Jangan sampai kerana marah kepada bekas pasangan, anak-anak jadi mangsa hingga diabaikan. Ingatlah bahawa anak adalah amanah buat mak, ayah walaupun telah berpisah. Jangan dipersia-siakan anak-anak.
Setelah bercerai, perhatian seharusnya lebih kepada anak-anak, jangan bebankan emosi mereka dengan penceraian yang berlaku. Memang tak mudah, namun begitulah kehidupan selepas berpisah.
Berlapang Dada Setelah Bercerai
Kongsi Ustaz Firdaus Mokhtar ini, dalam kehidupan, ada banyak perkara yang kita tak mahu, tapi tetap berlaku. Contohnya bercerai.
Iya, kita berpisah hidup dengan pasangan kita. Yang pernah bercinta, hidup dan segalanya dengan kita.
Sebab berlaku perselisihan yang kita tak dapat nak berlapang dada, kita pilih jalan akhir untuk tidak lagi hidup sebumbung.
Benar kawan-kawan, semua ini dibenarkan oleh Tuhan. Sekali pun ini yang Tuhan paling tak suka.
Namun, setelah semua itu berlaku, bukanlah kita punya lesen atau kebenaran untuk memburukkan bekas pasangan kita. Kita mengajar anak-anak untuk mengata ayah dia. Kita ajar anak berperasaan tak betul kepada mak dia.
Cerita pula segala lemah dan kurang bekas pasangan ke kawan- kawan, keluarga dan siapa sahaja yang kenal kita. Sebolehnya nak letak salah berpisah itu pada sebelah pihak.
Ads
Kawan kawan sekalian,
Sekali pun jodoh tak panjang, kita masih boleh hidup seperti biasa. Bertegur dan berbincang. Terutama tentang zuriat yang lahir daripada diri kita dan pasangan kita dahulu. Itu benih cinta kita. Jadi masih perlu kepada aturan bersama.
Anak-anak yang lahir ini ada ikatan darah daripada mak ayah dia. Maka macam mana jauh terpisah pun, tetap menjadi tanggungjawab mak ayah kandung dia untuk membesarkan mereka.
Jangan Sampai Kerana Marah Kepada Bekas Pasangan
Jangan sampai kerana marah kita kepada bekas pasangan kita, anak-anak jadi mangsa. Mereka diabai dan tidak dipedulikan. Terutama nasib akhirat mereka.
Ramai sangat anak-anak hasil rumah tangga yang retak jadi anak-anak bermasalah. Sekolah terganggu, pelajaran entah ke mana dan yang paling kita takut mereka ini akan ada masalah emosi. Tidak ada kasih sayang.
Ads
Yang tak ada kasih sayang seorang ayah akan mencari lelaki di luar rumah. Anak lelaki pula tiada kawalan seorang ayah akan jadi anak yang keras, kuat melawan dan tak lekat di rumah. Hilang selalu. Bebas dengan kawan kawan.
Kawan-kawan, kalau pun hubungan kita tak berjaya di dunia. Moga dengan perceraian itu kita tidak semakin jauh dengan Tuhan.
Mingguan Wanita : Biarpun sudah bercerai, cubalah bina hubungan baik dengan pasangan demi anak-anak. Jangan dibuat musuh bimbang memberi kesan kepada anak-anak dan masa depan mereka.
Kesan pandemik C19, ramai gaji dipotong atau dibuang kerja. Boleh buntu juga sekejap. Namun, ada berita baik untuk para wanita B40 & M40. Mingguan Wanita prihatin dengan nasib menimpa anda dan susulan itu, kami menjemput semua untuk menyertai group Telegram Bangkit Wanita MW sebagai platform untuk mendapatkan info niaga, promosi kursus, tip berbisnes, perkongsian usahawan yang memberi inspirsasi dan lain-lain. Klik link ini untuk menyertainya: https://t.me/bangkitwanitaMW
Perceraian bukan pengakhiran. Ramai isteri takut untuk berpisah dengan pasangannya kerana bimbang tidak tahu ke mana harus dituju. Anak-anak akan kehilangan kasih sayang seorang ayah dan pelbagai lagi yang bermain di fikiran.
Ketakutan dan kerisauan inilah membuatkan isteri sanggup bertahan, biarlah diri menderita asalkan anak-anak terbela, ada ayah dan bertanggungjawab. Tapi, sampai bila?
Janganlah anggap perpisahan itu sebagai satu noktah. Perceraian bukan pengakhiran, mungkin dengan cara ini akan membuatkan hidup isteri itu lebih tenang, rezeki bertambah dan sebagainya.
Usah biarkan diri didera oleh seorang yang bergelar suami. Sayangi dan hargai diri sendiri. Inilah antara nasihat dan langkah yang perlu diambil oleh wanita yang didera suami seperti yang dikongsikan oleh Dzuriasikim Dzulkefli ini.
Sy bekerja dan sy bayar gaji utk pembantu merangkap pengasuh anak sy yg kecil. Sy nak tanya, gaji pembantu ni mmg tanggungjawab kita sebagai ibu yg bekerja ka kak?
Saya salu dengar org kata sayang diri sendiri dulu. Sy pelan2 cuba hadam apa yg dimaksudkan dgn sayang diri sendiri dulu. Saya jujurnya dh xmampu nk hidup bersama suami. Banyak yg di buat, dia sakiti saya. Physical mentally.
Dan sy merancang untuk failkan penceraian tp dia cuba nak yakinkan saya yg perkahwinan kami bukan beyond repair. Adakah klu sy teruskan dengan niat saya failkan penceraian. Sy ialah isteri yg xbau syurga tu.
Saya ada tgk satu perkongsian dr mufti menk yang kata divorce is not the end of the world.
Saya nk sihat. Saya nk hidup bahagia. Walau ditakdirkan sy dah xbersuami, sy harap saya boleh raih redha Allah dgn cara lain utk masuk syurga. Perlu ka sy bertahan dlm rumahtangga yg sy xmampu nk rasa bahagia di dalamnya ni?
Family kata kat sy, jangan minta cerai, tgu diceraikan. Masalahnya dia dah kata dia xmau lepaskan sy.
(Pertanyaan ini saya salin tanpa membuat sebarang pembetulan pada ejaan).
.
JAWAPAN
Biarpun saya sudah menulis tentang kes penderaan oleh pasangan sebelum ini, namun saya akan cuba menulis semula dengan bahasa yang lebih mudah difahami – semoga perkongsian ini dapat membantu sahabat wanita yang memerlukan.
1. Belajar menyayangi diri bermaksud memberi ruang kepada diri sendiri juga dan menghargai diri sepertimana kita sering menghargai dan menyayangi orang lain. Wanita sangat lemah tentang ini. Banyak wanita merasakan bahawa definisi sayang adalah berkorban apa sahaja untuk kebahagiaan orang yang disayangi. Biarpun diri sendiri tidak bahagia. Lebih banyak berkorban, seolah bukti lebih dalam rasa cinta.
2. Wanita perlu ada sekurang-kurangnya sedikit pengetahuan asas tentang hak diri sebagai wanita dan isteri dari segi perundangan Islam dan sivil. Anda faham beza dua perkara ini bukan?
3. Harus tahu bahawa walaupun anda bekerja, tetapi suami bertanggjawab untuk memberi nafkah bagi isteri dan anak-anak. Sekurang-kurangnya menyediakan tempat tinggal, makan dan minum serta pakaian (walaupun sekadar ada). Melainkan jika suami sakit atau gaji isteri lebih besar dan dengan syarat isteri sudi dan redha untuk bertolak ansur dalam menyara keperluan keluarga bersama.
4. Ini adalah nasihat saya, selagi berstatus isteri (belum jatuh talak – walaupun sudah tidak tinggal bersama dan dalam proses cerai), jangan jadi isteri derhaka. Dalam erti kata lain, jangan tinggikan suara dengan suami, menceritakan keburukan suami dengan berlebih-lebih kepada banyak orang yang tidak sepatutnya, menghina suami, berbalas kata dengan suami, bahkan melakukan apa sahaja yang boleh membuatkan anda jadi isteri derhaka dan berdosa. Jangan juga bina hubungan cinta dengan orang lain semasa anda dalam proses cerai. Anda masih isteri orang.
5. Jika sering didera dengan bahasa yang tidak baik, panggilan hina, dituduh yang bukan-bukan, dijerit, ditengking atau sebarang bentuk penderaan mental, cubalah untuk tidak melawan. Bersabar, ingatkan diri bahawa anda bukanlah seperti apa yang dikatakan. (Kata-kata pasangan bukanlah penentu diri mu). Bertahan ya.
6. Jika dipukul sehingga diri dan anak-anak berasa tidak selamat, perkara pertama yang harus anda lalukan adalah membuat laporan polis. Buat laporan polis dengan seberapa segera selepas dipukul. Pihak polis akan membantu untuk mengambil butiran bagi kes anda dengan sejelas yang mungkin. Jika ada luka atau bengkak, gambar anda akan dirakamkan oleh pihak polis bagi membantu siasatan.
.
7. Kebiasaannya polis akan meminta mangsa untuk ke hospital segera bagi pemeriksaan lanjut. Laporan dari pegawai perubatan di hospital adalah sangat penting sebagai rekod dan bukti untuk sebarang tindakan lanjut (tuntutan cerai contohnya).
8. Wanita yang didera oleh pasangan, barangkali ketika anda sedang melakukan ini (membuat aduan polis atau kemudian ke hospital) – anda masih berasa sayang, was-was atas tindakan sendiri (half-hearted), tak bermaya, rasa seperti bermimpi kerana anda seolah sedang menamatkan banyak perkara dalam hidup, rasa bersalah, rasa kasihan (kerana barangkali masih ada perasaan sayang terhadap pasangan meskipun dikasari hampir setiap hari), berfikir anak-anak bakal tiada ayah. Anda mungkin berfikir tentang pandangan orang terhadap anda nanti yang bakal menjadi janda. Anda juga akan berfikir tentang pasangan yang mungkin berdepan dengan hukuman termasuk dipenjarakan dan pelbagai persaan lain lagi yang bercampur baur….
Tetapi teruskanlah langkah anda demi untuk diri dan anak-anak.
9. Buat laporan dengan seberapa segera, ketika anda masih sakit. Ketika sedang sangat tidak tahan dengan hidup. Ketika anda sedang berasa perlu meletakkan noktah dari terus didera. Jika anda bertangguh beberapa hari, perasaan itu semua akan hilang. Luka semakin sembuh. Anda akan mula percaya semula kepada janji dari pasangan untuk berubah. Sehingga penderaan berulang semula.
10. Bagi orang yang tidak pernah melalui, mereka mungkin berasa wanita tidak patut terus berada dalam kehidupan begini. Bodoh kerana tidak segera menyelamatkan diri. Tidak bijak kerana terus menyayangi pasangan (yang berterusan mendera mental dan fizikal setiap hari).
11. Bagi wanita yang sering didera, mereka didera hingga merasakan bahawa – adalah perkara biasa dalam rumahtangga untuk isteri dimarahi dah dikasari. Menganggap dikasari sebagai salah satu tanda “kasih sayang”.
Apabila suami cemburu berlebihan hingga naik tangan, ia adalah seolah suatu bentuk cinta yang sukar diluahkan. Begitu minda wanita yang terperangkap dalam hubungan begini “telah diprogramkan”. Ianya amat menyedihkan.
12. Untuk mendapat kekuatan jiwa dan hati, cukupkan lah solat mu. Paksa diri untuk ini. Please…. Sayangi diri adalah termasuk menjaga solat 5 waktu untuk diri.
13. Untuk lebih kuat, bangun dan buat solat Tahajjud sekerap yang mungkin. Trust this.
14. Ingat, hati kita milik Allah, jadi mohon kekuatan dari Allah.
15. Usah mudah terpedaya dengan pujuk rayu pasangan. Ingatkan diri bahawa perbuatan dan tindak tanduk adalah lebih bermakna dari kata-kata yang diucapkan berkali-kali.
16. Wanita yang dizalimi oleh seorang suami harus tahu bahawa adalah tidak berdosa untuk anda meminta pertolongan bagi melindungi diri dan anak-anak. Seorang isteri juga berhak untuk menuntut cerai apabila berada dalam keadaan ini.
17. Mendengar nasihat dari keluarga adalah baik. Tetapi anda yang melalui hidup ini. Anda yang sakit. Anda yang menderita. Orang lain tidak rasa.
18. Sepanjang proses menuntut cerai anda tidak perlu berteriak kepada pasangan, tidak perlu berbalah, tidak perlu menagih simpati. Aturkan langkah mengikut undang-undang. Tidak perlu membenci pasangan. Maafkan segala hal yang lepas kerana tidak ada satupun yang boleh diubah. Bertenang…
Wanita, saya mohon untuk anda berikan ruang kepada diri sendiri. Jangan berasa bersalah kerana bimbang jika anak-anak perlu berpisah dengan ayah mereka.
Memberi kehidupan yang baik kepada anak-anak adalah termasuk membesarkan mereka dalam suasana yang lebih damai dan sihat. Kasihanilah anak-anak kerana perlu melihat ibu mereka dipukul setiap hari.
Mingguan Wanita : Carilah bahagia untuk diri sendiri. Jangan seksa diri.
Lumrah manusia tidak lari daripada melihat kebahagian dari kaca mata orang lain. Kdang-kadang bahagia kita diukur dengan cara bahagia orang lain.
Salah sebenarnya kerana masing-masing ada cara bahagianya yang tersendiri yang Allah kurniakan tanpa kita sedar dek asyik merenung kebahagian orang lain.
Sebaiknya jangan asyik pandang kebahagian orang lain sampai lupa apa yang Allah berikan pada kita selama ini. Ikuti perkongsian Hafizul Hakim dan ketahui bagamana cara terbaik untuk mencipta bahagia:
Jangan Asyik Pandang Kebahagiaan Orang Lain
Sebenarnya ada cara untuk bahagia. Kita asyik tengok kebahagiaan orang lain. Sampai lupa nak tengok apa yang Tuhan sudah bagi dekat kita.
Di sini suka saya nak kongsikan beberapa petua untuk menggapai kebahagiaan hati yang sebenar.
#1 – Jangan membenci walaupun ada yang berbuat salah kepada kamu. Doakan dia agar insaf dari berbuat salah dan suka menyakitkan hati orang.
#2 – Jangan putus berdoa untuk saudara mukmin kita di seluruh dunia dan orang yang mendidik kita. Sentiasa berbuat baik kepada orang yang paling dekat pada kita.
#3 – Jangan bersedih lama sangat walaupun masalah yang menimpa tinggi menggunung. Selama dia bukan oksigen, kamu masih dapat hidup tanpa dia.
#4 – Perbanyakkan memberi, walaupun kita sendiri berada dalam kesusahan. Allah tingkatkan darjat orang sebegini. Belajar sifat ikram muslimin.
#5 – Hidup dalam kesederhanaan, walau kekayaan seluas lautan. Biarlah orang hairan tengok kita hidup sederhana. Yang dia pening tengok kita, dah kenapa?
#6 – Senyum walau hati sedang menangis. Orang yang terbaik sifatnya apabila menyembunyikan kesakitan dan kesedihannya. Jangan bersedih, Allah sentiasa bersama kita.
#7 – Berbuat kebaikan walau sendiri sedang ditimpa musibah. Insha Allah, akan datang bantuan dari sumber yang tak disangka-sangka. Bahagia yang sebenar itu datang dari dalam diri kita sendiri. Apabila kita selalu rasa sentiasa betul, kita bimbang akan cenderung lihat kesalahan orang. Perhatikan hati kita.
Jangan Lupa Kita Pun Sedang Bahagia
Ada 9 sebab hati tak bahagia. Diantaranya: 1. Pemarah 2. Pendendam 3. Hasad dengki 4. Bakhil atau lokek 5. Tamak 6. Tidak sabar 7. Ego 8. Riak 9. Cinta dunia
Semoga kita terhindar dari sifat di atas. Beroleh bahagia dalam hati untuk capai kehidupan tenang dan berkat. اَمِين يَا رَبَّ الْعَالَمِيْن Hafizul Hakim Bin Haji Mohamad Kerta #SelamatPagi
Soalan yang paling sensitif, lagi-lagi buat pasangan yang dah lama berkahwin tapi belum dikurniakan zuriat adalah persoalkan bila mereka nak ada anak.
Kerana semua itu berkait dengan rezeki. Andai penanya faham akan konsep rezeki. Tak tergamak kot soalan-soalan sensitif tahap dewa ini keluar dari bibir mereka.
Mereka akan tutup rapat, jaga kemas-kemas.
Peniaga kasut ini, Cik Puan Ammy bukanlah mahu jadi busy body. Malah amat berhati-hati dan takkan sentuh bab-bab tanya pasal nak mengandung, nak ada anak dekat kawan-kawan. Sebab dia sendiri pernah diuji 9 tahun menanti cahayamata lagi.
Tapi itulah.. bila tuhan nak uji. Benda yang paling kita tak suka itulah yang jadi.
Belum Ada Rezeki Miliki Zuriat Sendiri..
Ya Allah.. Kenapa lah celupar sangat mulut saya ni, elok-elok ‘mood’ nak berniaga ‘datang’ tiba-tiba terus jadi satu malam yang muram untuk saya. Ketelanjuran kata-kata saya mungkin telah mengguris hati sepasang suami isteri ini. Saya tidak sengaja. Benar-benar tidak sengaja.
Saya melihat mereka membeli agak banyak kasut budak. Ada yang bersaiz kecil dan ada yang bersaiz besar. Seingat saya mereka pernah datang minggu lepas dan ini kali kedua.
“Anak buah ramai dik, minggu lepas dah datang beli, ni beli lagi..”
Terang si isteri tanpa saya bertanya. Benar sangkaan saya.
“Emmm.. Minggu lepas tu mesti untuk anak sendiri kan? Minggu ni ‘turn’ anak buah pulak. Moga murah rezeki akak.”
Saya membuat andaian sambil ketawa kecil.
“Eeeemmm.. Anak buah juga dik, yang minggu lepas belah akak, yang ni pulak belah abang, nak harap anak sendiri, entah bila la dik…”
Celah si suami sambil hulurkan duit dalam nada keluhan. Saya melihat wajah si isteri berubah terus air mukanya dari riang kepada suram. Senyum sendu pada saya sebelum ‘menonong’ keluar dari kedai tanpa menunggu si suami.
“Tak pa, ada rezeki tu nanti.”
Itu jer yang mampu saya balas sambil hulur baki RM5.
“Entah lah dik.. Dah 15 tahun tunggu. In sha Allah masin mulut kau dik bulan ramadhan ni.”
Sebenarnya ada diantara sahabat dan ahli keluarga saya masih belum dikurniakan anak. Mereka tanpa segan silu meluahkan pada saya betapa mereka berharap dikurniakan cahaya mata sebagai pelengkap keluarga kecil mereka. Pelbagai rawatan moden dan traditional telah mereka jalani, daripada kaedah urutan kampung, jamu-jamu dan IVF namun masih tidak berhasil. Akhirnya mereka redha.
“Kalau ada rezeki tu adalah. Kalau tak ada tu, mungkin Allah nak bagi kami rezeki lain.”
Kata-kata yang sering saya dengar daripada mulut sahabat saya. Bukan beliau sahaja, malah anak buah saya juga pernah ucapkan kata-kata yang sama. Saya tahu ianya hanya sekadar memujuk hati namun jauh di dasarnya, tidak putus berdoa dan tetap merindui kehadiran si kupu-kupu syurga itu.
Jadi, saya rasa tidak perlulah kita yang telah pun punyai anak ini bertanyakan soalan-soalan sinis sehingga ‘membunuh jiwa dan raga’ mereka pada tiap kali bertembung atau bertemu dengan mereka. Tidak perlulah bertanyakan soalan tentang anak kepada mereka kerana perasaan orang yang ‘masih menanti’ ini perlu dijaga lebih-lebih lagi buat pasangan yang sudah lama berkahwin namun belum dikurniakan cahaya mata.
“Berdua jer.. Bila nak bertiga?”
“Tak habis lagi ke nak berbulan madu? Usia dah meningkat bila lagi nak ada anak?”
“Kawin dah lama. Seorang anak pun tak ada? Apa lah kau ni..”
“Apasal bro. Aku dah 6 kau sorang pun tak ada? Kau tak power ni bro.”
9 Tahun Menanti Cahayamata Lagi
Walaupun niat kita sekadar bergurau, tetapi sedar kah kita bahawa kata-kata atau soalan kita itu akan menambah ‘remuk’ di hati mereka. Tahukah kita? Mereka telah puas berusaha. Meminta di setiap ‘sunat hajat’. Merintih di setiap ‘tahajud’. Sambung lagi pada setiap ‘dhuha’. Mohon dari Allah SWT supaya dikurniakan anak. Mengharap hadirnya kupu-kupu syurga itu ke syurgawi rumah tangga mereka. Kita tidak merasa kerana kita tidak berada di tempat mereka.
Malah tak kurang juga yang menghasut supaya si suami nikah lagi satu semata-mata untuk pewaris.
Wah! Hebat.. Betapa yakinnya bahawa yang bermasalah itu puncanya daripada pihak isteri. Bagaimana pula jika berkahwin lagi satu juga masih belum dikurniakan anak? Sebenarnya, Allah SWT mendengar doa mereka. Cuma masih berada di genggamanNya. Menanti masa yang benar-benar sesuai untuk dilepaskan satu persatu.
Pengalaman saya sendiri.. Walaupun saya tidak ada masalah untuk hamil, tetapi saya berharap untuk punyai seorang lagi puteri di penghujung usia 35 tahun. Sembilan tahun saya menunggu. Setiap sedekah yang saya hulurkan saya niat untuk hamil.
Tanpa segan silu saya minta di doakan supaya saya hamil ketika menghulurkan sedekah. Minta dari Allah SWT tanpa kenal putus asa. Bernazar jika ada rezki untuk saya. Alhamdulillah awal 34 tahun saya hamil. Allah SWT mendengar doa saya. Itulah dia Mahsuri orangnya.
Sayunya Pandang Wajah Anak-anak Makan Semasa Bersahur
Kerana itu saya faham dan hargai setiap perasaan mana-mana pasangan yang masih mengharap kehadiran ANAK. Meminta anak bukannya sama seperti membeli air nescafe di kedai, bancuh campur nescafe tambah susu terus jadi. Bukan juga semudah memasak nasi goreng ikan masin. Masukkan bahan-bahan, kacau-kacau… Terus jadi.
Punyai duit berjuta juga tidak mampu membeli nyawa seorang anak kandung jika Allah SWT tidak mengizinkan. Jadi siapa lah kita sebagai hamba Allah SWT mempersoalkan tentang rahsia dan ketentuanNya.
Bila pandang anak-anak saya yang sedang menyuap makanan untuk bersahur, sayunya hati kecil saya kerana kadang kala saya memarahi mereka di atas kesalahan yang amat kecil. Abaikan mereka ketika saya benar-benar penat dan lebihkan rasa untuk berihat berbanding melayan kerenah mereka untuk bermanja, berbual dan bergurau senda sedangkan di luar sana masih ramai yang menanti kehadiranya ANAK…
Peringatan untuk diri sendiri juga, cubalah untuk mendiamkan diri daripada bertanyakan soalan-soalan atau bergurau senda dengan pasangan yang masih menanti kehadiran cahaya mata, bimbang secara tidak sengaja akan ‘membunuh’ jiwa dan raga mereka.
Kepada kakak dan abang yang membeli selipar dan kasut di kedai saya semalam. Saya mohon maaf dan ampun. Saya benar-benar tidak sengaja. Jangan serik datang membeli lagi. Saya doakan kalian yang masih menanti kehadiran si ANAK akan perolehi yang terbaik dari Allah SWT di atas kesabaran kalian.
Sesungguhnya yang terbaik itu adalah amat payah untuk dilepaskan kecuali kepada hambaNya yang benar-benar layak.. Amin..
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...