Ya…Jangan main-main dengan sedekah. Sedekah itu, banyak keajaibannya. Hanya orang yang biasa bersedekah sahaja yang dapat merasainya.
Hulur RM50, Dapat RM1,500
Pernah berlaku, seorang sahabat saya memberi sedekah RM50 kepada seorang lelaki yang kelaparan bersama anaknya. Padahal, masa itu di dalam kocek sahabat saya itu, hanya itulah duit yang dia ada. Tapi, dia jenis orang yang tidak boleh nampak orang lain susah. Dirogoh juga saku seluarnya. Dia pejamkan mata lalu RM50 pun bertukar tangan.
Sedekah suburkan rezeki.
Selepas itu, sahabat saya pun meneruskan niatnya. Mengunjungi seorang kenalan yang sedang sakit di hospital. Di sanalah keajaiban itu bermula.
Ads
“Lan, engkau ada apa-apa urusan ke lepas ini?”
Seorang kenalan kepada sahabat saya yang sama-sama mengunjungi sahabat yang sakit di hospital bertanya kepada sahabat saya. “Tak ada. Aku free…” Balas sahabat baik saya itu. “Okay. Aku nak jumpa seorang kawan di restoran . Jika engkau free, jom ikut aku.”
Pelawa lelaki berkenaan kepada sahabat saya itu.
Ringkas cerita, sahabat saya pun mengikutinya. Di restoran itu, berlakulah keajaiban seterusnya.
“Saya memang sedang mencari mana-mana akauntan yang boleh buat audit dan akaun syarikat saya. Tuan ada kenal mana-mana akauntan yang bertauliah?”
Lelaki yang ditemui di restoran berkenaan bertanya kepada kenalan sahabat saya. “Apa susah-susah. Ini ha, sahabat baik saya ini, si Razlan. Dia memang akauntan bertauliah, malah juruaudit terlatih lagi.”
Balas kenalan sahabat saya.
“Wah…Alhamdulillah. Jika begitu, saya minta tuan sahajalah uruskan akaun saya. Boleh?” Ujarnya lagi, dengan wajah ceria dan mengharap.
Lalu di saat inilah, berlakunya keajaiban ketiga. Ya, hari itu sahabat baik saya telah mendapat sekeping cek bernilai RM1,500.00. Jumlah itu adalah pendahuluan untuk kerja-kerja yang baharu sahaja dia dapatkan.
Ads
Sedekah mengajar kita untuk lebih bersyukur.
Kisah Benar Keajaiban Sedekah
Ada satu lagi kisah benar. Ia berlaku ke atas diri saya sendiri. Tahun 2013, saya mendapat tawaran dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk mengerjakan umrah. Melonjak rasanya hati. Suatu hari, saya ke Kaunter Zakat Selangor di Selayang. Tujuannya, untuk menunaikan sebahagian zakat.
Pulang daripada menunaikan zakat, saya keletihan lalu tidur. Tidak lama, isteri datang mengejutkan. “Abang, tadi orang daripada wakil kesihatan datang. Mereka buat pemeriksaan jentik-jentik mengejut…” “Habis tu…” Saya terkejut, bingkas duduk, memotong sebelum sempat isteri saya menamatkan cerita. “Mereka jumpa jentik-jentik, bang. Ikutkan boleh kena denda. Tapi, mereka bagi amaran sahaja dan juga ubat jentik-jentik.” Isteri saya terus menerangkan.
Ads
Saya termanggu. Kata isteri saya, jika diikutkan kami boleh didenda sehingga ratusan ringgit. Namun, kebaikan hati pihak berkuasa berkenaan telah meringankan dengan diberikan amaran dan juga ubat pemati jentik-jentik.
Yakin
Hakikatnya, saya yakin. Itulah keajaiban sedekah. Bukankah pagi tadi, saya baharu sahaja menunaikan zakat. Zakat adalah sedekah wajib. Tidak mustahil, itulah punca mereka menjadi baik hati.
Bayangkan. Saya mahu ke Mekah mengerjakan umrah. Pasti saya memerlukan wang yang banyak. Didenda pula kerana ‘memelihara’ jentik-jentik. Tentu ia mengganggu saya. Mengganggu kewangan saya.
Moral daripada cerita di atas apa? Ya, jangan main-main dengan sedekah. Jangan takut untuk bersedekah. Ia adalah cara paling mudah menjemput rezeki. Jika tidak yakin, maka bertaubatlah. Kerana bersedekah dan berzakat, memang dijamin Allah. Kelak jika ada kesempatan, saya akan berkongsi lagi mengenai tip bersedekah. Wallahuallam.
**Artikel ini dikongsikan oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Pengurus Perundingan Zakat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS), yang disiarkan di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Solat merupakan rukun Islam kedua. Dalam menunaikan solat perlu ada ilmu dan beri penekanan pada 3 kategori Rukun Solat iaitu Qalbi, Qauli serta Fi’li. Mungkin ramai yang sedar atau terlupa bahawa rukun qauli dalam solat ada 5 dan perlu dilafazkan sampai didengari oleh telinga. Hati-hati ia bukan dibaca secara berbisik, suara angin mahupun baca didalam hati, ini boleh sebabkan solat kita tidak sah sama sekali.
Rukun Qauli dalam solat, WAJIB berlafaz sampai didengari oleh telinga sendiri, tak kira lelaki atau wanita. Berbisik, TAK SAH. suara angin, TAK SAH. baca dalam hati, lagi TAK SAH. Satu huruf tidak terdengar pun Al-fatihah tu tak sah. Kecuali kita berada di tempat bising atau speaker masjid kuat sangat.
Rukun Qauli tu adalah Takbiratul Ihram, Al-Fatihah, tahiyyat akhir, selawat dan salam pertama.
Ada 5 sahaja rukun qauli yang lain rukun fi’li dan qalbi.
Rukun solat terbahagi kepada tiga kategori :
1. Qalbi (diingat dalam hati)
2. Qauli (diucap dengan lidah)
3. Fi’li (perbuatan)
Rukun solat ada 13 perkara iaitu :
1. Berdiri bagi yang mampu. (Fi’li)
2. Niat. (Qalbi)
3. Takbiratul Ihram (Allahu Akhbar yang pertama). (Qauli)
4. Membaca surah Al-Fatihah. (Qauli)
5. Rukuk dengan tama’ninah . (Fi’li)
6. Iktidal dengan tama’ninah. (Fi’li)
7. Sujud dengan tama’ninah. (Fi’li)
8. Duduk di antara dua sujud, dengan tama’ninah. (Fi’li)
9. Duduk Tasyahhud akhir. (Fi’li)
10. Membaca bacaan Tasyahhud Akhir. (Qauli)
11. Selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. dalam Tasyahhud Akhir. (Qauli)
12. Mengucapkan salam yang pertama. (Qauli)
13. Tertib. (Qalbi)
MW: Semoga perkongsian ilmu solat ini bermanfaat. Sama-sama kita memperbaiki bacaan dan memperbetulkan perbuatan solat, agar solat yang kita kerjakan itu SAH dan tidak sia-sia.
Ada benarnya, sebagai mak ayah dan orang tua, seringkali memikirkan duit simpanan, rumah pusaka dan harta benda buat kegunaan dan kemudahan anak cucu bila diri dah tiada dunia. Hakikatnya, anak-anak dan cucu-cucu ada rezeki mereka masing-masing. Biarlah mereka berusaha dengan selagi daya. Sebaliknya, tinggalkanlah anak cucu dengan ilmu, iman dan amal sebagai bekalan ‘harta’ yang tidak ternilai.
Bagi kita, duit simpanan dan harta benda yang ada, ‘laburkan’ untuk persediaan di alam sana. Banyakkan bersedekah, derma, infak dan manfaatkannya untuk kembara melihat dunia.
Perkongsian catatan Iman Qowiyy ini semoga menjadi renungan buat kita;
Bak kata ustaz baru-baru niee… buat apa mu dok simpan duit banyak-banyak. “Untuk anak cucu, ustaz.”Anak-anak cucu mu ada rezeki masing-masing. Di usia tua, savings mu tak dapat menolong pun dalam kubur. Ada duit- derma atau kembara lihat ciptaan Allah.
Pesanan Ibu Yang Membuat Saya Tersentak
“Ingat nak. Kadang-kadang orang beli rumah, mereka terlupa yang umur dia makin lama makin meningkat tua. Tenaga kita pun bukan semakin bertambah.
Berapa ramai orang yang beli rumah dua tingkat, tiga tingkat, akhirnya cuma guna bilik kecil di tingkat bawah dan yang paling hampir dengan tandas.
Katil yang tinggi dan mewah, turun ke lantai. Dapur yang di ‘renovate’ berpuluh ribu diganti dengan meja makan 20×40 inci tepi katil. Kolam renang cuma mampu dilihat. Besen berisi kain buruk yang diletak ditepi katillah kolam renang kita.
Kita fikir nak senangkan anak-anak, tapi bila kita tua dan mati, anak-anak dah ada rumah sendiri. Design rumah 30 tahun akan datang tak sama dengan sekarang. Taknak mereka duduk rumah pusaka. Akhirnya dijual. Kalau rambang mata silap-silap pusaka kita jadi fitnah bergaduh sesama saudara.
Ambillah jalan sederhana. Beli rumah yang cukup-cukup untuk kita berselisih bahu dengan ahli keluarga. Lebih mesra. Bukan yang 10 kali laung pun tak muncul-muncul depan muka. Lebihan duit yang ada, binalah rumah mewah untuk keluarga kita disyurga sana”
Perkongsian yang cukup hebat untuk kita semua.
MW: Semoga bermanfaat dan menjadi renungan buat kita. Harta yang ada manfaatkanlah sebaiknya untuk kegunaan kita di alam yang kekal abadi selamanya. Tinggalkanlah anak cucu dengan ilmu, iman dan amal sebagai bekalan ‘harta’ yang tidak ternilai.
Kebersihan dan suci diri daripada najis merupakan antara syarat sah solat.Namun mungkin ada yang terlepas pandang dengan antara adab ketika berada didalam tandas, iaitu kepentingan mengalirkan air paip pada dinding tandas. Ia bagi mengelak percikan najis dibawa bersama ketika keluar tandas.
Untuk ketahui lebih lanjut perkara ini, boleh fahamkan perkongsian daripada Ustaz Iqbal Hamzi Md Anuarsebagai rujukan kita bersama.
Di antara adab masuk tandas yang saya belajar dengan guru saya suatu masa dahulu, dan belum dapat lagi di tempat lain.Selain daripada melangkah masuk dengan kaki kiri, lipat seluar, beralas kaki (memakai selipar khas tandas).
Alirkan Air Paip Pada Dinding Tandas
Adab yang satu ini juga penting dan mungkin masih ramai yang belum biasa buat.Iaitu mengalirkan dahulu air paip pada keseluruhan dinding tandas. Dari kiri ke kanan, kanan ke kiri. Jangan terus halakan air ke lantai tandas, bimbang nanti terpercik pada kaki atau seluar.
Sebahagian Thoharah
Ini penting dan sebahagian daripada thoharah.Kerana kita tidak tahu bagaimana dan di mana pengguna tandas sebelum kita membuang air.Sama ada dengan cara berdiri atau duduk. Di dinding atau di lubang tandas. Dia selesaikan hajatnya dengan ilmu atau secara semberono.
Boleh jadi pada dinding itu ada percikan-percikan air najis yang kita tidak nampak (najis hukmi).Apabila air dialirkan dari bahagian dinding, automatik air tersebut akan membawa sekali najis-najis hukmi pada dinding dan lantai tandas.
Sebelum Keluar Tandas, Ulang Semula
Kemudian, selepas kita selesaikan hajat kita, sebelum keluar, ulang semula perbuatan mengalirkan air pada dinding dan lantai tandas.
Jangan Lupa Bilas Kaki
Dan jangan lupa, bilas kaki sebelum melangkah keluar daripada tandas. Sebab kita tidak mahu najis-najis yang ada dalam tandas itu kita bawa keluar.Lebih-lebih tandas rumah atau tandas masjid.
Kalau kita terbawa keluar najis tandas ke dalam rumah dan dalam masjid, bimbang. Seluruh lantai rumah atau masjid akan jadi najis, najis, najis di mana saja kita jejak.
Akibatnya, sembahyang kita dan umat Islam yang lain tidak sah.Bila sembahyang umat Islam tidak sah, ibaratnya umat Islam tidak sembahyang.
Bila umat Islam tidak sembahyang, bantuan Allah tidak datang. Umat Islam akan terus terhina di mana-mana.
Mari ambil perhatian. Wallahu a’lam..
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dan menjadi panduan buat kita dalam menjaga kebersihan dan kesucian diri.Lebih-lebih lagi melibatkan syarat sah solat, suci daripada najis.