Suami ini, Eddie Dieana berkongsi kisah. Bagaimana dia sampai berjauh hati dengan isteri kerana enggan melakukan rawatan IVF iaitu persenyawaan in vitro. Sehingga tercetus konflik antara mereka.
Boleh bayang macam mana perasaan suami isteri yang begitu inginkan zuriat, cahaya mata lahir dari rahim seorang isteri. Bertahun-tahun berharap, tuhan masih menguji dengan rezeki anak.
Namun, isteri ini bijak memujuk, sehingga suami memutuskan untuk bertahan terus bersabar, mengharap kasih sayang dariNya. Dan akhirnya tuhan berikan nikmat sepasang cahaya mata untuk mereka.
Hari ini genaplah anak saya berumur 1 tahun. Pejam celik cepat je masa berlalu.
Rasa macam baru je semalam saya dan isteri berbual pasal nak dapatkan anak.
Masih segar dalam ingatan saya.
Malam tu saya menyatakan hasrat yang saya teringin nak ajak wife untuk cuba jalani rawatan IVF.
Dengan selamba isteri saya cakap,
“membazirlah B, kan duit tu kita boleh gunakan untuk perkara lain.”
Tipulah kalau saya tak tersentak dengan kata-kata tu. Almaklum dah hampir 9 tahun berkahwin tapi masih belum dikurniakan zuriat. Mestilah saya berhasrat untuk ikhtiar.
Malah saya cuba meyakinkan isteri masa tu.
“Duit kita boleh cari, tapi untuk dapatkan anak. Belum tentu kita boleh dapatkan?”
Isteri saya membantah lagi sekali.
“Ye tahu kita mesti cuba, tapi belum tentu kita buat terus jadikan, kalau tak jadi rugi je bayar dah la mahal. Baik duit tu kita buat pergi umrah. Doa depan Kaabah.”
Hampa Dengan Jawapan Isteri ‘Tolak Rawatan IVF’
Saya agak hampa dengan jawapan tu.
Sebagai seorang suami yang bekerja berhempas pulas.
Saya yakin saya mampu untuk cari duit sebanyak tu untuk mencuba asalkan kami boleh dapat zuriat sendiri.
Setelah mendapat respon yang agak mengecewakan. Malam tu saya cuba mengasingkan diri dari isteri.
Biasalah merajuk orang laki.
Dalam hati saya beranggapan isteri saya tak serius untuk dapatkan anak walau telah hampir 9 tahun menunggu.
Saya pun ambil bantal dan baring depan TV.
Saya bagi alasan nak tunggu tengok bola start. Padahal dalam hati sebenarnya saya amat kecewa. Tapi saya jarang tunjuk depan isteri saya apa yang saya rasa.
Naluri seorang isteri memang takkan dapat dipisahkan. Beliau dapat merasakan yang saya sedang merajuk.
Malam tu lebih kurang jam 2 pagi isteri saya kejut ajak saya masuk bilik.
Saya pun pura-pura mengatakan tunggu game bola pukul 2.45 pagi.
Tak lama lepas tu isteri saya peluk saya erat-erat.
Kemudian melutut di hadapan saya.
Dia mintak maaf, buat saya terasa hati katanya. Saya hanya diam dan pura-pura tak tahu.
Tak lama lepas tu isteri saya dengan bersungguh bercerita. Dia mengatakan sebagai seorang isteri. Siapalah yang tak nak anak. Semua orang nak anak. Cuma dia tak nak saya membazir.
Saya pura-pura keraskan hati. Biasalah, nama pun lelaki. Dalam rumah tangga, mesti ada pasang surut. Mana ada orang bahagia 24 jam. Mesti akan ada waktu yang mereka akan tergelincir sekejap.
Ads
Tak lama berselang, saya lihat isteri saya menangis sebab saya tak layan dia. Dia masuk bilik dan ambil Al-Quran. Dia halang pandangan saya dari lihat TV. Tak lama lepas tu dia letak Al-Quran di hadapan saya.
Ini Janji Isteri Depan Al-Quran
Sambil memegang Al-Quran Isteri saya berkata.
“Demi nama Allah. Sesungguhnya saya memang nak sangat anak. Tetapi belum rezeki kita. Tolonglah faham, bukan saya tak nak anak. Cuma tak nak kita bazir duit.”
Setelah melihat kesungguhan isteri memujuk hati saya. Barulah saya yakin dengan kata-kata beliau walau ada sedikit merajuk lagi.
Saya tanya dia.
“Betul ni? Tak main-main.”
Isteri saya bangun dan peluk saya.
“Mana mungkin nak main-main hal macam ni. I sendiri memang nak sangat anak. Tapi I kan dah operate. Doktor cakap dalam tempoh 2 tahun ni kita akan dapat anak. Kita sabarlah sikit. InshaAllah dalam masa terdekat kita akan dapat anak.”
Allahuakbar.
Malam tu sedikit sebanyak membuat hubungan kami semakin erat.
Saya pun bangun dan ambil semula bantal dan masuk ke bilik.
Tak lama lepas tu isteri perli saya.
“Bukan ke tadi u nak tengok bola, pergilah baring dekat depan tu.”
“Tak apalah, bola tu bila-bila boleh tengok.”
Ads
Allah Maha Mendengar..
Sesungguhnya, Allah Maha Mendengar.
Apa yang diperkatakan oleh isteri di hadapan Al-Quran. Benar-benar terjadi.
5 minggu berselang.
Isteri saya pulang dari kerja.
Beliau bersalaman dengan saya yang berada depan TV dan terus masuk ke bilik mandi.
Saya macam biasa. Malam minggu wajib tonton EPL dulu. Tak lama berselang isteri keluar dengan towel dalam keadaan menggigil.
“Cuba U tengok ni.”
Dia tunjuk pregnancy test ada 2 line.
saya agak terkejut dan happy sekejap.
Saya pun pura-pura cakap.
“Nanti call lah adik u tanya. Betul ke mengandung kalau macam tu. Kadang benda ni bukan boleh percaya sangat.”
Saya pura-pura menenangkan keadaan.
Sebab tak nak terlalu berharap.
Kalau tak ada nanti kesian pulak wife.
Wife saya pun menghubungi ahli keluarganya memaklumkan keadaan tersebut.
Saya pun dengan pantas pura-pura nak mandi jugak. Masuk je bilik air. Bukak pancur air tu laju-laju. Selaju mana air tu jatuh. Selaju itulah airmata saya mengalir kegembiraan.
Hanya Allah yang tahu masa tu.
perasaan setelah kian lama menunggu.
Suami Menangis, Isteri Disahkan Hamil 5 Minggu
Keesokannya saya pergi kerja macam biasa.
Dalam pukul 12 tengahari macam tu isteri saya call mengatakan yang beliau disahkan hamil 5 minggu.
Ads
Sekali lagi airmata jantan ni mengalir baq hang. Tapi terpaksa cover cover.
Takut kawan tempat kerja nampak saya menangis kegembiraan.
Setelah pulang ke rumah.
Perkara pertama sekali saya cakap dengan isteri. Berhenti kerja dan saya cakap saya akan tanggung semua perbelanjaan rumah selepas ni.
Sebelum ni bukanlah tak mampu tanggung semua. Tapi isteri bekerja sebab nak hilangkan bosan tinggal di rumah sepanjang hari.
Doa seorang isteri yang bersungguh-sungguh untuk memujuk hati suaminya.
Allah makbulkan.
Bukan 1 anak tuhan bagi.
Sepasang sekali gus.
Alhamdulillah, berkat bersabar.
Akhirnya Allah beri tepat pada waktunya.
Tanpa perlu jalani rawatan IVF. Kami dapat anak secara normal. Berkat doa seorang Isteri yang sentiasa bersabar.
Tak Mahu Anak-anak Kurang Kasih Sayang..
Sekarang kedua-dua anak ni lah yang meneman isteri saya di rumah saat saya terpaksa berjauhan. Dan isteri tak lagi rasa sunyi sebab dia sibuk uruskan kedua-dua doktor yang sedang membesar ni.
Saya redha saya kurang diberi perhatian.
Asalkan perhatian untuk kedua-dua anak saya diberi secukupnya. Saya tak nak anak-anak saya kurang kasih sayang.
Dan terima kasih saya ucapkan kepada yang menyumbang hadiah basikal untuk kedua-dua anak saya dan yang telah menyumbang duit untuk saya beli kek kepada mereka. Semoga murah rezeki anda semua.
Dan saya berharap buat insan di luar sana yang masih belum dikurniakan anak.
Jangan putus harap.
Teruskan berdoa. Doa adalah senjata orang mukmin. Jangan pernah berputus asa dalam berdoa, in shaAllah, Allah kabulkan…
Cepat atau lambat pasti hadir.
MW : Rezeki setiap orang berbeza, walau tanpa rawatan IVF. Sabar dan terus berusaha, tuhan anugerahkan suami isteri sepasang cahayamata. Buat isteri-isteri di luar sana yang diuji jangan mengalah. Jika sedang lalui rawatan IVF, MW doakan urusan untuk mendapatkan zuriat dipermudahkanNya. Ada bermacam lagi ikhtiar untuk mendapatkan zuriat yang isteri boleh lakukan.
Tindakan memohon doa semasa hantar anak sekolah atau ketika tersekat dalam kesesakan.. bunyinya nampak simple saja sebenarnya. Malah, tak nafikan ramai sebenarnya mak ayah yang buat.
Namun, besar impaknya pada anak-anak. Lagi-lagi jika mak ayah berdoa bersama anak-anak yang berada dalam kenderaan.
Sebagaimana yang dikongsikan oleh Abdul Muiez Ruslee ini, berdoa semasa dalam perjalanan menuntu ilmu ini ada banyak kelebihannya.
Marilah sama-sama semak, apakah kelebihan yang akan diperoleh jika tak tinggal berdoa semasa dalam kenderaan menuju ke destinasi ilmu ini.
Berdoa Semasa Hantar Anak Sekolah, Ini Kelebihannya
Bila hantar anak ke sekolah, biasanya apa yang kita buat semasa dalam perjalanan?
Senyap? Layan perasaan? Atau tengok YouTube?
Banyak aktiviti yang boleh kita lakukan bersama-sama.
Antaranya ialah berdoa.
Saya fikir, berdoa semasa dalam perjalanan menuntut ilmu, banyak kelebihannya.
Saya terkesan kepada satu hadis nabi yang kerap saya dengar. Maksudnya, “Barang siapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan ke syurga.”
Memang padu betul hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim ni.
Bila kita bersungguh-sungguh menuntut ilmu dengan ikhlas, Allah mudahkan bagi kita jalan menuju ke syurga. Syurga weh. Bukan kaleng-kaleng. Allahu akbar.
Lepastu kan, bila anak-anak kita dalam perjalanan ke sekolah, mereka turut dianggap sebagai berjihad, tahu?
Ada hadis yang menyebut tentang ini. “Barang siapa keluar untuk menuntut ilmu, maka dia berada di jalan Allah sampai dia kembali.”
Lepastu kan, anak-anak kita ini akan dipayungi oleh malaikat dan seluruh makhluk turut mendoakan mereka.
Rasululullah pernah sebut tentang hal ini.
“Para malaikat merendahkan sayapnya sebagai keredaan kepada penuntut ilmu. Orang yang berilmu akan dimohon keampunan buat mereka oleh penduduk langit dan bumi, bahkan hingga ikan yang ada di dasar laut.”
Subhanallah tabarakallah.
Doa Kuat-kuat Supaya Anak Dengar Sama
Kalau seluruh makhluk mendoakan anak-anak kita, kenapa tidak kita ambil masa, angkat tangan dan berdoa bersama-sama. Doa kuat-kuat supaya anak-anak kita dengar. Biar mereka tahu, apa yang kita sebut.
Saya selalu ulang,semoga anak-anak tak menangis bangun pagi. Tak banyak kerenah nak ke sekolah. Alhamdulillah, nampak adalah perubahan.
Bila kita doa kuat-kuat, anak kita tahu, apa yang kita minta dekat Allah. Mereka pula mengaminkan. Subhanallah. Indah betul.
Jadi, kalau ada masa, sama ada dalam perjalanan, tersekat dalam kesesakan atau tengah beratur di lampu isyarat, ambillah satu dua minit untuk berdoa bersama. Lepas doa, salam dan cium pipi.
Tak perlulah nak tunggu dah sampai pintu sekolah baru nak peluk cium semua. Manalah jalan tak jam.
Kalau dah biasa buat, alhamdulillah. Kalau belum buat, kita cuba ya.
Tatkala bersua wajah dengan Noraiha Rais, yang juga pemilik Butik Pengantin Demelza yang terletak di Saujana Rawang, penulis berasa sedikit teruja apabila mendengar luahannya mengenai anak bongsu kesayangannya Hilal Hamdhy Bin Hasmili, 11, yang merupakan anak istimewa yang di diagnosis Disleksia.
“Memiliki anak seistimewa sebenarnya benar-benar mengajar saya dan suami erti kesabaran dan ketabahan. Permulaannya kami agak terkejut namun menerima dengan reda, berkat mencari dan menggali apa itu disleksia membuatkan saya menjadi seorang ibu yang sangat-sangat berusaha untuk menjadi ibu yang terbaik buat Hilal,” ungkap Noraiha yang memahami disleksia adalah sejenis masalah pembelajaran khusus yang kerap berlaku.
Noraiha seorang ibu yang cukup tabah dan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik buat anaknya.
Memiliki anak istimewa adalah satu kelebihan buat ibu bapa yang terpilih. Bukan semua yang bertuah mendapat pengiktirafan tersebut. Di sebalik kekurangan yang dipandang daripada mata kasar, namun sebenarnya anak-anak syurga ini cukup istimewa dan ada banyak kelebihan mereka.
Noraiha juga mengakui anaknya itu seperti kanak-kanak lain seusianya. Cuma Hilal agak ketinggalan sedikit dari segi pembelajaran.
“Jika orang tengok dari mata kasar, mereka mungkin tidak menyangka anak saya ini disleksia. Cuma kalau bab pembelajaran dia sedikit ketinggalan berbanding kakak dan abangnya yang lain. Sekarang dia berumur 11tahun dan ada subjek dia boleh dan ada yang tak boleh. Tetapi setakat ini dia belajar di sekolah biasa,” tambah Noraiha lagi.
Pernah Menang Tempat Kedua Program Robotik Lego
Noraiha juga sangat bangga apabila Hilal pernah memenangi tempat kedua Program Robotik Lego.
“Hilal walaupun dalam pembelajaran agak lambat namun dia sangat bijak terutama dalam bermain lego. Pernah sebelum ini saya masukkan dia dalam satu pertandingan Program Robotik Lego dan dia mendapat tempat kedua. Sehingga kan pihak penganjur kagum dengan kebolehannya.
“Memang dia sangat obses dan struktur lego yang rumit dia dapat selesaikan dengan mudah,” kata Noraiha yang memberitahu mungkin akan memasukkan anak ke sekolah kemahiran sama ada bidang vokasional tetapi bergantung kepada minat anaknya.
Anggap Perkara Biasa Pada Mulanya
Mengakui mula mengetahui anaknya mempunyai masalah sejak tadika lagi, Hilal mempunyai tanda-tanda disleksia namun turun naik dalam pelajaran menyebabkan Noraiha beranggapan itu adalah perkara biasa.
“Waktu sekolah rendah, cikgu ada cakap anak ada masalah bab pembelajaran. Kena sediakan Pendidikan Khas, tetapi memandangkan sekarang dia sudah darjah lima dan agak terlambat. Jadi untuk masuk dalam sekolah khas mungkin kena tunggu sekolah menengah kelak.
Tahap pemahaman dia sepatutnya darjah lima tetapi sekarang ibarat baru darjah tiga. Apa pun sebagai ibu bapa kami terima apa jua pencapaian anak-anak setakat yang termampu.
“Dia boleh membaca tetapi ada subjek yang lemah dan agak terbelakang sedikit. Jadi, saya hantar pada guru tuisyen selain jumpa pakar Psikologi Pendidikan. Tetapi kami tidak mahu beri tekanan jadi tak paksa sangat,” luah Noraiha.
Berhati Mulia & Pemurah
Anak yang pemurah dan memiliki hati yang cukup murni dan halus.
Ini adalah ujian Allah dan kena banyak bersabar dalam membesarkan anak-anak kerana setiap dari mereka tidak sama. Biarpun memiliki kekurangan dalam akademi, namun Hilal miliki jiwa yang sangat halus dan mulia. Malah dia juga sangat pemurah.
“Saya masih ingat lagi kenangan bulan Mac yang lalu. Di sekolahnya ada buat satu pungutan dana untuk padang sekolah. Kebetulan Hilal ada bawa balik surat pihak sekolah minta sumbangan untuk padang sekolah. Tetapi saya cakap nanti mama tengok surat itu. Maklumlah, saya bekerja dan sibuk.
“Disebabkan dia tidak sabar, terus dipecahkan tabung yang dikumpul sendiri dan bawa semua duit syiling ke sekolah untuk didermakan. Saya tak tahu, rupanya Hilal sanggup pecahkan tabung miliknya dan bawa duit ke sekolah untuk didermakan.
“Disebabkan itu, cikgu rasa terharu dan beri kad jemputan untuk hadir makan malam majlis anugerah. Lebih membuatkan saya terharu, perkara tersebut dapat perhatian pihak sekolah sehingga namanya jadi sebutan Menteri Pendidikan pada ketika itu. Malah, anak saya diajak bergambar bersama waktu itu. Itulah kenangan dan saya fikir anak OKU ada kelebihan yang kita sendiri tak fikirkan yang dia akan buat begitu.
“Sebagai ibu memang saya rasa sangat terharu akan kebaikan yang ada dalam diri anak-anak istimewa. Di sekolah juga anak saya sangat okay, tiada masalah bergaul dengan rakan-rakan. Cuma pemahaman pelajaran Hilal kurang dan akademi agak lemah.
“Saya bersyukur kerana walaupun kekurangan dari segi pembelajaran tetapi dia masih boleh faham. Sebagai ibu saya kadang-kadang takut apabila disleksia, autisme ini pemikiran ke belakang berbanding umur. Tetapi sebenarnya mereka faham cuma kita yang tidak faham mereka.
“Saya dulu ada pusat tuisyen yang diberi nama Akademi Pintas. Jadi, saya akan bawa anak-anak dan juga pelajar lain kerja- kerja sukarelawan ‘streetfeeding’ di Masjid Jamek bersama NGO Unggas. Hilal juga tidak ketinggalan sertai sekali program mulia ini,” ujar Noraiha akhiri perbualan.
Bersama keluarga tersayang yang banyak memberi sokongan kepada Hilal.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Setiap kali menatap wajah anak bongsu sedang tidur membuatkan hati ibu ini menjadi rawan. Anaknya kelihatan normal seperti kanak-kanak lain jika sedang tidur. Tiada rengekan, tiada dengusan dan tiada tangisan. Tatkala itu rasa di hatinya bercampur-baur, apatah lagi memikirkan masa depan anak bongsunya, Nurul Aunie Azizi yang kini telah berusia lapan tahun.
Sebagai ibu, Noriza Zamri, 42 tahun tidak dinafikan hatinya sangat gundah tatkala melihat keadaan Nurul Aunie atau panggilan manjanya Aunie. Ternyata kerisauannya ketika mengandungkan anak bongsunya ini ada benarnya.
Anak Syurga Ini Mampu Uruskan Diri
Mengimbau di saat usia kandungannya memasuki empat bulan, tatkala melalui proses imbasan, janinnya kembar. Tetapi selepas lima bulan, apabila diimbas semula, janinnya hanya satu. Kala ini hatinya mula berdebar apatah lagi doktor turut mengkhabarkan bahawa perkembangan anaknya tidak mengikut usia sebenar.
Oleh itu, Noriza merujuk kepada pakar di Hospital Besar Kuala Krai, Kelantan untuk pemeriksaan lanjut. Disebabkan bimbang dengan perkembangan bayi dalam kandungan, ibu beranak lima ini sering dirujuk kepada hospital untuk mengenal pasti masalah selain mendapatkan pemeriksaan di Klinik Kesihatan berdekatan.
Jelas doktor, biar pun bayinya kecil tetapi dia cukup sifat dan sempurna. Cuma saiznya agak kecil berbanding bayi seusianya. Akhirnya genap tujuh bulan setengah, Noriza diminta untuk melahirkan bayinya secara pembedahan, walaupun gentar demi anak yang dikandung, ibu ini pasrah.
Tanggal 21 November 2011, lahirlah puteri yang diberi nama Nurul Aunie seberat 1500 gram sahaja. Saiznya sangat kecil seakan anak patung Barbie. Terngiang-ngiang tangisan sang bayi ketikadibawa ke Neonatal Intensive Care Unit (NICU). Selepas beberapa hari, barulah Noriza berpeluang melihat anaknya.
Sebak melihat anaknya yang masih kecil berselirat dengan wayar di NICU. Hampir sebulan di hospital, barulah Auni dibenarkan pulang.
Sindrom Yang Jarang di Temui
“Pada peringkat awalnya, doktor mengesyaki Auni mengidap sindrom Treacher Collins. Tetapi setelah melalui ujian kromosom, Aunie diagnos 4p iaitu Wolf Hirschhorn syndrome.
“Ekoran daripada 4p, Aunie kerap terkena sawan sejak kecil di samping masalah-masalah lain. Dalam masa yang sama, anak saya turut mengalami cleft palate, glaucoma di kedua-dua belah mata serta masalah jantung berlubang dan saluran pernafasan sempit.
“Sejak itu, Aunie telah menjalani empat pembedahan besar untuk mengatasi masalah yang dihadapinya. Sebagai ibu, saya sentiasa mencari maklumat tentang sindrom ini di internet serta bertanya doktor jika dirinya melihat kelainan pada Aunie,” jelas Noriza satu-persatu.
Oleh itu, Aunie mendapat perhatian khusus daripada pihak hospital, malahan Noriza berasa terharu jika ada masalah yang dirujuk pada doktor, pasti doktor akan mencari jalan penyelesaian melalui pembedahan untuk Aunie. Kadang-kadang perkongsiannya di media sosial membuatkan dia berjumpa dengan rakan senasib Aunie.
Dari situ, Noriza dapat berkongsi maklumat dan berkongsi pengalaman. Biar pun tidak ramai rakyat Malaysia mengalami sindrom ini, namun perkongsian ibu bapa dari luar negara juga menguatkan komuniti Wolf Hirschhorn syndrome.
Sepanjang membesarkan Aunie terdapat satu peristiwa yang tidak mungkin ibu ini lupakan. Ketika itu Aunie baru berusia tujuh bulan, dia mengalami tersedak susu ketika berada di dalam buaian. bayangkan kala itu Aunie kelihatan pucat dan doktor menyatakan peluang untuk Aunie hidup hanyalah 50/50.
Apatah lagi kala itu, Aunie juga diserang sawan dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi. Cukup syahdu kerana kejadian itu berlaku di bulan Ramadan iaitu seminggu sebelum tibanya syawal. Mujur semangat Aunie kuat dan usianya panjang, kami sekeluarga dapat beraya bersama Aunie.
Semakin Baik
Menurut Noriza, menipulah dirinya tidak pernah merasa terbeban menguruskan anaknya yang umpama bayi. Letakkan diri anda di dalam dirinya, pasti anda dapat menyelam perasaannya. Menjaga anak yang tidak normal dalam tempoh masa lapan tahun seperti bayi bukanlah satu tugas yang mudah.
Terlalu mencabar dan menguji emosi keibuannnya. Mujurlah suami, anak-anak dan keluarga menjadi pendukung paling kuat untuk Noriza tabah menguruskan anak bongsunya. Setiap kali lelah, Noriza cuba muhasabah diri dan menganggap ini adalah ujian untuknya dan keluarga.
Anak kelima daripada lima adik-beradik ini dikenali sebagai seorang anak yang sangat manja dan penyayang. Kini Aunie masih menjalani rawatan susulan di Hospital Raja Perempuan Zainab, Kota Bharu dan HUSM Kubang Kerian. Hospital juga telah menjadi rumah kedua buat Aunie kerana kerap berulang-alik ke sana sejak kecil.
Biar pun sukar untuk menelan kenyataan bahawa Aunie masih tidak mampu berjalan, Noriza tidak pernah mengalah. Malahan dirinya lebih kuat memaksa anak syurga untuk berjalan seperti kanak-kanak sebayanya.
“Buat masa ini, Aunie masih berusaha untuk berjalan. Dia juga tidak mampu berkomunikasi dan bercakap. Sebab saya menjaganya dari kecil, jadi saya dapat fahami dia melalui reaksi. Hingga saat ini, Aunie 100peratus mengharapkan bantuan orang lain untuk menguruskan diri.
”Öleh sebab itu saya cuba memaksa Aunie untuk berdikari seperti kanak-kanak lain, biar pun perkembangannya lambat tetapi saya tidak pernah berputus asa. Begitu juga sebelum ini Aunie hanya menggunakan wayar untuk minum susu, tetapi saya mencuba hampir beratus botol untuk Aunie belajar menghisap botol susu sendiri.
“Walaupun keadaan Aunie begitu, saya melayan seperti anak yang lain. saya tidak pernah malu dengan kekurangannya. Saya bawa dia berjalan, berenang dan bermain. kadang-kadang saya paksa dia berdiri lama untuk kuatkan kaki agar dia cepat bersedia untuk berjalan.
“Biar pun ramai yang tidak tahu tentang sindrom Wolf Hirschhorn tetapi saya suka sahaja berkongsi dengan orang sekeliling. Sebab sekali pandang, orang tidak tahu anak saya istimewa dan tidak seperti rakan sebayanya. Saya harap selepas ini masyarakat tahu dengan sindrom ini dan menjadi lebih peka.
“Menurut doktor punca Aunie berkeadaan sebegini adalah kerana terdapat serpihan kromosom yang tidak lengkap. Aunie juga adalah pembawa kepada sindrom ini selepas menjalani ujian kromosom. Walau apa pun puncanya, saya terima dengan reda,” cerita Noriza panjang lebar.
Menjadi harapan dan impian besar Noriza untuk melihat anaknya mampu menguruskan diri sendiri. Memadai anaknya mampu mandi, makan dan menukar pakaian sendiri, ianya telah menjadi nikmat terbesar buat Noriza. Jika Aunie mampu berdikari, Noriza lebih tenang sekiranya apa-apa berlaku padanya.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Timbullah nak! Ibu dua remaja lemas harap jasad anak ditemukan segera. Keluarga dua remaja yang hilang dikhuatiri lemas di Sungai Perak di Kampung Tepus...