Dalam perkahwinan ini bukanlah soal siapa takut siapa. Sebagai suami, tidak bermakna bila lelaki takutkan isteri, dia seorang suami yang baik. Sebaliknya jadilah suami yang baik mengikut sunnah.
Orang lelaki biasanya bila mengajak kawan-kawan seolah menghasut. Umpamanya, jangan takut isteri, kita yang beli beras. Sebaliknya matanglah suami bila sudah berkahwin. Tak perlu soal siapa beli beras.
Pedulikan kata kawan-kawan dan fokus sahaja kepada rumah tangga sendiri. Betuk tak? Ikuti perkongsian Firdaus Shakirin ini dan hadam baik-baik.
“Jangan Takut Isteri, Kita Yang Beli Beras”!
“Beras kita beli!”
Kata seorang kawan saya… Jangan takut sangat dengan isteri, jangan bagi muka sangat dengan isteri, jangan tunduk sangat dengan isteri… Kita orang lelaki, beras kita beli…
“Tapi kalau dia tak masak, beras tak jadi nasi…”
Tak akan balik kerja nak makan beras dengan ayam masak merah… Tak akan bawah tudung ada beras dengan gulai ikan…
Macam-macam perangai orang lelaki yang jadi suami ini… Bila ajak member keluar, bila ajak member buat apa-apa…
Bila ajak member ikut, mesti ajakan Itu dalam bentuk menghasut… Tak boleh ke mengajak dengan berhemah, selepas itu terpulanglah dekat dia nak ikut atau tak, nak buat atau tak…
Lain orang, lain caranya, lain kehidupannya…
Mungkin kita ini tak sesibuk dia sebab kita biar isteri kita urus from A to Z… Tapi dia, dia faham dan cakna dengan perlunya dia untuk terus pulang ke rumah selepas habis waktu kerja atau pada ketika hujung minggu…
Ads
Ada banyak yang perlu dibuatnya, ada banyak yang perlu dibantunya…
Matanglah sikit bila kawan-kawan kita semuanya sudah kahwin…
Kalau Ada Masa Jumpa Jangan Memaksa
Ada masa, jumpa… Kalau ada masa, lepak… Ada masa, buat aktiviti bersama… Kalau dia tak dapat ikut atau turut serta, itu bermakna dia lebih diperlukan di rumah berbanding di luar rumahnya…
Suami yang baik kepada keluarga bukanlah suami yang bagi muka pada isteri atau tunduk kepada isteri atau isteri dia yang beli beras… Tapi baik kepada isteri itu sunnah dan dia dapat pahala selagi dia ikut sunnah tersebut…
MW: Rumah tangga mak ayah biarlah ikut acuan sendiri, tidak usah pedulikan kata kawan-kawan. Usah rasa tergugat, bila kawan-kawan di luar bebas bergaul seperti sebelum kahwin, hidup kan pilihan.
Setiap orang ada sikapnya tersendiri sama ada positif atau lebih ke arah negatif tetapi bila dah ramai anak macam-macam ragam itu biasa. Ini sedikit rahsia perangai anak yang mak ayah patut tahu.
Jadi kalau rujuk sini, anda sendiri kategori yang mana satu? Dan agak-agak ada yang tepat terkena batang hidung sendiri?
Anak Sulung
Anak sulung merupakan cahaya mata pertama di dalam keluarga dan menjadi tumpuan kasih sayang dan perhatian ibu bapa sampailah dia dapat adik baru. Namun apabila mereka meningkat remaja, mereka lebih pandai membawa diri masing-masing dan sanggup berkorban demi demi adik-adik.
Ciri-ciri yang ada pada anak sulung:
* dikaitkan dengan sikap pelindung, suka bertolak ansur, serta ego.
* sering berjaya dalam hidup.
* lebih pandai mengambil hati orang tua.
* mempunyai nilai tanggung jawab yang tinggi.
Anak Tengah
Biasanya anak tengah punya perangai lebih pelik sedikit dari anak-anak yang lain. Tak suka dihalang tapi suka berdikari dan membuat hal sendiri.
Golongan anak tengah selalunya banyak mengalah kepada si sulung atas arahan atau dengan si bongsu sebab tak nak keruhkan keadaan. Sebab itu di kalangan mereka juga kadangkala mudah dilanda tekanan. Jadi anak tengah suka cuba untuk melakukan yang terbaik bagi diri mereka tanpa mengharapkan bantuan orang lain.
Pendek kata, nak apa-apa mereka akan usaha sampai dapat!
Ciri-ciri yang ada pada anak tengah:
* lebih berdikari berbanding dengan si sulung atau adik beradik yang lain.
* lebih percaya dengan keyakinan sendiri.
* suka mencuri perhatian dengan cara tersendiri.
* sering merasakan diri mereka terpinggir.
* terlalu mengalah
Anak Bongsu
Selalunya ramai yang anggap anak bonsgu ni jenis mengada-ngada dan dapat apa saja yang dia nak. Malah sering digambarkan sebagai seorang yang manja dan besar kepala dan mahukan orang lain mengikut kehendak mereka sahaja.
Golongan anak bongsu perlukan orang lain untuk melakukan apa saja dalam hidup. Dikatakan mereka kurang berjaya dalam hidup memandangkan sikap ketidakpercaya ibu bapa terhadap mereka. Biarpun mereka berjaya namun sikap ibu bapa sendiri membuatkan hidup mereka terbatas. Mungkin ibu bapa sentiasa berasakan anak bongsu memerlukan perlindungan mereka buat selama-lamanya. Itu yang jadi nampak manja dan dapat apa saja yang dia sebut!
Ciri-ciri yang ada pada anak bongsu:
* happy go-lucky dan yakin diri.
* manja.
* berkeinginan dan bercita-cita tinggi.
* sukar membuat keputusan sendiri.
Anak Tunggal
Dalam banyak kategori, mungkin ramai nak menjadi anak tunggal dan anggap seronok memandangkan hanya mereka satu-satunya anak dalam keluarga. Tak perlu berebut malah mereka akan menjadi tempat sepenuh tumpuan, perhatian dan curahan kasih sayang ibu bapa.
Lagi teruja golongan anak tunggal tiada persaingan dari adik-beradik yang lain. Dari sudut hubungan bersama ibu bapa, tidak dinafikan hubungan anak tunggal lebih kukuh dan erat. Mereka saling memerlukan antara satu sama lain, saling menyokong dan menggalakkan. Cuma kadang rasa sunyi bila tak ada kawan bermain dalam rumah.
Ciri-ciri yang ada pada anak tunggal:
* sering merasakan diri mereka kesunyian.
* lebih berkeyakinan kerana sudah terbiasa segala yang dihajati tercapai.
* lebih bijak bergaul.
* lebih cepat matang.
* terlalu rapat dengan ibu bapa walau usia makin meningkat.
* sukar nak bertolak ansur dengan orang lain.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Setiap yang berkahwin tentunya inginkan keluarga yang bahagia dan saling tolong menolong dalam rumah tangga. Tidaklah suami harapkan isteri seorang melakukan kerja rumah, sedangkan suami hanya duduk sahaja.
Sesetengah suami mula mengharapkan isteri yang dikahwini itu mampu melakukan segala kerja rumah dengan baik, menjaga makan pakai dan mendidik anak-anak. Manakala suami pula jalankan tanggungjawab dalam mencari nafkah untuk keluarga.
Sebab itulah, ada suami yang tidak faham dengan harapkan isteri ‘perfect’ dalam segala kerja rumah. Segalanya diserahkan pada isteri. Lebih teruk lagi, dia mengharapkan isterinya jadi yang terbaik sedangkan dirinya tidak pula menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya.
Kiranya, suami ingin isteri terbaik dalam segala segi dan mungkin juga inilah yang dicari-cari oleh suami. Ketahuilah, tidak semua isteri mampu menjadi ‘perfect’ dalam semua hal. Dia pun ada kekurangan dan kelebihan yang boleh ditampung oleh suami.
Perkongsian daripada Khaulah Al Azwar ada betulnya. Kalau suami ingin isteri hebat. Dia pun kenalah menjadi hebat di mata isteri dan anak-anak. Jangan fikir hanya bagi nafkah dan segala kerja rumah diserahkan sepenuhnya kepada isteri.
Ada orang dapat isteri yang pandai cari duit sendiri.
Ada orang dapat isteri yang boleh berdikari.
Ada orang dapat isteri yang boleh bersabar dengan karenah anak-anak.
Ada orang dapat isteri yang rajin mengemas rumah.
Ada orang dapat isteri yang pendiam, tak banyak cakap.
Ada orang dapat isteri yang kurang masa di rumah, tapi selalu membantu dari segi kewangan.
Tak semua orang dapat isteri yang cukup lengkap pakejnya, perfect pasti ada yang lebih di sini, kurang di sana. Mengimpikan seorang isteri yang boleh serba serbi itu tidak salah, tapi hendaklah berpaksikan dengan realiti.
Suami Tahu Tanggungjawab
Walau bagaimanapun isteri kita, sebagai suami, kita tetap kena jadi suami, kena tahu apa tugas, tanggungjawab dan kewajipan seorang suami.
Tak boleh la hanya tahu bagi duit, Tapi dari A to Z urusan keluarga, isteri yang uruskan.
Tak boleh hanya tahu keluar kerja balik kerja, Tapi soal kebajikan hati isteri kita tak ambik peduli.
Tak boleh la dah bagi serba serbi selepas itu mengadap handphone sepanjang hari, kena jugak tolong isteri buat kerja rumah, layan anak-anak.
Sifat dan sikap suami ni lebih menyeluruh kerana dia KETUA KELUARGA.
Dia suami, dia ayah, dia pemimpin dan dia bertanggungjawab terhadap mereka yang dipimpinnya. Maka oleh sebab itu, tugas dan tanggungjawab suami itu agak berat berbanding isteri.
Tak boleh bagi isteri ambik alih tugas kita, tak boleh bagi isteri buat tanggungjawab kita, tak boleh bebankan isteri dengan kewajipan kita.
Dosa tu.
Kita orang lelaki mampu untuk menjadi seorang suami yang baik dan ayah yang baik andai kata kita faham tugas, tanggungjawab dan kewajipan yang perlu dilaksanakan kerana isteri dan anak-anak itu diamanahkan Allah SWT kepada kita.
Kalau kita letak semuanya di bahu isteri, maka baik jangan jadi lelaki.
Perempuan yang hebat mampu mengerjakan segalanya sendiri. Sedangkan lelaki yang betul-betul hebat tidak akan membiarkan itu terjadi.
MW: Sebagai suami isteri yang saling melengkapi, kenalah saling membantu dan tolong apa yang patut terutamanya suami. Jangan harapkan isteri seorang yang buat kerja. Dia pun membantu suami untuk mengurangkan beban suami.
Kehidupan wanita bernama Rosnah bt Nordin berubah seratus peratus sebaik tragedi kemalangan meratus nyawa suaminya berlaku kira-kira lapan tahun lalu.
Tidak pernah terlintas dalam fikirannya akan bersendirian tanpa suami membesarkan anak-anak yang semakin meningkat dewasa.
Reda Apa Yang Terjadi
Namun takdir Tuhan siapa yang mampu menghalang. Rosnah hanya mampu memanjatkan doa pada Ilahi agar memudahkan kehidupannya sebaik bergelar ibu tunggal. Kini ibu kepada empat orang cahayamata lelaki ini bahagia semakin redha dengan apa yang telah berlaku.
Masih kekal dalam ingatan Rosnah saat-saat suami menghembuskan nafas di hadapan matanya. Kelihatan air bergenang pada matanya ketika mengingati kembali saat-saat tersebut.
“ Kemalangan itu berlaku pada bulan Ramadan 2011. Suami saya seorang pemandu bas pelancong. Hari itu dia mahu membawa saya melihat bas yang dia bawa. Suami akan bawa saya ke mana-mana sahaja pada hari dia cuti.
Habis tengok bas, kami balik. Dalam kereta suami dan saya bersembang. Cadangnya keesokan hari selepas bersahur kami mahu balik ke kampung. Sedang kami bersembang itu secara tiba-tiba kereta yang dipandu suami terkeluar dari laluan jalan.
Suami mahu masuk ke laluan jalan semula. Tetapi lain yang berlaku. Kereta kami terbabas. Mungkin suami tertekan minyak menyebabkan kereta tidak dapat dikawal dan akhirnya kereta terlanggar tiang pembahagi jalan.
Akibat kemalangan saya mengalami kecederaan teruk. Tangan kanan seperti tercabut. Manakala peha dan leher tidak boleh bergerak. Kalau melihatkan kecederaan teruk itu, seperti saya yang akan meninggal dunia. Suami pula luarannya tidak ada apa-apa. Dia mengalami kecederaan dalaman.
Dibaringkan Berdekatan Suami
Sebaik dikeluarkan dari kereta oleh orang yang berada di tempat kejadian, saya dibaringkan berdekatan dengan suami. Kami tidak dapat melihat satu sama lain tetapi saya mendengar suara suami. Dia tanya bagaimana keadaan saya. Dia juga minta air untuk diminum. Saya juga mendengar dia bercakap seorang diri bagaimana dengan anak-anak kalau dia mati.
Tidak lama kemudian, saya dan suami dibawa ke hospital. Kecederaan suami rupanya agak parah. Melihatkan keadaan suami itu, doktor telah membawa saya yang ketika itu memang teruk kecederaan yang dialami untuk bertemu dengan suami. Sempat lagi saya bertemu suami sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.”
Betapa sedihnya Rosnah apabila suami tersayang pergi meninggalkannya. Hatinya semakin pedih memikirkan nasib diri dan anak-anak kerana mereka telah kehilangan ketua keluarga pencari rezeki utama.
“ Sewaktu suami hidup saya tidak bekerja. Anak sulung saya pernah menyuarakan hasrat untuk berhenti belajar tetapi saya tidak benarkan. Saya mahu semua anak-anak saya meneruskan pelajaran. Biarlah saya sahaja mencari kerja untuk menyara mereka.”
Berkat Kuasa Doa
Rosnah dan anak-anak tinggal di Bandar Tun Razak selepas kematian suami. Mereka tinggal di rumah sewa yang diduduki bersama suami ketika arwah masih hidup. Tanpa suami, kini anak-anak menjadi penguat semangat buat Rosnah untuk meneruskan kehidupan.
“ Selepas saya keluar hospital, saya cari kerja. Nasib baik ada kawan yang baik hati membenarkan saya menjaga gerai nasi lemak miliknya. Saya ingat lagi saya bekerja dalam keadaan tangan yang ‘tergantung’. Walau sudah ada kerja hati saya tetap tidak tenang kerana perlu memikirkan bagaimana mahu mencari rumah baru kerana tuan rumah yang menyewakan rumahnya kepada kami mahu mengambil semula rumahnya.
Ke hulu hilir saya memohon rumah DBKL. Akhirnya berkat doa yang tidak putus-putus pada Allah, saya mendapat sebuah rumah di PPR Kg Muhibbah, KL. Bersyukur saya kerana selesai masalah besar dalam hidup saya ketika itu.”
Kerja Baru
Berpindah ke rumah baru menyebabkan Rosnah perlu mencari kerja baru. Rosnah mengambil keputusan menjadi pengasuh menjaga anak jiran di rumahnya kerana dia memang suka kanak-kanak.
“ Mula-mula saya menjaga tiga orang budak. Selepas itu bertambah lagi seorang. Lama juga saya jadi pengasuh. Namun tanpa sebarang sebab, ibu mereka telah mengambil mereka semula. Hati saya jadi tidak senang kerana punca pendapatan sudah tidak ada.
Namun kuasa doa itu amat besar. Tidak sampai dua minggu tanpa sebarang kerja, tiba-tiba cikgu Tadika Kemas di kawasan perumahan saya menelefon. Dia menawarkan kerja sebagai pembantu cikgu Tadika kerana dia mahu membuka kelas Tadika baru.
Saya terima tawaran tersebut. Bermula dari situlah saya jadi Pembantu Cikgu Tadika. Walaupun pendapatan di Tadika tidak banyak seperti jadi pengasuh namun saya bersyukur. Saya seronok kerja di Tadika kerana jiwa saya dekat dengan budak-budak.”
Diam tidak diam sudah 7 tahun Rosnah bekerja sebagai Pembantu Cikgu Tadika di PPR Kg Muhibbah.
Seronok Sertai Persatuan
Bergelar ibu tunggal satu cabaran hebat buat Rosnah. Dia sentiasa berhadapan dengan pandangan serong dan negatif masyarakat sekeliling. Apa sahaja perkara yang dibuatnya sudah pasti ada yang mengeji.
Namun Rosnah cekalkan hati dan sentiasa tabah dalam menghadapi segala cabaran. Bagi memastikan dirinya sentiasa berada dalam keadaan positif, Rosnah sentiasa cuba aktif dalam aktiviti di blok tempat tinggalnya dan juga di surau. Rosnah juga aktif dalam Persatuan Ibu Tunggal Bandar Tun Razak, Cheras.
“ Saya berterima kasih kepada Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Bandar Tun Razak Puan Nani Zakaria yang sentiasa mengadakan aktviti bermanfaat buat ahli-ahli persatuan. Saya seronok menyertai persatuan kerana mendapat kawan-kawan baru.”
Akhir kata Rosnah sempat menitip nasihat kepada wanita bergelar ibu tunggal lain agar kuat menghadapi kehidupan mendatang.
“ Jadi ibu tunggal segala-galanya kita kena buat. Hendak tidak hendak kita perlu berhadapan dengan setiap cabaran yang berada di hadapan mata. Jaga anak dengan baik kerana anak adalah harta yang ditinggalkan suami.
Saya sendiri rasa bersyukur kerana sejak ditinggalkan arwah suami, saya mampu membesar dan memberi pelajaran pada 4 orang anak yang kini 3 telah pun berjaya. Namun masih ada debaran dan kerisauan menunggu yang bongsu yang kini sedang belajar dalam tingkatan 6. Apa pun saya sentiasa ingat yang baik, fikir yang baik, minta yang baik, doa yang baik. Allah akan bagi yang terbaik. InsyaAllah,”akhirinya.
Foto: Azfarina Sulaiman
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.