Bila berkahwin, tentu sekali pasangan inginkan anak-anak sebagai penyambung zuriat. Bahagia, pahit atau derita sekalipun rumahtangga, isteri sanggup bertahan demi anak-anak.
Isteri sanggup bertahan demi anak dan tidak mahu anaknya tidak berayah. Percayalah, mak-mak sanggup lakukan apa saja demi anak dan keluarga.
Tiada seorang pun wanita yang berkahwin ingin derita dengan perkahwinan yang dibina. Sebab itulah, jangan hairan bila ada isteri yang sanggup bertahan dan dia lakukan semata-mata sayangkan keluarga.
Sanggup bertahan bermakna isteri tak kisah berdikari, keluarkan perbelanjaan rumah dan dan mencari nafkah untuk keluarga. Walaupun ada suami, dirinya seolah-olah ‘ibu tunggal’ kerana dialah yang uruskan segal-galanya dalam rumahtangga.
Nak tahu apa yang dikatakan isteri sanggup jadi ‘ibu tunggal’, ikuti perkongsian daripada peguam syarie ini, Khairul Fahmi Ramli.
Tanyalah mana-mana isteri sekalipun, siapa saja yang sanggup nak kahwin tapi menderita dalam perkahwinan. Semua orang tak nak.
Di luar sana saya percaya ramai wanita yang kini, dialah ibu dan dia jugalah bapa kepada anak-anaknya. Bukan kerana dia ibu tunggal, tapi keadaan dia yang membuatkan seolah-olah dia ibu tunggal.
Ibu itulah yang uruskan hal ehwal anak-anak sendirian, dia jugalah yang bekerja siang malam untuk cari nafkah kepada anak-anak.
Ads
Ada sebilangan kecil yang mungkin dia terpaksa lakukan begitu sebab suami lumpuh, sakit, kematian suami dan hal-hal yang tak dapat dielakkan.
Tapi,
Lebih teruk bila dia jadi ‘Ibu Tunggal’ menanggung segala perbelanjaan diri dan anak-anak, WALAUPUN wanita itu sebenarnya ada suami.
Contoh ‘Ibu tunggal’ Ada Suami
Ada beberapa contoh mengapa ibu yang tanggung segala perbelanjaan anak walaupun ada suami yang sihat:
1. Suami banyak hutang peribadi
Kadang-kadang banyak suami yang terpaksa abaikan tanggungjawab menyediakan nafkah wajib kepada anak isteri disebabkan banyak buat Personal Loan, Overlap loan, kereta mahal lebih daripada kemampuan, hutang kad kredit dan macam-macam hutang lain lagi.
Perkara ini berlaku disebabkan lelaki itu sebelum kahwin tidak ada perancangan kewangan yang betul bagaimana nak survive dalam kehidupan selepas kahwin. Ada juga disebabkan, hutang yang tinggi ini disebabkan nafsu sendiri seperti nak pakai kereta mahal, hingga bayaran bulanan lebih daripada RM1000, sedangkan gaji baru dalam RM2500.
2. Suami banyak membazir
Pembaziran ini sangat kerap berlaku. Kadang-kadang, benda yang tak patut beli pun dibeli juga. Contohnya, bayaran bulanan Astro/Netflix. Itu satu kehendak sahaja. Kalau tak ada pun, masih boleh hidup. Satu lagi, yang paling ketara adalah, pembelian rokok atau vape.
Walaupun ada banyak pandangan ulama’ sudah sebut Haram, tapi, masih lagi ada pembaziran untuk perbelanjaan rokok setiap bulan. Pembaziran itu berlaku bila, benda yang tak diperlukan, kita tetap nak beli. Ia masih berkaitan tentang nafsu.
3. Suami tak bekerja/malas
Ini satu perkara yang paling membuatkan wanita takut nak berkahwin. Bila dapat suami yang malas nak kerja, atau bila dah tak cukup pendapatan tapi tak mahu usaha lebih untuk cukupkan keperluan anak isteri.
Ads
Kadang-kadang masih ada lagi suami yang tahu kahwin saja, tapi segala perbelanjaan isteri dan anak-anak, mak dan ayahnya yang tanggung. Ishhh, malu sangatlah kalau nak kahwin, tapi tak mampu berdikari. Lebih baik tak payah kahwin kalau macam tu. Biasa sangat jadi anak manja kalau macam ni.
4. Suami ada banyak isteri
Sepatutnya, orang yang poligami kena ada banyak duit. Sebab setiap bulan mesti banyak perbelanjaan untuk dirinya, isteri-isterinya dan anak-anaknya. Ye lah, lebih besar periuk, lebih banyak keraknya.
Cuma, ada sebilangan suami, yang tak ada kemampuan kewangan pun, tapi nak kahwin lebih juga. Tak boleh cara baik, dia nikah pula dekat Siam cara sindiket. Lepas itu, anak isteri sedia ada terabailah dari sudut nafkah. Ye la kan, ada isteri baru.
5. Bekas suami jahil
Bila sudah berpisah, biasanya anak-anak diletakkan di bawah jagaan ibu. Jadi, ada sesetengah lelaki yang tak faham, walaupun diterangkan berkali-kali. Hak jagaan tetap dibawah ibu, bapa pula wajib bagi Nafkah.
Ada yang faham, mudah. Tapi bila ada yang tak faham, dia akan mengelak dan buat tak tahu saja bab perbelanjaan wajib anak. Lelaki ini selalu akan cakap, “dah mak dia yang jaga, mak dia la yang tanggung.” Kemudian bila bawak tuntutan ke Mahkamah, mulalah nak marah-marah dan cari seribu satu jalan elak bayar nafkah.
Tidak Mahu Berpisah
Kenapa ramai wanita tak mahu cerai sebab anak?
Biasanya jawapan yang akan saya dapat adalah bimbang anak itu dibesarkan tanpa bapa?
Adakah bapa kepada anak tersebut akan mati kalau mereka berpisah?
Mungkin pada saya, ramai orang tak nak pisah kerana anak ada sebabnya tersendiri. Cumanya, semua ini bergantung kepada wanita tersebut. Sekiranya, dia sanggup beri peluang untuk suaminya berubah, maka berikhtiarlah sesuatu.
Ads
Namun, jika sekiranya anda sudah tidak sanggup lagi menanggung derita, Islam tidak pernah mengHARAMkan atau meMAKHRUHkan berpisah. Bahkan, perceraian itu sendiri adalah Harus jika perkahwinan tersebut mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri.
Kalau tidak, Islam itu akan dilihat sebagai agama yang tidak adil kerana memaksa wanita itu hidup dalam penderitaan dek kerana perbuatan suaminya yang abaikan tanggungjawab.
Semoga dengan pengorbanan anda sebagai isteri dan ibu, dapat suatu ganjaran yang besar dan dipermudahkan Allah atas apa jua urusan anda.
Pilihan di tangan anda. Anda yang tentukan kehidupan anda dan anak-anak anda wahai wanita yang kuat dan hebat.
Mingguan Wanita : Begitulah mak-mak, segalanya untuk anak dan mahukan terbaik untuk anak.
Ramai yang mengetahui bahawa ayah kandung, Dato’ Sri Aliff Syukri Kamarzaman baru sahaja kembali ke rahmatullah setelah sakit selama dua minggu di kampung. Pernah berkongsi hidup dengan arwah bekas suami, Bonda Rozita Ibrahim yang juga ibu kandung Dato’ Sri Aliff Syukri Alif Syukri turut menzahirkankan ucapan takziah pada anaknya.
Sesungguhnya tiada siapa yang inginkan perceraian berlaku dalam perkahwinan. Bahagia menjalani kehidupan baru bersama suami tersayang, bonda Rozita ada berkongsi pesanan dan nasihat dalam melayari rumahtangga menerusi laman instagram beliau.
Berikut antara yang dikongsikan;
“Tak da sapa nak kawin cerai..Takdir manusia milik Allah, orang baik tetap dikenang abah yang baik budi alFatehah dan takziah buat @yatie_sendayutinggi dan @aliffsyukriterlajaklaris
“Sebenarnya.. perkahwinan itu adalah komitment seumur hidup.Kunci syurga dan neraka..hanya agama dan sabar menyatukan hati”.
“Hati manusia milik Allah.Ingat ya..! pernikahan bukan hanya sekadar majlis yang meriah..selepas dari itu lah bermulanya sebuah kehidupan yang sebenar.Dah tua lagi banyak ragam ujiannya”.
“Jangan hanya lihat majlis cantik, bajunya cantik, gambar dan videonya romantik itu bahagia kekal ke jannah. Semua akan ada kemelutnya”.
“Pastikan kita kenal betul-betul siapa manusia yang akan teman kita sepanjang hayat.Cari lah yang betul-betul..sebab pasangan kita lah yang akan tau baik buruk kelakuan kita”.
“Dapat pasangan hidup yang baik, buat dunia kita seperti disyurga.. tetapi bila dah tersalah memilih pasangan.. membuatkan kita seperti di neraka dunia..!”
Ternyata ramai yang bersetuju dengan pesanan dan nasihat bonda rozita yang juga pengasas produk Jamu Ratu Malaya ini mengenai kenali pasangan dan nasihat tentang kehidupan rumahtangga.
Antaranya;
norasliza ijahalil Itu namannya asam garam kehidupan..kite dah merancang yang terbaik tp ALLAH SWT lagi Maha Mengetahui apa yang terbaik buat diri kite.
fida8102 Perkahwinan adalah satu perjudian..kalah atau menang bergantung kepada masing masing..yang penting masing masing menjalankan tanggungjawab untuk menyempurnakan kehidupan berumahtangga.
rugayah.ahmad Betul tu bonda…perjalanan hidup kita Allah dah tentukan, kita berusaha ke arah kebaikan dan kebahagiaan bersama pasangan, tempuhi kehidupan dengan iman dan taqwa.
nazeerajrmmuar Suami adalah hadiah terindah di dunia. Pinjaman sekejap @ kekal bergantung pada jodoh dan takdir. Hargai dan sayangi sementara masih ada. Agar tidak kesal bila dia sudah TIADA.
bashirahusna Taqdir kita juga dalam genggamanNya bonda, memang tiada siapa yang ingin perkahwinan berakhir dengan sebuah perpisahan. Namun Dia tahu apa yang terbaik untuk kita.
kartinajohan Betul kata Bonda @bondarozitaibrahim, agama dan sabar pengikatnya sebab hati kita dan dia milik Allah, Dia juga yang membolak-balikkan, dan Dia juga yang menetapkan, kita hanya hambaNya yang mengharap belas kasihanNya, kemenangan kita belum pasti walaupun di saat nazak kita, moga Allah berikan kebahagiaan pada bonda yang menasihat dan pada pembaca yang dapat nasihat.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Memberi panduan buat kita dalam melayari asam garam rumahtangga dengan lebih bahagia. Setuju dengan pesanan bonda bahawa kunci utama didalam perkahwinan adalah agama dan sabar yang menyatukan hati suami isteri.
Luahan hati pendidik ini amat perit untuk ditelan. Ianya kisah benar yang terjadi dalam masyarakat kita hari ini. Bila anak yang meniti usia remaja, berjauhan dari ibu dan ayah, ditempatkan di asrama tentulah tanggungjawab itu diserahkan pada pendidik.
Apabila berlaku satu-satu kes melibatkan pelajar, bukan semuanya dapat diselesaikan seperti mana yang sepatutnya. Kerana komunikasi antara ibu ayah dan pendidik adakalanya tidak seiring.
Perkongsian Ezatul Mariniseharusnya membuka mata ibu ayah yang kala ini mempunyai anak-anak baik lelaki mahupun perempuan yang tak lagi tinggal sebumbung dengan mereka. Berjauhan di asrama.
Agar, ibu ayah berikan kepercayaan pada pendidik untuk membentuk disiplin mereka. Asalkan ianya tak menyakiti dan memberi kemudaratan pada anak, ibu ayah berikanlah ruang dan peluang itu.
ANAK ORANG, ANAK KITA
Kes 1
Seorang anak perempuan didapati kerapkali melakukan kesalahan keluar masuk kawasan institusi tanpa kebenaran. Beliau juga pernah ditangkap keluar bermalam ke rumah teman lelakinya. Dek kerana acapkali kes berlaku, panggilan terpaksa dibuat untuk memaklumkan kedua ibu bapanya.
“Kami pun dah tak tau nak buat apa. Dia memang liar.” itu sepatah jawapan si ayah
Kes 2
Seorang anak lelaki tertangkap memasuki kawasan asrama perempuan dan berdua-duaan dalam kawasan asrama dari tengah malam hingga awal pagi. Setelah terbukti kes, ibu bapa pelajar terpaksa dipanggil.
“Hello mak. Ni nak bagitahu lah…terbuat lawak bodoh pulak, kena tangkap sebab masuk asrama perempuan.”
Dalam kes ini, bapa pelajar perempuan datang dengan linangan airmata dan wajah penuh kekecewaan manakala keluarga pelajar lelaki langsung tidak kelihatan
Kes 3
Seorang pelajar perempuan didapati tiada dalam bilik. Bermakna pelajar ini bermalam atau keluar kawasan institusi tanpa kebenaran. Bila dihubungi ternyata suara lelaki yang menjawab panggilan.
Mungkin menyedari bahawa yang menghubungi adalah pengurusan pelajar, panggilan itu tidak lagi dijawab. Panggilan dibuat kepada ibu pelajar untuk memaklumkan bahawa anaknya tiada di bilik dan ini melanggar peraturan.
“Ehhh saya kenal budak lelaki tu…mereka berkawan saja. Jangan ganggu lah mereka. Mereka nak belajar.”
Pendidik Pengganti Ibu Bapa
Itu beberapa realiti yang perlu dihadapi Dan tangani oleh segelintir golongan pendidik yang juga menawarkan diri mereka menjadi pengganti ibu bapa yang menjaga kebajikan dan permasalahan anak-anak di sekolah mahu pun institusi pengajian.
Semasa menerima anak-anak ini di hari pertama pendaftaran, saya percaya kebanyakan dari mereka berazam dan berikrar untuk mendidik dan menjalankan amanah mengawasi dan membentuk anak-anak ini yang sebahagiannya baru pertama kali berjauhan dengan keluarga dan merasai hidup di luar kawalan ibu dan bapa.
Tidak ada, saya yakin seorang pun dari mereka yang gembira melihat sekiranya anak-anak yang ditinggalkan oleh ibu bapa ini berubah menjadi anak-anak yang hilang kawalan diri dan terjerumus kepada gejala yang tidak baik.
Namun adakalanya, sikap segelintir ibu bapa yang terlalu meletakkan kepercayaan kepada anak-anak mengekang usaha pembentukan peribadi anak-anak ini.
Generasi Apalah Yang Nak Diwujudkan Pada Masa Hadapan
Saya sendiri pernah berdepan dengan situasi bilamana seorang anak bersungguh-sungguh menuduh pengurusan pelajar enggan menghantar anaknya yang sakit ke hospital waktu tengah malam dan si anak juga bersungguh mengatakan akibat tidak dibantu sakit yang dihidapnya semakin memberat. Mujur, di hadapan ibu bapanya, penipuan beliau dapat dibongkar.
Namun, tidak dinafikan ada juga ibu bapa yang sangat mudah memberikan kerjasama dan bantuan. Sentiasa prihatin dan memahami apa sahaja yang ditegaskan oleh pengurusan adalah untuk kebaikan anak mereka juga.
Agak sukar untuk agenda membentuk sahsiah dan akhlak itu hendak dilaksanakan sekiranya tiada komitmen dan kerjasama semua pihak. Skrip, “yang puan beria ni kenapa? Kami sebagai ibu bapa pun tak pernah bising” sudah terlalu klise
Dialog seperti “tolonglah puan, jangan kenakan tindakan berat kepada kami atau anak kami” juga sudah terlalu kerap kami hadap.
Jika di satu pihak menyangkal peranan guru dalam mendidik anak-anak dan turut menghalang proses penguatkuasaan undang-undang, generasi apa lah yang hendak kita wujudkan pada masa hadapan.
Bukan Niat Tuding Jari Untuk Meletakkan Kesalahan
Isu biadab, hilang pekerti dan daif susila sudah terlampau banyak dilambakkan. Mungkin yang perlu sama-sama diperhalusi, peranan dan tanggungjawab dalam memperbetulkan keadaan.
Bukan tujuannya untuk tuding-menuding jari meletakkan kesalahan, namun jalan yang terbaik adalah mencari titik pertemuan. Bagaimana membentuk sinergi agar kemelut isu sosial dan akhlak dapat ditangani secara kolektif dan saksama…
*Saya juga mempunyai anak remaja yang dititipkan ke asrama. Sungguh, setiap hari perasaan saya libang-libu. Mana nak memikirkan bimbang dia terlibat dengan masalah disiplin, bimbang andai dia biadab dengan para pensyarah, juga tak jemu mendoakan anak agar menjaga solat dan akhlak*
Wahai Ayah Duhai Ibu
Disamping mendoakan yang baik-baik untuk anak kita, ayuh kita sama-sama berikan ruang dan peluang untuk anak kita dididik dan dibentuk insan lain di kala kita tidak berkesempatan melaksanakannya
Anak-anak seharusnya digalakkan untuk menunaikan solat di masjid sejak dari kecil, agar jiwa mereka subur dan dekat untuk mencintai rumah Allah ini. Mak ayah juga pastinya tahu dan bertanggungjawab dalam memastikan anak-anak mereka, bersih daripada najis mahupun segala kekotoran sebelum datang ke masjid. Ini kerana kebersihan diri dan tempat solat merupakan salah satu syarat sah sembahyang.
Namun terkilannya, terdapat segelintir jemaah masjid mempunyai persepsi dan merasakan anak-anak tidak sesuai solat di masjid serta dianggap ‘kotor’ kerana tidak tahu menjaga kebersihan diri.
Situasi ini dialami dan dikongsikan oleh Puan Syahidah Mardhiah Azmisendiri, yang rasa cukup terkilan apabila anak-anaknya dihalau daripada menunaikan solat didalam masjid kerana dianggap ‘kotor’. Menurut wanita ini, beliau datang ke masjid bersama 4 orang anak angkat( yang merupakan anak jiran) selain 2 orang anak sendiri yang berumur 2 dan 5 tahun.
Berikut luahan yang wanita ini kongsikan;
“Semalam saya kena halau masa nak solat dengan anak-anak 5 orang di masjid. Sedih saya. Masa saya nak pilih telekung untuk anak-anak, ada makcik tak bagi ambil. Dia kata anak-anak saya tak bersih. Dia beri 2 helai je telekung yang dah memang kotor. Lepas saya ambil dia kata, “Haa, dah pergi solat luar. Budak-budak tak bersih.”
“Saya terkejut. Menggigil tangan nak marah. Lepas dia kata tu, saya keluar masjid. Saya duk luar 2 minit. Saja nak redakan emosi. Lepas tu saya masuk balik.”
“Saya pergi dekat makcik tu. Saya kata, “Makcik, anak-anak saya tak kotor. Sampai hati makcik cakap gitu dekat anak-anak saya. Yang saya bawak ni semua anak-anak pondok, makcik. Bersih hati mereka. Saya dari Pasir Puteh. Jauh saya datang. Saya singgah solat masjid ni kejap je.”
Makcik tu kata, “Budak-budak ni lepas main pastu datang masjid. Tu yang kotor. Pastu nak solat.”
“Allahuakbar. Anak-anak saya 6 orang ni baru je saya mandikan sebelum keluar rumah pukul 7.30 petang tadi. Sebelum masuk masjid, saya basuh kencing anak-anak 5 orang ni dengan tangan saya sendiri. Saya pantau diorang ambik wudhuk. Sedih saya orang kata anak saya macam ni.”
“Lepastu saya bukak tudung saya. Saya pakaikan dekat anak yang paling besar 8 tahun. Saya kata, “haa pakai ni. Tudung ciksya tak kotor pun. Boleh pakai solat. Awak pun tak kotor, sayang. Ok semua jom kita solat. Yang takde telekung pun ikut ciksya.”
“Saya imamkan 5 orang anak saya. Ada pakai seluar pendek, ada yang tudung pun tak pakai. Anak saya yang umur 8 tahun jawab bila ada orang tanya, “Takpe tak sempurna pun asalkan solat. Kan ciksya?”
“Dia ulang balik ayat saya kata pada dia masa solat Asar tadi. Saya sedang pindah rumah. Saya bawak semua anak-anak 6 orang. Semua barang duk dalam kotak lagi. Nak cari telekung pun tak tahu kotak mana satu. Saya solat dengan pakaian saya. Anak-anak saya pakaikan tudung saya. Kepala tutup kaki togel.Saya kata takpelah asalkan solat.”
Doa Allah Hilangkan Kesedihan
“Lepas solat, saya masih lagi sedih. Saya doa moga Allah hilangkan kesedihan saya. Moga Allah beri kefahaman pada makcik tersebut. Moga Allah berikan saya dan anak-anak kesabaran untuk menghadapi ujian ini.”
“Masa tu ada ustaz tengah mengajar. Sambil sangkut telekung, sambil dengar. Ustaz kata, kita yang asyik datang masjid ni, jangan duk rasa diri tu dah hebat ye. Allah tak jamin lagi orang datang masjid ni masuk syurga.”
“Hmm rugilah kamu, makcik. Tak dapat apa. Ustaz mengajar kat depan, makcik mengajar kat belakang.”
“Dalam perjalanan pulang, saya tanya suami saya, “apa ye perasaan orang yang baru nak berubah, dia baru nak dekat-dekat dengan masjid, lepas tu jumpa makcik bawang yang macam tadi tu?”
Suami saya kata, “orang macam ni lah sebenarnya yang buatkan orang muda taknak pergi masjid. Kita baru nak kenal masjid, kena pulak macam tu. Sudah tentulah orang tu makin jauh dan duk asyik rasa diri tak layak nak jadi baik. Lepastu selama-lamanya dia lalai. Berdosa orang macam ni”.
Hidup Di Dunia Tak Terlepas Dari Ujian
Begitulah kita hidup di dunia ini tak terlepas dari ujian. Orang yang hidupnya rajin beribadah, dia diuji dengan penyakit hati. Merasakan diri sudah dijamin syurga. Manakala kita yang masih lalai ini, diuji pula dengan rasa tak layak nak jadi baik. Duk rasa diri dah pun dijamin neraka.
Kita ni kalau tak mampu nak tarik orang dekat dengan agama, jangan pulak kita jadi penyebab orang makin jauh dari agama. Cukuplah berdiam diri kalau tiada apa yang baik untuk diperkata, dan tunjukkan akhlak yang mulia walaupun kita ni penuh aib dan dosa.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Anak-anak seharusnya digalakkan mendekati rumah allah ini dan rajin solat di masjid. Ubah persepsi bahawa masjid selayaknya hanya untuk orang dewasa.