Tugas menjaga isteri berpantang bersalin sebaiknya diuruskan oleh suami sendiri. Walau setinggi mana pun pangkat suami dalam kerjaya, inilah tugasan penting yang suami perlu laksanakan agar emosi isteri kekal tenang sepanjang tempoh berpantangnya.
Sekali gus, membuatkan isteri tak serik lalui pengalaman berpantang sebaik melahirkan. Orang kata, sakit melahirkan itu bagaikan mempertaruhkan nyawa di badan. Jika urusan berpantang pun suami lepas tangan, alangkah sedihnya isteri nak melalui tempoh 44 hari mahupun 100 hari itu sendirian.
Ini pesanan murni dari Maleq Ismail ayah anak enam, yang menjaga sendiri isteri berpantang setiap anak, malah menyediakan segala kelengkapan berpantang isteri malah urus setiap anak-anak lain dengan jayanya.
Tip Isteri Sanggup Berpantang Lagi
OK, bagi suami suami yang kacak dan segak sekalian, isteri yang telah melahirkan, dia tengok anak yang lahir, automatik dia ‘ terlupa’ sakit melahirkan seketika, bilamana kita boleh amalkan tips ni.
1. Pertamanya, kawal EGO kamu sebagai suami. Tak kira kamu itu CEO, Manager, atau apa jua pangkat yang sedang kamu pegang, letak bawah katil seketika.
2. Menangkan si dia dalam semua situasi. Walaupun dia kadang teremosi. Kamu yang naturalkan. Banyakkan mengalah. Letak situasi si dia pada kamu yang sedang alami. Sakit, letih, bagaimana mahu dihargai.
Ads
3. Jangan biarkan dia tercari cari persediaan untuk dia mahu mandi, berurut, dan menyusu. Kamu yang sado tu, tunjukkan sadomu itu untuk si dia. Tak perlu tunggu, dia tanya atau cari. Semuanya siap kamu sediakan.
4. Mandikan baby kamu, apatah lagi bila dia sedang poo..poo. Tak kisahlah berapa kerap pun dia poo..poo, kamu yang sado yang buatkan. Bukan isteri. Bagi dia berehat dengan tenang.
5. Sediakan set berpantang yang boleh tambah energy si dia. Ingat, ramai isteri yang tak bertenaga mudah di serang pelbagai situasi yang tak diingini. Nauzubillah. Peranan kamu, cari alternatif untuk bantu isteri bertenaga.
Jika tanya saya set apa nak bagi isteri kembali sihat?
Jawapanya, Isteri saya semestinya, ambil set berpantang dari Shaklee, sejak anak no 4 hingga no 6.
Terkejut tukang urut, bila isteri boleh cergas bangun dan duduk walaupun baru hari ke 3 bersalin.
Semuanya asbab, yang penting usaha dan doa. Insya Allah.
Emosi Isteri Berpantang Tu Senipis Kulit Bawang
6. Emosi isteri sedang berpantang, bak kata orang tua, macam kulit bawang, nipis dan mudah tersinggung. Jangan biar dia menangis, sangat bahaya.
Ads
7. Kadang anak sebelum baby yang baru lahir, masih kecil,( abang atau kakak). Jadi, si anak akan mula tunjuk reaksi semacam. Seperti kasih dan manja tu, telah di ambil oleh baby baru. Penting di sini, letakkan kesabaran 200% untuk anak tu. Beri perhatian seperti biasa atau lebih lagi untuknya.
8. Jangan dimarah si abang atau kakak. Tunjukkan kasih tu tidak berbelah bahagi. Malah lebih lagi sayang tu, kerana dialah abang atau kakak yang bakal bermain dengan si baby nanti.
9. Buat surprise gift untuk si abang atau kakak yang umurnya di bawah 3 tahun. Katakan “ni baby bagi hadiah “. Boleh lihat, reaksi si abang atau kakak, happynya lain macam.
10. Pastikan bengkung, pilis, dan segala persediaan berpantang dipakai rapi untuk si dia. Ikut tempoh berpantang 100 hari sebaiknya.
Ads
11. Walaupun dia sudah nampak sihat, dalaman perlu dijaga rapi. Tujuannya mahu si dia di penghujung usia, kekal sihat sentiasa.
Memori penjagaan si dia sepanjang tempoh berpantang yang buatkan si dia rasa mahu atau bersedia untuk berpantang lagi atau tidak. Sekiranya sepanjang tempoh itu tidak diberi perhatian istimewa. Jangan salahkan dia, jika tak mahu tambah anak lagi.
Jangan tanya saya nak tambah lagi ke tak? saya yang minta cukuplah 6 hadiah dari Allah ini.
Insya Allah, begitulah.
MW : Bersyukur bila mana suami rela ambil cuti lebih semata mahu jaga isteri yang berpantang bersalin ini. Perlulah hargai usaha suami, walaupun kadangkala dia terkial-kial nak belajar.
Rupanya bila anak hilang di tempat awam, jangan jerit namanya sebaliknya ada cara yang lebih berkesan mak ayah boleh lakukan supaya anak mudah jumpa kembali.
Bukan apa, anak-anak kecil bila berada di tempat awam, adakalanya walau dijaga dan diperhatikan macam mana pun, sekali terlepas pandang sekejapan dan boleh hilang dari pandangan mata.
Bila anak hilang, mak ayah memang rasa berderau darah, nak gugur jantung dibuatnya. Lumrahnya tindakan spontan yang dilakukan kebanyakkan kita, ialah dengan menjerit nama anak.
Cara Berkesan Cari Anak Hilang
Namun menerusi perkongsian daripada seorang wanita bernama Reina Lum di TikTok, ada tip dan cara yang lebih berkesan dan praktikal untuk mencari anak yang hilang di tempat awam. Ujar Reina perbuatan menjerit dan memanggil nama anak bukanlah cara yang efektif.
Sebaliknya, menjerit dengan menerangkan ‘details’ yang anak ada pada anak, sebagai contoh,rupa, usia, warna pakaian, warna kasut, ketinggian atau sebarang maklumat adalah lebih berkesan.
Menurut logiknya, lebih banyak orang akan sama-sama turut membantu mengesan dan peluang untuk menemukan kembali anak yang hilang adalah lebih tinggi.
Sebagai contoh;
“Jerit, saya tengah cari budak lelaki umur 5 tahun, baju putih, seluar jeans, kasut warna hijau, pasti semua orang akan turut memerhatikan dan mula mencari anak tersebut..”
Dengan cara itu juga, penculik akan membatalkan niat untuk melakukan perbuatan jahat kerana sedang diperhatikan orang ramai.
Menjengah ke ruangan komen, ramai yang bersetuju bahawa cara cari anak hilang yang dikongsikan ini lebih berkesan berbanding tindakan menjerit memanggil nama sahaja.
Setiap hari isteri memasak untuk seisi keluarga tidak kiralah yang bekerja atau bergelar suri rumah sepenuh masa. Bila setiap hari memasak, ada hari isteri jadi jemu memasak sebab peat berfikir setiap hari apa yang perlu dimasak. Sebenarnya skil masak mak-mak ini, chef pu tak boleh lawan.
Terapi kalau tiba perasaan tak tentu arah nak masak apa, memang jem kepala mak-mak. Waktu ini, suami kena peka perasaan dan perubahan isteri, bawalah isteri dan makan di luar. Bagi ruang buat isteri bertenang seketika.
Ikuti perkongsian, Farizal Radzali dan fahami situasi yang dialami golongan mak-mak bila mereka buntu di dapur.
Kepada suami tersayang…
Kalau isteri mu sudah masak nasi goreng tiga hari berturut-turut, atau asyik-asyik menu yang sama, atau menu macam nak tak nak saja, atau masak merah jadi warna kuning, atau masak kari rasa taucu, atau masak sardin tin sudah entah berapa tin dalam seminggu sambil buat muka sardin.
Pulak itu, kalau nampak isteri mu termenung panjang di tepi peti ais, keluarkan ikan masukkan balik, keluarkan ayam masukkan balik. Ada masa dia dok tenung ikan dekat sinki macam hendak tembus ikan itu dia punya tenung, main mata dengan ikan itu, mata bertentang mata tapi dia tak usik ikan itu untuk satu tempoh yang lama.
Paling best, jika kau nampak isteri mu keluarkan ayam tapi bila sudah siap, rupanya dia masak ikan.
Hari-hari Memasak Jadi Jemu, Penat Fikir
Itu maknanya dia sudah tak tau hendak masak apa. Silalah bawa dia makan dekat luar. Atau tapau balik untuk dia. Pening sudah dia tu.
Isteri punya skil memasak ni, chef pun surrender tau. Kalau dia tengah rajin, on mood kata orang, dia boleh cipta menu baru, modified menu orang, hispterkan menu klasik, pelbagaikan masakan walau hanya dengan ikan masin sekalipun dan macam-macamlah dia boleh buat.
Tak pernah buat kek, tiba-tiba buat kek. Tak pernah buat biskut, tiba-tiba buat biskut. Biskut 3 bahan katanya.
Tapi kalau dia sudah tak ada mood, atau dah tak tahu nak masak apa, atau sudah boring masak, tengoklah, entah apa-apa saja dia masak. Masak nasi pun jadi tak jadi saja nanti. Silap gaya terus jadi bubur. Kalau boleh, janganlah sampai nasi menjadi bubur. Takut nanti hari-hari kena makan bubur pula sudah.
Bukan Malas, Dia Jemu Memasak Bila Penat Berfikir
Ketahuilah, dia bukan malas masak. Dia bukan cari alasan tak nak masak. Dia bukan nak mengeluh. Tapi ada masa dia jemu memasak, dia sudah penat berfikir. Kita kadang itu pergi kedai makan pun tak tahu nak makan apa.
Inikan pula dia yang hari-hari hendak masak, ahli keluarga pula ramai, yang itu tak makan ini, yang ini tak makan itu. Cabarannya mengalahkan lompat papan anjal tahu tak.
Re-post
Farizal Radzali
MW: Bila isteri tak tahu nak masak apa, jangan cop isteri pemalas pula ya. Sebab bukan selalu isteri begitu, kadang-kadang saja bila dia penat berfikir sangat. Jadi sebagai suami, masa-masa kecemasan begini sebaiknya beli sahaja makanan atau lebih manis bawa isteri makan di luar.
Mungkin ada isteri yang dalam diam pernah dalam situasi ini; suami mengaku telah terlanjur dengan perempuan lain dan meminta izin untuk poligami. Namun, dalam Islam, apakah wajib perkahwinan itu? Bersama Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie dan juga penulis tetap ruangan Resipi Hidup Dalam Majalah Mingguan Wanita mengupas persoalan ini.
Tiada Nas Syarak
“Puan, suami minta nak kahwin lagi sebab dah terlanjur dengan perempuan tu. Masalahnya suami tak mampu. Dia kerja tak tetap, duit selalu tak ada, saya yang tanggung kami sekeluarga anak lima. Suami kata dia wajib kahwin sebab sudah terlanjur. Betul ke puan?”
Merujuk kepada penyataan si suami di dalam kes ini menyatakan; “dia wajib kahwin sebab sudah terlanjur”. Sebenarnya adalah satu penyataan yang salah. Tiada nas syarak sama ada ayat al-Quran atau hadis Rasulullah s.a.w atau fatwa ulama malah tidak juga peruntukan undang-undang yang menyatakan secara sahih bahawa pasangan yang berzina perlu berkahwin.
Sememangnya diakui, dalam kebanyakan kes tangkapan zina atau khalwat atau hamil sebelum nikah, pasangan yang terlanjur ini mengambil keputusan untuk berkahwin. Ada juga kes perkahwinan tidak berlaku, yang mewujudkan pula kes bayi yang dibuang. Namun, fakta yang penting dan ingin saya tegaskan di sini ialah tidak wajib berkahwin jika telah terlanjur. Bermaksud pasangan yang telah terlanjur boleh untuk tidak berkahwin dan boleh juga untuk berkahwin.
Tuntut Hak
Untuk makluman juga, tidak salah sekiranya si lelaki enggan berkahwin dengan si gadis atau si wanita yang ditidurinya biarpun hubungan seksual antara mereka berlaku secara rela atau suka sama suka.
Dalam situasi ini, si gadis atau si wanita tidak mempunyai sebarang hak yang boleh dituntut sama ada menggunakan hukum syarak dan undang-undang.
Realitinya, tindakan berkahwin selepas berzina adalah amalan masyarakat bagi menutup malu keluarga. Malah jika berlaku tangkapan oleh pihak penguatkuasa agama, biasanya pesalah akan dinasihatkan oleh peguam pembela atau bertindak sendiri dengan mengambil keputusan untuk berkahwin sebagai satu alasan sesungguhnya mereka yang disabitkan bersalah ini telah benar-benar insaf bagi mengurangkan hukuman yang bakal dikenakan. Syukurlah jika benar-benar insaf dan bertaubat namun ada juga kes, perkahwinan sekadar mengaburi mata Yang Arif Tuan Hakim dan selepas keputusan ditetapkan, pasangan ini kembali bertindak liar.
Keturunan
Mungkin ada yang berpendapat, lebih baiklah kahwin, dapat juga selamatkan keturunan anak yang bakal lahir. Tak perlu risau isu keturunan sebab jika perzinaan menyebabkan adanya anak dalam kandungan si wanita, anak tersebut sememangnya tidak boleh dibin atau dibintikan kepada si lelaki. Namun, ketetapan undang-undang berdasarkan fatwa ulama yang diakui dan diguna pakai di Malaysia ini menyebut; anak yang lahir selepas usia perkahwinan enam bulan qamariah hanya boleh dibin atau dibintikan kepada lelaki yang membuntingkan si ibu jika kecelaruan yang berlaku yakni hamil dulu sebelum nikah tidak diketahui umum.
Lantaran itu, jika si anak lahir selepas usia perkahwinan enam bulan, secara automatik si anak akan dibin atau dibintikan dengan si ayah yang wujud dalam daftar perkahwinan yang dibekalkan ketika proses mendaftarkan nama bayi. Sebaliknya jika anak tersebut lahir sebelum genap usia perkahwinan ibu bapanya enam bulan, maklumat si bapa akan diletakkan sebagai “tidak berkenaan”.
Fakta utama yang perlu difahami juga, walau nama si ayah diterima dalam daftar surat lahir tetapi sememangnya anda sebagai ibu dan bapa memaklumi si anak tadi adalah anak yang terhasil daripada hubungan sebelum nikah, si anak tetap tidak boleh dibin atau dibintikan kepada si ayah tersebut dalam urusan nikah anak itu pula satu masa nanti. Si anak hanya boleh dibin atau dibintikan kepada Abdullah. Si lelaki yang membuntingkan juga tidak wajib menanggung nafkah si anak malah andai tidak berlaku perkahwinan antara si lelaki dengan si ibu, si anak jika perempuan, halal berkahwin dengan si lelaki yang menyebabkan dia lahir ke dunia kerana Islam tidak mengiktiraf si lelaki sebagai ayahnya.
Hukuman menganiayai wanita? Jika itu yang bermain di fikiran anda, beristighfar dan bertaubatlah kerana Islam tidak zalim sebaliknya anda si pelaku jenayah yang menzalimi diri anda sendiri. Firman Allah SWT dalam al-Isra’ ayat 32 bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang hina.”
Ayat ini bukan saja melarang melakukan zina tetapi melarang agar tidak mendekati perkara-perkara yang boleh menjebakkan kita kepada zina. Sebabnya kesan daripada zina ini amat besar dan apabila anda telah termasuk perangkapnya, natijah yang berlaku dan anda perlu terima adalah pilihan anda sendiri, bukan kesilapan hukum lagi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...