Saya telah mendirikan rumah tangga kira-kira lima tahun. Semuanya atas jodoh yang sama sekali saya tidak menyangka hadir semula selepas 10 tahun hidup sendirian. Sebelum menerima suami, saya meminta pendapat dari ahli keluarga.
Sama ada suami sesuai atau tidak jodohnya dengan saya. Ramai yang meminta saya menerimanya kerana bakal suami nampak baik dan mementingkan solat ketika kami baru berkenalan dahulu.
Memandangkan pernah ada sejarah perkahwinan lalu yang agak menyedihkan, semua itu membuatkan saya menjadi lebih berhati-hati untuk melangkah ke frasa mendirikan rumah tangga semula.
Masih saya ingat, semasa perkahwinan pertama, awalnya saja saya bahagia tetapi selepas itu rumah tangga mulai haru-biru bila suami diberhentikan kerja.
Setahun berlalu dia masih selesa dengan caranya menjaga anak-anak dan hanya saya yang bekerja untuk melunasi semua hutang piutang yang kami buat semasa awal perkahwinan.
Mulanya saya masih boleh bersabar tetapi lama kelamaan saya mulai bosan kerana suami seperti tiada tanda untuk bekerja semula dan saya mulai tebal muka meminjam pada ahli keluarga semata-mata mahu mencukupkan keperluan harian.
Ads
Kami bergaduh dan suami yang berang terus melafazkan talak. Biar sedih tetapi sejak itu, hati saya bahagia biarpun tidak sekaya mana. Saya tahu bagaimana untuk mencukupkan keperluan dua orang anak yang bersekolah rendah.
Kebetulan rezeki saya mulai murah selepas saya berjinak-jinak menjadi agen kepada satu produk popular. Bekas suami meminta untuk rujuk kembali tetapi saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi.
Menceburi dunia bisnes membuat saya kenal ramai orang. Dari menjadi agen, saya naik menjadi stokis dan saya mulai dikenali. Tidak saya nafikan ramai yang menunjukkan minat untuk berkenalan, tetapi saya lebih senang membesarkan dua orang anak secara sendiri. Mungkin juga saya takut untuk hidup dengan lelaki lain.
Suami Berubah Bila Isteri Semakin Sibuk
Berbalik kepada perkahwinan kedua, majlis dilangsungkan selepas semuanya mendapat restu keluarga. Majlis kami sederhana saja kerana saya dan dia pernah melalui frasa perkahwinan sebelum ini.
Ads
Setahun dua, semuanya nampak elok malah perniagaan saya mulai berkembang. Saya dan suami sepakat untuk mengeluarkan produk kecantikan sendiri kerana saya yakin dengan kemampuan saya dan nampak peluang yang harus saya ceburi itu.
Di peringkat awal, kami lakukan bersama-sama. Sebenarnya bukan mudah untuk memulakan satu perniagaan berbanding mengambil produk orang kerana banyak modal yang harus dikeluarkan.
Enam bulan kemudian, lahirlah produk kecantikan kami. Agak berat awalnya kerana modal kami bukanlah banyak tetapi permintaan mulai ada sedikit demi sedikit. Itulah kata orang, rezeki anak-anak kerana rumah tangga yang kami bina itu dikurniakan seorang anak untuk pengikat kasih.
Bila saya semakin sibuk, entah mengapa perangai suami jadi berubah. Dia mulai marah-marah, katanya saya terlalu sibuk dengan urusan luar dan tidak lagi menguruskan rumah tangga sepenuhnya sedangkan dia juga tahu, kerana dia sentiasa bersama dengan saya.
Ads
Pernah suami memberi amaran kerana dia tidak suka ada ramai lelaki mendekati saya dan semua itu membuatkan saya jadi serba salah. Ya Allah, kami jadi berbalah tentang hal ini sedangkan dia tahu saya bekerja keras untuk mencari rezeki buat keluarga, untuk kesenangannya juga.
Sikap cemburu suami semakin menjadi-jadi malah saya pernah ditampar kerana berbual dengan salah seorang stokis yang berjaya membuat jualan terbanyak syarikat suami.
Sekarang saya dan suami telah berpisah rumah dan kami pernah ke pejabat agama untuk sesi kauseling. Saya membuat pengaduan tahap cemburunya antara faktor saya memilih untuk berpisah dan suami juga ego dengan caranya.
Apa yang harus saya lakukan kerana saya tidak pernah menyangka yang perkahwinan kedua ini juga bakal bermasalah. Apa yang harus saya lakukan? Dapatkah perkahwinan saya ini diselamatkan?
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Pandang isteri orang cantiknya bukan main. Kalih ke sebelah nampak muka isteri sendiri. Allahuakhbar! Kenapa rupa gini sayang oii.. terus terasa ralat. Dalam hati terdetik, ‘Kenapalah isteri tak lagi secantik waktu mula-mula kenal.’ Tergamak sungguh berfikiran semacam itu.
Hati-hati wahai suami! Bisikan syaitan itu sangat halus. Dia akan mempermain-mainkan fikiran dan emosi anda sampai anda kurang rasa kasih pada isteri yang setia. Macam-macamlah dugaan diberi.
Itu yang sampai sanggup layan chat dengan perempuan lain. Sebab tak tahan godaan. Sebenarnya, kena tenung balik diri itu. Isteri tak cantik bukan sebab apa, tapi anda sebagai suami yang MALAS nak jaga.
Inilah luahan yang disampaikan Akhtar Syamir (BroOhsem). Kisah ini benar-benar terjadi dan ianya cukup mengundang rasa kesal di hati kecil suami dan ayah penyayang ini.
“Isk… Makin lama makin lemau aku tengok isteri aku ni.” Kata si suami dalam hatinya. Handphone dibelek – belek membuka whatsapp group rakan – rakan. Ada yang share gambar wanita – wanita cantik beserta caption “Selamat pagi abang – abang dalam group nie”.
Cair si suami menengoknya. Tak kurang juga yang sering berkongsi mengenai konsep bermadu, janda mencari suami, wanita Timur Tengah mencari pasangan, gambar – gambar artis wanita sampailah yang lagi teruk, terus berkongsi gambar dan video pornografi.
Yang peliknya, yang tukang share itu adalah suami orang. Anak pun dah berderet. Berkongsi pula dengan rakan – rakan yang sudah berkeluarga dan kadang – kala tanpa segan silu berkongsi dengan group yang ada rakan wanita yang juga sudah berkeluarga.
Yang paling menyedihkan group keluarga / keturunan pun ada yang berkongsi perkara sebegini. Malu betul bila cucu / anak saudara / mak saudara / sepupu sepapat lain tengok kenakalan mereka.
Bila masuk ke media sosial, si suami seronok LIKE gambar – gambar wanita cantik dan seksi. Seperti satu kepuasan bagi mereka apabila dapat “berinteraksi” kononnya dengan tuan empunya gambar. Yang menariknya, perbuatan itu boleh dilihat oleh orang lain yang mungkin mengenali si suami.
Bila buat benda – benda sebegini, terus terang saya katakan si suami sebenarnya tidak menghormati isterinya. Orang yang dikahwini atas nama cinta dan sayang. Orang yang akan menemani kita sehingga hujung nyawa. Mereka hanya ada suami di hati, tapi si suami ada beribu wanita di mata.
Kenapa la isteri aku tak cantik? Bisikan nakal di hati suami. Dulu menarik gila. Tak puas tengok. Pantang bergesel lengan je pun terus jadi. Tapi sekarang nak tengok muka pun tak lalu. Lemau je.
Dengan rambut berserabai, muka kusam, badan pun gelebeh sana sini. Tak selera langsung dah. 2 minggu sekali tu pun sebab terdesak. Belum bila keluar lagi, tak menarik langsung pakaian dia.
Macam makcik tua. Tepek bedak sejuk je, dah macam hantu dah aku tengok. Tak macam isteri orang lain. Sedap je mata memandang. Kalaulah isteri aku macam tu…
Kalau si suami ada perasaan macam nie, amatlah menyedihkan. Isteri tu tak cantik kenapa? Isteri tu di bawah jagaan siapa? Seperti anak, isteri juga perlu dibentuk suami. Anda nak isteri anda cantik, tapi anda yang tak jaga. Macam mana nak cantik?
Rambut dia serabai, gugur sana sini anda nak salahkan dia? Syampu pun anda malas beli. Kalau beli pun cap ayam yang paling murah. Asalkan berbuih.
Muka dia tak glowing, pembersih muka pun taknak sediakan. Disuruhnya gonyoh dengan sabun mandi je. Ingat ketiak ke? Pastu nak salahkan muka isteri macam ketiak? Belum masuk bab foundation dan lain – lain. Silap – silap foundation pun anda tak tau apa.
Badan dah gelebeh sana sini. Satu langkah, seribu pergerakan kat badan dia. Orang rumah ajak pergi taman jalan – jalan je pun anda dah malas. Inikan pula nak berzumba bagai.
Terus dicop sebagai nusyuz ! Maksiat ! Walaupun kelas tu semua perempuan. Duduk rumah je jaga anak. Buat kerja – kerja rumah tu kan berpeluh? Anda ni bela isteri ke bela orang gaji?
Perwatakan tak menarik, pakaian tak cantik langsung. Dia nak beli baju online anda tak bagi, membazir la takut kena tipu la.
Nak harapkan anda beli? Kalau boleh nak beli bundle je asalkan ade baju. Tak membazir, nak cantik – cantik nie nak tunjuk kat sape? Berdosa tau. Kata si suami memberi alasan. Lepas tu nak kecoh pakaian isteri tak menarik? Hmmm..
Makeup pun takda? Pakai bedak sejuk je? Nak makeup macam mana bang, abang bagi dia beli yang pasar malam punya. Sekali dia pakai, jerawat naik sebulan. Tu yang dia tak pakai dah.
Dia nak beli kat Guardian, Watson anda kata membazir, mahal. Padahal makeup tu beli boleh tahan berbulan. Dia nak beli online, abang sibuk tanya ada KKM tak? Zzzz…
Dan akhir sekali. Cinta dan hormat. Di mana cinta kita kepada isteri? Di mana pula hormat terhadap isteri. Jika anda cintakan dan hormat isteri, anda takkan buat perkara – perkara pelik tu. Anda juga takkan tergamak untuk tidak mencantikkan isteri anda.
Rasa tercabar kan? Mesti ada yang rasa macam BroOhsem nie poyo gila. Macam dia sorang je yang best. Jika anda berfikiran sebegini, saya tak dapat bantu anda.
Tahap pemikiran anda tidak cukup matang dan tidak cukup terbuka untuk menerima kenyataan. Saya meminta maaf, posting ini tidak ditujukan kepada anda. Namun, jika anda terkesan dengan posting ini, tataplah isteri anda. Minta maaf kepada dia kerana telah mengabaikan dia selama ini. Berubahlah.
Berbincanglah dengan isteri apa yang dia perlukan. Kadang – kadang mereka lebih suka mendiamkan diri dari meminta. Apa yang saya harapkan ialah supaya mata dan hati anda kembali kepada isteri tercinta.
Selepas suami meninggal, anak kecilnya langsung tak boleh berenggang dengannya. Tak boleh langsung hilang dari pandangan anak. Nanti anaknya akan menangis ketakutan. Awalnya, ibu ini sangka itu perasaan biasa yang anak lalui selepas kehilangan ayah tercinta.
Tapi anaknya mula menunjukkan 5 perubahan sikap ini. Setiap perubahan itu menunjukkan tanda-tanda ke arah ‘separation anxiety’ . Sudahnya ibu ini, Zureiny Zulkafly sukar untuk membuat rutin harian disebabkan anak yang tak boleh berenggang.
“Ibu”. Telinga saya menangkap laungan Aina. Nyaring dari dalam bilik tidur.
Berkerut juga dahi. Kuat sungguh jeritan Aina memanggil saya sedangkan rumah kami bukannya besar mana pun. Kalau dicari, dia akan bertemu saya di dapur.
Saya diam sahaja. Tidak menyahut walau sepatah. Anggapan saya, dia akan keluar bilik dan mencari saya yang sedang mencuci pinggan.
“Ibu!” Laungannya semakin kuat. Darah saya mula menyirap. Hati saya mula hendak marah. Saya basuh tangan dan bergegas ke bilik. Mulut saya mula membebel.
Tidak sampai 20 langkah, saya sudah tercegat di depan pintu bilik. Saya terkedu. Wajah Aina basah dengan air mata. Melihatkan keadaan si anak, hati saya luluh. Saya hampiri Aina dan memeluknya kemas.
“Kenapa ni dik?” tanya saya sambil mengelus rambutnya yang melekat di wajah yang basah.
“Adik nak ibu,” balas Aina dengan sisa esak yang terputus-putus. Dia merangkul saya seeratnya seakan tidak mahu melepaskan.
“Ibu ada. Ibu tak ke mana pun.” Saya mencium ubun-ubunnya dan memeluk Aina dengan lebih rapat. Saya mahu dia rasa nyaman dan selamat. Hati saya mula dipagut kesedihan yang teramat.
Itulah antara drama-drama Aina sepanjang tempoh dia menyesuaikan diri dengan hidup kami tanpa hubby. Kalau tidak silap, hampir 6 bulan juga saya bergelut dengan pergolakan emosi Aina.
Sejak itu, saya mula memahami tentang ‘separation anxiety’ ataupun perpisahan sementara. Saya sangkakan ia perkara biasa. Fikir saya, mungkin kerana dia terlampau rindukan ayahnya. Malah saya ingat anak saya akan pulih seiring peredaran masa.
Salah saya. Saya ambil mudah perkara ini. Ini kerana saya tiada masalah dengan anak sulung sewaktu dia sebaya Aina. Saya selalu sangka Aina mengada-ngada kerana perlukan perhatian.
‘Separation anxiety’ ini perkara normal sehinggalah anak-anak berusia 5 tahun. Mereka menjadi takut atau cemas berpisah dengan ibu atau bapa atau penjaga yang rapat dengan mereka.
Cuma ia berbeza dengan keadaan Aina. Pada saya simptomnya seperti ‘separation anxiety’ tetapi ia semakin parah kerana Aina berdepan dengan kecelaruan perasaan selepas pemergian ayahnya.
Aina semakin jelas sikapnya yang tidak mahu berenggang langsung dengan saya. Anak saya cepat panik bila sedar saya hilang dari pandangan. Seterusnya, dia akan cemas kalau saya tiada di sisinya. Si kecil saya ini takut saya hilang sepertimana ayahnya hilang.
Setiap kali tidur, dia akan berkepit dengan saya. Bila terjaga di tengah malam dan sedar dia jauh dari saya, Aina akan bangun dan kembali tidur di sisi saya. Aina juga tidak mudah melepaskan saya keluar tanpa membawanya bersama.
Pada awalnya saya menyangka ini perkara biasa tetapi bila berlebihan, ia menyulitkan pergerakan harian saya.
Sikap tidak percayakan saya sangat mengganggu emosi sebenarnya. Saya pula yang jadi tertekan kerana Aina memang tidak percayakan saya. Pergerakan saya seperti diawasi. Tindak tanduk saya diperhati. Mujurnya, saya bekerja di rumah. Sepanjang masa saya bersama Aina dan dia akan pastikan saya sentiasa di matanya.
Dia sentiasa curiga dengan sikap saya. Pandangannya sentiasa mencari saya walaupun dia sedang bermain ketika itu. Dia sukar rehat waktu siang kerana bimbang saya akan tinggalkan dia.
Saya akui, kedua-dua anak saya sukar untuk mesra dengan orang lain selain daripada saya, hubby dan ahli keluarga yang biasa dengan mereka. Namun, ketakutan Aina sangat ketara. Sukar untuk sesiapa mendekatinya.
Aina bersikap pemerhati. Dia tidak akan memulakan perbualan. Jauh sekali menegur orang di sekeliling. Walaupun Aina anak yang lincah dan aktif, dia akan menjadi diam tiba-tiba bila ada orang lain di sisinya.
Aina seorang anak kecil yang manja dan dia rapat dengan arwah ayahnya. Sewaktu hubby pergi, Aina baru berusia 4 tahun. Dia sukar memahami apa yang terjadi. Aina mencium ayahnya sebelum dikafan, menanti dengan sabar ketika solat jenazah, mengiringi ayahnya ke kubur, melihat jasad ayahnya dikambus tanah, mendengar tazkirah malah Aina menyiram air di pusara ayahnya.
Dia melihat kesemua proses itu tetapi dia tidak mengerti. Aina menafsir si ayah tidur di kubur dan akan bangun pagi seperti biasa. Malah dia juga menganggap si ayah pergi kerja dan dia tetap menunggu ayahnya balik. Anak kecil saya ini pernah minta saya ‘bertukar’ tempat dengan hubby. Ini kerana, dia mahukan ayahnya kembali.
Apabila permintaan ini tidak dapat ditunaikan, Aina akan menjerit dan membentak. Apabila sedar penantiannya sia-sia, Aina jadi pemarah dan melawan saya. Allahu Akbar. Saya masih tidak boleh lupakan seksanya jiwa Aina ketika ini.
Saya pun sukar untuk menyesuaikan diri kerana apa yang saya buat jadi serba tak kena. Sudahnya Aina menangis dan merajuk hingga sukar dipujuk. Tidak tentu arah saya dibuatnya.
Perubahan sikap Aina memberi impak yang besar kepada emosi saya juga. Sudahlah ketika itu saya sibuk menyelesaikan urusan hubby. Saya pun masih di dalam ‘iddah dan berkabung. Saya sendiri sedang bergelut untuk menguatkan diri sendiri ketika itu. Bila dia merasakan saya tidak memberi tumpuan padanya, Aina akan tantrum tanpa sebab.
Saya mahu anak-anak saya hidup secara normal. Walaupun tanpa seorang ayah, saya mahu hidup mereka teratur dan bahagia. Saya cuba memahami emosi seorang anak remaja dan seorang anak kecil. Berat ujian saya tetapi inilah pengalaman. Inilah ilmu yang Allah buka untuk saya fahami.
Setiap ujian ada hikmah. Setiap yang payah ada yang mudah. Yang penting, tetapkan niat yang betul dan bersabarlah untuk melalui perjalanan hidup yang telah ditetapkan.
‘Separation anxiety’ yang dialami oleh Aina sebenarnya normal. Setiap anak kecil akan merasa cemas atau takut jika dia terpaksa berpisah dengan ibu atau bapa atau penjaganya. Cuma keadaan Aina agak keterlaluan sehingga dia seperti tidak mampu berdikari.
Aktiviti seharian saya agak kacau bilau kerana saya terpaksa memberi tumpuan padanya bila dia mencari saya. Kalau tidak, dia akan menjerit dan merajuk. Rajuk yang sukar dipujuk. Aina juga tidak dapat menikmati masa dia bermain kerana dia terlalu risau saya tinggalkan dia.
Jadi, saya luangkan masa membaca ilmu ‘parenting’ berkenaan isu ini. Banyak saya perolehi di blog dan artikel juga daripada pengalaman orang lain. Sedikit sebanyak membuatkan saya faham keadaan Aina.
Anak kecil belajar daripada pemerhatian dan dia akan mengikut apa yang orang dewasa lakukan. Setiap perkara yang dilihat akan disimpan dalam memori. Jadi, saya visualkan diri saya sebaik mungkin. Bukan berlakon atau berpura-pura tetapi saya menjadi seorang ibu yang baik di matanya.
Setiap kali dia panggil, saya akan muncul di hadapannya. Saya ketawa dan mengacah Aina. Itulah yang membuatkan dia gembira. Saya tidak sekali-kali menyakat Aina dengan menyorok atau melarikan diri kerana sikap itu menakutkan Aina.
Sekiranya saya di dalam bilik air, saya akan mengetuk pintu dari dalam. Fahamlah Aina saya memang ada di sekitarnya. Visual-visual diri yang baik dan positif ini bertujuan mengembalikan keyakinan dan kepercayaan Aina terhadap saya.
Saya tidak akan menyelinap untuk keluar rumah. Kalau mampu saya bawa, saya akan bawa sekali. Jika tidak, saya akan minta ibu atau adik perempuan saya menjaganya. Saya akan jelaskan tujuan saya keluar sama ada dia faham atau tidak.
Saya tidak berbohong tentang ayahnya. Dari awal memang saya memberitahu bahawa ayahnya telah tiada. Ayahnya tidak akan pulang ke rumah. Walaupun sedih melihat anak berduka dan memberontak tetapi itulah jalan terbaik. Kejujuran penting dalam membentuk peribadi anak yang positif.
Cara saya ini banyak membantu Aina memahami apa yang sedang dilalui kerana semua perkara adalah nyata. Dia harus belajar tentang reality kehidupan meskipun dia masih kecil.
Saya tidak menipu. Saya tidak berbohong. Lama-kelamaan Aina belajar bagaimana untuk mempercayai orang sekelilingnya. Lebih-lebih lagi mempercayai dirinya sendiri.
Maksud pengganti ialah seseorang yang boleh mengambilalih sementara tugas saya untuk menjaga Aina sekiranya saya perlu keluar atas satu-satu urusan penting. ‘Yang baik’ bukan bermaksud sentiasa beralah dan mengikut kehendak Aina tetapi lebih kepada memahami situasi Aina .
Setakat ini, pengganti terbaik adalah ibu dan adik perempuan saya. Sikap mereka yang seakan-akan sikap saya membuatkan Aina rasa selamat dan dilindungi. Walaupun cemas juga sewaktu ditinggalkan tetapi Aina boleh sesuaikan diri.
Untuk anak yang berhadapan dengan ‘separation anxiety’ ini selalunya sukar untuk menerima dan berinteraksi dengan orang lain. Kelihatan seperti pemalu atau takut-takut tetapi sebenarnya mereka tidak yakin dengan orang sekeliling.
Salah satu cara saya ialah tidak mendesak atau memaksa Aina untuk memulakan kontek dengan orang lain. Lebih-lebih lagi mereka yang asing baginya. Aina selalu anggap orang lain akan mengambilnya daripada saya. Itu sebab dia mengelak. Rasa tidak percaya itu yang membuatkan Aina menolak untuk dihampiri.
Pada awal-awal dulu, saya akan maklumkan juga situasi Aina agar tiada yang terasa hati dengan sikap Aina. Namun, seiring dengan masa, saya tetap mendidik Aina agar menghormati orang sekeliling terutamanya orang tua. Saya tidak mahu anak saya dianggap kurang adab kerana takut untuk bersalam.
Antara semua usaha yang saya lakukan, inilah yang paling utama. Saya kukuhkan hubungan saya dengan Allah kerana hati anak tetap bukan milik saya. Hidayah milik Allah. Saya ikhtiar mengikut batas kemampuan dan ilmu yang saya ada.
Bersama Afrina dan Aina, saya kukuhkan lagi hubungan ibu-anak. Afrina yang sudah berusia 14 tahun saya jadikan sahabat baik saya. Dialah tempat saya bercerita pelbagai kisah. Saya ambil tahu minatnya dan berkongsi apa yang dia suka.
Saya manjakan Aina kerana dia masih kecil. Pelukan dan ciuman dari seorang ibu akan mengalirkan aura positif dan selamat dalam diri si anak. Kata-kata yang baik dan gurau senda sentiasa melingkari hidup kami.
Setiap perkara yang sukar selalunya ada hikmah di sebaliknya. Saya pun banyak belajar daripada perubahan emosi dan sikap anak-anak selepas pemergian hubby. Dalam usaha saya memberi kehidupan yang baik buat mereka, Allah berikan saya kekuatan dan ketenangan untuk melalui takdir hidup saya.
Pelbagai usaha dan rawatan yang boleh dilakukan bagi pasangan yang masih menantikan kehadiran cahayamata.Antaranya ialah melalui proses rawatan. Inseminasi intrauterin (intrauterine insemination) atau IUI, sebagai salah satu usaha bagi membantu kehamilan pasangan yang telah mencuba sekian lama.
Melalui perkongsian oleh Puan Nur Haziqah Zainal Abidin, rawatan IUI ini boleh dilakukan di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan jumlah keseluruhan kos hanya RM 1511.85. Alhamdulillah,rezeki dalam tempoh satu tahun rawatan, pasangan ini berjaya memiliki zuriat yang diimpikan setelah 3 tahun menanti.
Dah janji nak buat sharing pasal rawatan IUI di LPPKN, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. So here we go..
“Dalam tempoh 3 tahun perkahwinan, macam-macam cara dan ikhtiar untuk dapatkan zuriat. Period Alhamdulillah regular dan normal. Jadi saya kelaskan kes saya ni sebagai unexplained infertility. Walaupun orang kata usia perkahwinan masih baru, saya fikir tak perlu tunggu lama-lama untuk usaha dapatkan anak, sebab kalau tak berhasil jugak, boleh cuba ikhtiar lain. Saya perlu kejar masa. Saya dan suami terus ambil langkah drastik. Terus call LPPKN.”
Firstly, kena book tarikh untuk first appointment by phone call. Kemudian, nurse akan buat short interview etc dah berapa lama kahwin, ada masalah period ke, pernah mengandung atau tak, pernah keguguran atau tak. Just basic question. Nurse akan bagi tarikh appointment.
15 Ogos 2016 (First appoinment):
Detail interview, iaitu suami isteri akan ditanya beberapa soalan yang lebih mendalam. selesai, suami akan buat sperm test (baca: Semen Analysis) dimana sperm tersebut akan dinilai dari segi keaktifannya, kenormalannya, dan bilangannya. Kos: RM 65.00
1 September 2016:
Ujian darah untuk kesan sebarang penyakit kelamin. (suami isteri) Kos: RM 101.00
7 September 2016:
HSG (baca: Hysterosalpingogram). Ujian ni saya lakukan di KPJ Tawakkal. Doktor perempuan, jadi, kurang malu sikit. Ujian ni dilakukan untuk kesan sebarang blocking di rahim dan tiub fallopio. Kos: RM 200.00
19 September 2016:
Ujian darah untuk kesan masalah hormon. Saya saja yang buat ujian ni sebab husband normal takde apa-apa masalah. Masalah hormon ni banyak etc, period tak stabil, pengeluaran telur tak matang. Dalam kes saya, saiz telur saya tak matang, tak mencapai saiz yang normal. Saiz telur tak normal tak membenarkan persenyawaan berlaku. Kos: RM 20.00
11 Oktober 2016:
Consultation doktor dan ujian pap smear. Pap smear untuk kesan sebarang jangkitan dan sebarang risiko kanser serviks. Kos: RM 30.00
16 November 2016:
Consult dengan Gynea. Dari ujian2 yang kami berdua lakukan, saya mempunyai masalah hormon(Siaz telur tak matang). Doktor cadangkan kami untuk lakukan IUI (baca: Intrauterine insemination).
Saya perlu consume Chlomid (baca: Chlomiphene) untuk membesarkan telur untuk memastikan prosedur IUI berjaya.
Note:
Cara makan Chlomid – Dibekalkan dengan 10 biji, Perlu dimakan 2 biji sehari, bermula dari hari ke-2 period sehingga hari ke-6, pada waktu yang sama. Tak boleh cepat, tak boleh lambat. Mesti sama. Jam 9 malam pada 5 hari tersebut. Kos: RM 49.00
25 November 2016:
TVS (baca: Transvaginal Ultrasound) dilakukan untuk kesan pembesaran telur. Alhamdulillah 4 biji telur membesar dengan jayanya. Saya dibekalkan dengan suntikan Pregnyl dan juga Duphaston (untuk tebalkan dinding rahim). Suntikan Pregnyl ni perlu dilakukan sendiri di rumah, pada jam tepat 9.00 malam. Suntikan di perut. Tujuan suntikan adalah untuk pecahkan telur yang matang. Kos: RM 162.10
28 November 2016:
Prosedur IUI dilakukan. Suami perlu keluarkan sperm dan sperm dihantar ke makmal untuk proses sperm wash (baca: Sperm Washing). Kemudian sampel sperm yang telah diasingkan digunakan dalam prosedur IUI. Selepas prosedur selesai, perlu baring selama 30 minit dan bed rest 1 hari. Duphaston masih lagi dibekalkan. Kos: RM 350.00
20 Disember 2016:
Ujian air kencing untuk mengesahkan samada mengandung atau tidak. dan Alhamdulillah saya mengandung (4 minggu) dengan sekali cycle IUI.( Tidak boleh buat TVS atau ultrasound sebab kandungan masih kecil). Dibekalkan Folic Acid dan Duphaston. Kos: RM 183.50
3 Januari 2017:
Usia kandungan – 7 minggu.
TVS untuk tengok saiz baby. Alhamdulillah membesar dengan jayanya. Dibekalkan dengan Folic Acid dan Duphaston. Kos: RM 144.45
7 Februari 2017 (Last Appointment): ?
Usia kandungan – 12 minggu
TVS sekali lagi untuk tengok saiz baby. Dibekalkan dengan nasihat-nasihat dari doktor dan juga bekalan ubat (Folic Acid dan Duphaston). Kos: RM 206.80
Total kos = RM 1511.85
17 Ogos 2017, 5.12 pagi, Rumaysaa Nur Awatif my precious baby selamat dilahirkan setelah 3 hari bertarung nyawa nak lahirkan dia. Alhamdulillah syukur padamu Ya allah atas kurniaan rezeki yang tak ternilai ?.Lahir jam 5.12 pagi. 17 Ogos 2017. Hospital Serdang.Berat 3.32 kg
Sekian perkongsian yang tak seberapa dari saya. Kalau nak tanya apa-apa, drop komen atau feel free to PM me. To TTC warriors, keep fighting
P/s: Sebarang rawatan adalah berdasarkan masalah yang dihadapi oleh pasangan, Doktor akan syorkan jenis rawatan yang sesuai
P/s/s: LPPKN adalah badan separuh kerajaan, maka kos perubatannya adalah jauh lebih murah dari klinik swasta dan tempoh menunggunya jauh lebih cepat dari klinik kerajaan yang perlu tunggu turn.
P/s/s/s: Foto adalah beberapa sumber rujukan untuk post ni.
Setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Dr Komathy, Doktor Laila, nurse-nurse dan staff LPPKN Kuala Lumpur.
IUI ialah satu kaedah penghamilan yang dibantu. Semasa IUI dijalankan, doktor akan meletakkan sperma yang telah dicuci dan dipersiapkan ke dalam uterus (rahim) semasa anda mengovulasi. Dengan itu, sperma tersebut akan berada di tempat yang betul pada masa yang tepat apabila telur bergerak melalui tiub falopian. Prosedur ini kadang kala digabungkan dengan penggunaan ubat kesuburan untuk meningkatkan kebarangkalian untuk hamil.