Jiran sepatutnya adalah orang yang paling rapat dengan kita, yang rumahnya mungkin bersebelahan atau berhampiran dengan kita. Tak kiralah jiran sekampung, ‘satu flat’ atau jiran setaman. Kata orang, apa-apa kecemasan, dengan merekalah orang pertama yang akan diminta pertolongan dulu. Apatah lagi saudara mara jauh. Ambil masa nak sampai.
Walau bagaimana pun, hidup berjiran kadangkala tak seindah impian. Adatlah perangai manusia yang bermacam-macam. Ada yang sangat okay, hubungan antara satu sama lain sangat erat umpama keluarga sendiri. Susah senang diharungi bersama. Kata orang, ringan tulang nak minta tolong.
Sebaliknya, ada juga yang sering kali buat hati kita panas dengan sikap mereka. Asyik kita je yang nak mengalah dan bersabar. Belum lagi bab suka jaja kisah keluarga kita pada orang lain. Ikutkan hati, mahu saja pindah.
Baca lagi artikel menarik lain di sini:
Kena Jaga Tepi Kain Jiran Tapi Jangan Sampai Selak!
Mulanya Kongsi Minat Masak, Akhirnya Jatuh Cinta Dengan Jiran Sebelah Rumah
Jangan lupa follow MINGGUAN WANITA di instagram
Macam-Macam Perangai Jiran
Tak dinafikan, hidup berjiran kena pandai-pandai bawa diri dan bertolak ansur. Lebih-lebih kalau berkongsi dinding dan pagar. Perkara kecil boleh jadi besar. Mungkin bagi kita tak ada salahnya kalau kita sidai tilam di pagar yang dikongsi itu.
Tapi di pihak sebelah sana, dia tak suka sebab ‘semak mata’! Tapi tak nak cakap terus terang dan simpan dalam hati saja rasa tak puas hati itu. Agak-agak makin lama apa akan jadi? Mungkin ia akan jadi punca untuk dia ‘berkira’ dengan perkara lain pula.
Jiran ‘Over’ Peramah
Ada jiran yang memang sangat bagus, sering bertanya khabar terangga. Tapi jangan sampai orang yang ditanya itu rasa tak selesa. Hingga tiap tetamu yang datang dia nak tahu. Ke mana kita pergi dia sibuk tanya. Tiap kali beli barang baru, mesti tanya harga dan beli kat mana. Aduh. Penat juga nak layan orang macam tu kan?
Memang elok ambil tahu hal jiran kita tapi kena ada batasnya. Hal-hal yang tak perlu tahu, tak perlulah tanya. Kecuali jiran itu sendiri yang nak berkongsi.
Jiran Pentingkan diri, Parking Suka Hati
Ini antara masalah yang paling banyak dilalui bagi yang tinggal di taman perumahan. Bila tinggal berjiran lebih-lebih lagi di kawasan perumahan di bandar, kena banyak tolak ansur. Jangan membuat sesuatu yang mungkin orang lain tak suka. Sentiasa tempatkan diri kita di tempat jiran itu. Kalau kita rasa kita tak suka orang buat pada kita, maka kita janganlah buat pada orang. Simple je prinsipnya.
Antara yang sering jadi pertelingkahan adalah soal parking kereta. Masing-masing dah ada ruang parking tapi mungkin tak cukup sebab kereta lebih daripada satu. Bayangkan, selamba parking di depan rumah orang sebelah sedangkan dia juga ada kereta banyak. Dia pula kena cari parking agak jauh. Agak-agak bengang tak dibuatnya?
Begitu juga tetamu yang datang berkunjung ke rumah kita. Seeloknya minta mereka parking di tempat yang bukan menjadi halangan untuk jiran keluar dan masuk. Kalau terpaksa, bagitahu jiran dan minta mereka maklumlah kalau hendak keluar bolehlah dialihkan kereta. Jiran pun tak rasa sakit hati kan?
Suka Membawang
Tak salah kalau bertandang ke rumah jiran untuk mengeratkan silaturahim. Sambil itu, bolehlah bersembang santai. Tapi janganlah asyik bercerita tentang orang lain. Jiran jenis yang macam ni memang kena hati-hati. Kalau dia boleh bercerita tentang jiran-jiran lain, tak mustahil cerita kita pun akan dijaja sama.
Seeloknya, jangan terlalu rapat dengan spesies macam ni. Nanti kita tak cakap apa-apa, tiba-tiba timbul cerita kita pula yang bercakap. Bila kita tegur, tak nak dengar nasihat.
Hormat Privacy, Jangan Buat Macam Rumah Sendiri
Walau rapat macam mana sekali pun, kena sedar diri. Masing-masing ada privacy yang kena dihormati. Kena tahu adab berjiran.
Kalau pun nak pergi bertandang, janganlah dari pagi hingga petang. Belum lagi makan minum di situ sesuka hati. Mungkin dia tak kisah. Tapi, kalau seharian di rumah orang, tak rasakah kita menganggu waktu rehat orang lain?
Dah banyak kali si suami berdehem, dia buat tak reti je! Itu belum lagi yang datang rumah mesti terus tuju ke dapur. Selamba saja buka tudung saji dan makan apa yang ada, tanpa dipelawa tuan rumah. Tak rasa malu ke walau pun mungkin kita rasa dia tak kisah. Terfikir tak, entah-entah anak-anak dia pun tak makan lagi!
Suka Bela Haiwan Peliharaan
Ada jiran yang memang hobinya membela haiwan peliharaan dan di zaman sekarang terutama di bandar-bandar, ramai yang bela kucing. Memandangkan tempat terhad, tak macam di kampung, memerlukan pemiliknya membina rumah khas untuk kucing kesayangan.
Tapi, yang tak syok bila hobi mereka itu menyusahkan orang sebelah? Contohnya, rumah kucing itu diletakkan di bahagian belakang rumah. Memang dah elok, tapi tak cukup prihatin bila rupanya ia berdekatan dengan dapur basah jiran sebelah. Bayangkan macam mana keadaannya? Tentu ada bau kurang menyenangkan atau mungkin ada bulu-bulu yang berterbangan.
Ada juga yang kucingnya dibiarkan bebas tapi asyik berkunjung ke rumah jiran dan buang air di sana. Adoi! Agak-agak, jiran marah tak? Ada yang boleh terima dengan terbuka bila jiran tegur namun ada juga yang terus buat ‘musuh’ jiran yang menegur itu.
Isu Sensitif
Sebab itu, soal ini memang sangat sensitif kalau nak dibincangkan. Tak dinafikan ramai yang mampu hidup harmoni dan rapat umpama saudara sendiri walau pun berlainan bangsa sekali pun.
Namun, ada juga yang saling tak menyapa kerana ada rasa tidak puas hati yang disimpan. Apa pun, hidup berjiran perlu saling bertolak ansur ye. Ada yang tak puas hati, lebih elok berbincang. Yang suka pendam itu yang akhirnya akan meledak!
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI