaki kenalah tahu pujuk. Mungkin dah lama berumah tangga jadi ada yang buat tak kisah. Sebenarnya, wanita bukanlah terlalu sensitif atau terlalu manja. Isteri perlu rasa dirinya disayangi dan dibelai dengan penuh kasih sayang.
7. Lebih pentingkan kawan-kawan
Sanggup membatalkan perjanjian keluar dengan isteri semata nak menonton bola sepak atau diajak melepak oleh kawan-kawan lelaki. Ya, ada lelaki terlalu pentingkan kawan-kawan dalam segala hal. Merana juga kalau sampai terabai anak bini.
8. Tidak tahu menghargai
Penat isteri memasak, langsung suami tak sentuh. Haruslah sedih, terus hilang semangat wanita nak bahagiakan lelaki. Cubalah ambil hati wanita sikit, walau tak ikhlas.
9. Cakap tengking atau tinggi suara
Ada suara yang macho sekali pun ,tak payah nak tinggikan suara depan orang ramai. Atau mungkin depan mak ayah isteri. Ini antara kelemahan lelaki kerana mereka mudah meninggikan suara walaupun pasangannya tidak bersalah.
Kalau isteri meninggikan suara sikit, mulalah kata isteri dah pandai melawan. Tapi kalau dah selalu sangat suami guna nada tinggi, mana wanita tak buat perangai!
10. Asyik bagi alasan dan tipu
Sifat menipu dan suka berdolak-dalih ini, lama-kelamaan akan membuatkan isteri cepat meluat dan benci. Lelaki akan kerap menipu sekiranya dia ada bermain kayu tiga. Oppss…

11. Selekeh dan tak jaga penampilan
Nabi adalah contoh suami yang selalu kemas dan harum. Ingat bahawa Allah SWT Maha indah dan sangat menyukai keindahan. Jadi jagalah penampilan untuk sebahagian dari keimanan.
12. Malas buat kerja
Minta tolong kemas rumah pun macam-macam alasan si dia guna. Habis kalau dah isteri pun bekerja, janganlah pentingkan diri sangat.
13. Kurang bercakap dan bergurau
Jangan fikir bila dah kahwin, anda tak perlu tanya khabar. Isteri cepat bosan, jadi cubalah caring lebih untuk jaga perasaan dia. Apa salahnya hantar mesej sekali sehari tanya khabar walau sibuk dengan urusan kerja. Sekarang ni lagi canggih, WhatsApp dan Facebook pun boleh. Dan curilah peluang bergurau senda, bukan kena bayar pun.
14. Tidak bertanggungjawab terhadap anak
Semua nak suruh isteri yang buat, cubalah sesekali dekatkan diri dengan anak. Mendidik biarlah bersama, barulah lengkap. Ini biar je isteri dengan anak-anak. Letihlah emosi wanita kalau asyik diarah itu ini.
15. Berat sebelah
Kadang ada kes mentua tak suka menantu, ya bab inilah suami kena lebih peka. Tak bolehlah dengar sebelah pihak saja, peranan suami lebih berat kalau isteri tak ngam dengan Mak. Dengar saja cerita buruk, suami kena semak dan tidak keruhkan keadaan. Banyakkan doa dan mohon pada Allah, bukan hanya tahu salahkan isteri. Ya, isteri kena mengalah dengan Mak, tapi suami kena cari jalan terbaik untuk maniskan hubungan kekeluargaan.
Baik lelaki atau perempuan, jagalah rumah tangga dengan susunan dan petua hidup yang teratur. Jangan asyik mengarah, sesekali bagi ruang dan peluang kepada pasangan untuk meluah dan berkongsi masalah. Dan ketahuilah lelaki, emosi wanita sangat cepat berubah dan hatinya rapuh. Semua terpulang pada layanan dan kasih sayang anda sebagai suami. In shaa Allah bahagia itu datang…
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI