Macam-Macam Ujian Datang
Bila Bergelar Isteri Pelbagai Ujian Datang
Namun ingatlah, walaupun hidup ini jadi tak seindah yang kita bayangkan dulu, namun kita masih boleh berubah… Berubah untuk mengubah apa yang kita lalui dan alami…
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Alasan Cerai Tak Masuk Akal ‘Isteri Suka Basuh Baju Waktu Malam’ ‘Punggung Isteri Menggerutu’, Kenapa Mudah Suami Melepaskan
Baru-baru ini di sebuah akhbar mendedahkan punca remeh temeh dan ada yang tidak masuk akal berlakunya perceraian. Antaranya, isteri suka membasuh baju pada waktu malam, punggung isteri menggerutu, suami tidak suka isteri makan dalam kereta, lambat menyediakan makanan dan banyak lagi.
Kenapa institusi kekeluargaan hari ini terlalu longgar? Sehingga begitu senang untuk suami melafazkan cerai? Malah perceraian yang berlaku dalam masyarakat seolah-olah menjadi seperti perkara mainan sahaja.
Menurut Inspirator Psikologi Kejayaan, Puan Saleha Idris, “Kata kunci pada perhubungan rumah tangga adalah KENAL dan FAHAM. Apabila kita sudah kenal dan faham barulah kita dapat berkomunikasi dengan baik.
“Membina rumah tangga bukan mudah seperti disangka. Semua alasan yang diberikan untuk meruntuhkan rumah tangga adalah selalunya perkara yang tidak boleh diterima.
“Di dalam psikologi, itu hanya dipanggil sebagai proses adaptasi dan akomodasi. Adaptasi adalah proses penyesuaian pasangan dengan alam perkahwinan.
“Yang mana apa sahaja berlaku kita perlu mengubah cara fikir dan sudut pandang kita sebelum ini dipanggil akomodasi.”
Contohnya seorang isteri atau suami yang kahwin mereka sudah lama membina cara fikir iaitu atas faktor cara kita dibesarkan, sekolah, budaya dan sebagainya.
Ini Punca Suami Mudah Melafazkan ‘Cerai’
Jadi dalam perkahwinan kita perlu ada matlamat untuk memulihkan dan membina keseimbangan di dalam personaliti, gaya hidup, komunikasi dan sebagainya.
1. Selalunya penceraian yang tanpa alasan yang tidak konkrit hanyalah kerana emosi negatif yang melebihi logik. Atau ketidakcerdikan dalam melayari rumah tangga.
2. Kolam jiwa yang penuh kelodak keegoan. Masing-masing menuding jari pada pasangan, isteri tidak faham suami dan suami tidak faham isteri.
3. Mungkin bagi sesetengah pihak merasakan perkara ini melucukan tetapi inilah realiti. Ada kalanya mereka memberikan alasan yang tidak munasabah untuk bercerai, adakah kerana masyarakat kita pada hari ini terlalu memikirkan soal yang remeh temeh?
Soal remeh temeh ini adalah disebabkan gaya hidup kita bukan kepada ketuhanan tetapi lebih kepada materialistik.
4. Apabila seorang isteri melihat suaminya lebih rendah dari sudut pendidikan, kewangan, cara hidup dan sebagainya. Mereka mudah memperlekehkan suami dan tidak tahu untuk hormat.
Suami pula dengan keegoan dan kurang kesabaran akan menyebabkan mereka tidak ada kesatuan dan keserasian.
5. Mudahnya mereka ingat lafaz dan akad yang dihasilkan hanya sebagai mainan duniawi bukan sebagai membina hubungan terus kepada Tuhan hingga ukhrawi.
Perkahwinan tiada matlamat yang jelas hanya untuk membina impian penuh tipuan.
6. Setiap fasa perkahwinan ada ujian tersendiri. Jika tak kuat dan tiada ilmu nak harungi setiap fasa dalam perkahwinan : fasa awal, fasa pertengahan dan fasa akhir maka penceraian yang jadi.
7. Faktor diam sendiri dalam menyelesaikan masalah dan tiada perbincangan dengan yang pakar dan pengalaman membuatkan mereka terjerat dalam kasih yang dibina. Keputusannya CERAI.
Antara penyelesaian yang boleh diambil pertama, terus menerus memenuhi diri dengan ilmu. Hanya dengan ilmu dapat membantu kita. Kedua, ada diskusi dengan kaunselor atau yang lebih berpengalaman.
Apabila berjumpa dengan orang yang lebih pakar, nasihat mereka umpama mutiara yang berharga dapat mengubah sedikit sebanyak mindset kita yang tepu dan kurang ilmu.
Ini Kesannya..
1. Pada Anak-anak
Bagi pasangan yang sudah mempunyai anak, anak yang masih kecil itu menjadi mangsa akibat kebodohan keputusan yang dibuat oleh ibu dan ayah yang hanya pentingkan diri sendiri.
Mereka umpama kain putih suci dan murni. Kita yang mencorakkan kesedihan dan keburukan kepada mereka.
Dalam psikologi, keperluan pertama dalam membina personaliti dan watak diri yang baik adalah bermula saat mereka kecil. Apakah keperluan? Iaitu kasih sayang yang baik dari penjaga anak itu.
Semak kembali anak kita.
Adakah mereka dibina dalam ruang persekitaran kasih sayang atau permusuhan. Akan ada perbezaan personaliti keduanya.
I. Anak yang dibina dalam persekitaran kasih sayang dan positif membesar lebih gembira, sihat dan personaliti yang baik.
II. Anak yang dibina dalam persekitaran sebaliknya akan mudah sedih, sakit dan watak diri yang tidak baik.
2. Kewangan Pun Terganggu
Untuk pasangan yang muda pula, kewangan, dan psikologi diri juga akan terganggu. Mungkin mereka lebih berhati atau ada rasa kerisauan dalam membina rumah tangga yang seterusnya.
Suami Isteri Fahamkan Ini
1. Jangan ingat bila seseorang itu berkahwin, ilmu rumah tangga hadir sendiri. Ia perlu dituntut dan diperoleh.
2. Semua pihak terus mengambil langkah untuk membina kerukunan rumah tangga, institusi kerajaan, swasta terus mengambil langkah supaya statistik penceraian tidak berleluasa.
Matlamat membina keluarga sakinah, mawaddah wa rahmah itu dituntut di dalam al-Quran dan juga agama lain. Lafaz penceraian adalah mudah dan yang dapat mengharungi rumah tangga adalah yang kuat jiwa mental dan emosi.
Dengar Apa Kata Mereka
Suami Jangan Jatuhkan Hukum Membuta Tuli
“Punca utama penceraian adalah kerana asas kehidupan yang tidak kuat iaitu pendidikan agama. Ramai yang cetek ilmu agama dan salah guna mengikut keperluan mereka dan bukannya supaya kita dapat kembali ke landasan yang betul.
Bila isteri buat silap dalam agama, wajib sang suami yang perbetulkan. Cari pendekatan supaya teguran diterima oleh isteri.
Bukan cari kesalahan isteri dan seterusnya hukum dengan penceraian. Lelaki kenalah jadi khalifah dalam rumah tangga bukannya jadi hakim yang menjatuhkan hukuman secara membuta tuli.
“Tak kurang juga dengan dugaan dekat luar terutamanya di tempat bekerja. Isteri zaman sekarang banyak berkerjaya, nak uruskan rumah tangga, anak-anak dan urusan keluarga yang lain.
Isteri bekerja untuk sama-sama bantu suami, tapi berapa ramai suami yang bila balik kerja sama-sama uruskan urusan rumah?
Kalau perkara asas ini seperti tanggungjawab dan sebagainya dikupas sejak sebelum nikah dan mereka dalaminya, Insya-Allah kes penceraian dapat dibendung dan dikurangkan,” Sharifah Othman
Remeh Pada Orang Luar Tapi Tak Untuk Suami Isteri
“Bila seseorang itu belum berkahwin,ia menganggap isu seperti ini remeh untuk dijadikan alasan bercerai.
“Walau bagaimana pun, situasi berbeza pada pasangan yang sudah berkahwin. Malah, dalam hubungan suami isteri, kadang-kadang ada perkara yang dianggap remeh oleh orang luar tetapi ia boleh menjadi masalah besar jika sudah hidup bersama.
“Oleh itu, kemungkinan alasan tersebut diguna pakai kerana sudah terlalu lama dipendam hingga mendatangkan kesan negatif dalam hubungan perkahwinan tersebut,” Nurul Shamira Rashikin
Jangan Pendam.. Bincanglah Suami Isteri
“Tak dinafikan memang wujud alasan-alasan bercerai yang tak munasabah seperti fizikal isteri yang tidak menepati cita rasa suami dan sebagainya.
Bagi saya itu mungkin disebabkan pengaruh media massa terutamanya televisyen. Isteri pun sama juga, sebab suami tak menepati ciri-ciri yang mereka mahukan maka itu dijadikan alasan untuk berpisah setelah berumah tangga.
Namun begitu, kadang-kadang itu hanya sekadar alasan untuk diberikan kepada orang ramai atau hakim ketika proses penceraian berlaku, mungkin ada alasan lain yang tidak dapat dikongsi.
Bukan itu sahaja, bagi saya keadaan ekonomi dan sara hidup yang tinggi pada masa kini juga menyumbang kepada punca penceraian yang tinggi dalam masyarakat hari ini.
Maka komunikasi itu amat penting dalam sesebuah perhubungan. Kalau ada yang tak kena jangan dipendam dan berbincanglah demi kesejahteraan rumah tangga yang dibina,” Mahadi Ibrahim
Jangan Ungkit, Nanti Konflik Pun Terhindar
“Tujuan perkahwinan ialah menyusun pergaulan antara lelaki dan wanita supaya diredhai Allah SWT. Oleh yang demikian, setiap pasangan seharusnya saling melengkapi setiap kekurangan pasangan.
Bagi saya antara perkara yang perlu dititik beratkan dalam menjaga keharmonian rumah tangga ialah jangan melihat ke belakang.
Contohnya, asyik mengungkit alasan saat awal perkahwinan, berfikir secara logik kerana konflik boleh mengheret hal lain yang sebetulnya tidak terlibat, lihat kelebihan pasangan dan bukan sebaliknya.
Insya-Allah dengan berbuat demikian rumah tangga yang terbina akan lebih harmoni dan bahagia,” Mohd Azli
Penulis : Norhayati Suboh & Shahrina Azlin Abdullah
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Air Bacaan Yasin Bukan Saja Penawar, Buat ‘Pagar Rumah’ Pun Berkesan
Ada mak-mak yang buat air bacaan Yasin untuk anak-anak. Biasanya selepas solat itulah mak-mak akan bacakan surah Yasin dekat dengan bekas air yang nak dijadikan air bacaan Yasin.
Perkongsian Maryam Salleh akan manfaat air bacaan Yasin ini bagus untuk dihadam. Sebagai petua, air ini bukan saja bermanfaat sebagai penawat atau untuk penerang hati, tapi juga boleh digunakan untuk memagar rumah.
Manfaat Air Bacaan Yasin, Molekul Airnya Lebih Tersusun Sempurna
Boleh ke minum air bacaan Yasin?
Menurut ulamak boleh di minum. Nak tau tak, molekul-molekul air boleh berubah mengikut getaran suara.Terdapat perbezaaan antara air dan mineral biasa diminum dengan air mineral yang dibaca Surah Yasin padanya.
Molekul-molekul air berubah dari keadaan asal kepada bentuk lain yang lebih menarik dan juga terdapat bentuk yang hodoh. Bukti-bukti terkumpul melalui kajian yang dilakukan untuk membuktikan kebenaran kata-kata air yang dibaca Surah Yasin lebih banyak memberi manfaat daripada air tanpa ayat suci Al-Qur’an.
Banyak kegunaan air bacaan Yasin ni, biasanya diberikan kepada anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan. Kenapa? Hal ini disebabkan air tersebut dapat menjadi penawar.
Apabila air yang dibacakan ayat-ayat dari surah Yasin, molekul yang terbentuk adalah tersusun sempurna. Molekul air ini akan diproses dalam tubuh lalu menyampaikan pesanan pada air di otak dan pembuluh darah.
Air ini akan memperbetulkan fungsi-fungsi dalaman tubuh bagi menenangkan jiwa. Hasilnya, dengan izin Allah, air akan bertindak menurut pesanan yang diniatkan dan dilaksanakan tanpa kita sedari.
Ayat-ayat suci dari surah Yasin mempunyai manfaat yang lebih berbanding air yang biasa saja. Molekul air yang bersinar dengan bacaan Yasin dapat menyembuhkan penyakit, menerangkan hati dan jiwa dan sebagai penawar mengelakkan gangguan makhluk halus.
Cara Pagar Rumah Guna Air Bacaan Yasin
Air bacaan Yasin juga boleh digunakan untuk memagar rumah. Cara memagari guna sembur air Yaasiin untuk rumah baru ialah :
1. Ambil penyembur baju.
2. Masukkan air paip biasa sampai 3/4 penuh.
3. Masukkan air Yaasiin.
4. Sembur semua penjuru-penjuru bilik rumah kecuali bilik air — Tidak perlu basah, sembur sikit sahaja.
5. Untuk tempat-tempat yang selalu kita duduki seperti bilik TV, bilik makan dan bilik tidur, sembur ke siling-siling.
6. Sembur bahagian luar pintu rumah dan pintu dapur.
7. Sembur pagar-pagar di sekeliling rumah.
Sila Betulkan Niat Ketika Minum Air Bacaan Yasin
Amalan kita membaca Yasin yang diiringi doa kepada air biasa dapat mengubah molekul air menjadi lebih cantik sekaligus dapat menyembuhkan penyakit dari segi fizikal dan rohani.
Sekadar minum air bacaan Yaasin semata-mata tidak dapat membantu manusia ke arah kebaikan, tetapi ia perlu diselarikan dengan niat yang ikhlas, baik dan tidak mendatangkan keburukan kepada orang lain.
Tidak lupa juga supaya sentiasa bertawakal kepada Allah kerana hanya dengan izin-Nya , semua usaha yang diikhtiarkan mendatangkan hasil yang sempurna. Insya’Allah.
Sumber/Foto : Maryam Salleh
.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Bilalah Bidadariku Ini Berehat..” Sepatutnya Suami Pun Kena Belajar Hargai Isteri Macam Yang Ustaz Ebit Lew Ajar
Kalaulah suami faham betapa mencabarnya tugasan seorang mak-mak zaman sekarang, tentu mudah untuk memperoleh rumah tangga bahagia. Sungguh sungguh mencabar tugasan isteri. Dengan kerjaya lagi, urusan rumah tangga, itu belum anak-anak yang masih membesar dan aktif perlukan perhatian.
Suami yang baik takkan lepas tangan. Tapi dia sentiasa hargai pengorbanan isteri. Walau dalam apa cara sekalipun, penat lelah isteri akan turut dirasainya sama. Sebab dia tahu, walau cuba dia bayar dengan wang ringgit, nilainya takkan terbalas. Dan inilah pesanan Ustaz Ebit Lew yang terkesan di hati.
“Ciannya bidadariku ini. Bila pegang tangannya, rasa kepenatan dirinya. Bilalah bidadariku ini berehat. Terasa rindu sangat padanya. Ya Allah maafkanlah diriku ini. Sentuh tangannya sebak kerana inilah tangan yang tak pernah berehat. Inilah bidadariku..”
Saya bisik padanya, bidadari abang…
Nak tahu tak, abang tak pernah dapat balas pengorbanan sayang bidadari abang sampai bila-bila. Walau apapun yang abang cuba lakukan. Walau apapun abang beri. Walau apapun, apa-apa pun. Hati rasa sebak sangat. Sebab abang tahu hanya Allah yang mampu balas pengorbanan bidadari ini. Terima kasih Allah yang Maha Baik..
Saya pegang tangannya dan doa ya Allah berilah bidadariku sentiasa cantik menawan sihat muda dan bahagiakan hatinya..saya redha padaNya. Bahagiakanlah hatinya. Tenangkanlah hatinya. Tunaikan segala hajatnya kerana inilah bidadariku yang telah berkorban segalanya. Saya mohon ampun kekurangan diri saya dalam membimbing dan memberi masa untuknya.
Cian sayang.. berapa jam tidur hari ini? Bila masa sayang rehat? 24 jam penat bekerja tak berhenti. Penat jaga anak-anak? Ya Allah..anak menjerit menangis berlari melompat, minta itu ini. Sehari bersepah-sepah rumah. Anak tengah aktif semuanya..ya Allah tuhanku. Cian bidadari abang. Ya Allah, tak sempat makan sempurna. Tak sempat urus diri sendiri? Tak sempat nak rehat? Ya Allah tuhanku.. tapi bidadari abang tetap ukir senyuman lagi. Sedih rasa.
Kenapa Beri Bunga, Bukan Hari Lahir Pun
Abang kenapa bagi bunga pada sayang? Bukan hari lahir sayang pun…
Yer bidadari abang. Hari ini hari lahir anak ketiga kita Qadeejah. Tapi abang teringat abang menangis dalam bilik pembedahan. Hari itu abang saja tengok betul-betul setiap lapisan perut sayang yang sakit. Teringat masa tu rasa sakitnya sayang. Dah macam apa perut tu dibuka dan lain lain. Masih ingat darah, dan setiap lapisan. Jahitan setiap lapis.
Lepas dengar bunyi tangisan qadeejah abang menangis masa azankannya. Ya Allah tuhanku. Sampai mati abang takkan dapat balas pengorbanan sayang. Demi cinta anugerah Allah ini abang cuma penat bekerja. Sayang dah bagi darah,nyawa,air mata segalanya. Sayang mati berkali-kali. Ini pun dah cukup buat sayang jadi ahli syurga. Ya Allah itulah kelebihan seorang wanita. Seperti para pejuang syuhada dulu-dulu. Macam mana lah abang nak kejar sayang..ya Allah.
Terima kaseh Allah anugerahkan bidadariku ini. Selamat hari lahir anakku Qadeejah sayang 10/4. Semoga jadi anak solehah buat umi. Hamba Allah yang takwa mukminah. Jadi daie Allah.
Terima kaseh ParamountCoffeeHouse yang memudahkan majlis tiba-tiba ini. Lari sana sini dari ceramah KDN tadi dan esok 3 hari 2malam Transformasi Pekerja dan Peribadi Unggul bersama Kementerian Pertanian di Besut.
Sumber/Foto : Ebit Lew
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI