Isi Kandungan
ToggleTiada jalan mudah nak cantik dan kekal sihat. Hakikatnya semuannya perlukan usaha daripada diri sendiri baik daripada segi pemakanan yang betul dan gaya hidup yang aktif.
Baru-baru ini Dr Nur Amalina Che Bakri,31 ada memuat naik status dilaman sosial twitter mengenai cara dirinya mengekalkan kesihatan dan kekal aktif.Menurut Dr Amalina yang kini menjalani latihan pembedahan di ‘The Royal College of Surgeons’ di England, sebenarnya tidak perlu pun mengamalkan air detoks, alkali dan sebagainya, memadai mengamalkan meminum air masak, makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran serta melakukan rutin senaman setiap minggu.
Berikut antara perkongsian tersebut;
“Tidak payahlah nak minum air alkali, air detoks atau air itu ini. Berapa banyak air yang kalian nak cipta ini, saya hanya minum air masak sahaja.
“Sedangkan di UK pun, kami minum air paip je. Saya makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran selain pergi ke gim tiga hingga keempat kali dalam seminggu,” katanya.
Beliau turut menambah, hasil dari amalan tersebut, beliau mampu mengekalkan tenaga dan dapat melakukan kerja sebagai doktor dengan sangat baik.
“Kadang-kadang, saya juga berlari sekeliling taman atau tepi sungai.
“Ternyata, saya masih boleh kekal aktif, bertenaga dan sihat. Tolong jangan obses dengan mengambil jalan mudah,” jelasnya lagi.
Jadi buat wanita yang nak kekal aktif dan sihat boleh tiru 3 amalan kecantikan yang dikongsikan oleh Dr Amalina ini. Mudah je dan ia sebenarnya adalah amalan kecantikan asas dalam kehidupan kita.
Info Ekstra!
Dr Nur Amalina Che Bakri,31 merupakan graduan lulusan University of Cambridge dan pernah menimba pengalaman di Cambridge University Hospitals NHS Foundation Trust pada tahun 2013-2015.
Merupakan pelajar cemerlang keputusan peperiksaan SPM 2004 dengan memperoleh 17A1 serta melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di United Kingdom, England. Mengejar cita-cita menjadi pakar bedah payudara dan onkoplastik suatu hari nanti.
Sumber: Dr Amalina
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Produk Alternatif Bantu Kurangkan Risiko Kemudaratan Tembakau Di Kalangan Wanita
Isi Kandungan
TogglePendekatan Pengurangan Kemudaratan Tembakau (Tobacco Harm Reduction) semakin popular di peringkat global. Ianya membantu perokok tegar untuk berhenti merokok melalui pengenalan produk alternatif yang kurang mudarat.
Penggunaan produk alternatif yang kurang mudarat ini berbanding rokok tradisional terbukti efektif dalam menurunkan kadar individu merokok di negara ini.
Ianya bukan sekadar mengurangkan kemudaratan, tetapi juga berkesan dalam mengurangkan kekerapan merokok.
Bukan saja perokok lelaki, malah peratusan penggunaan tembakau secara global dapat dikurangkan di kalangan perokok wanita.
Hakikatnya, perokok dalam kalangan wanita Malaysia mengatasi jumlah perokok wanita di 16 buah negara lain. Ini kajian yang dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), agensi sejagat di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berpusat di Geneva Switzerland.
Data menunjukkan 1.4 peratus daripada 15.92 juta wanita Malaysia adalah perokok, sama ada tegar ataupun ringan. Ianya tidak melibatkan penggunaan produk alternatif atau vape. Hanya meliputi pelbagai produk tembakau yang mengandungi bahan kimia nikotin yang merangsang ketagihan.
Pengurangan Kelaziman Merokok Tembakau Di Kalangan Wanita
Forum global, 4th Scientific Summit Tobacco Harm Reduction: Novel products, Research & policy anjuran SCOHRE, perbincangan bersama panel pakar mengenai isu-isu Pengurangan Kemudaratan Tembakau.
Menurut ahli panel, Konstantinos Kesanopoulos yang membincangkan tajuk ‘Polisi Kawalan Tembakau: Pencegahan, Pengurangan Kemudaratan, Pemberhentian’ pada tahun 2019, terdapat 1.14 billion perokok aktif di peringkat global.
Daripada jumlah itu, hampir 8 juta kematian dicatatkan disebabkan merokok. Sebanyak 20.2 peratus kematian dari kalangan perokok lelaki dengan kelaziman merokok tembakau, manakala 5.8 peratus dari kalangan wanita.
Catatan peratusan ini menunjukkan wanita juga tidak boleh diabaikan apabila membincangkan perihal pengurangan kemudaratan tembakau ini.
Malah strategi kawalan tembakau ini telah menyumbang kepada pengurangan kelaziman penggunaan merokok tembakau secara peringkat global. Penurunan ini mencatatkan 27.5 peratus di kalangan lelaki dan 37.7 peratus di kalangan wanita.
Antara tahun 1990 hingga 2019, menunjukkan penurunan yang ketara dalam kelaziman penggunaan rokok tembakau di 135 negara bagi lelaki dan 68 negara bagi wanita. Manakala, terdapat peningkatan yang ketara ditunjukkan di 20 negara bagi lelaki dan 12 negara bagi wanita.
Bagaimanapun bagi negara dengan populasi yang besar, dengan kadar pertumbuhan penduduk yang bertambah, pengurangan kelaziman merokok tembakau ini menunjukkan peratusan kemajuan yang perlahan. Terutama 5 tahun kebelakangan ini.
Justeru, bagi mencapai kejayaan strategi kawalan tembakau ini, perlunya merangka kerja yang lebih kukuh dan pemantauan daripada badan dunia WHO.
Risiko Jangkitan Kanser Paru-paru
Persatuan Kanser Amerika Syarikat pula menyatakan jumlah kematian yang berkaitan dengan tembakau dicatatkan sejumlah 175 juta (2005-2030).
Data yang dikongsikan oleh Dr Ignatios Ikonomidis menjelaskan risiko jangkitan kanser paru-paru adalah 25 kali ganda lebih tinggi berbanding bukan perokok baik lelaki mahupun wanita.
Langkah kawalan negara itu yang meningkatkan kadar cukai dan kesedaran pendidikan menunjukkan penurunan sekaligus pengurangan kadar kematian akibat kanser paru-paru.
Malah, kadar penurunan kematian juga dicatatkan di Norway, tetapi tidak di negara Poland. Sehingga tahun 2020, usaha untuk memerangi kanser masih diteruskan dan memberi cabaran besar kepada masyarakat dunia.
Dan inisiatif pengurangan kemudaratan tembakau adalah antara usaha yang dilakukan dalam mengurangkan bahaya terhadap kelaziman merokok tembakau ini.
Cadangan Dikemukakan Pakar Dalam Forum Perbincangan
Tentunya cadangan yang dikemukakan panel pakar ini, berguna untuk dimanfaatkan bersama.
• Dr Fernando Fernandez Bueno menekankan bahawa biarpun saintis percaya produk Pengurangan Kemudaratan Tembakau (THR) dapat membantu perokok berhenti merokok, masih ramai lagi yang menentangnya. Menjadi peranan penting untuk memberi kesedaran pendidikan kepada masyarakat mengenai produk THR ini.
• Dr Loannis Boukovinas, MD, PhD, ahli onkologi perubatan bersetuju bahawa produk kurang kemudaratan adalah alternatif untuk berhenti merokok. Namun, masih banyak lagi data yang perlu dihimpunkan terutama berkaitan toksikologi (berkaitan racun) dan biologi berkaitan kanser, mengurangkan kadar nitrosamin dalam rokok alternatif. Lagipun, masih belum ada kesan yang tepat berkaitan wap rokok alternatif dan kanser.
• Bengt Wilberg mengambil pengalaman Sweden, Norway dan Iceland yang berjaya mencapai sasaran Endgame sebanyak 5%. Bagaimana, negara-negara ini berjaya melakukannya.
• Dr Ikomomidis menegaskan nikotin tidak menjadi punca kerana dalam jangka masa yang panjang, peralihan dari produk tembakau kepada produk tidak mudah terbakar dapat meningkatkan tahap kesihatan dengan ketara.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Sebaik Tamat SPM, Dara Ini Ku Hadiahkan Pada Lelaki Bertuah
Isi Kandungan
ToggleRamai mak ayah menyangka, dengan menyekat kebebasan anak-anak remaja mampu mengawal mereka dari terlibat dengan gejala sosial. Ada benarnya, tetapi dalam pada masa yang sama, mak ayah kenalah sedar, anak kita tetap perlu diajar hidup bermasyarakat.
Fikirkan, kenapa anak-anak sekarang, jarang bergaul dengan saudara mara? Mengapa anak-anak sekarang, ada yang tak kenal pakcik dan makcik mereka?
Jawapannya MUDAH. Bila mereka merasakan dah duduk dalam tahap kedewasaan, mak ayah bukan lagi sandaran utama. Ke mana mak ayah pergi, mereka takkan mengikut.
Baik pulang ke kampung, kenduri-kendara mahu pun majlis yang dianjurkan oleh ahli keluarga. Mereka lebih senang tinggal di rumah. Mak ayah pasti lebih tenang sekurang-kurangnya anak-anak tak berpeleseran di luar. Tak TERLIBAT DENGAN GEJALA NEGATIF.
Pernah atau tak mak ayah pantau aktiviti anak dalam rumah? Jangan sampai terlambat. Walau dalam rumah, anak remaja tetap tak selamat.
Dalam rumah lebih bahaya sebenarnya. Lagi jika ada INTERNET. Itu talian hayat mereka. Ini kisah benar yang terjadi pada seorang remaja bernama Mawar (bukan nama sebenar)
Mawar Mencari Cinta ‘Maya’
“Nama aku Mawar. Masih bersekolah di tingkatan 5. Aku tinggal di kota metropolitan Kuala Lumpur. Walaupun menetap di kawasan segi tiga emas, hidup aku tidak seperti remaja lain yang bebas bersosial dengan rakan dan mengecap kegembiraan dengan aktiviti kegemaran.
Kehidupan aku diikat dengan peraturan dan jadual. Pergi ke sekolah berhantar, balik pula berjemput. Tiba di rumah, sudah ada tugas yang menanti. Kelas tambahan, kerja rumah dan banyak lagi. Tiada langsung sekelumit ruang untuk berpeleseran bersama rakan.
Bukan setakat itu, aku juga dilarang sama sekali untuk memiliki telefon bimbit. Setakat telefon bimbit tidak mengapa, malah tidak dibenarkan langsung untuk memiliki apa-apa akaun media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan macam-macam lagi. Aku hanya dibekalkan dengan sebuah komputer riba dan sambungan internet untuk melayari alam maya untuk mencari informasi sekadar yang perlu. Tidak lebih dari itu.
Ayah selalu sebut, apa yang dia lakukan adalah untuk kebaikan diri aku sendiri. Dikawal dari anasir-anasir yang mampu merosakkan serta menggugah kesantunan seorang gadis remaja. Ya. Aku dikawal dari segenap sudut.
Biarpun dikawal ketat dari pelbagai arah, sebenarnya ayah telah tersilap langkah. Aku akui akan hal itu. Ayah risau anak kesayangannya dirosakkan oleh manusia maujud tetapi tanpa sedar, ayah telah membenarkan predator untuk menghancurkan emosi dan fikiran aku melalui Internet.
Jika diluar aku tidak dibenarkan berkawan dengan mana-mana lelaki secara intim tetapi di alam maya, aku boleh membawa mereka, bukan sekadar masuk ke rumah tetapi juga berselingkuh di ranjang. Itulah realitinya.
Dengan rasa ingin tahu, aku memulakan pencarian maklumat di Internet dengan kata kunci berunsur seksual. Wow. Banyak betul yang aku pelajari. Tahun 2016 menjadi saksi bahawa aku mula mengenali hal-hal berkaitan seks secara umum.
Kemudian apabila perasaan itu semakin membuak-buak dan sukar dibendung, aku melangkah ke tahap yang lebih tinggi sehingga belajar cara untuk memuaskan nafsu sendirian. Aku mula berangan. Berangan melakukan hubungan terlarang dengan sesiapa sahaja yang aku mahu untuk kepuasan nafsu.
Aku juga telah meminjam telefon ayah dan mula beraksi di hadapan kamera tanpa seurat benang. Ya ini semuanya adalah untuk kepuasan diri sendiri. Gambar-gambar tersebut dipindahkan ke dalam laptop dan disorokkan failnya supaya tidak tertangkap.
Aku mahu lebih. Hal itu disuarakan kepada sepupu yang sangat aku percaya. Memandangkan aku telah dikenakan sekatan dari terlibat dengan mana-mana laman sosial yang menggunakan gajet, sepupu aku mencadangkan agar aku mendaftar akaun Telegram. Dengan bantuannya, aku dapat mencipta sebuah akaun dan ‘online’ menggunakan laptop sahaja.
Rupa-rupanya dunia di luar sana begitu luas dan indah untuk diteroka. Patutlah ayah melarang keras aku dari terlibat secara langsung dengan dunia sosial alam maya ini. Melalui aplikasi Telegram aku mengenali ramai orang. Baik lelaki mahu pun perempuan. Dari situ aku telah melakukan hubungan intim secara maya dengan sesiapa sahaja. Malah tanpa segan silu, aku membiarkan tubuh aku dijarah oleh lelaki-lelaki mata ke ranjang melalui gambar yang dikirim.
Keinginan aku semakin memuncak. Jiwa remaja semakin kacau dan rebel. Aku mahu lebih lagi dari apa yang telah aku lalui. Ayah telah berjanji yang dia akan benarkan aku untuk menghabiskan masa bersama rakan-rakan wanita selepas habis SPM.
Aku telah memasang rancangan untuk menghadiahkan dara ini kepada lelaki yang bertuah selepas SPM nanti. Aku tidak akan menyesal kerana perasaan ini telah aku pendam bertahun lamanya. Penat sudah aku berangan dan berkhayal. Kali ini, biar aku rasai nikmat sebenar kehidupan remaja.”
Dari Perspektif Guru Kaunseling
Ibu bapa fikir, melarang anak-anak remaja bersosial di luar boleh menyelamatkan mereka dari terjebak dengan gejala negatif. Sebagai alternatif, kita biarkan anak-anak hanyut dengan dunia Internet tanpa sempadan. Tanpa kita sedar, mudarat alam saiber lebih parah berbanding bersosial di alam nyata.
Kisah Mawar adalah secebis kisah daripada lebih 400 ribu kisah remaja seusia dengannya, malah bukanlah kes terpencil jika dibandingkan dengan lebih 2 juta pelajar yang berada di sekolah menengah (berdasarkan enrolmen murid KPM). Tetapi cerita Mawar menunjukkan bahawa betapa berisikonya anak-anak remaja yang bakal mentadbir negara satu hari nanti.
Melalui alam maya, pemangsa yang berkeliaran di luar boleh dibawa masuk ke dalam rumah hatta boleh berselingkuh di ranjang tanpa bertemu. Matlamat utama, kepuasan dinikmati bersama.
Perkara ini boleh dielak sekiranya ibu bapa tahu bagaimana untuk mengurus penggunaan gajet anak-anak. Mahu melarang terus memang tidak boleh. Ini zaman mereka. Mereka lahir pada zaman gajet yang bukan menjadi kehendak tetapi keperluan.
Samalah seperti kita dahulu. Main lastik, bercempera di sungai, main guli dan banyak lagi permainan yang menjadi kegilaan pada waktu itu. Bagaimana sekiranya ibu bapa melarang? Kita tetap curi-curi untuk melastik burung dan mandi sungai kan? Begitu juga dengan anak-anak zaman kini. Ini hak mereka. Biarkan mereka menikmati alam kanak-kanak mereka sesuai dengan zaman. Apa yang penting ialah kawalan.
Tip Kawal Gajet Anak Di Rumah
Ibu bapa perlu menjalankan pemantauan pada setiap perbuatan anak-anak. Berikut beberapa tip yang boleh diguna mengikut kesesuaian ibu bapa.
1 Ambil Kisah Tentang Laman Sosial Anak-anak
Sebagai ibu bapa, kita boleh memantau status yang dikongsi, bahasa yang digunakan dan dengan siapa mereka bersembang, Lagi baik sekiranya kita pegang password mereka agar lebih mudah untuk ibu bapa pantau.
2. Sesekali Lakukan Spot Check Terhadap Gajet Anak-anak
Selongkar galeri gajet mereka, semak laman sembang yang terpasang pada gajet anak-anak seperti WhatsApp, WeChat, BeeTalk, Telegram dan pelbagai laman sembang lain. Bagi yang menggunakan laptop, siasat history penggunaan browser mereka. Laman web apa yang mereka singgah. Ambil tahu.
3. Hadkan Penggunaan Internet
Letakkan had waktu supaya anak-anak tidak terlajak menggunakan internet sehingga awal pagi. Tutup sambungan wifi atau simpan gajet mereka pada waktu malam dan pulangkan semula keesokannya.
4. Pastikan Anak-anak Melayari Internet Di Ruang Terbuka
Jangan biarkan anak-anak melayari internet bersendirian seperti di dalam bilik, di dalam bilik air atau di mana-mana sahaja tempat yang berisiko. Biar mereka meneroka alam saiber di ruang tamu atau ruang terbuka.
5. Pastikan Dengan Siapa Mereka Keluar
Sekiranya anak-anak mahu mengadakan janji temu dengan rakan-rakan baru alam maya, kenali siapa rakan mereka. Jika boleh pastikan anak-anak kita berteman. Bukan berjumpa secara empat mata.
6. Didik Anak-anak Cara Penggunaan Internet Dengan Bijak
Ceritakan kepada anak-anak kebaikan dan keburukan penggunaan internet tanpa kawalan.
7. Perhatikan Perubahan Sikap Anak-anak
Sekiranya sikap anak-anak nampak berbeza atau asing, dekatilah mereka dengan penuh kasih sayang. Bercerita dan minta mereka luahkan sekiranya ada apa-apa masalah.
Biar Kongkong Sekarang, Jangan Menyesal Kemudian
Tip-tip yang dikongsi nampak seperti ibu bapa terlalu mengongkong, tetapi itulah langkah yang perlu diambil sebagai tanda kita sayang kepada anak-anak. Biasa tak kita menerima mesej “malam jumaat”, gambar mengghairahkan, ‘meme’ lucah, video tanpa tapisan yang dikongsi di laman sembang kita? Ya. Itu jugalah yang diterima oleh anak-anak melalui grup WhatsApp mereka. Anda mahu anak-anak didedahkan dengan perkara-perkara tersebut sejak kecil? Jika tidak, tolong lakukan sesuatu.
Pernah atau tidak anda mendengar istilah buli saiber? Perkara ini kerap berlaku kepada anak-anak remaja apabila mereka dipalau (baca pulau) di dalam grup sembang mereka. Malah ada juga yang menerima ‘mental torture’ daripada rakan-rakan sendiri. Anda mahu anak anda terjebak dengan masalah ini? Jika tidak, tolong lakukan sesuatu.
Banyak kesan buruk akibat penggunaan laman sembang yang tidak dikawal. Di sini saya kongsikan, beberapa kes yang berlaku berserta rujukan akhbar dalam talian.
1.Pelajar 13 tahun dirogol 4 kenalan Wechat – http://www.bharian.com.my/node/193609
2.Pelajar tingkatan 1 dirogol rakan wechat – http://www.sinarharian.com.my/nasional/pelajar-tingkatan-1-dirogol-rakan-wechat-1.400158
3.Gadis 13 Tahun Dirogol Rakan Facebook Dalam Pertemuan Kali Kedua – http://www.mstar.com.my/berita/berita-jenayah/2014/05/27/dirogol-rakan-fb/
4.Dua Gadis Belasan Tahun Dirogol 38 Lelaki – http://www.sinarharian.com.my/semasa/kes-rogol-suspek-ke-15-ditahan-polis-1.286097
5.Jual beli dadah dalam talian – http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/jual-beli-dadah-dalam-talian-1.376635
Sebab Itu Perlunya
Biarkan anak-anak kita membesar mengikut zaman mereka. Beri mereka kebenaran menggunakan gajet asalkan dengan kawalan dan pemantauan. Anak-anak kita tanggung jawab kita. Jangan sudah terhantuk baru terngadah.
Sumber: Abdul Muiez Ruslee, Guru Bimbingan dan Kaunseling SMK Sungai Burong Tanjong Karang, Selangor. www.lobam.my
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Ibu, Bertaubatlah..
Isi Kandungan
ToggleKejamnya ibu membuang zuriat sendiri. Tega sungguh kamu membuang janin yang sudah 9 bulan kau kandungkan dengan susah derita dan air mata. Kau campakkan dia dari tingkat dua bangunan, kau buang dia dalam tong sampah, kau sangkut dia di pintu pagar masjid. Semudah itukah kau melupakan dosa besar yang pernah kau terlanjurkan?
Catatan yang dikongsikan Cik Puan Ammy ini untuk ibu fahami. Agar para ibu yang telah melakukan dosa yang berulang-ulang, berzina malah membunuh tanpa perasaan menyesal kembali bertaubat kepada Allah. Kerana pintu taubat tuhan itu sentiasa terbuka luas. Ibu, bertaubatlah selagi masih punya waktu.
Ibu, Apa Dosaku..
Apa salahku…? Adakah wujudnya aku daripada perbuatanmu yang terlarang maka kau hukum aku bergini. Tidakkah ada sedikit kasih sayang dari sudut kecil hatimu untuk menyayangiku, mengasihiku ataupun mengasihani aku.
Aku ingin hidup ibu, ingin menikmati susu mu, ingin merasai belaian manja tanganmu dan ingin menjagamu di usia tuamu kelak. Adakah wujudnya aku hanya dari nafsu serakahmu maka aku dihumban ke bawah, di campak tanpa sehelai benang, dibiarkan tergolek di dada jalan kaku tidak berdaya.
Ibu… Andai aku boleh berkata – kata, akan ku sujud di kakimu mohon kemaafan kerana aku wujud di rahim mu tanpa redha mu.
Ibu… Tempatku adalah di sisimu. Bukan di longkang atau di parit, bukan di lubang najis atau kelikir jalan yang keras. Aku layak dibelai dan dimanja. Bukan dijilat atau digonggong haiwan betaring, bukan dicampak atau dijadikan tempat melepaskan amarahmu.
Maafkan aku ibu… Ampunkan aku ibu… Wujud aku membuatkan mu lelah, menanggung derita sakitnya melahirkan bersendirian tanpa lelaki kejam yang tidak layak dipanggil ayah sehingga kamu menjadi tidak waras, sanggup menjadi pendosa membuang anakmu, darah dagingmu yang kamu kandung 9 bulan 10 hari.
Ibu, Tidak Mengapa..
Andainya ditakdirkan nafasku hanya sampai disini… Aku kembali kepada maha pencipta… Akulah kupu – kupu syurga itu… Akan bebas beterbangan di taman – taman syurga. Terima kasih ibu kerana izinkan aku bertahta di rahim mu walaupun hanya sementara.
Andainya itu mahumu… Selamat tinggal ibu… Andai di izinkan tuhan kita akan bertemu jua nanti di hari pembalasan. Bertaubatlah ibu… Mohon keampunan ilahi agar aku dapat merasai nikmat susumu yang aku rindu sekian lama….
Ibu… Jika aku diizinkan tuhan, bernafas di dunia ini, doakan aku ibu… agar menjadi anak yang soleh dan taat padaNya agar di sana nanti aku dapat memimpin tanganmu menuju ke pintu syurga kerana aku rindukan belaian tanganmu yang tidak diberi kesempatan untuk aku merasainya.
Bertaubatlah ibuuuuu….
Sumber/Foto : Cik Puan Ammy
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI