Keadaan ekonomi sekarang semakin meruncing, pendapatan isi rumah mula terjejas. Banyak syarikat yang tutup dan tak dapat menampung pekerja. Jalan terbaik, diberhentikan atua berhenti kerja.

Kalau difikirkan, ada baik buruknya isteri menjadi suri rumah sepenuh masa. Mungkin terkurang di situ dan terlebih di tempat lain. Contohnya, duit belanja mula kena catu dan tidak boleh nak bermewah-mewah seperti sebelum ini. Baiknya, bila dapat melihat anak membesar depan mata.

Begitu juga bila isteri bekerja sudah tentu banyak wang yang dilaburkan untuk bayaran anak di rumah pengasuh, penggunaan kereta dua buah (suami isteri kerja lain-lain syarikat),  kos minyak, bayaran makan minum dan sebagainya. Jika dihitung dan dikira wang keluar masuk, kaedahnya sama seperti isteri hanya duduk di rumah dengan menjaga anak-anak.

Bila difikirkan balik, jumlahnya sama seperti isteri hanya menjadi suri rumah, menguruskan keluarga. Sudah tentu, segalanya dapat dijimatkan. Ulasan lanjut tentang baik buruknya bila isteri berhenti kerja oleh Dr Ben Fadzil Mohd Salleh, Business Forencic Psychologist Grand master Hypnotherapist dari Practice Training & Consultancy di Asia Barat

Terdesak

Isteri bekerja atau tidak adalah satu perkara yang subjektif serta ia adalah pilihan sendiri, individu dan mengikut jenis pekerjaan yang dipegangnya. Tiada siapa yang boleh memaksa seseorang itu untuk bekerja walaupun dihalang oleh ibu bapanya supaya jangan berhenti.

“Alasan tidak mahu bekerja boleh diberi dengan pelbagai sebab. Dari yang tidak masuk akal sehinggalah ke suami melarang isteri bekerja. Sekiranya suami melarang isterinya bekerja, suami tersebut hendaklah mampu memberi belanja dengan sewajarnya untuk menyara keluarga dan wang saku isteri tersebut.
“Ramai suami yang berjanji pada isteri hendak memberi belanja yang cukup untuk keluarga tetapi ia tidak ditepati. Perkara tidak cukup wang yang diberi oleh suami ada kalanya akan membosankan isteri di rumah dan seringkali akan berbalik kepada bertugas semula,” jelas Dr. Ben.

Boleh dikatakan, ada isteri yang bekerja mempunyai gaji yang cukup makan untuk menyara dirinya sendiri. Namun, tidak mustahil ada isteri yang bekerja kerana di suruh oleh suami bagi menambah pendapatan untuk keluarga.

Ads
“Mungkin juga ada sesetengah isteri yang melepaskan jawatan dan memilih menjaga anak-anaknya adalah disebabkan desakan keadaan. Sekiranya suami boleh memberi wang saku dan jaminan yang boleh memuaskan hati isteri bahawa masalah kewangan tidak akan timbul.

Catu Perbelanjaan

Sebenarnya, keputusan isteri untuk menjadi suri rumah tangga mempunyai risiko tersendiri dan suami isteri hendaklah berbincang dan menimbangkan keputusan dengan sebaik mungkin sambil melihat segala segi sudut ekonomi.

Cara yang terbaik adalah dengan mencatu ekonomi dan mentadbir perbelanjaan keluarga dan seisi rumah dengan rapi. Tidak membelanjakan dengan perkara yang tidak penting serta berhemah. Suami hendaklah mempercayai isteri dalam mentadbirkan perbelanjaan rumah tangga agar tidak ada syak wasangka di kemudian hari serta memahami kekurangan dana untuk bermewah.

Pilihan kerjaya lain:

Ads
  1. Menjual secara online – Perkara begini sama seperti bekerja atau mungkin lebih teruk dari bekerja tetapi isteri akan sentiasa ada di rumah untuk mentadbirkan rumah dan juga jualan.
  2. Menjaga atau jadi pengasuh – Sambil menjaga anak sendiri dan mengambil upah untuk menjaga anak orang lain.
  3. Kemahiran lain – Isteri mempunyai kemahiran lain seperti menjahit, membuat kuihmuih untuk dijual, mengajar tuisyen dan sebagainya. Ia boleh dijadikan tugasan atau kerjaya dari rumah, yang mana pergerakannya adalah agak terhad.

 Baik Buruk Berhenti Kerja

 Pro:

  • Sekiranya si isteri berhenti kerja, sudah pasti masanya akan diluangkan bersama keluarga. Serba serbi tentang keluarganya akan terjaga.
  • Namun begitu, isteri tersebut kemungkinan akan terputus dengan dunia luar dari segi pergaulan dan persahabatan. Sekiranya dia tidak memerlukan dunia luar dan mempunyai duit perbelanjaan yang cukup, maka tidak bekerja adalah pilihan yang terbaik. Isteri juga perlulah pandai untuk menguruskan dirinya.

Kontra:

  • Tidak dinafikan, menjaga anak sendiri dengan menghantar anak ke rumah pengasuh tidak sama. Persediaan, penjagaan dan pelajaran anak mungkin terabai jika digaji kepada orang lain, tetapi tidak semestinya penjagaan itu tidak elok. Pemakanan dan kesihatan keluarga juga mungkin terjejas disebabkan fakta masa dan kewangan.
  • Walau bagaimanapun, perbelanjaan isteri terhadap anak dan makan adalah terhad dan terpulang kepada wang saku dan belanja yang diberikan oleh suami. Sekiranya wang saku tersebut tidak dapat tepat pada masanya atau dikurangkan disebabkan suami perlu membayar insurans, road tax dan pelbagai lagi perbelanjaan yang mengejut dan yang tidak diduga, maka perancangan isteri perlu sentiasa bertukar untuk menghadapi keadaan yang tidak disangka.

Suami Perlu Bersedia

Apabila seorang suami mengambil keputusan untuk berkeluarga, dia pasti telah memikirkan bebanan yang akan menimpa pada dirinya dan telah bersedia sekiranya isteri tidak bekerja dan memilih untuk menjaga rumah dan keluarga.

Ads

Malahan, dalam keadaan ekonomi sekarang ini, lebih baik isteri juga bekerja dan membantu pendapatan suami. Walaupun pendapatan dan penjimatan itu tidak seberapa kerana pendapatannya akan bertukar dari masa ke semasa. Kebajikan isteri dan anak dari segi kesihatan dan mendapatkan rawatan klinik akan terjaga. Isteri juga dapat membeli keperluan dirinya, rumah dan anak-anak tanpa meminta bantuan suami jika tidak perlu. Kesimpulannya, lebih baiklah isteri itu juga bekerja.

Cara Terbaik Suami Isteri

  • Suami dan isteri perlu mencari mekanisme yang bersesuaian dan dipersetujui bersama agar tidak menambahkan perbelanjaan serta bebanan.
  • Membuat carta aliran wang tunai dan perbelanjaan untuk penjimatan dan simpanan. Dari segi penjimatan, suami isteri hendaklah berkongsi kenderaan atau menggunakan kenderaan awam bagi menjimatkan kos tambahan seperti minyak, tol, parking dan perbelanjaan membayar ansuran kereta, insurans, road tax, penyelenggaraan dan kerosakan.
  • Pasangan perlulah menukar kereta kepada yang kecil dari segi kuasa kuda dan tidak sering menukar kereta pada tiap-tiap tahun untuk menjimatkan kos.
  • Dengan pergi kerja bersama, suami isteri akan dapat mengeratkan lagi kasih sayang dengan juga minum pagi bersama sambil berbincang hal keluarga. Sama-sama mengharungi dan berkongsi masalah yang dihadapi serta mencari penyelesaian.
  • Sekiranya perjalanan ke pejabat berlainan haluan, carilah perkhidmatan yang dibayar bulanan untuk ke pejabat dan membawa bekal yang telah dimasak dirumah untuk penjimatan, berhenti merokok serta bataskan keseringan makan diluar. Walau sedikit pun pendapatan dari bekerja, ia tetap duit berlebihan dari perbelanjaan seharian.

 

 

 

 

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI