Jodoh adalah rahsia Allah SWT. Tiada siapa yang tahu siapakah jodohnya sehinggalah tiba masanya. Namun, sering kali menjadi cemuhan dan bualan bila melibatkan jodoh di antara lelaki muda dengan wanita berusia. Atau gadis muda dengan lelaki yang terlalu jarak usianya.
Apa pun, tak ada salahnya. Bahagia tetap mampu diraih. Cuma betulkan niat ye…
“Dr., okey tak kalau saya terima gadis yang lebih tua daripada saya?” tanya seorang pemuda.
“Jarak umur berapa tu?”
“Jarak lima tahun Dr. Saya baru 25, dia 30. Tapi kami nekad nak kahwin. Okey tak nanti jadinya?”
“Okey ke tidak bergantung pada apa niat kamu. Apa niat kamu nak berkahwin tu?”
“Rasanya dah sampai masa. Lagipun dah sanggup pikul tanggungjawab. Errr, kawan-kawan semua dah kahwin Dr.”
Jodoh Dah Sampai
Saya tertawa dengan jawapan yang hujung itu. Kalau alasan serupa itu semata-mata, bukanlah kuat untuk menempoh kehidupan yang sedikit pelik, kelak.
“Kahwin sekadar ikut-ikut ni bahaya. Tambahan lagi bakal isteri lebih tua daripada kamu. Dia mungkin lebih dulu kereput, sedang kamu masih muda belia. Macam mana tu?” Duga saya.
“Rasa-rasanya saya boleh menerima Dr. Alah, lawa-lawa sangat pun akhirnya tua juga. Yang muda pulak demand tinggi. Tak ada dua puluh ribu tak mahu kahwin, sedangkan saya ni baru bekerja, manalah ada duit.”
Saya menunjukkan isyarat bagus. Kahwinlah dengan siapa pun, tak kira sama umur atau lebih tua, yang penting niatnya kena betul. Kalau niatnya betul, insya-Allah semua masalah dapat dilalui dengan mudah.
Yang dikatakan niat yang betul itu macamana? Allah. Niatkan kerana Allah. Berkahwin kerana Allah akan menjadikan perkahwinan itu sangat berkat, moga-moga bahagia hingga ke sudah.
Macam pemuda tadi, dia hendak berkahwin dengan gadis yang lebih tua, kalau dihenyak dengan telahan, “Apalah kau ni kahwin dengan orang yang lebih tua!” jawab “Aku kahwin kerana Allah,” akan senyaplah si penemplak. Andai ada orang berani mempertikai niat serupa ini, berani sungguhlah dia untuk berdepan dengan murka Allah.
Kebaikan Bila Jodoh Wanita Lebih Tua
Sebenarnya berkahwin dengan wanita lebih tua ini baik sebab selalunya selain pemikiran matang, kerja juga sudah stabil. Sebaik berkahwin boleh membeli rumah, kereta dan lain-lain, berbanding berkahwin sama umur, sama-sama 22 tahun, susah juga tu untuk mengumpul harta kecuali dua-dua bekerja. Tetapi kalau suami sahaja bekerja, tinggal pula di bandar, ada sedikit susahlah.
Alasan kedua yang mesti diambil kira ialah sunnah. Ingatlah sejarah Nabi Muhammad s.a.w berkahwin dengan Khatijah. Ketika itu Nabi s.a.w tersangat muda sedangkan Khatijah berusia lanjut, janda pula. Tetapi oleh kematangan yang dimiliki oleh Khatijah menyebabkan Nabi s.a.w dapat menempuh detik kerasulan dengan baik sekali.
Stabil Emosi Dan Material
Moga-moga perkahwinan anda dengan gadis lebih berusia mendatangkan kehidupan yang stabil dari segi mental, emosi dan material. Saya sendiri mempunyai ramai kenalan yang berkahwin dengan gadis lebih tua, sesetengahnya hingga jarak 10 tahun. Kehidupan mereka terus baik sehingga hari ini. Sebab itulah, niat yang betul kena dipasak terlebih dahulu, sekiranya terlepas, masa untuk memperbetul sentiasa ada.
Ads
Alasan ketiga adalah keserasian. Jika anda sanggup mengambil gadis yang lebih tua bermakna anda seorang yang sangat boleh bertolak ansur. Memang hidup ini perlu diterima seadanya, usah terlalu rakus oleh kehendak yang muluk-muluk sebab kemahuan serupa itu selalunya terdorong oleh sifat mahu menunjuk, ego, perasan bagus dan lain-lain.
Sebaliknya apabila rela menerima seseorang seadanya dia, bermakna kita juga seorang yang lunak. Kehidupan sememangnya perlu dilalui dengan humble, barulah segala-galanya menjadi penyebab untuk rasa bahagia dengan sempurna.
Bersedia Untuk Berdepan Cemuhan
Apabila kita membuat keputusan memilih sesuatu yang berbeza daripada kebiasaan itu bukti kita istimewa. Namun, perlu jugalah diingat, sesuatu yang sedikit berlainan daripada kebiasaan selalunya juga akan menjadi perhatian. Bersedialah untuk berhadapan dengan apa saja, baik berupa cemuhan mahupun pujian. Orang memuji, sesetengahnya bukan jujur tetapi menyimpan sindiran tajam.
Apapun setiap orang ada pilihan tersendiri. Apapun pilihan kita, pasakkanlah dengan tiga alasan utama tadi. Apabila menghadapi masalah baik datangnya dari diri sendiri, dari pasangan mahupun keadaan sekeliling, tebat diri dengan tiga alasan berkenaan – ALLAH, Nabi s.a.w dan keserasian. Anda akan stabil dan tenang.
Usah terlalu diambil kira kata-kata manusia, andainya ia baik jadikan itu perangsang tetapi andainya tidak, jadikan itu pembakar semangat untuk lebih cemerlang. Orang bermotivasi tinggi tidak pernah lemah oleh kata-kata orang. Jangan keliru-keliru ye. Ingatlah, apapun kalau baik, ia sentiasa baik.
Suka atau tak, sedar atau tak, bercerita aib rumah tangga sendiri boleh jatuh berdosa dan haram. Perkongsian Ustaz Farid Rashidi ini dijelaskan dengan dalil yang menyokong larangan perbuatan tersebut.
Oleh itu, suami mahupun isteri kenalah jaga batasan bicara. Lagi-lagi yang melibatkan hal dalam kain rumah tangga sendiri. Simpan kemas-kemas rahsia rumahtangga. Melainkan terjadinya kes-kes tertentu yang melibatkan penghakiman atau perubatan barulah hal ini dibolehkan.
Suka Buka Aib Rumah Tangga Sendiri
Dah banyak kali orang bertanyakan tentang isteri atau suami yang suka buka aib rumahtangga sendiri. Banyak sangat berlaku. Lagi-lagi bercerita pada rakan sekerja di pejabat.
Ada senggang waktu sikit, mulalah mesyuarat tingkap bercerita hal keaiban rumahtangga sendiri.
Tak tahulah apa tujuan sebenarnya, tapi memang jenis suka bercerita hal dalam kain sendiri, dalam kelambu kepada orang lain. Hinggalah bab berjima’ pun dia cerita.
Astagfirullah Hal Azim.
Kenapa sampai macam itu sekali? Bahkan ada kes hingga sanggup tunjuk gambar tak senonoh dia dan suami pada rakan-rakan sekerja sambil berbangga-bangga pula. Aduhai.
Tahukah yang perbuatan itu adalah berdosa dan haram?
Ya, berdosa dan haram hukumnya. Dalilnya:
وعَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: إِنَّ شَرَّ النَّاسِ عِنْدَ اللَّهِ مَنْزِلَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ: الرَّجُلُ يُفْضِي إِلَى امْرَأَتِهِ، وتُفْضِي إِلَيْهِ، ثم يَنْشُرُ سِرَّهَا.
Dari Abu Sa’id al-Khudri berkata: “Nabi SAW bersabda: “Sungguh manusia yang paling buruk kedudukannya pada hari kiamat menurut Allah adalah orang lelaki menggauli isterinya dan seorang wanita menggauli suaminya, kemudian menyebarkan rahsia yang terjadi di dalamnya”.
[Hadis Riwayat Muslim, no. 1437]
Imam Nawawi rahimahullah berkata:
“Hadis ini menunjukkan bahawa haram hukumnya seorang lelaki menyebarluaskan apa yang terjadi antara dia dengan isterinya pada saat berjima’, memberikan gambaran terperinci, termasuk apa yang terjadi pada seorang wanita pada saat melakukannya baik dari ucapan dan perilaku berjima’nya ataupun yang lainnya”.
[Rujuk Syarah Sahih Muslim: 10/9]
Tak Ada Beza Manusia Dengan Haiwan
Ternyata jelas hukumnya adalah haram dan berdosa di sisi Islam (kecuali dalam kes tertentu, penghakiman atau perubatan).
Jadi, tak usahlah bercerita hal begitu lagi ya. Hentikanlah. Takutilah akan azab Allah SWT. Andai hilang rasa malu, tiadalah lagi beza manusia dengan haiwan.
Marilah bantu saya share artikel ini ya. Biar ramai tersedar. Yang dah tersalah buat, lekas segera bertaubat nasuha. Allah SWT Maha Pengampun lagi Maha Menerima Taubat.
Sumber/Foto : Farid Rashidi, yang juga berkongsi info fiqh wanita dan rumahtangga serta motivasi islamik di channel Telegram : https://t.me/NotaFaridRashidi
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ramai di antara kita, melakukan solat sunat dhuha dengan pengharapan agar Allah memberikan rezeki kepada kita sebanyak-banyaknya.
Rupanya ada doa, yang Rasulullah SAW baca sebaik baginda rasul selesai melakukan solat sunat dhuha. Amalan inilah yang kelak memastikan rezeki mengalir lancar.
Inilah yang dikongsikan oleh Puan Pidah Buyar yang membetulkan perkaitan solat dhuha, rezeki dan diri kita sebagai penerima rezeki.
Inilah Doa Yang Rasulullah SAW Baca Sebaik Selesai Solat Dhuha
Solat Dhuha selalu dikaitkan dengan urusan rezeki, kebanyakan dari kita setelah solat Dhuha doa minta kelancaran rezeki.
Itu yang sering dilakukan…
Tapi tahukah anda apa doa Rasulullah SAW setelah solat Dhuha?
Apa doanya?
Dari ‘Aisyah radhiallahu ‘anha, ia berkata bahawa Rasulullah SAW selesai solat Dhuha, baginda mengucapkan:
ALLOHUMMAGHFIR-LII WA TUB ‘ALAYYA, INNAKA ANTAT TAWWABUR ROHIIM..
(Ya Allah, ampunilah aku dan terimalah taubatku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang) – sampai beliau membacanya seratus kali.
(HR. Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad, no. 619)
Mengapa doa Rasulullah SAW tiada berkaitan dengan rezeki?
Kata orang solat Dhuha untuk memperlancar rezeki.
Jadi begini…
Bukan rezeki yang tidak datang tapi dosa-dosa kita yang menghalangi rezeki itu masuk.
Kalau dosa-dosanya sudah diampuni, Insya Allah rezeki mengalir lancar kerana penyumbatnya, penghalangnya (dosa) sudah tidak ada.
Doanya dibaca 100x, Pagi kan kita sibuk kerja, banyak urusan, kalau harus baca 100x sambil duduk di tempat solat mungkin tiada kesempatan, jadi bagaimana??
Doanya boleh dibaca sambil membuat kerja, kerja sambil dalam hati baca doa.
Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang menunjuki kepada kebaikan maka dia akan mendapatkan pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya”
(HR. Muslim no. 1893).
Ilmu Harus Diamalkan Agar Menghasilkan manfaat.
Dan Ilmu Harus Disebarluaskan Agar Menjadi Tabungan Kebajikan.
Ilmu itu tidak dinamakan ilmu selagi mana ia tidak diamalkan.
Suami curang, isteri sudah maafkan tapi susah nak lupa, ini nasihat perunding keluarga dan guaman syarie. Isteri sudah memaafkan suaminya yang curang namun pada masa sama masih gagal untuk melupakannya. Bagaimana caranya untuk meyakinkan hati, mempercayai kembali suami yang pernah curang?
Walaupun si isteri telah memaafkan segala perbuatan curang suami terhadap dirinya namun ‘mimpi ngeri’ itu tetap menghantui. Si isteri sedaya upaya cuba untuk mempercayai suaminya semula tetapi perasaan curiga itu tetap ada.
Suami Curang, Sudah Maafkan Tapi Susah Nak Lupakan
Mungkin ada isteri yang dalam diam mengakui, sedang berada dalam situasi ini, pernah dicurangi oleh suami tercinta. Aduh, remuk hati. Namun demi sayang dan kasih yang masih bersisa, si isteri ambil jalan untuk memaafkan kecurangan tersebut.
Tapi, bercakap tak semudah untuk melakukan. Jadi, mungkin perkongsian daripada Puan Suzana Ghazali, Perunding Keluarga & Guaman Syarie dan kolumnis ruangan Resipi Hidup di dalam majalah Mingguan Wanita, boleh membantu anda yang sedang berada dalam situasi sebegini.
Ini Nasihat Perunding Keluarga & Guaman Syarie
Minda Manusia
Ingin saya menarik perhatian anda semua untuk memahami satu perkara: Minda atau daya ingatan kita sebagai manusia tak sama seperti memori komputer – bila tak nak, boleh delete dan masuk recycle bin, kemudian delete terus. Langsung payah nak dicari semula.
Sebaliknya memori kita tak mungkin dapat bertindak seperti itu. Memang sukar melupakan setiap detik yang dilalui dalam kehidupan kita. Saat gembira, detik kecewa, pengalaman manis, tragedi pahit, selalunya akan tetap kekal dalam ingatan. Paling tragis bila hadapi luka kekecewaan berpunca daripada pasangan. Ramai yang berusaha untuk melupakan cerita kecewa dan duka tersebut tetapi hampa, ia tetap kekal malah bertambah segar.
Usaha
Realitinya, usaha anda untuk melupakan sesuatu sebenarnya adalah usaha anda untuk terus mengingati perkara tersebut. Ingat lawannya adalah lupa; ia berpunca daripada satu sumber iaitu minda anda. Anda tak mungkin dapat melupakan dalam usaha anda untuk melupakan kerana ia lebih kepada satu proses untuk menambah ingatan terhadap perkara tersebut.
Jalan terbaik ialah biarkan saja ingatan itu kekal. Bila ia mengganggu emosi anda, segera ubah situasi; tukarkan fokus anda kepada perkara lain. Jangan dilayan ingatan tersebut. Ingat! Bila anda bersedia untuk memulakan hidup baru dengan pasangan anda, betul-betul mulakan buku baru, bakar terus buku lama biar jadi abu.
Peluang
Memang sukar mempercayai sesiapa saja yang telah diketahui pernah menipu kita sebelumnya. Terus terang, saya sendiri juga sukar percaya namun sebagai manusia, kita sewajarnya memberi ruang dan peluang kepada sesiapa saja apatah lagi kepada pasangan sendiri.
Islam mengajar kita untuk memberi peluang kepada pasangan hidup – cerai terbahagi dua iaitu cerai rajei dan cerai bain. Cerai rajei ialah cerai yang boleh dirujuk kembali tanpa akad baru di dalam tempoh edah yang tertentu. Terdapat dua peluang untuk rujuk kembali sekiranya berlakunya perceraian rajei. Jika cerai bain pula, tidak boleh dirujuk sebaliknya perlu nikah semula kecuali bain kubra. Ringkasnya Islam mengajar umatnya untuk sentiasa memberi peluang kepada pasangan masing-masing demi keharmonian rumah tangga.
Memaafkan
Lumrah hidup, setiap manusia mempunyai kekurangan dan kelemahan serta tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan lantas berikan kemaafakn kepadanya. Anda dan pasangan anda adalah insan biasa,sama-sama mempunyai kelebihan dan kekurangan. Jika Yang Maha Kuasa boleh menerima taubat hamba-Nya, siapalah kita untuk mendabik dada enggan memaafkan insan lain.
Berikan kemaafan yang lahir daripada hati, bukan sekadar angguk atau pengakuan lisan. Saya faham anda telah memaafkan tapi tolong koreksi diri, apakah anda benar-benar ikhlas memberi maaf? Anda perlu ikhlas ketika meluahkan “saya maafkan!!” atau apa sahaja ayat yang anda gunakan dengan tujuan memaafkan tersebut. Maafkanlah walau terlalu sukar untuk anda melupakan segala luka atau derita yang diberikannya kepada anda. Memaafkan adalah amalan yang amat mulia.
Rasulullah SAW seorang yang maksum dan dijanjikan dengan syurga sanggup memaafkan nenek tua yang sering memaki hamun baginda dengan pelbagai kata nista malah si nenek sanggup membaling najis kepada baginda ketika dalam perjalanan untuk menunaikan solat. Kita sebagai umat baginda, sewajarnya lebih bersifat memaafkan kerana memberi kemaafan adalah dendam yang terindah, itu antara lirik lagu popular penyanyi Aishah.
Biarkan Berlalu
Apabila anda bersedia dan ikhlas memaafkan kesalahan orang lain ataupun pasangan anda sendiri, tanpa perlu dipaksa anda akan dapat menerima pasangan anda kembali. Menerimanya seperti biasa. Seperti tidak pernah wujud sengketa sebelumnya, insya-Allah.
Saya akui, terlalu banyak masa yang perlu untuk mewujudkan keadaan tersebut, keadaan seperti tidak pernah berlaku apa-apa masalah namun, percayalah Anda akan mampu menerimanya jika anda bersedia dan sanggup memberi peluang. Dalam masa yang sama, berdoa agar anda diberikan kekuatan dan ketabahan untuk meneruskan hidup bersama pasangan anda.
Mohon agar pasangan anda berubah menjadi yang lebih baik, tidak lagi terlibat di dalam insiden-insiden yang boleh melukakan hati anda semula. Mohon juga agar anda membiarkan pengalaman perit yang lepas, berlalu begitu sahaja tanpa anda sendiri mengungkit atau membangkitkannya semula.
Sekeluarga dirempuh treler pemandu microsleep, ibu belum tahu anak meninggal kerap tanya mana anak sulung. Sebuah keluarga yang menaiki kereta proton saga mengalami detik...