Jatuh Cinta Dengan Ayah Kepada Adik Angkat

Jatuh cinta memang indah. Namun, ia boleh menghura-harakan hidup andai ia tidak seperti yang kita harapkan. Ikuti pengakuan seorang gadis muda yang jatuh cinta dengan ayah kepada sahabatnya.

Assalamualaikum prof. Saya berusia 23 tahun dan masih belajar di sebuah IPTA di Lembah Klang. Saya berasal dari Melaka dan tinggal bersama ibu, datuk dan nenek saya. Ayah saya meninggal dunia ketika usia saya setahun dan saya tidak pernah rasa bagaimana kasih seorang ayah.

Selepas kematian ayah, ibu mengambil keputusan berpindah tinggal bersama datuk dan nenek di kampung. Jadi mereka yang membantu menjaga saya sejak kecil. Hubungan saya dan ibu juga amat rapat dan kami jarang berpisah. Ibu bekerja sebagai guru, mengikut jejak langkah nenek dan datuk yang telah lama pencen. Arwah ayah dulu juga seorang guru. Jadi, kalau boleh ibu ingin saya mengikut jejak langkah mereka.

Sambung Belajar

Selepas keputusan SPM, saya memilih untuk menyambung pelajaran ke tingkatan enam walau pun keputusan saya cemerlang dan layak memohon universiti. Saya sebenarnya tak sanggup nak berpisah dengan ibu, datuk dan nenek. Namun selepas STPM, ibu yang menggalakkan saya untuk memohon maktab dan universiti. Katanya sudah tiba masanya untuk saya belajar berdikari.

Saya gagal menempatkan diri ke mana-mana maktab perguruan, sebaliknya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di universiti dalam bidang perakaunan di Selangor. Saya tinggal di kolej. Namun hampir setiap minggu saya balik ke Melaka atau ibu yang datang menjengok saya di kolej.

Jatuh Cinta Dengan Ayah Kepada Adik Angkat

Rapat

Di kolej saya rapat dengan seorang junior, Ika, kerana kami tinggal sebilik. Dia mengambil jurusan undang-undang. Katanya ingin mengikut jejak langkah papanya. Mungkin kerana latar belakang kami yang agak sama, membuatkan kami mudah rapat. Dia anak tunggal selepas mama dan papanya bercerai ketika umurnya enam tahun. Kalau diikutkan dia boleh berulang alik dari rumahnya ke kolej tapi dia memilih untuk tinggal di kolej kerana di rumah hanya ada dua orang pembantu rumah saja.

Sering kali juga dia akan ikut saya balik ke kampung dan seronok merasai pengalaman baru yang tidak pernah dilalui. Walau pun daripada keluarga berada dan gaya hidup moden, dia tidak sombong dan amat menghormati orang tua. Itu yang membuatkan ibu, datuk dan nenek juga sukakannya.

Jumpa

Sepanjang keakraban saya dan Ika, saya tidak pernah jumpa papa Ika. Sehinggalah satu hari Ika beria-ia mengajak saya berjumpa papanya yang baru pulang dari luar negara. Ada ole-ole untuk saya katanya sempena hari lahir saya yang baru tiba ketika itu.

Detik itu telah membawa perubahan besar pada diri saya. Prof, saat pertama kali bersua, saya sudah tertarik hati dengan papa Ika. Saya sendiri tidak faham dengan perasaan saya kerana selama ini saya bukan jenis mudah jatuh cinta. Apatah lagi ibu tegas dalam memantau perhubungan saya dengan rakan-rakan lelaki.

Papa Ika yang saya panggil Uncle Zack lebih kurang sebaya ibu. Bekas peguam tapi kini menjadi ahli perniagaan berjaya. Saya bukan memandang hartanya. Tapi saya rasa selesa dan tertarik dengan cara layanan dia pada Ika. Lembut dan penuh kasih sayang seorang bapa. Saya juga kagum lelaki sepertinya mampu mendidik anak gadisnya dengan baik tanpa seorang wanita bergelar isteri di sisi.

Sering Berhubung

Selepas itu, Uncle Zack juga sering menelefon saya. Pada mulanya hanya berbual dan bertanya tentang keadaan Ika dan ia berlaku di dalam pengetahuan Ika. Uncle Zack gembira dan berterima kasih kerana katanya saya banyak membantu Ika berubah ke arah kebaikan. Ya, saya mengaku. Ika lebih menjaga solatnya selepas rapat dengan saya dan tidak lagi berkunjung ke pusat hiburan. Dia juga sudah berhijab.

Ads

Lama-kelamaan, Uncle Zack sering menelefon dan kami akan berbual tentang apa saja termasuk soal kerja. Baginya cukup sekadar saya menjadi pendengar. Dia juga banyak mendorong saya dalam pelajaran.

Baru-baru ini, dia telah meluahkan perasaannya pada saya. Dia mengaku, dia sendiri tidak sangka akan jatuh cinta dengan rakan anaknya sendiri. Saya ingin dilamar sebagai isteri selepas tamat pengajian nanti. Dia sanggup tunggu. Namun saya belum berani berterus terang bahawa saya juga sayangkan dia.

Kini saya risau, takut dan bimbang. Apakah keluarga saya dapat menerima hubungan ini? Bagaimana dengan pandangan masyarakat? Apakah saya dicop materialistik? Bagaimana dengan Ika? Saya takut dia tak dapat terima rakannya bakal menjadi ibu tirinya. Apakah kerana saya kurang kasih sayang seorang ayah, maka saya mudah tertarik dengan lelaki berusia yang ada ciri-ciri tersebut? Saya keliru…

Lyana, KL.

Baca lagi di sini:

Jatuh Cinta Dengan Suami Sahabat Sendiri!

Cinta Berputik Jodoh Bertaut Ketika Hadiri Reunion. Mungkin Ini Sebabnya

Ads

ikuti kami di:

https://www.instagram.com/mingguanwanita/

Saranan Kaunselor

Jatuh cinta serta melibatkan diri dengan isu emosi dan hubungan antara lelaki dan wanita dengan lebih serius merupakan satu usaha untuk memikul amanah dan tanggungjawab bersama dalam menghadapi kehidupan ini. Jatuh cinta atau terpikat dengan seseorang bukanlah datang secara tiba-tiba tetapi merupakan soal hati yang perlu melalui proses untuk meyakinkan diri tentang pilihan yang diketengahkan adalah pasangan yang boleh menggabungkan antara fantasi dan realiti.

Fantasi Dan Realiti

Gabungan antara fantasi dan realiti berlaku apabila perkenalan bermula, mesra bersama, memahami hati budi, rasa tertarik dan mula membina rindu serta ingin tahu dan seterusnya tertarik serta tidak boleh berpisah lama dan cuba mengakhiri semua ini dengan ikatan yang sah agar semua perasaan cinta ini dapat disalurkan ke jalan yang betul serta halal.

Cinta yang dibina hasil daripada jarak usia yang sangat ketara merupakan fenomena yang biasa dalam arus perdana sekarang. Cinta yang membabitkan jurang usia ini menyimpan berbagai-bagai matlamat dan kesan perkahwinan. ada pasangan yang sangat bahagia dan mendapat perlindungan sewajarnya. Ada pasangan yang rasa tertipu atau tidak bersedia untuk sama-sama menjadi tua sebelum masanya dan ada juga yang berkahwin kerana harta, kerana mahukan kasih sayang dan berbagai-bagai alasan lagi yang boleh menyebabkan tersasar serta cuba beralih arah setelah tersedar daripada fantasi diri.

Muhasabah

Isu yang cik bentangkan kali ini mencuit rasa hati yang meruntun kasih sayang seorang bapa yang dianggap sebagai kekasih hati. Bapa cik telah lama meninggal dunia dan ibu cik menjadi ibu dan bapa dalam membesarkan cik sehingga berjaya ke menara gading seperti sekarang.

Namun setelah cik berkawan dengan kawan cik yang dibesarkan oleh bapa tunggal yang akhirnya cik tergoda dengan kredibiliti dan personaliti yang menawan bapa kawan cik seterusnya cik keliru antara kasih dan kasihan atau sekadar selesa dan menumpang kasih seorang bapa.

Ads

Sebelum cik melayan perasaan yang semakin meronta dalam diri, eloklah cik muhasabah dulu tentang diri cik yang sedang dilamun cinta ini. Mulakan dengan bertanya pada diri tentang perasaan cik yang sebenar sama ada sudah bersedia mendirikan rumah tangga dengan seorang lelaki yang lebih tua serta boleh dipanggil ayah? Adakah cik keliru dengan kasih dan perhatian yang diberikan sehingga cik menganggap kasih sayang tersebut adalah sebagai pasangan kekasih?

Terima Semua Perbezaan

Seterusnya cik perlu bertanya kepada diri cik tentang kesediaan diri cik untuk masuk ke dalam zon kehidupan orang dewasa dengan menerima semua perbezaan jurang generasi (generation gap) yang akan dilalui setelah cik berkahwin nanti.

Sekiranya cik bersedia untuk hadapi semua perbezaan ini maka cik boleh meneruskan hubungan ini dengan hati yang terbuka. Apa yang pasti cik jangan mudah terpengaruh dengan cerita-cerita drama atau filem yang ditayangkan kerana semua itu bukan realiti tetapi fantasi yang belum tentu benar. Cik perlu sedarkan diri cik bahawa apa yang cik hadapi sekarang adalah benar dan memerlukan keputusan yang betul dalam mencorakkan masa depan cik seterusnya.

Bincang Dengan Serius

Cik juga perlu berbincang secara serius dengan keluarga cik dalam mendapatkan pandangan yang jelas dan tidak bias. Setelah cik kumpulkan semua pandangan ini maka cik boleh buat keputusan bagi melihat kesediaan cik yang sebenarnya dalam hubungan ini. Pastikan keputusan ini tidak dipengaruhi oleh emosi cik seperti rasa kasihan, rasa bersalah, rasa suka kepada layanan lelaki yang lebih tua atau rasa terhutang budi atau rasa seperti di alam fantasi dan sebagainya.

Cik perlu mengadakan perbincangan secara terbuka dengan bapa kawan cik agar cik dapat membuat keputusan cik dengan sebenarnya. Penyesuaian yang perlu dipertimbangkan dalam diri cik iaitu perbezaan usia, pandangan, cara hidup, kesihatan, perbezaan kemampuan termasuk kemampuan seksualiti serta banyak lagi penyesuaian yang cik perlu pertimbangkan agar cik dapat menjadi isteri yang solehah dan redha dengan jodoh ini.

Cik yang dihormati. Jodoh dan pertemuan adalah hak Allah SWT, namun manusia boleh mempertimbangkan jodoh ini agar dapat kita mengecap kebahagiaan perkahwinan di dunia sampai akhirat. Perjanjian perhubungan perkahwinan adalah untuk mendapat keberkatan dan keredhaan Allah SWT serta membantu untuk ketenangan diri. Usia bukan penghalang untuk menikmati kebahagiaan ini tetapi penerimaan, kesungguhan serta menyesuaikan diri dengan perkahwinan ini akan membantu cik untuk lebih matang.

Saat Hati Mudah Terpikat

Perasaan wanita yang berada pada umur cik sememangnya memerlukan kasih sayang yang dibina atas dasar hubungan baik yang dipamerkan oleh seseorang.

Sekiranya seseorang itu baik dan memberi perhatian kepada cik maka cik akan lebih cepat rasa mesra dan boleh membina hubungan yang lebih akrab sebaliknya jika seseorang menunjukkan rasa penolakan maka cik akan menjauhkan diri daripada mereka. Atas dasar keperluan kasih sayang pada peringkat umur ini menyebabkan manusia pada umur cik ini mudah menerima dan jatuh cinta pada sesiapa sahaja yang boleh memberikan perhatian dan kasih sayang.

Oleh itu pertimbangan yang wajar dan berkualiti akan membantu diri cik untuk membina keputusan cik dengan lebih bijaksana dan positif. Sekiranya jodoh cik sememangnya dengan bapa kawan baik cik maka cik akan bahagia dengan keputusan cik ini. Tetapi sekiranya sebaliknya maka cik juga dapat melalui kehidupan ini dengan tenang dan reda.

Kaunselor: Puan Maimunah Mohamad. 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI