Kentang adalah sejenis tumbuhan yang tumbuh di dalam tanah dan tinggi dengan kandungan karbohidrat. Tergolong dalam kelompok tumbuhan yang dikenali dengan nama saintifiknya Solanum Tuberosum ideal dijadikan sebagai menu pembuka, salad, di rebus dan digoreng dan dijadikan inti untuk pastri.
Buat pencinta kentang, elakkan mengambil kentang yang sudah mempunyai tompokkan hijau di atasnya. Hal ini terjadi apabila berlakunya tindak balas toksik semulajadi yang dikenali sebagai glycoalkaloids iaitu solanin dan chaconine.
Kulit kentang yang berwarna hijau menunjukkan kehadiran toksin dan tunas mengandungi kepekatan toksin yang paling tinggi. Manakala isi ubi kentang mengandungi toksin yang paling rendah. Kentang yang dicemari dengan toksin ini mempunyai rasa pahit dan pengambilannya boleh menyebabkan cirit- birit, muntah, dan sakit pada bahagian abdomen. Sebaiknya buang saja kentang itu, bagi mengelakkan berlakunya keracunan.
Fakta lain tentang kentang direkodkan terdapat tujuh jenis kentang yang berbeza warna, saiz wujud di dunia ini dan menjadi sebahagian dari subjek penting dalam dunia kulinari. Berikut adalah sebahagian info menarik mengenai kentang.
- Kentang Ungu
Kentang ini berasal dari Amerika Selatan dan sudah mula popular di Amerika Syarikat. Kebanyakan kentang ungu boleh didapati pada musim luruh. Kentang yang boleh dianggap luar biasa ini mempunyai rasa seperti kekacang, dengan isi aneka warna, daripada warna biru tua atau lavender hingga warna putih. Warnanya kekal bila dimasak dalam ketuhar gelombang mikro, tetapi ia juga boleh dipanggang dan dikukus. Warna kulit semula jadinya juga memberikan warna biru dan ungu menarik kepada mana-mana sajian.
Jenis utama termasuk: Purple Peruvian, All Blue
- Kentang Russet
Russet adalah jenis kentang yang digunakan secara paling meluas di Idaho, Amerika Syarikat. Sebahagian besarnya ditanam di kawasan barat laut. Kentang jenis ini boleh didapati sepanjang tahun, lebih berkanji dan boleh dikenali daripada kulit perang bersirat dan isi putih. Disebabkan kandungan kanjinya yang tinggi, teksturnya bertepung bila dimasak, menjadikan kentang jenis ini sesuai untuk dibakar, digoreng dan dilecek. Kentang ini juga dianggap sebagai kentang serba guna yang baik. Pelbagai jenis kentang yang ditanam di Idaho adalah; Russet Burbank, Yukon Gold, Fingerlings, Red, dan sebagainya. Setakat ini, pelbagai jenis kentang Idaho yang paling popular adalah Russet Burbank.
Jenis utama termasuk: Burbank, Norkotah, Ranger, Shepody
- Kentang Merah
Kentang merah kini boleh didapati secara lebih meluas hampir sepanjang tahun. Ia boleh dikenali daripada kulitnya yang secara semula jadi berwarna merah, dengan isi putih, kuning ataupun merah. Kentang merah mempunyai tekstur kental, licin dan berlilin, menjadikannya sesuai untuk dibakar, dikukus, direbus dan juga dibuat salad. Kentang merah sering dirujuk sebagai “kentang baru” tetapi secara teknikalnya, “baru” merujuk kepada apa jua kentang yang dituai sebelum usia matang.
Jenis utama termasuk: Chieftain, Dakota Rose, La Rouge, Norland, Red La Soda
- Kentang Putih Bulat
Kentang jenis ini sifatnya sentiasa tumbuh sepanjang tahun dan kentang putih bulat mempunyai kandungan kanji sederhana tinggi dan kulit nipis warna perang muda dengan isi putih. Teksturnya kekal gebu dan meskipun selepas dimasak. Dianggap sebagai kentang serba guna, kentang putih bulat boleh digunakan dengan pelbagai cara dan amat sesuai untuk salad dan sajian yang berkeluk, dikukus, digoreng atau dipanggang.
Jenis utama termasuk: Atlantic, Katahdin, Norwis, Reba, Superior
- Kentang Putih Panjang
Kentang putih panjang berbentuk bujur, dengan kandungan kanji sederhana tinggi dan kulit nipis berwarna perang muda. Kentang jenis ini mempunyai tekstur pejal gebu bila dimasak. Kentang putih panjang sesuai untuk direbus, dimasak dalam ketuhar gelombang mikro dan ditumis goreng. Ia juga adalah kentang serba guna.
Jenis utama termasuk: Kennebec, White Rose, Cal-White
- Kentang Kuning
Kentang kuning yang menjadi kegemaran penduduk Amerika Syarikat dan kini boleh didapati hampir sepanjang tahun. Kentang jenis ini mempunyai tekstur padat dan gebu dengan warna keemasan dan kelembutan rasa seperti mentega. Kentang kuning sesuai dilecek, dipanggang, dibakar, direbus dan dikukus.
Jenis utama termasuk: Yukon Gold, German Butterball, Sierra Gold
- Kentang Jejari
Kentang jejari adalah satu daripada sajian paling hangat di restoran Amerika. Kentang kecil ini berbentuk persis tiub lonjong panjang mirip jjari manusia. Lazimnya ia mempunya isi berwarna kuning. Ukuran panjangnya dari 5 hingga 10 sentimeter, dengan garis pusat 2.5-5 sentimeter. Teksturnya yang kental dan melekit menjadikannya sesuai dikukus, dibakar, direbus dan dijadikan salad.
Jenis utama termasuk: Russian Blue, Red Thumb, French Russian Banana.
- Ubi manis / keledek
Ubi keledek berisi oren didapati mengandungi beta-kerotin, manakala isinya pula kaya dengan bahan antioksida dan antosianin yang dapat melindungi kerosakan DNA, membantu mengurangkan perkembangan sel kanser, menstabilkan penyakit kencing manis serta meningkatkan daya ingatan.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI