Sejak zaman mak kita sehinggalah zaman isteri kita, wanita tak pernah berhenti berikhtiar walaupun hanya duduk di rumah. Namun begitu balasan yang mereka mahukan hanyalah suami menghargai dan menyayangi.
Ianya sudah cukup buat sang isteri. Padahal isteri melakukan pelbagai perkara untuk membantu suami dan juga keluarga. Jadi suami hargailah isteri yang tidak berkira, malah sanggup berkorban demi suami dan keluarga tercinta.
Dari zaman mak kita sehinggalah isteri kita, seorang isteri itu tetap berikhtiar untuk meneruskan kehidupan sebagai seorang isteri dan juga ibu…
Kalau dahulu, mungkin tak banyak isteri yang bekerja… Banyak yang duduk di rumah… Tetapi duduk di rumah, jadi suri rumah pun bukan jenis yang tak ada pendapatan atau tak buat apa-apa…
Ada yang belajar menjahit, ambil upah menjahit… Ada juga yang buat kuih-muih, jual tepi jalan…
Ada yang buat nasi lemak, hantar ke kedai-kedai berdekatan… Ada pula yang ambil upah mengasuh, menjaga anak orang lain…
Ada yang tanam pokok buah-buahan, ada setengahnya yang tanam sayur-sayuran, berbakti pada tanah… Dapat hasil, guna untuk keperluan harian… Ada yang dapat lebih, maka dijual dan dapat pendapatan…
Ini zaman mak-mak kita…
Isteri Tak Pernah Berhenti Berikhtiar
Zaman isteri kita pula, jadi dropship, jadi ejen penapis air, menjadi ejen alat-alat mekap dan perhiasan muka… Ada yang berniaga cod (charge on delivery), hantar makanan sana sini…
Ada juga yang berniaga di jalanan, pasar malam dan pasar pagi…
Pendek kata, ikhtiar hidup orang perempuan ini sejak zaman dahulu lagi sehinggalah sekarang…
Wanita itu sentiasa menyesuaikan diri dengan persekitaran walaupun keutamaannya adalah suami dan anak-anak…
Wanita itu sentiasa kuat untuk keluarga, walaupun kita mengatakan mereka itu lemah… Wanita itu sentiasa berusaha yang terbaik, sehabis daya dan tenaga yang mereka ada untuk orang-orang yang mereka sayang…
Walaupun Tak Berhenti Ikhtiar, Hanya Mahu Dihargai
Balasannya? Nothing…tiada apa-apa…
Selagi diperlukan, mereka ada… Apa yang mereka mahukan ialah terus menyayangi dan menghargai mereka dengan apa yang mereka sudah pun lakukan…
Ini selemah-lemah balasan yang kita perlu bagi atau boleh bagi…
MW: Kadang-kadang isteri hanya berikhtiar untuk membeli kehendak sendiri tanpa membebankan suami. Oleh sebab itu, jarang sekali isteri ingin membebankan suami. Kadang-kadang kerja atau bisnes sampingan yang dia jalankan mampu menampung keperluan keluarga juga.
Suami isteri yang tidur berasingan boleh melonggarkan kasih sayang antara satu sama lain. Sebenarnya kebiasaan ini mungkin dianggap perkara biasa terutama dalam kalangan pasangan yang sudah berusia namun ia memberikan impak yang besar dalam rumah tangga.
Suami Isteri Tidur Berasingan
Fitrah wanita inginkan selalu dibelai manja oleh suami, manakala fitrah lelaki inginkan dilayan batinnya oleh isteri. Sekiranya, masa bersama terganggu ataupun tidak berlaku, ia pasti menyebabkan kesan kekosongan dalam diri masing-masing dan memungkinkan susulan tindakan yang lebih merosakkan hubungan rumahtangga.
Ustazah Maryam Binti Md. Zin, Penolong Pengarah, Bahagian Undang-undang Keluarga, Jabatan Agama Islam Selangor menjelaskan apa perlunya suami isteri tidur bersama.
Ustazah Maryam Binti Md. Zin, Penolong Pengarah, Bahagian Undang-undang Keluarga, Jabatan Agama Islam Selangor.
Kebiasaan Yang Boleh Longgarkan Kasih Sayang
Dalam jangka panjang, apabila suami isteri tidur berasingan ikatan hubungan akan longgar dan kasih sayang akan sedikit demi sedikit menjadi pudar. Ini berlawanan dengan konsep dan tujuan perkahwinan.
Dalam ajaran agama Islam matlamat perkahwinan adalah untuk mendapat Sakinah (ketenangan), Mawaddah (kasih sayang) danRahmah (rahmat Allah SWT). Kita amat memerlukan generasi yang saling berkasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain.
Jika isu ini tidak diselesaikan di peringkat suami isteri dikhuatiri ia akan memberi kesan kepada emosi, pemikiran dan tingkah laku anak-anak yang akhirnya tiada erti keluarga bahagia yang boleh memberi jaminan kepada masa depan negara.
Jika Tak Boleh Elak, Ini Syarat Tidur Berasingan
Hukumnya harus bagi suami isteri tidur berasingan. Namun adalah lebih baik dan afdhal suami isteri tidur satu bantal di atas satu tempat tidur di dalam satu bilik. Walaupun tidur berasingan adalah wajib bagi isteri melayan suami pada waktu malam terutamanya hubungan kelamin kerana ada hadith sahih mengenainya.
Cuma Dibenarkan 3 Hari Tidur Asing
Perkahwinan adalah perkongsian hidup. Ini bermakna pasangan berkongsi kasih sayang, berkongsi perasaan, berkongsi masalah, berkongsi pengalaman seharian, berkongsi tempat tinggal, berkongsi anak-anak dan berkongsi aspek lain.
Jika suami isteri tidur berasingan hanya kerana protes perkara kecil sehingga mementingkan diri sendiri, ianya akan mendatangkan konflik rumah tangga. Hidup mementingkan diri tanpa memikirkan keperluan dan keselamatan keluarga adalah sikap yang tidak bertanggungjawab serta perlu dielakkan.
Walau bagaimana pun dalam ajaran Islam salah satu cara untuk mendidik isteri yang tidak taat adalah mengasingkan tempat tidur dengan isteri jika suami telah berbincang dan menasihati isteri untuk taat dengan permintaan suami (yang tidak bercanggah dengan syariat Islam).
Itupun hanya dibenarkan selama 3 hari sahaja. Jika lebih dari 3 hari selepas mengasingkan tidur bersama isteri, suami boleh pergi ke Mahakamah Syariah untuk menuntut isteri kembali taat sebelum mengisytihar isterinya Nusyuz.
Kenapa Suami Isteri Pilih Tidur Berasingan
Pertama: Selisih Faham
Pasangan yang mengalami konflik akan tidur berasingan sebagai tanda protes dan kadangkala ego yang tinggi di antara keduanya ketika menghadapi masalah rumah tangga boleh menjadi salah satu punca.
Masalah rumah tangga tersebut disebabkan oleh pelbagai masalah seperti masalah komunikasi, masalah kewangan, masalah seksual, masalah akhlak dan lain-lain lagi. Akibat daripada itu, pasangan akan merajuk dan tidak memberi perhatian antara satu sama lain.
Kedua: Terlalu Penat Bekerja
Oleh kerana keadaan kewangan keluarga mendesak di samping kehendak sosial yang berlebihan, suami dan isteri berkerja keras untuk menambah pendapatan sehingga tidak mengira waktu siang atau malam.
Akibat keletihan akhirnya pasangan tidak begitu kisah jika tidur berasingan kerana faham masing-masing penat dan letih. Contohnya suami sering pulang lewat malam sedangkan isteri telah tidur terlebih awal.
Suami menonton televisyen sehingga tertidur di ruang menonton. Kesan daripada rutin tersebut boleh menyebabkan pasangan tidak kisah tidur berasingan kerana selesa tidur tanpa diganggu.
Ketiga: Inginkan Privasi
Ia bergantung kepada cara hidup yang diamalkan oleh pasangan. Pasangan yang terdidik sebelum berkahwin mempunyai ruang privasi boleh menjadi salah satu punca tidur berasingan.
Ini kerana mereka telah selesa mempunyai bilik sendiri, cara tersendiri dan meluangkan masa di bilik sendiri walaupun hubungan suami isteri masih tetap berjalan seperti biasa.
Keempat: Suami Atau Isteri Ada Penyakit
Isu penyakit juga boleh jadi salah satu sebab terutamanya suami atau isteri mengalami penyakit penyakit berjangkit, penyakit fizikal (contoh kes suami pernah mengalami kemalangan jalanraya yang menyebabkan sakit pinggang, isteri pula tidur lasak sehingga banyak kali tertendang pinggang suami) serta penyakit berkaitan psikologi (perangai dan tingkah laku) dan penyakit psikiatri (emosi dan perasaan).
Isteri Pilih Tidur Dengan Anak Kerana:
*Isteri telah merajuk dengan suami kerana berselisih faham
*Isteri telah terbiasa tidur dengan anak sejak melahirkan anak
*Isteri telah berasa risau dengan keperluan anak di tengah malam (anak mahu susu, mahu buang air kecil, anak demam, dan sebagainya)
*Isteri telah menunaikan permintaan anak untuk tidur bersama kerana berasa takut tidur berseorangan
Fakta Ini Memang Mengejutkan
Menurut Ustazah Maryam, “Belum ada statistik spesifik kepada kes berpisah ranjang. Namun kebiasaanya pasangan yang berpisah ranjang adalah disebabkan konflik rumah tangga yang bermula daripada masalah akhlak yang buruk.”
Berdasarkan statistik Aduan Kekeluargaan di Jabatan Agama Islam Selangor, masalah tertinggi pada tahun 2016 ialah Masalah Akhlak iaitu sebanyak 19,255 aduan.
ADA SEBANYAK 42 JENIS ADUAN DALAM MASALAH AKHLAK DAN YANG PALING TINGGI IALAH SUKA MENYAKITI HATI PASANGAN IAITU SEBANYAK 1,192 ADUAN MENGENAINYA DALAM TAHUN TERSEBUT.
Manakala pada tahun 2017, Masalah Akhlak juga merupakan tertinggi daripada 10 jenis aduan (Masalah Tidak Bertanggungjawab, Masalah Kurang Penghayatan Agama, Masalah Campur Tangan Pihak Ketiga, Masalah Perbezaan Latar Belakang, Masalah Seksual, Masalah Ekonomi, Masalah Komunikasi, Masalah Kerjaya, Masalah Kesihatan dan Masalah Akhlak).
Masalah akhlak mencatatkan jumlah sebanyak 15,440 dan suka menyakiti hati pasangan merupakan aduan tertinggi iaitu sebanyak 973 aduan.
Waktu bercinta boleh bercantik-cantik, tak kan lah bila dah kahwin perempuan itu jadi malas nak melawa untuk suami?
Haaa… bab ini kena betulkan balik, bukan tak nak bercantik bagai tetapi kebanyakan wanita yang dah jadi isteri memang tak sempat nak uruskan diri sendiri dek kerana sibuk dengan hal rumah tangga dan mencari duit poket tepi.
Lebih dekat lagi, anda boleh cuba selami perkongsian Ustaz Ebit Lew ini…
Maafkanlah isterimu dan fahamilah mereka jika mereka sudah tidak cantik, selekeh, mula menjerit, asyik marah-marah, selalu mengadu sakit-sakit, layanan mereka tidak sempurna..
Seorang suami mengadu keadaan isterinya yang begitu. Jawab saya cuba kita uruskan anak-anak seminggu seorang diri. Hanya Allah yang tahu bagaimana rupa dan sifat kita agaknya.
Mereka jadi begitu sebab kerja mereka tiada cuti. 24jam sehari. Termasuk isteri yang bekerja. Tidur mereka tidak pernah sempurna. Makan mereka tak sempurna. Terutama ibu-ibu muda yang anak-anak masih kecil. Mereka turut mencari rezeki buat keluarga.
Mereka tiada sesiapa lagi dalam hidup melainkan suami. Jika berjaya rumahtangga orang kata untung awak dapat suami baik. Jika gagal ibu ayah marah anak perempuan sendiri tak pandai jaga suami.
Dari awal pagi kemas rumah. Siapkan suami dan anak-anak. Belikan atau sediakan sarapan. Uruskan anak-anak ke sekolah dan hantar ke taska. Dengan pelbagai kerenah anak dan suami.
Balik kerja segera cepat-cepat balik rumah. Siapkan makan minum suami dan anak-anak. Rumah kembali bersepah. Kemas rumah lagi. Duit gaji baru dapat belikan barang-barang dapur sementara tunggu duit suami. Mandikan dan bantu anak-anak buat kerja sekolah.
Bila suami balik, kadang-kadang anak seorang lepas berak. Seorang bergaduh dari tadi. Tinggi suara. Terus cakap dengan suami dengan muka masam kerana anak-anak. Banyak nak cerita, kerana ini teman hidup dan mati. Tersilap mula ayat atau nada. Tak sempat cantik-cantik. Tak pasal-pasal suami terasa dan marah juga kerana penat. Suami terus naik tidur atau tengok tv atau keluar rumah.
Isteri rasa sedih dan bersalah. Menangis dan menangis. Kadang-kadang tengok gambar kenangan dengan suami. Buka ceramah agama atau kata-kata motivasi untuk pulihkan semangat. Terus bersemangat dan berdoa. Meneruskan urusan rumahtangga kerana Allah dan suami. Terus berlari siap-siap nak layan suami. Tiba-tiba anak-anak menangis, tak mahu tidur. Seorang lagi masa nak tidur nak makan dan berak lagi. Anak kecil asyik menangis. Suami pun sangat penat di tempat kerja harapkan dapat bermanja dan bergurau dengan isteri. Kadang-kadang tidur dengan marah..
Isteri sepanjang malam rasa bersalah… itulah seorang isteri dalam merajuk dan sedih tidak dapat rehat dan terus menerus uruskan rumahtangga sehingga habis usia. Sampai 40 tahun. Tapi mereka ikhlas kerana Allah. Itulah ibu kita dan ibu anak-anak kita..
“Khadijah ra tidak pernah mengeluh sepanjang hidup beliau. Itulah wanita yang sentiasa manis mukanya walau segalanya telah dikorbankan demi agama..”saya selalu minta isteri saya berdoa agar bertemu dengan wanita ini dalam syurga nanti..
Sebab tu kita lihat ayah-ayah kita semuanya selalu cool jer..tak kisah mak membebel . Sebab mereka tahu susah isterinya..fahami isterinya..
Sayangilah isteri kita. Maafkanlah mereka. Bantulah mereka di dalam rumah. Bersama-sama buat kerja rumah. Bantulah sikit-sikit. Jika kita nampak orang angkat barang banyak sebagai manusia kita akan tolong. Kita tengok kerja orang berat kita malu rasa nak duduk. Sekali sekala bawalah isteri bercuti dan rehatkanlah mereka. Beri cuti. Layan mereka seperti permaisuri sekali sekala. Mereka tiada gaji. Hanya kerana amanah mereka sebagai seorang isteri dan ibu. Jadilah pendengar setia dan penyayang. Mereka bukan milik kita tetapi amanah Allah untuk kita pimpin masuk syurga..duduk rehat-rehat bersama baca Al-Quran, solat tahajud,doa, baca hadis Nabi saw. Mereka bukan tukang masak. Bukan bukan bibik. Mereka hamba Allah dan Umat Nabi saw. Bertanggungjawab hidupkan Islam dan menuntut ilmu serta berkhidmat buat keluarga.
Itulah kehidupan rumah tangga saling memerlukan dan melengkapi. Kesucian hati seorang isteri dan ibu hanya menjadikan merekalah orang paling bahagia dunia dan akhirat. Ya Allah bahagiakanlah hati ibu dan isteri di luar sana. Ampunkan segala dosa mereka dan beri mereka syurga yang tinggi. Saya sayang ibu dan isteri saya kerana Allah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Anak yang ada dua pusar di kepala selalu sangat dikaitkan dengan sikap nakal, keras kepala dan tak dengar cakap. “Ooo.. Patutlah dua pusar!” Bila dengar ada adik-beradik atau saudara mara jenis yang mulut laser kata macam itu dekat anak kita, mulalah hati mudah terasa.
Sedihnya, bukan kita yang tentukan pusar anak satu atau dua. Itukan anugerah Allah untuk ibu yang bertuah. Sebab itulah, tak boleh nak hakimi kenakalan anak-anak berdasarkan fizikal mereka, dua pusarlah, lesung pipitlah, kening bertangkuplah.. Rahsia kejadian itu semua di tangan Yang Maha Menciptakan.
Orang tua-tua memang banyak pengalaman, mereka lebih lama makan asam garam kehidupan. Melalui pengalaman itu timbullah petua-petua untuk panduan dalam kehidupan seharian. Meskipun zaman berubah, petua lama masih utuh dipercayai dan diamalkan.
Tidak setakat petua. Orang lama juga kaya dengan pengalaman hasil pemerhatian. Maka selalulah kita dengar orang menyebut istilah ‘kata orang-orang tua’.
Namun, tidak semua boleh dipercayai. Ada yang terbukti mitos semata-mata. Sebagai umat Islam kita harus memeriksa kesahihah fakta, dan mengetahui hukum agama sebelum menerima bulat-bulat sesuatu kepercayaan atau amalan.
Sering kita mendengar orang berkata anak dua pusar kepala sebagai nakal dan lasak. Entah di mana logiknya, tetapi itulah yang kerap dimomokkan orang.
Apabila ternampak kepala anakku berpusar dua, orang tua-tua terus mengingatkan supaya bersiap sedia dengan karenah anakku itu. Ada yang menyebutnya membesar banyak akal, ada yang melabelnya budak lasak tidak kurang juga yang berani melabelnya budak nakal.
Sebagai ibu baru, hati tentu tersentuh apatah lagi anak masih merah. Tetapi aku selalu memujuk hati mengambil yang positif saja. Dan membiarkan kata-kata orang berlalu seperti angin.
Apabila anakku semakin membesar, aku sedari karakter dirinya yang ekstrovert dan aktif. Dia mudah mengekspresikan emosinya. Dia suka menyanyi dan mempunyai keyakinan diri yang baik untuk kanak-kanak seusia empat tahun.
Tetapi memanglah adat kanak-kanak yang banyak ragamnya, anakku juga tidak terkecuali. Kadangkala dia menghiburkan tapi ada masanya ragamnya juga menyebabkan kami naik marah.
Satu hal yang tidak aku persetujui ialah meletakkan kesalahan kepadanya mengikut tanggapan ciri fizikal dua pusarnya itu.
Apabila dia berbuat silap kita segera memarahinya. Jika terlibat dalam perbalahan anak-anak, cepat saja kita menuding jari kepada si dua pusar tadi. Terkadang tidak sempat dia membela diri, dan belumpun kita selidik duduk letak perkara sebenar. Kita pantas menjustifikasikan situasi dan meletaknya sebagai pesalah.
Aku melihat perkembangan ini sebagai tidak sihat untuk pembinaannya sebagai individu yang bersahsiah mulia. Adakah berkepala dua pusar semestinya nakal? Wallahualam.
Pernahkah kita terfikir dua pusar di kepala ini ciri fizikal, sama juga seperti lesung pipit dan tahi lalat?
Menilik Rahsia Tahi Lalat
Apakah amalan menilik rahsia tahi lalat tidak sama dengan menilik rahsia ciri fizikal tubuh badan yang lainnya. Kening bertangkup, begini. Mata ke dalam begitu?
Adalah amalan ini tidak sama dengan memukul rata peribadi individu melalui zahirnya saja? Lebih sedih jika kita mengaitkan dengan mitos tahayul yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Tanggapan sebegini menanamkan stigma di dalam kepala individu di sekeliling anak tadi. Ibubapa misalnya terdorong memberi layanan tegas dan keras kepada anak ini semata-mata tidak mahunya menjadi nakal. ‘
Setiap langkah karenah anak sentiasa dibayangi dia dua pusar, maka akalnya banyak. ‘Dia dua pusar, maka dia lasak’. Ibu bapa secara tidak langsung telah meletakkan label kepada anaknya. Adakah adil memandang sikap indvidu berdasarkan ciri fizikalnya? Nah, tidakkah ia juga terpakai dalam situasi ini?
Anak Dua Pusarku Sama Saja Seperti Anak Lain
Ada waktunya apabila timbul rasa marah terhadap si anak, aku mengingat diri, dia sama saja seperti anak lain. Akhlak dan adabnya dibentuk oleh aku dan suami. Sikap dan pembawaan karakternya terbentuk oleh persekitarannya membesar.
Generalisasi dan kata orang tua-tua tidak membantu perkembangan anak-anak. Sebagai ibu bapa menjadi tanggungjawab kita mendidiknya menjadi anak yang baik seperti diidamkan oleh semua.
Semoga kita diberikan kesabaran melayani dan mengasuh anak-anak.
Sumber/ Foto : Blog Aminah Hafizah, cerpen.co.id
Untuk dapatkan info berkaitan kursus keusahawanan anjuran Mingguan Wanita, join telegram BANGKIT Wanita : https://t.me/bangkitwanitaMW
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Nur Afiqah Amran yang juga Pengasas Perfume Paradise mengkagumi semangat pelakon veteran Ku Faridah atau lebih popular dengan panggilan Mak Engku. Wanita yang berusia...