Jika bukan isteri menghulur, maka semua dalam rumah kebulur. Nasib isteri lebih teruk dari seorang hamba! Allahu Akhbar, jauhkanlah nasib seorang wanita bergelar isteri yang diperlakukan seperti hamba dalam bahtera yang dibina.
Hari ini ramai wanita yang berada dalam dilema. Mana tidaknya, rumah tangga yang dibina bersama insan disayangi terpaksa diharungi dengan penuh penderitaan.
Ada yang akui suaminya baik namun dari segi nafkah perbelanjaan harian golongan isteri yang lebih banyak menghulur.
Jika Bukan Isteri Menghulur, Maka Semua Dalam Rumah Kebulur
Penulisan penuh bermakna dan perkongsian manfaat dari Puan Sharifah Zahidah menerusi akaun Facebooknya membuka mata para wanita di luar sana terutama mereka yang masih belum bertemu jodoh agar mencari seorang calon suami yang baik dan bertanggungjawab.
Janganlah hanya mencari lelaki yang baik saja ya, carilah lelaki yang bertanggungjawab. Mudah dan ringkas saja namun hal nafkah biasanya selalu terlepas pandang.
“Ramai wanita berdepan dengan kebuntuan apabila diuji dengan suami yang ‘tidak kecil baiknya, tetapi tidak besar pula jahatnya.’ Ini adalah dilema yang paling banyak wanita hadapi. Teruskan membaca.
Suaminya bukan orang jahat.
Tidak mencaci maki.
Tidak memukul.
Tidak panas baran.
Tidak kaki perempuan, kaki botol atau kaki dadah.
Bahkan ada juga baiknya.
Sesekali atau kerap kali berjemaah di masjid.
Selalu ikut aktiviti-aktiviti agama.
Rajin main dengan anak-anak.
Hormat orang tua.
Suka meneman isteri ke sana ke mari.
Tetapi….
Segala beban nafkah diletakkan di pundak sang isteri.
Kereta rosak isteri kena pergi baiki dan keluarkan wangnya untuk kereta sendiri termasuk kereta suami.
Yuran sekolah anak-anak 100% ditanggung isteri. Suami menambah RM100 setahun sekali.
Yuran pengasuh anak juga sama.
Apatah lagi susu, pampers, baju dan alat pendidikan untuk anak-anak. Semuanya di bahu isteri. Si suami sekadar jadi tukang bawa pergi membeli, tetapi beban kewangan semua di bahu isteri.
Jika bukan isteri yang menghulur. Maka semua dalam rumah akan kebulur.
Ikan, sayur, beras, minyak, rempah ratus. Semuanya isteri perlu siapkan dan sponsor. Ada juga sesekali suami bawa balik telur, tepung dan beras sekampit dua; katanya ’melunaskan nafkah keluarga’ yang belanjanya sekitar RM50 sahaja.
Si suami yang manis dengan senyuman pada anak dan isteri ini fikir; ayam, ikan dan dan daging yang mereka 6 beranak itu nikmati, semuanya turun dari langit.
Belum kira bab perabot dan kelengkapan di rumah, bayaran sewa rumah, bil air, api, elektrik dan internet.
Jika bukan isteri yang membayar, sudah lama mereka bergelap gelita.
Kata suami,
“I tahu you taste tinggi. I support saja apa yang you suka. You beli mesin basuh mana you suka, peti apa you nak. I izinkan you beli ikut selera you..” Sambil tersengih-sengih lagak suami misali.
Bila sampai di kaunter untuk bayaran, suami hilang tanpa bayangan. Terkial-kial isteri sekali lagi keluarkan segala simpanan demi mencukupkan keperluan asas dalam kediaman.
Kemudian isteri sebegini jumpa saya, dan mengadu;
“Puan, suami saya baik Puan. Saya sayang dia. Dia pandai buat lawak. Dia selalu senyum dekat saya dan anak-anak. Tak pernah maki atau pukul saya. Tapi kenapa saya rasa STRESS dan TAK BAHAGIA? Kufurkah saya Puan? Orang lain suami kaki pukul, perompak, lari dari rumah tinggalkan anak bini. Saya ni dah bertuah dah suami tak buat semua tu. Tapi kenapa saya betul-betul hilang bahagia dan rasa terlalu penat menjadi isteri dia… Berdosakah saya?”
Saya tarik nafas panjang.
Dan saya mulakan dengan soalan,
“Dari segi urusan kewangan rumahtangga macam mana? Siapa bayar segala belanja rumah, makan, utilities, sekolah anak-anak, kesihatan, kecemasan, belanja balik kampong semua tu…”
Belum saya habis sebutkan satu persatu dia sudah memintas,
“Saya puan. Saya semuanya tanggung apa juga belanja. Kadang-kadang ada juga dia hulur seratus dua.. Sebab gaji dia lebih kecil dari gaji saya..”
“Gaji lagi kecil dari Puan? Maafkan saya bertanya, berapa kecil tu? Berapa gaji Puan dan berapa gaji dia?”
“Gaji saya RM3500, gaji dia dalam RM2800 macam tu.”
“Beza RM700. Tapi tanggungan semua di bahu Puan atas alasan suami gajinya lebih kecil?” Saya sekadar menduga. Ada bayangan keliru yang nyata di wajahnya.
“Sekarang Puan keliru, apa yang membuatkan hilang sudah senyuman di bibir Puan, tak rasa kebahagiaan tapi sang suami sentiasa tenang dan kelihatan ‘menyenangkan’ di mata Puan? Kalau Puan yang berada di posisi suami Puan sekarang, agak agak Puan bahagia tak?”
Ads
Persoalan demi persoalan saya lontarkan untuk dia mencari jawapan.
Akhirnya saya tanya,
“Sebenarnya, puan tahu ke apa yang membuatkan suami sentiasa tersenyum bahagia tapi puan menjeruk rasa dan menderita?” Saya bertanya tanpa berselindung apa-apa lagi.
Tugas saya bila mendengar, adalah membawa dialog kami kepada satu kesimpulan yang membuka mata dan letak duduk perkara bagi mereka yang bercerita.
Bukannya saya yang perlu beri jawapan. Bahkan jawapan itu perlu dicari sendiri oleh sang isteri yang meluahkan.
Masalah ini, dilema ini, bukan seorang dua wanita yang merasa. Tapi sangat ramai dalam kasut yang sama.
Dia rasa dia bahagia sebab suami tak caci tak cela dia. Tak main judi tak makan pil kuda. Tapi dalam masa yang sama, hampir seluruh jiwa raga dia sudah ‘HILANG’ dalam rumahtangga yang dibina. Sedangkan suami bersenang lenang bersuka ria melepaskan segala tanggungjawab di bahu isterinya.
Bahkan lepas beberapa ketika, ada suami yang tiba-tiba perasan,
“Banyak pula wang aku ini.. Boleh ‘menanggung’ seorang isteri lagi nampaknya”
“Banyak pula masa lapang aku ni. Asyik ditinggal isteri yang sibuk bekerja sampai jiwa rasa sunyi. Nampaknya kena cari lagi calon isteri..”
“Banyak lagi tenaga aku ini rupanya. Tiba-tiba rindu suara tangis dan ketawa bayi. Bolehlah tambah bini untuk menambah bayi..”
Dia tak tahu wang yang banyak itu sebab isteri yang melepaskan hak-haknya sebagai isteri demi menyenangkan suami.
Dia tak tahu masa lapang yang banyak sebab dia tak pernah nak bantu isteri dalam hal ehwal rumahtangga walhal keduanya bekerja.
Dia tak tahu tenaga yang banyak bukan sebab dia masih muda perkasa, tapi sebab keringat jantannya yang tak pernah diguna!
Suami makin senang lepas kahwin sebab dibela isteri yang melunaskan serba serbi tentang keluarga. Isteri pula dari anak dara jelita dah bertukar menjadi naga gara-gara keringat dan segala upayanya diperguna untuk membela seorang bayi tua.
Ads
Akhirnya, isteri nampak serba tak kena sebab asyik serabut dan hilang sinar di muka. Suami nampak sempurna ala-ala jejaka idaman Malaya sebab selalu tampil kemas bergaya, senyum setiap masa.
Kawan,
Suami yang BAIK dan suami yang BERTANGGUNGJAWAB adalah 2 perkara yang berbeza.
Seorang lelaki boleh jadi suami yang baik tapi langsung tak bertanggungjawab. Seorang lelaki juga boleh jadi suami yang tidak berapa baik tetapi bertanggungjawab.
Kedua ini adalah karakter yang berbeza yang WAJIB dimiliki oleh seorang ketua keluarga.
Suami tidak baik yang bertanggungjawab akan MEMBELI isterinya dengan harta. Dia tabur harta pada isteri, menafkahi secukupnya – tetapi ada perempuan lain, menonton porno, berkata-kata kesat, bermuamalam dengan kelat, meninggalkan solat dan sebagainya. Dia MEMBELI isteri dengan menyempurnakan keperluan materi tetapi dia tetap gagal sebagai seorang ketua keluarga.
Suami baik yang tidak bertanggungjawab pula MEMPERKULI isteri dengan layanan baiknya kepada isteri. Anjing mana tak setia dengan Tuan kan? Itupun belum tentu kesetiaan yang berpanjangan. Hujung usia, diduakan juga sang isteri ’tua.’
Dalam situasi pertama, ramai wanita dilema tapi dia SEDAR sesuatu tidak kena. Tapi situasi kedua, adalah apa yang LEBIH berbahaya kerana wanita ini tidak sedar apa yang dilalui, dek kerana tersorok dengan baiknya perilaku seorang suami menyebabkan dia merasa tiada apa-apa yang salah dalam rumahtangganya.
Sedar-sedar, sosok seorang isteri yang penyayang, isteri yang menjadi penyejuk hati, isteri yang menjadi sumber ketenangan keluarga – semuanya sudah ’HILANG’.
Yang ada dalam rumahtangganya, cumalah seorang suami yang memperkuli isteri dan seorang wanita yang menjadi hamba.
Kawan,
Hamba pun kadangkala lebih mulia dari isteri yang diperguna.
Kenapa?
Sekurang-kurangnya hamba disuruh buat kerja. Tetapi upahnya adalah makan, pakai dan tempat tinggal yang disedia. Dia tak pening memikirkan segalanya.
Isteri yang diperguna?
Sudahlah segalanya dia usahakan dengan tulang 4 keratnya. Makan, pakai dan tempat tinggal pula dia perlu sediakan kepada ‘tuannya’? Segala masalah rumahtangga juga, terbeban atas dirinya untuk diselesaikan.
Rupanya, nasib seorang isteri boleh jadi lebih teruk dari seorang hamba. Inilah isteri yang telah ‘HILANG’ fungsinya dalam rumahtangga.
Yang ada kini, seorang suami kepada suaminya sendiri,” kongsi Sharifah Zahidah.
Bagi seorang isteri, penghargaan daripada seorang suami amatlah bermakna pada dirinya. Tidak semestinya dengan limpahan kemewahan harta benda. Ia bergantung pada kemampuan dan rezeki suami juga. Apa yang penting adalah kesetiaan dalam melalui susah senang kehidupan bersama.Namun jika diberikan rezeki yang lebih, tidak salah juga para suami membahagiakan isteri dengan membelikan barangan yang disukai isteri.
Seronok membaca perkongsian nukilan Ikram Al-Banjari, bagaimana cara dia menghargai dan membahagiakan isterinya, sedikit pun ‘tidak berkira’ dengan rezeki yang diperolehi. Semoga ramai para suami yang dapat mencontohi seperti yang dilakukan oleh lelaki ini.
Berikut antara perkongsian tersebut;
Semalam aku bawa isteri masuk ke satu kedai kosmetik di Seoul. Aku cakap pada dia begini,
“ Ambillah apa yang awak mahu “
Dia senyum dan terus ambil beberapa keping facemask. Iya, aku tahu di Korea ini memang cukup terkenal dengan barang kosmetik dan wanita mana yang tak suka barang-barang kecantikan begini kan ?
“ Cukup ka ? Facemask saja ? Foundation, Lotion apa semua takmau ? “, soal aku bersungguh-sungguh.
Dia pun tersipu-sipu dan terus mencuba pelbagai lagi jenis barangan kosmetik di situ. Akhirnya ada juga benda lain yang dibelinya. Aku lega sangat.
“ Terima kasih oppa “, itu saja ucapnya sambil matanya berkelip-kelip yang hadir bersama senyuman manis. Aku sudah berasa amat bahagia.
Sengaja aku suruh dia pilih apa yang dia mahu. Aku tahu stok ‘mekap’ yang dia beli di Eropah dan Dubai haritu pun belum habis lagi. Bulan lepas aku belikan serum SKII di Jepun pun belum dia sentuh lagi. Aku tahu semua itu, tetapi aku juga tahu apa yang setiap wanita suka.
Hargai Isteri Ikut Kemampuan
Beginilah kawan, bila ada rezeki dan ruang masanya, kita sebagai suami hargai saja isteri sekadar apa yang semampu kita. Kalian tak usah melihat kebahagiaan kami sekarang. Tetapi kalian juga perlu tahu kesempitan kami sebelum ini.
Dulu, tak usah kata kosmetik Korea, nak pakai yang elok sikit yang dijual di Malaysia ini pun aku tak mampu belikan. Cukuplah isteri aku tampal-tampal bedak sejuk itu saja. Bersyukur saja dengan apa yang ada. Lawa juga aku tengok dia sampai sekarang. Nah puji selambak! ?
Dulu, tak usah kata nak bawa isteri travel ke seluruh dunia, aku nak bawa dia ke Langkawi pun belum cukup mampu. Cukuplah sekadar melancong ke pasar malam dan window shopping ke Giant, itupun sudah bahagia yakmat.
Aduh, malaslah aku nak cerita bab-bab sedih ni. Nanti jadi sinetron pula. Sempena tahun baru ini kita sembang hal sedap-sedap sajalah ya.
Cuma aku nak pesan kepada semua suami muda di luar sana, hargai orang rumah kita sebaiknya dalam setiap keadaan susah dan senang kita. Kerana dia tak pernah bosan mendoakan kita setiap masa.
Pesanan Buat Isteri
Dan kepada kaum isteri pula, kalian sokong sajalah usaha suami dalam susah dan senang. Tak usah kau membebel, merungut dan menjatuhkan semangatnya. Kerana Tuhan sudah berkata, “ Sesudah kesulitan pasti ada kemudahan “ ( Al Inshirah ).
Hidup kita ini tenang apabila kita tidak ikut-ikut orang dan memaksa diri. Buatlah sesuatu mengikut kemampuan kita sahaja. Berapa harga barang dan apa jenis barang itu cuma asbab untuk kita bahagia. Tuhan jualah yang memberi izin kepada kita semua.
Kerja seorang mak-mak dari pagi sampai ke malam tak akan pernah habis dan semua hal rumah tangga isteri uruskan. Tetapi malangnya masih ada lelaki yang tidak tahu menghargai, malah kadang isteri rasa tertekan dengan rutin harian yang sama.
Lagi teruk bila ada sesetengah isteri rasa goyang dan mula timbul dalam diri siapa ketua keluarga sebenarnya? Untuk mencari tahu jawapan kepada soalan itu, jemput baca perkongsian Ustaz Ebit Lew...
Sebak bila ramai bertanya soalan seperti ini. Siapa ketua keluarga sebenarnya?
Suami ke isteri? Pastinya suami… ArRijal.
Ketua ini sifatnya berkorban. Jika nikmat dia dahulukan pasangan dan anak-anaknya berbanding dirinya. Jika kerja berat atau bahaya dia dulu meletakkan dirinya di depan.
Tapi cuba tengok hari ini bagaimana? Ada lelaki hilang sifat Amir atau ketua seperti orang dulu..kerana itu keberkatan hilang dari rumah orang Islam. Keberkatan dalam sunnah Nabi saw.
Cuba lihat dari bangun pagi. Ramai isteri yang bangun dulu siapkan setiap ahli keluarga. Siapkan mandikan anak-anak. Siapkan buku dan pakaian sekolah anak-anak. Ada lelaki yang Subuh pun tak bangun bila dikejut isteri. Ya Allah…
Isteri siapkan semua barang anak-anak. Segala bekalan. Beg yang berat-berat. Dalam beg mak semuanya ada. Dari pampers, pen, kunci, tisu basah, cungkil gigi pun ada, beg mainan, telekung. Baju spare. Ic pasport anak-anak. Macam poket doraemon. Beg suami kecil comel jer. Lepas tu tunggu dekat kereta. Bagi masa 2 minit semua kena ada dalam kereta. Ada yang langsung tak bantu.
Isteri Dahulukan Anak
Bila makan di kedai. Ayah lepas order sibuk tengok hp sambil makan. Isteri suap semua anak-anak. Layan anak sana sini. Sambil makan sikit-sikit. Mak tak sempat nak menikmat makanan pun. Sampai hilang selera makan. Penat layan anak. Cuba kita baru makan, kena kacau mesti ras dah tak berapa layan makan tu.
Ya Allah tuhanku… buat pula zaman hari ini ramai wanita bekerja ada segelintir lelaki yang tak beri nafkah buat keluarga. Hanya harapkan duit isteri.
Ya Allah ampunkanlah dosa semua ketua keluarga, dosa kami ketua keluarga.
Uruskan Rutin Harian Yang Sama
Hari-hari ibu ambil hantar anak sekolah sana sini. Penatnya seorang ibu.
Ibu terjerit-jerit, setiap masa di rumah. Ayah sibuk tengok tv dan main telefon. Isteri terkejar-kejar kesana sini tanpa henti. Buang air besar tak sempat betul-betul. Mandi pun tak sempurna. Anak ketuk pintu bilik air. Mereka macam dalam medan perang.
Malam-malam tak cakap terima kasih. Lupa tanya keadaan setiap ahli keluarga. Ibu pula yang pastikan keselamatan setiap ahli keluarga.
Tapi Kalau Lelaki…
Tahniah buat lelaki dan suami yang berusaha memperbaiki diri dalam menjadikan Rasulullah saw sebagai contoh dan idola.
Nabi Muhammad saw ialah manusia paling rajin di rumah. Paling penyayang. Ambil tahu keadaan setiap ahli keluarganya. Memberi pujian galakan. Memberi semangat. Memberi khidmat. Mendengar setiap ahli keluarga. Rumah Nabi saw hidup suasana ilmu. Suasana dakwah. Suasana solat, AlQuran dan zikir, doa-doa harian. Wujud cinta dan kasih sayang setiap saat. Lemah lembut penyayang. Rumah paling bahagia ialah rumah Rasulullah sw.
Malangnya sifat belas, cinta… yang selalu kita sebut, sakinah, mawaddah, warahmah dah hilang. Tiada lagi perasaan itu. Bahkan telah mati hati-hati ketua keluarga. Hilang sifat keimanan. Sifat akhlak.
Keluarga maksudnya sakinah mawaddah warahmah.
Kerana itu penting bawa keluarga belajar sunnah Nabi saw. Kita tahu tapi lupa. Kerana lupa atau lalai telah membuat isteri dan anak-anak merasai derita dalam hidup mereka.
Ingatlah seperti mana kita, isteri kita cuma manusia. Apa yang kita perlu, mereka juga perlu.
Ya Allah pilihlah setiap kami dapat perbaiki diri dan tambah ilmu dalam keluarga.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Wahai anak, dengarlah pesanan Puan Nurul Halawati ini. Biarpun dilanda kesibukan yang teramat, apabila seorang ibu membuat panggilan kepada anaknya, maka jawab dan layanlah panggilan itu dengan seikhlasnya.
Mak hubungi bukan sebab apa-apa, dia cuma mahu dengar suara anaknya. Tahu yang anaknya OK atau sebaliknya.
Pernah tak korang terima panggilan dari mak korang, waktu korang betul-betul tengah busy.
Tengah dok kalut dengan anak-anak, dengan kerja, dengan masalah lain..
Masa tu mak call..
“Mak, Hafii tengah mengamuk nangis-nangis ni..kenapa mak?
Lalu mak pun kata “takde apa-apa, saja je telefon”
Mak call waktu saya tengah sibuk mengadap skrip. Tengah khusyuk gila tak mahu diganggu.
“mak, akk tengah buat skrip ni. Kenapa mak?”
Mak pun kata, “takde apa, saje telefon“.
Dan begitulah selalunya…mak telefon kita untuk tiada sebab. Untuk dengar suara kita je..untuk tahu kita Ok atau tidak.
Tapi, saya, kita, kamu..terlalu busy untuk berbual-bual dengan emak. Kerana menyangka selepas siap urusan ini aku akan bertemu emak lagi, aku akan berbual dengan emak lagi.
Bila Mak Dah Takde, Tercari-cari Panggilan Suara Mak
Tapi, pesan saya janganlah beranggapan begitu. Jangan…jangan jadi macam saya.
Bila emak dah takde, tercari-cari suara emak, rindu membuak-buak nak dengar mak tanya keadaan saya. Ok ke? Dah makan ke?
Menyesal tak sudah, kenapalah aku tak record semua panggilan- panggilan mak sebelum ni..sekurangnya bila rindu aku boleh putar 100 atau 1000 kali suara itu buat menghilangkan kerinduan dan berpura-pura emak ada di di hujung talian bersama aku.
Satu penyesalan yang tak berkesudahan. Satu kerinduan yang tak mungkin dapat ku tebus.
Buat kalian yang masih ada emak, ibu, ummi…tolonglah..tolonglah layan panggilan ibumu meski dia menelefon saat kamu paling sibuk, meski dia menelefon hari-hari dan tanpa sebab dia menelefon..hanya untuk bertanya khabar dan mendengar suara anaknya..tolong..layanlah perbualan mereka seolah itu perbualan terakhirmu bersama ibu kalian.
Emak saya kini di syurga, mana mungkin dia menelefon lagi dari syurga. Saya pula terus berharap dan berharap..tak tahu bila semua rasa ini akan Ok.
Jangan ulangi kesilapan yang pernah saya lakukan. Sebab sakitnya kau tak mampu nak tanggung.
Aku yang berusaha untuk Kuat. Dalam lelah dan airmata.
* Semoga menjadi iktibar pada semua anak-anak yang masih punya emak/ibu/ummi/mama
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...