Isteri tak kerja dan hanya duduk rumah. Orang dengar dan tengok macam best sangat. Tak perlu nak fikir pasal kerja dan hanya uruskan rumah tangga saja. Nampak mudahnya kerja isteri sebagai suri rumah sepenuh masa kan.
Hakikatnya, bukan semua nampak mudah dan senang. Isteri bekerja atau isteri hanya suri rumah tangga, masing-masing ada baik, buruk dan suka duka. Bagi yang pernah bekerja dan memilih untuk menjadi suri rumah tangga sepenuh masa, memang ‘respect’ dengan pilihannya.
Bagi isteri yang bekerja, bagilah dia masa dua atau tiga hari untuk duduk di rumah. Mahunya, seronok sebab tidak perlu fikir pasal kerja. Tapi bila sudah seminggu berada di rumah, mahunya isteri yang bercuti itu tidak sabar untuk mulakan kerja.
Gembira bukan apa…sebab kerja di rumah memang tak pernah berhenti, ada sahaja yang perlu dilakukan. Bila bekerja ini, adalah masa untuk isteri rehat seketika daripada memikirkan kerja-kerja rumah. Cuma, masalah lain pula, masalah dengan kerja-kerja pejabat.
Nak tahu penat atau tidak kerja isteri di rumah, ikuti perkongsian daripada Ashman Mat Saleh. Sebagai suami, jangan ingat isteri duduk di rumah tak buat kerja tapi memang tak pernah habis.
Saya kalau balik kerja mesti rasa penat, ye la bangun awal pagi, pergi kerja, petang balik pun dah rasa penat.
Bila kerja Work From Home (WFH), baru saya tahu isteri saya lagi penat. Benda simple sahaja, susukan anak.
Sebelum kahwin ramai bapa2 baritahu saya, nanti kalau ada anak, kalau anak tu susu badan sepenuhnya, isteri mesti penat. Mula-muka macam tak percaya, ala baring je kot bagi susu.
Bila dah ada anak, baru tahu memang dia penat menyusukan anak. Kadang-kadang kita lena tidur, dia berjaga susukan anak, anak saya agak kerap bangun nak menyusu.
Sampai ke harini anak masih kerap menyusu badan walaupun dah tengah malam.
Sejam dua mesti nak susu, menangis, kadang-kadang sampai saya bangun tolong kejutkan isteri sebab saya tahu dia penat sampai tak dengar anak menangis nak susu.
Cuba kita tidur tapi di ganggu setiap 1 jam, setiap 2 jam, mesti kita tak puas tidur. Betulkan? Apatah lagi mereka yang memang susukan anak, setiap hari macam tu.
Jangan Berkira
Itu sebab kadang-kadang saya malas nak berkira dengan isteri saya sebab saya tahu dia memang lagi penat dari kita yang pergi balik kerja ni. Sampai emosi mereka pun boleh terganggu, kalau mereka marah2 tu, anggap sajalah mereka penat. Jangan kita makin keruhkan keadaan. Kita letakan diri kita di tempat mereka. Baru kita tahu.
Hargai isteri anda, bagi mereka happy, walaupun duduk di rumah, tapi mereka lagi penat dari kita. Kalau tanya kenapa saya tak berkira dengan isteri saya?
Ads
Itu salah satu sebab yang saya hargai dia.
Tanya mana bapa bapa pun mesti akan jawab yang sama kecuali yang tak faham bahasa, tak faham kepenatan orang lain.
Sayangilah isteri kita sepenuh hati
#DaddyCool
#AshmanFamilia
MW: Boleh dikatakan kerja kat rumah memang tak pernah habis.
Bekerja Dari Rumah? Syukur, kerana masih banyak syarikat yang membenarkan staf bekerja dari rumah dan diberikan gaji penuh. Alhamdulillah! Sekurang-kurang kita masih ada sumber pendapatan sedangkan ramai yang telah hilang sumber pendapatan. Maka bersyukurlah dan penuhi tanggungjawab yang syarikat amanahkan.
Tak Mudah Ye!
Walau bagaimana pun, bekerja dari rumah tak semudah yang disangka, apatah lagi bagi yang telah berkeluarga. Memanglah tak perlu bersiap-siap dan memandu menempuh jem ke opis. Tapi banyak komitmen lain yang perlu diambil kira. Takkan nak menghadap kerja 24 jam. Nak juga kemas rumah, cuci baju dan masak untuk keluarga. Sebab itu, kena berdisiplin dan bijak atur masa sendiri.
Mungkin ramai isteri yang mengalami situasi ini; Pada awalnya, bimbang tak boleh nak fokus kerja di rumah kerana akan diganggu anak-anak. Namun hakikatnya, kadangkala yang jadi masalahnya bukan anak, tapi suami!
Bila dah isteri 24 jam depan mata, macam-macam permintaan pula. Minta masak itu dan ini, sehingga mengalahkan anak-anak. Isteri baru nak buka laptop, dah kena panggil. Bila beritahu ada kerja, muka masam mencuka dan merajuk. Dikatakan isteri sengaja cari alasan. Sebenarnya lagi senang nak pujuk anak berbanding suami.
Ada suami yang tak habis-habis request isteri masak itu dan ini hinggakan banyak masa isteri di dapur. Apron di tubuh pun tak sempat kering. Alasan suami, inilah waktu isteri nak tunaikan segala keinginannya. Tapi, bagaimana pula dengan kerja anda? Bila nak buat? Dia pula acah-acah sibuk memanjang.
Bincang Dan Saling Memahami
Memandangkan tempoh PKP telah dipanjangkan, bermakna makin banyak juga kerja yang mungkin ‘pending’ dan perlu diuruskan di rumah.
Kalau tak nak diganggu suami dengan permintaan pelik-pelik sepanjang masa, buat perjanjian dan bincang dengan suami secepat mungkin. Terangkan situasi kerja anda di rumah. Mungkin selama ini dia kurang faham atau buat-buat tak faham!
Walau pun duduk di rumah, tapi anda masih ada tanggungjawab yang harus dipenuhi untuk syarikat. Jadi suami MESTI faham dan bertolak ansur.
Ambil Tanggungjawab Masing-Masing
Bagi suami yang juga perlu bekerja dari rumah, anda perlu bincang elok-elok soal uruskan anak terutama jika anak masih kecil. Bila dia perlu jaga anak dan bila pula giliran anda. Jadi, tak timbul dua-dua nak buat kerja dan anak-anak terabai. Susah juga tu.
Mungkin waktu pagi, ketika isteri memasak sarapan, suami boleh fokus pada kerjnya dahulu. Selepas itu, isteri pula ambil waktu untuk buat kerja dan rehat. Suami tolong jagakan anak. Kata orang, gilir-gilir.
Bincangkan dengan suami jika pada hari itu anda perlu ‘menghadiri’ mesyuarat secara online dan agak sibuk. Jadi, mungkin anda boleh masak satu hidangan berat sekali gus untuk sarapan dan makan tengah hari. Jangan pula nanti suami muncung sedepa isteri tak masuk dapur masak makan tengah hari.
Begitu juga sekiranya suami ada kerja yang mendesak, isteri kena faham dan bertolak ansur. Yang penting, sentiasa berbincang.
Wujudkan Ruang Kerja Sendiri
Sebenarnya lagi mudah jika suami juga perlu bekerja dari rumah kerana sekurangnya dia sedar ada kerja perlu disiapkan seharian. Mungkin anda dan suami boleh sepakat untuk sama-sama buat kerja rumah dahulu dan siapkan anak-anak. Kemudian, barulah masing-masing boleh fokus kerja. Seeloknya ada sudut kerja masing-masing juga ye.
Apa pun, berbincanglah. Semoga tak ada suami isteri yang bermasam muka pula gara-gara kerja dari rumah ye…Keluarga penting, kerja pun penting!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Keluarga desak bercerai sedangkan pasangan tersebut tidak terlintas pun nak bercerai! Bukan sedikit rumah tangga yang punah dan hancur akibat campur tangan daripada pihak keluarga si isteri atau si suami.
Wanita ini misalnya, telah menghantar e-mel untuk meminta pandangan dan nasihat daripada puan Hajah Maimunah Hj Mohamad, Kaunselor dan juga penulis ruangan Ya Tuhan di dalam Majalah Mingguan Wanita, berkenaan masalah yang sedang dihadapinya. Ikuti luahan hatinya.
Saya seorang isteri muda, berusia 27 tahun. Terus terang, saya seorang gadis yang agak liar ketika remaja. Mungkin kerana saya terlalu dimanjakan oleh mama dan papa. Maklumlah, saya anak perempuan tunggal dalam keluarga dan saya memiliki tiga orang abang.
Langkah saya makin panjang bila masuk ke IPT. Tinggal berjauhan daripada keluarga membuatkan saya makin bebas. Cuma sejahat saya, tak pernah minum arak dan ambil dadah.
Terlanjur
Ketika di tahun tiga, saya mula serius dengan seorang jejaka satu universiti, S. Orangnya memang tampan dan saya rasa bertuah kerana dapat takluki hatinya. Saya sanggup menyerahkan kehormatan saya padanya. Timbul penyesalan selepas itu namun S pandai memujuk dan berjanji akan mengahwini saya kelak.
Tuhan masih sayangkan saya dan tidak mahu saya terjebak dengan lebih teruk dalam dalam lembah maksiat. Saya mengandung dan ia satu tamparan sangat hebat bagi diri saya. Yang buat saya makin hilang arah tujuan, bila S tiba-tiba menghilangkan diri dan rupanya dia menyambung pelajaran ke luar negara. Saya tahu itu cara dia nak lepaskan diri.
Saya sangat terpukul bila dibuang begitu saja oleh S. Nak tak nak, saya terpaksa berterus terang dengan keluarga kerana saya sangat buntu. Papa hampir bunuh saya malam itu namun sempat ditenangkan oleh abang-abang saya dan mama.
Abang Angkat
Dalam masa yang sama, saya ada seorang abang angkat, M, yang bekerja di sebuah jabatan kerajaan. M abang angkat saya sejak di sekolah menengah lagi. Fb menemukan kami kembali dan sejak itu sering juga kami berhubung.
Dengannya saya boleh bercerita apa saja dan dia tak pernah pandang rendah pada saya walau pun saya liar. Bahkan sentiasa cuba menasihati saya dengan lemah lembut.
Pak Sanggup
Bila saya ceritakan keadaan diri pada M, dia rela memperisterikan saya demi menjaga maruah saya. Puan, saya sangat terkejut dan tak bersetuju. Tapi dia sanggup datang berjumpa keluarga dan melamar saya. Akhirnya saya menerima M apabila didesak keluarga yang ingin tutup malu.
Majlis diteruskan walau pun seminggu sebelum pernikahan, saya keguguran. Ketika itu, keluarga saya minta saya batalkan pernikahan itu tapi saya berkeras untuk teruskan kerana saya tak sanggup memalukan lelaki sebaik M dan keluarganya.
Bahagia
Ternyata, saya sangat bahagia selepas berkahwin dengan M walau pun saya rasa diri saya tak layak untuk lelaki sebaiknya. Sebab itu saya tekad untuk berubah menjadi wanita dan isteri terbaik untuk dirinya. Dia juga membimbing saya untuk dekatkan diri dengan Allah.
Namun yang menyedihkan, keluarga saya tak habis-habis minta saya minta cerai daripada M. Katanya saya akan dapat lelaki yang lebih kaya, apatah lagi saya kini berjawatan tinggi daripada M.
Saya sedih dan marah dengan keluarga yang tak mengenang budi dan bersyukur. Mereka lupa, M yang ‘kutip’ saya dan sanggup terima keburukan saya. Apa yang patut saya lakukan puan?
Saya benar-benar sayangkan M. Dia terlalu baik untuk saya Saya tak tahu sampai bila saya mampu bertahan. Saya juga sedang hamil anak pertama kami selepas tiga tahun berkahwin. Lebih sedih keluarga minta saya gugurkan kandungan ini kerana mereka tak nak saya terus terikat dengan M!
Zee, Setiawangsa
Jawapan:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Assalamualaikum puan yang dirahmati Allah. Alhamdulillah, syukur pada Allah. Dalam keadaan puan yang ditimpa musibah dek kerana lelaki dan juga kesilapan yang puan lakukan, masih ada insan bernama lelaki yang sudi menjadi “pak sanggup” untuk puan dan masa depan yang puan akan lalui.
Tidak ramai orang yang bernasib baik kerana kebanyakan lelaki banyak pilihan untuk mencari jodoh yang terbaik buat mereka. Namun puan dikurniakan lelaki yang sanggup menerima puan dalam keadaan yang kritikal yang juga boleh menjejaskan imejnya juga sebagai lelaki. Tetapi dia tetap menerima puan. Alangkah bertuahnya nasib puan…
Taat Dan Setia Pada Suami
Apabila seorang wanita itu berkahwin, maka semua ketaatan dan kesetiaannya hanyalah kepada suami, selagi suaminya menjalankan tanggungjawabnya terhadap Allah, Rasul dan ahli keluarganya.
Malah jika suami tidak mengizinkan berjumpa dengan ahli keluarga isteripun, si isteri perlu mentaatinya. Begitu tingginya penghormatan terhadap suami. Berbalik kepada suami puan, kalau suami sebaik yang puan katakan itu tidak ditaati, adakah wajar puan menjadi isterinya?
Adalah keterlaluan sehingga ahli keluarga menyuruh gugurkan kandungan. Puan harus punya prinsip hidup tersendiri. Cuba beri kesedaran kepada mereka, adakah apa yang mereka suruh itu dilarang oleh agama? Pastinya berdosa bukan? Tidak mentaati suami, tanpa sebab yang kuat untuk tidak taat, berdosa kan?
Campur Tangan Keluarga
Tahukah puan, hampir 25% (mungkin lebih) masalah keruntuhan rumah tangga adalah berpunca daripada campur tangan ahli keluarga. Semasa saya menjalani praktikum selama 26 tahun yang lalu di sebuah pejabat agama, hampir 60 % masalah suami isteri diperkuatkan dengan campur tangan ahli keluarga yang menyebabkan mereka sukar untuk berbaik semula.
Justeru, puan perlu ada pendirian sendiri untuk tidak mengizinkan keluarga mencampuri hal puan suami isteri. Apatah lagi sehingga ke tahap mohon cerai daripada suami hanya kerana pendapatan yang rendah daripada puan.
Puan perlu bertegas bahawa keluarga tidak boleh mencampuri urusan puan dan suami. Dengan kata lain puan perlu ada pendirian bahawa puan ada kehidupan sendiri yang keluarga tidak boleh mencampurinya.
Nyatakan Pendirian Pada Keluarga
Kebergantungan puan kepada keluarga sendiri perlu dikurangkan dan puan sendiri perlu nyatakan bahawa puan telah ada kehidupan sendiri dan puan bahagia dengan kehidupan puan bersama suami.
Minta kepada keluarga agar jangan sekali-kali mencampuri urusan puan dan suami. Puan perlu bertegas, dan jika mereka masih mendesak, puan boleh beri beberapa syarat seperti puan tidak mahu pulang ke rumah keluarga jika mereka mengeluarkan lagi kenyataan suruh memohon cerai.
Jangan Takut Pada Keluarga
Jangan takut kehilangan ibu bapa hanya kerana desakan mereka untuk memohon cerai daripada suami. Mungkin puan boleh renggangkan hubungan buat semetara waktu dengan ahli keluarga jika mereka kerap mendesak puan untuk mohon cerai. Ketaatan puan kepada ibu bapa perlu ada selagi mana mereka taat kepada perintah Allah dan Rasul.
Puan perlu nyatakan secara berhikmah dan melayani keluarga dengan cara yang baik. Paparkan tingkahlaku dan akhlak puan yang sudah berubah sejak puan berkahwin dengan suami. Cara pakaian, adab, dan lain-lain yang ada perubahan pada diri puan perlu menunjukkan ke arah yang positif. Akhir sekali banyakkan berdoa agar ibu bapa puan lembut hatinya dan menerima puan suami isteri.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Nak suruh berhenti, tumbuk pintu sampai berdarah.” Mak ayah elak bergaduh depan anak. Kadang-kadang anak cuba buat sesuatu untuk menarik perhatian mak, ayah.
Sebelum timbul perkara lebih teruk, mak ayah cuba elak bergaduh depan mereka. Anak-anak ini walaupun masih kecil mereka merekod setiap perkara yang mereka lihat.
Ikuti perkongsian Ustaz Firdaus Mokhtar ini dan hadam baik-baik:
Nak Suruh Berhenti
Ada seorang puan ini, mesej ke saya. Beritahu ada masalah dengan suami.
Suami dia ada hubungan dengan isteri orang. Akibat huhungan itu, isteri orang tu bercerai. Sebab nak kahwin dengan suami puan ini lah.
Itu satu hal. Si suami ini punyalah hendak kahwin lagi, tapi tak dapat persetujuan isteri, habis dia amukkan isteri ini. Dingin selalu.
Habis barang rumah dia pecahkan. Dengan isteri ini dia cekak leher, cengkam lengan, tolak ke katil, heret dari ruang tamu ke dapur. Sakit sakit lah badan puan ni.
Bukan hal ini yang saya nak sebut. Yang saya nak tulis dekat sini, pasangan ini ada anak-anak. Mata anak-anak jadi saksi semua yang berlaku.
Anak yang sulung lelaki, tingkatan 1 dah tahun ini. Sudah mula ada perasaan, dalam umur hendak membesar. Mula ada emosi marah dan benci.
Dia tak suka tengok apa yang ayah dia buat dekat mak dia. Pernah sekali, masa ayah dengan mak tengah bergaduh, dia jadi marah sangat.
Nak suruh mak ayah berhenti bergaduh, dia tumbuk pintu bilik. Banyak kali. Dengan harapan mak ayah fokus ke anak ini, tengok anak yang ada.
Luka, terbelah dan berdarah tangan anak sulung dia. Bengkak penumbuk anak dia beberapa hari. Ada gambar tangan anak ni, puan tadi bagi ke saya.
Mak Ayah Elak Bergaduh
Anak dia kecewa. Marah ke ayah yang selalu pukul mak sendiri. Dan emosi marah ini dia cerita selalu ke mak dia.
“Benci ayah! Tak suka ayah!”
Allahu. Ini yang kita takutkan. Anak sampai timbul benci pada ayah kandung sendiri.
Puncanya kita suami isteri suka bergaduh depan anak-anak. Tak peduli emosi dan perasaan anak-anak.
Berapa pun umur mereka, kecil setahun dua sekali pun, mereka ini cekap merekod apa yang mereka nampak. Setiap satunya akan melekat dalam memori mereka.
Kita semua faham, rumah tangga memang akan ada waktu diuji. Ada keadaan yang kadang jadi punca kita dan pasangan tak sefahaman. Kita rasa diri kita betul, pasangan salah.
Kita dan dia dua-dua cuba hendak tegakkan pendapat sendiri. Maka kita bergaduh, bertekak. Iya, ini biasa berlaku.
Cuma seboleh-bolehnya elaklah perkara ini berlaku depan anak-anak. Biarlah di depan anak-anak di seperti kita di muka buku ni. Nampak elok dan baik sahaja.
Jadilah Malaikat
Semua hal bertikam lidah kita dengan pasangan, biarlah kita dan pasangan kita yang tahu.
Depan anak-anak, kitalah malaikat mereka. Yang setiap masa menabur cinta dan kasih sayang.
Supaya nanti, anak-anak ini membesar dengan jiwa yang sangat baik. Anak lelaki pandai menghormati wanita yang lain, dan anak perempuan terdidik sifat malu dan lemah lembutnya.
Begitulah hendaknya.
Sekian.
Firdaus Mokhtar,
Ya Tuhan, selamatkan kami.
Mingguan Wanita : Marah sekalipun dengan pasangan, jangan dihamburkan amarah itu di depan anak-anak. Biarlah hanya kita dan pasangan saja yang tahu. Memang payah tetapi pedulilah perasaan anak-anak.