Jatuh cinta memang indah. Namun bakal bawa musibah bila jatuh cinta pada orang yang salah! Ikuti pengakuan seorang wanita yang jatuh cinta pada suami teman rapatnya sendiri!
Assalamualaikum puan yang dihormati. Elok saya memperkenalkan diri saya terlebih dahulu. Saya seorang gadis yang berusia 34 tahun, seorang guru. Saya pernah putus tunang ketika usia 25 tahun bersama teman satu universiti.
Selepas putus tunang hati saya tertutup untuk menerima huluran cinta mana-mana lelaki walau pun ada yang cuba mengetuk pintu hati saya. Saya tak dapat menepis kesedihan putus tunang sebulan sebelum majlis perkahwinan dahulu.
Rakan Karib
Sejak di universiti, saya rapat dengan Z, kami sebilik. Hubungan kami berterusan hingga kini walau bertugas di sekolah berlainan. Ahli keluarganya sudah saya anggap umpama keluarga sendiri. Begitu juga keluarga saya yang sudah kenal dengan dirinya, umpama adik angkat mak dan abah saya.
Z bertemu jodoh dengan seorang akauntan dan saya yang jadi pengapit di hari bahagia mereka. Kini sudah mempunyai sepasang cahaya mata berusia 10 tahun dan 7 tahun. Saya juga rapat dengan anak-anak Z yang saya anggap seperti anak saya. Jika masa terluang atau cuti sekolah, pasti mereka akan saya bawa berjalan-jalan dan mereka boleh tinggal berhari-hari di rumah saya. Kebetulan saya tinggal bersama mak dan abah. Adik-beradik lain sudah berkahwin.
Dengan suami Z yang saya gelar Abang A juga saya rapat. Orangnya boleh tahan kacak, penyayang dan mengambil berat. Jika dia perlu ke luar daerah, sering kali saya akan menemani Z dan anak-anak di rumah mereka.
Tak Sedar
Puan, saya sendiri tak sedar bila saya mula menyimpan perasaan ini. Mungkin puan akan anggap saya ini wanita jahat tapi bukan ini kehendak saya.
Beberapa tahun kebelakangan ini, dalam diam saya perasan saya mula menyimpan perasaan pada Abang A. Entahlah, mungkin kerana melihat dia menyayangi dan melayan Z dan anak-anak mereka dengan baik membuatkan hati saya menyukainya.
Jangan salah anggap, Abang A tak pernah menunjukkan minat pada diri saya malahan rasanya dia melayan saya seperti seorang adik. Mungkin juga sifat caring yang ditunjukkannya terhadap diri saya membuatkan saya terpikat.
Cuba Lupakan Pernah Jatuh Cinta
Puan, saya rasa bersalah terhadap perasaan yang saya rasa ini. Tak dapat bayangkan perasaan Z pada saya jika dia dapat tahu. Bagaimana saya nak bersemuka dengan dia dan abang A? Saya tak tahu bagaimana nak hilangkan perasaan yang hadir tanpa diminta ini.
Dalam masa yang sama, saya ikhlas terhadap abang A dan sanggup menjadi madu Z. Saya tetap akan sayang dia dan anak-anak seperti sekarang dan takkan rampas kasih sayang abang A daripada mereka.
Sekarang ini saya masih mampu membendung perasaan ini bila berada di sisi Z. Tapi sedaya mungkin saya akan elakkan untuk bersua dengan abang A, takut perasaan saya makin kuat terhadapnya. Bantu saya puan.
Gadis Tersepit, KL
Jawapan:
Wanita sering mendambakan kasih sayang dari seorang lelaki mengikut “acuan” atau spesifikasi tertentu dari kaca mata seorang wanita. Mungkin ramai bersetuju bahawa majoriti wanita begitu teruja dengan lelaki yang baik, bertanggungjawab, penyayang dan romantis. Tidak kira jika dia sudah beristeri, adalah lebih baik menjadi isteri kedua daripada memiliki suami yang tiada tanggungjawab dan tidak menunjukkan sifat penyayang.
Dilema
Tidak dinafikan, jika sudah terpaut, maka pergelutan dalam diri akan wujud, sama ada mahu teruskan untuk cuba menambat dan memilikinya atau terus melupakan hasrat tersebut. Namun, bukan semudah untuk membuang perasaan melupakan jejaka yang telah bertakhta di hati, meskipun tahu ia punya halangan dan rintangan.
Mungkin cik bersetuju jika saya katakan bahawa anda tidak dapat menipu diri untuk menidakkan bahawa anda mampu melupakan suami sahabat cik itu. Namun, cuba senaraikan beberapa persoalan yang perlu dijawab. Pertama, jika anda ingin menyatakan hasrat untuk menjadi madu kepada sahabat cik itu, apa yang akan isterinya (Z) rasai? Adakah dia boleh terima? Adakah anda mampu menyatakan hasrat hati kepada suami Z? Atau menyatakannya kepada Z sendiri?
Wanita mana pun, jika sudah jatuh cinta terhadap mana-mana lelaki kerana sifat-sifat yang menjadi idaman wanita tersebut, sukar untuk dilupakan. Melainkan putus terus hubungan. Bagaimana, boleh untuk cik nyatakan? Pilihan ada dan anda perlu membuat keputusan untuk meneruskan atau melupakan terus. Jika anda masih memendam, sehingga bila cik akan menyimpan perasaan itu terhadap suami Z? Maka keputusan perlu dibuat dan puan perlu berhadapan konsekuensinya.
Kesan Jatuh Cinta Silap Orang
Cuba senaraikan dan jawab kepada persoalan yang dikemukakan dan apa implikasinya. Jika cik mampu menyatakannya dengan cara berhemah, tidak mustahil akan berlaku “deraan emosi” kepada Z. Mungkin dia kecewa dengan cik dan memutuskan hubungan persahabatan, tetapi mungkin juga sebaliknya menerima hasrat cik tetapi membantu cik mengalihkan perhatian kepada lelaki lain.
Bila anda menyatakannya, maka anda sudah dapat kepastian tentang hasrat anda itu daripada Z atau suaminya. Namun, tidak tahu sejauh mana penerimaannya terhadap cik. Walau apa pun keadaan, mesti berterus terang jika hati sudah berkehendak dan sanggup berhadapan dengan apa jua respons-respons yang bakal diterima.
Tengok Respons
Jika respons positif, Alhamdulillah, cik dapat memiliki suami Z. Namun jika sebaliknya, cik sendiri rasanya boleh mengetahui apa yang akan berlaku. Anda seorang wanita, rasanya anda bijak dalam menyelami hati dan perasaan seorang wanita. Pada cik okay untuk berkongsi kasih, namun pada wanita lain ianya mungkin suatu yang tidak dapat diterima.
Alternatif satu lagi adalah dengan cara puan menyampaikan kepada Z, nyatakan bahawa cik telah terpaut pada suaminya dan satu cara yang paling sesuai adalah minta izin untuk menjauhkan diri daripada mereka. Atau boleh juga kepada suami Z tanpa pengetahuan Z. Dan minta suami Z merahsiakan apa yang cik rasai terhadapnya (suami Z).
Dalam hal ini suami Z perlu bijak mengendalikan situasi jika dia menolak cik dan pada masa yang sama dia (suami Z) menyembunyikan perasaan anda terhadapnya. Jika dia menolak, cik harus jauhkan diri daripada Z dan suaminya. Ini bertujuan untuk mengurangkan bebanan emosi yang anda tanggung dan pada masa yang sama anda tidak mahu mereka tertanya-tanya kenapa menjauhkan diri dari mereka.
Melupakan
Sebaliknya, jika cik tidak mampu berhadapan dengan kemungkinan-kemungkinan yang boleh dijangka atau anda sendiri keberatan untuk menyatakan hasrat hati, maka cik perlu buat keputusan untuk berkahwin atau perlu belajar melupakan suami Z. Pastinya cik perlu berundur diri. Untuk mencari jodoh, cik boleh minta bantuan Z dan suaminya.
Cik perlu tunjukkan kesungguhan untuk berkahwin. Perlahan-lahan anda jauhkan ikatan emosi seperti suka kepada keluarga dan anak-anak Z jika anda mahu belajar melupakannya. Cik perlu banyakkan aktiviti luar untuk melatih hati dan perasaan agar boleh melupakan perasaan terpaut kepada suami Z.
Jatuh Cinta Tak Semesti Memiliki
Ingatlah, dalam hidup kita tidak semua yang kita impikan akan tercapai. Kita perlu belajar menerima orang lain yang bakal menjadi suami kita, walaupun pilihan itu tidaklah sangat menepati ciri-ciri jejaka idaman.
Putus tunang bukan semestinya tiada lelaki lain dalam hidup. Belajar menerima kelainan orang lain dalam hidup kita. Cinta dan kasih akan datang kemudian.
Mungkin cik tidak dapat kebahagiaan sepenuhnya seperti yang diharapkan, namun realitinya cik dapat menjalani kehidupan yang lebih realistik dan tidak hanya meletakkan emosi dan perasaan yang utama dalam menikmati kebahagiaan dalam sebuah kehidupan.
Bina Bahagia Sendiri
Anda ada kerjaya, bina kerjaya yang lebih baik. Anda seorang pendidik, ada anak didik. Tumpahkan kasih dan sayang kepada mereka. Maka cik akan kecapi bahagia itu dalam bentuk lain. Malah ianya mungkin lebih baik daripada apa yang dijangkakan satu hari nanti. Seperti yang saya sebutkan tadi, banyakkan aktiviti-aktiviti luar seperti penglibatan dalam NGO, sukan dan riadah.
Seboleh mungkin cuba jauhkan hubungan dengan Z dan suaminya sehingga cik berkahwin dan punya keluarga sendiri. Lagi rapat cik dengan Z dan suami serta anak-anak, maka “ikatan emosi” cik akan semakin kuat dan ini akan menyukarkan cik untuk belajar melupakan Z (jika keputusan ini yang diambil).
Sekadar ini sahaja yang boleh saya kongsikan untuk direnungi dan fikirkan yang terbaik untuk diri. Bukan sahaja di dunia, malah akhirat yang merupakan destinasi terakhir kita. Wallahualam…
Sumber: Dijawab oleh Puan Maimunah Mohamad, Kaunselor Bebas, juga penulis jemputan di dalam majalah Mingguan Wanita. https://www.facebook.com/mingguanwanita/
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI