Wanita sememangnya insan yang istimewa. Tak mudah untuk menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan ibu, dalam masa yang sama perlu menguruskan rumahtangga dan anak-anak. Rutin harian yang sangat sibuk, segala penat dan lelah hanya dipendam sendiri demi memastikan keluarga terurus sempurna. Adakalanya pengorbanan besar ini, tidak dihargai oleh suami sendiri dan mengakibatkan ramai wanita mudah stress sehingga tahap hadapi kemurungan!
Jemput baca, fahamkan dan hayati perkongsian oleh pendakwah terkenal Ustaz Ebit Lew ini sebagai renungan.
Sedih dan cuma mampu berdoa kasihan pada wanita yang diuji.
Baru ini saya ceramah pada sekumpulan wanita yang mengalami tekanan dan stress dan sehingga sampai tahap kemurungan. Ramai yang menangis bila saya kata Allah sayang. Saya minta mereka ramai-ramai ulang sebut “Allah sayang saya. Allah sayang saya.” Mereka semua menangis sambil ucap perkataan itu. Mereka menangis makin kuat.
Orang tanya saya kenapa wanita ini stress. Jawapannya, mereka juga manusia. Cuba kenang sekejap. Undang-undang dibuat supaya semua waktu kerja ada waktu. Siapa majikan tak ikut diambil tindakan. Mesti ada waktu rehat. Untuk bibik pun kerajaan dah buat jadual mereka mesti ada rehat. Buruh di kilang dan ladang juga ada waktu. Seorang isteri ada jadual rehat tak? Hampir semua tiada rehat. Ya Allah. 24jam sehari. Tidur mereka tidak pernah sempurna. Makan mereka tak sempurna. Terutama ibu-ibu muda yang anak-anak masih kecil. Mereka turut mencari rezeki buat keluarga.
Mereka tiada sesiapa lagi dalam hidup melainkan suami. Jika berjaya rumahtangga orang kata untung awak dapat suami baik. Jika gagal ibu ayah marah anak perempuan sendiri tak pandai jaga suami.
Uruskan Karenah Anak & Suami
Dari awal pagi kemas rumah. Siapkan suami dan anak-anak. Belikan atau sediakan sarapan. Uruskan anak-anak ke sekolah dan hantar ke taska. Dengan pelbagai kerenah anak dan suami.
Balik kerja segera cepat-cepat balik rumah. Siapkan makan minum suami dan anak-anak. Rumah kembali bersepah. Kemas rumah lagi. Duit gaji baru dapat belikan barang-barang dapur sementara tunggu duit suami. Mandikan dan bantu anak-anak buat kerja sekolah.
Bila suami balik, kadang-kadang anak seorang lepas berak. Seorang bergaduh dari tadi. Tinggi suara. Kerja meleraikan anak menjerit bergaduh menangis. Terus cakap dengan suami dengan muka masam kerana anak-anak. Banyak nak cerita, kerana ini teman hidup dan mati. Tersilap mula ayat atau nada. Tak sempat cantik-cantik. Tak pasal-pasal suami terasa dan marah juga kerana penat. Suami terus naik tidur atau tengok tv atau keluar rumah.
Ads
Isteri rasa sedih dan bersalah. Menangis dan menangis. Kadang-kadang tengok gambar kenangan dengan suami. Buka ceramah agama atau kata-kata motivasi untuk pulihkan semangat. Terus bersemangat dan berdoa. Meneruskan urusan rumahtangga kerana Allah dan suami. Terus berlari siap-siap nak layan suami. Tiba-tiba anak-anak menangis, tak mahu tidur. Seorang lagi masa nak tidur nak makan dan berak lagi. Anak kecil asyik menangis. Masa nak mandi pun takde. Anak menjerit ketuk pintu. Masa bila nak makan. Masa bila nak tidur. Masa bila nak mandi. Suami pun sangat penat di tempat kerja harapkan dapat bermanja dan bergurau dengan isteri. Kadang-kadang tidur dengan marah..
Isteri sepanjang malam rasa bersalah…itulah seorang isteri dalam merajuk dan sedih tidak dapat rehat dan terus menerus uruskan rumahtangga sehingga habis usia. Sampai 40 tahun. Tapi mereka ikhlas kerana Allah. Itulah ibu kita dan ibu anak-anak kita..
“Khadijah ra tidak pernah mengeluh sepanjang hidup beliau. Itulah wanita yang sentiasa manis mukanya walau segalanya telah dikorbankan demi agama..“saya selalu minta isteri saya berdoa agar bertemu dengan wanita ini dalam syurga nanti..
Sebab tu kita lihat ayah-ayah kita semuanya selalu cool jer..tak kisah mak membebel . Sebab mereka tahu susah isterinya..fahami isterinya..
Ads
Seorang lelaki yang ingin kebaikan, bahagia dan kejayaan dalam hidupnya berusahalah gembirakan 2 orang ini. Isteri dan ibumu. Lihatlah bagaimana Allah akan bahagia dan kebaikan dalam hidupmu.
Sayangilah isteri kita. Maafkanlah mereka. Bantulah mereka di dalam rumah. Bersama-sama buat kerja rumah. Bantulah sikit-sikit. Jika kita nampak orang angkat barang banyak sebagai manusia kita akan tolong. Kita tengok kerja orang berat kita malu rasa nak duduk.
Sekali sekala bawalah isteri bercuti dan rehatkanlah mereka. Beri cuti. Layan mereka seperti permaisuri sekali sekala. Mereka tiada gaji. Hanya kerana amanah mereka sebagai seorang isteri dan ibu. Jadilah pendengar setia dan penyayang.
Isteri Amanah Allah
Mereka bukan milik kita tetapi amanah Allah untuk kita pimpin masuk syurga..duduk rehat-rehat bersama baca Al-Quran, solat tahajud,doa, baca hadis Nabi saw. Mereka bukan tukang masak. Bukan bibik. Bukan cleaner. Bukan pekerja kita. Mereka hamba Allah dan Umat Nabi saw. Bertanggungjawab hidupkan Islam dan menuntut ilmu serta berkhidmat buat keluarga.
Ads
Itulah kehidupan rumahtangga saling memerlukan dan melengkapi. Kesucian hati seorang isteri dan ibu hanya menjadikan merekalah orang paling bahagia dunia dan akhirat. Ya Allah bahagiakanlah hati ibu dan isteri di luar sana. Ampunkan segala dosa mereka dan beri mereka syurga yang tinggi. Saya sayang ibu dan isteri saya kerana Allah
Harapan saya nak cadang supaya setiap rumahtangga suami isteri dihantar kursus kekeluargaan 3 bulan sekali. Organisasi dan kerajaan sepatutnya hantar setiap staf bawa pasangan belajar ilmu rumahtangga. Suburkan cinta dan sayang dengan sunnah Nabi saw. Buat isteri yang mengadu ada masalah keluarga di pejabat agama. Terus hantar suaminya bawa belajar iman di masjid supaya lebih menghargai isteri dan belajar bimbing isteri dan agama. Sedih sebab bila ada masalah bertahun-tahun wanita itu derita sampai jadi murung. Jadi takut suami. Trauma. Sakit. Disiksa zahir batin. Bantulah ya Allah. Permudahkanlah dan berilah jalan keluar buat wanita-wanita ini.-
Benarlah mafhum sabdaan Nabi saw, orang yang paling baik ialah orang yang paling baik kepada isterinya. Nabi saw ialah orang yang paling baik terhadap isterinya.
Semoga perkongsian ini bermanfaat!
MW: Ceduklah pengajaran daripada perkongsian ini. Semoga para wanita terus kuat dan cekal menguruskan rumahtangga dan anak-anak. Nasihat buat para suami pula, hargailah pengorbanan dan penat lelah isteri.Bantulah para isteri serba sedikit urusan rumahtangga dan jangan biarkan isteri uruskan semuanya hingga boleh menyebabkan dirinya stress dan alami kemurungan.
Penyakit mental adalah penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak. Ia boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah-laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik.
Ikuti penjelasan Pakar Psikiatri Pantai Hospital Sungai Petani, Dr Mohammad Farris Iman Leong Bin Abdullah terhadap soal-jawab berkaitan penyakit mental.
Apakah Jenis-Jenis Penyakit Mental Yang Dialami Wanita?
Sebenarnya wanita boleh menghidap semua jenis penyakit mental. Cuma ada sesetengah penyakit yang lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita berbanding dengan lelaki seperti pelbagai penyakit kemurungan dan penyakit keresahan.
Apakah Faktor-Faktor Risiko Penyakit Mental?
Pelbagai faktor risiko penyakit mental. Antaranya seperti;
faktor genetik (boleh diwarisi turun temurun)
faktor ibu bapa (kurang keakraban dengan ibu semasa bayi, masalah perkahwinan ibu bapa, ibu bapa yang menghisap dadah, ibu bapa yang mengabaikan anak, ibu bapa yang menghidap penyakit mental seperti penyakit skizofrenia, bipolar dan kemurungan yang teruk sehingga menjejaskan penjagaan anak)
masalah kehidupan harian (masalah kewangan, masalah perkahwinan, stres kerja, masalah dengan rakan sekerja, masalah putus cinta, kematian orang tersayang)
sejarah menjadi mangsa buli termasuk siber buli, sejarah penderaan fizikal, seksual dan emosi, gangguan seksual, penggunaan dadah dan alkohol
Pakar Psikiatri Pantai Hospital Sungai Petani, Dr Mohammad Farris Iman Leong Bin Abdullah.
Bagaimana Hendak Mengetahui Diri Ada Penyakit Mental / Cara Mengesan?
1-Pertama sekali, kemerosotan fungsi utama seperti fungsi pekerjaan, akademik atau sosial.
2-Perkara kedua adalah mempunyai tanda- tanda penyakit mental seperti;
mood yang murung
hilang minat dan keseronokan melakukan hampir kesemua aktiviti
tidur terganggu
hilang selera makan atau selera bertambah mendadak
rasa letih selalu
pergerakan, fikiran dan percakapan menjadi perlahan
rasa diri tidak berguna dan asyik salahkan diri
hilang tumpuan dan cepat lupa
memikir untuk membunuh diri atau sudahpun cuba membunuh diri
halusinasi
delusi
kelakuan yang pelik dan percakapan yang tidak relevan atau koheren
katatonia
menjadi terlampau teruja tanpa sebab
rasa diri berkuasa/sangat kaya/nabi/rasul, bertindak agresif dan banyak lagi tanda tanda.
Boleh dengan rawatan ubat ubatan, psikoterapi, dan/atau intervensi psikososial.
Apakah Langkah-Langkah Penjagaan?
Langkah berjaga jaga untuk mengelak penyakit mental adalah keupayaan untuk menangani stres kronik dengan berkesan. Jika tidak dapat menangani stres, maka perlu untuk mendapatkan bantuan pakar kaunseling, psikologi klinikal atau pakar psikiatri untuk menangani stres.
Jauhi dari penggunaan dadah atau kebergantungan kepada alkohol. Walaupun ramai remaja dan orang muda berpendapat bahawa penggunaan ganja adalah tidak berbahaya, namun ia adalah tidak benar kerana dalam ganja, kerana ia juga mengandungi bahan kimia yang boleh mengganggu minda dan meningkatan risiko skizofrenia, terutama dalam kalangan orang yang mempunyai risiko genetik penyakit psikotik yang tinggi.
Adakah Pengambilan Ubat Boleh Memberi Kesan Pada Pesakit?
Setiap ubat mesti ada kesan sampingannya. Namun, kebanyakan kesan sampingan adalah bersifat sementara, iaitu lebih kerap berlaku dalam bulan pertama rawatan dimulakan. Tetapi, ia akan berkurangan dan lenyap selepas badan kita telah adaptasi dengan ubat.
Kebanyakan ubat juga tidak menyebabkan kerosakan buah pinggang, hati atau jantung. Cuma kepada mereka yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang atau hati disebabkan penyakit medikal akan mengalami kekurangan perkumuhan sisa ubat dari air kencing atau najis.
Oleh itu, dalam golongan ini, dos ubat perlu dipreskripsi dalam dos berkesan yang paling rendah untuk mengelak kesan sampingan atau ketoksikan ubat.
Sumber: Pakar Psikiatri Pantai Hospital Sungai Petani, Dr Mohammad Farris Iman Leong Bin Abdullah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Wanita memikul peranan yang besar bukan saja sebagai isteri, ibu, penjaga ahli keluarga, pengurus rumah tangga dan tidak ketinggalan sebagai pekerja bagi mereka yang berkerjaya.
Selain perlu memastikan kesihatan fizikal sentiasa baik, tahap kesihatan mental juga sangat penting kerana ia mampu memberi kesan ke atas diri sendiri dan orang di bawah jagaan mereka.
Misalnya, apabila seseorang wanita dilanda kemurungan, fikiran negatif akibat kemurungan boleh menyebabkan mereka membuat keputusan kurang baik dalam pilihan pemakanan atau cara penjagaan anak-anak.
Memandangkan bulan Oktober merupakan bulan kempen untuk Kesihatan Mental Sedunia 2020. Mingguan Wanita sempat menemubual selebriti yang juga bergelar pelakon, isteri dan ibu iaitu Nad Zainal.
Diajukan bagaimana dia menghadapi stres. Nad yang kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri Samarinda arahan Sharul Ezad yang berjudul Takdir Yang Tertulis, menerangkan sebagai seorang wanita sangat penting untuk tidak cepat berasa lemah.
“Bila menghadapi stres atau tekanan, pada saya jangan cepat rasa lemah atau down. Sebenarnya bila kita stres memang perasaan down akan menyapa. Jika kita berjaya bangun, dan kembali menyusun langkah, alhamdulillah.
“Saya berasa sangat bertuah kerana dikelilingi mereka yang sangat positif dan memberi sokongan dalam setiap lapangan kerjaya. Malah keluarga juga begitu menyayangi. Selain itu sayangilah diri anda,” luah Nad ketika membuka bicara.
Tak Ambil Berat Kata-Kata Negatif
Sebagai seorang isteri dan ibu juga bagaimana Nad menepis pelbagai kata-kata kurang enak daripada netizen?
“Saya memang jenis yang tak ambil berat sangat tentang kata-kata negatif. Famili saya alhamdulillah memahami, dan mereka juga mengambil langkah tak ambil pusing.
“Malah saya juga fokus dengan lakonan saya berbanding gosip peribadi, itu yang terbaik.”
Jika tidak keberatan boleh kongsi kan cara-cara anda tangani stres dan bagaimana pula dengan suami adakah dia juga memberikan kata-kata positif pada Nad?
Beruntung memiliki suami yang penyayang.
“Saya suka habiskan masa dengan anak dan suami, berjalan-jalan dan selalu buat movie night. Suami lah pengkritik dan jugak supporter nombor satu saya.”
Nasihat Nad terutamanya pada golongan wanita di luar sana yang menghadapi masalah stress terutamanya mereka yang bergelar ibu dan berkerjaya?
“Seringlah berbincang dengan pasangan anda. Jika anda perlukan waktu untuk bersendiri, anda berhak beritahu family. Tolonglah jangan pendam,” akhiri Nad.
Memang ada benarnya, dalam kesibukan kita bekerja, menguruskan anak-anak dan rumahtangga seharian, ada kalanya terlupa untuk mengambil berat pada pasangan kita. Sedangkan ayat simple, bertanya ‘Awak Okay Ke?’ pun dah memadai dan cukup untuk menenangkan hati buat rasa diri pasangan dihargai.
Setenang mana seorang manusia, mesti akan ada hari extra letih, extra tekanan, extra beban dan segala macam ujian. Begitu jugalah dengan pasangan kita.
Oleh itu, ayat sesederhana ‘Awak okay ke?’ pun sudah cukup menenangkan hati sebenarnya.
Ada orang, dia keluar mencari nafkah waktu pagi, pulangnya pula apabila sudah tengah malam. Masuk rumah, disambut dengan wajah isteri yang juga keletihan.
Ya, kita penat. Jangan lupa isteri pun penat. Begitu juga dengan isteri, jangan sewenangnya meremehkan pengorbanan dan kepayahan yang suami hadapi.
Percayalah, kita masing-masing ada struggle dan battle kita setiap hari – baik sebagai suami dan bapa juga sebagai isteri dan ibu. Jadi, jangan lupa berlapang dada dan bersifat ehsan terhadap pasangan kita.
Jangan Lupa Tanya
Bila lihat pasangan, sentiasa fikir, banyaknyalah hak-hak mereka yang masih belum kita tunaikan. Barulah dapat timbul rasa keinsafan, rahmah dan belas kasihan.
Ya, memang kita lihat pasangan sebagai multi-tasking, orang yang kuat tak mudah merungut. Tetapi lihatlah siapa kita di sisinya dan mainkanlah peranan kita.
Ada mulut, bertanyalah. Pujilah.
Ada mata, lihatlah kepayahan dan pengorbanan pasangan.
Ada hati, jangan lupa bersyukur dengan nikmat pasangan dan anak-anak.
Ada tangan, jangan lupa peluk dan belai pasangan.
Ada masanya mereka sangat memerlukan sentuhan dan keperihatinan kita.
Benda-benda basic yang kadang selalu sangat dilupakan.
Ya, memang kadang kita seharian sangatlah sibuk dengan tugasan masing-masing. Namun, ambillah 1 saat untuk tatap wajah pasangan dan tanya dia, ‘awak okay tak?’
Pertanyaan simple ini mungkin bakal menyelamatkan nyawa seseorang yang telah ‘lost’ jauh dalam depresi.
Ambil berat kepada pasangan kita. Please.
#intandzulkefli
#randomthoughts
P/S : saya terpaksa tulis sementelah seminggu dua ini beberapa kenalan dan masuk inbox luahan wanita mengadu rasa nak mati, rasa nak bunuh diri kerana suami terlalu sibuk hingga tak sempat berkomunikasi dan isteri rasa dirinya terabai.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dijadikan panduan buat pasangan suami isteri. Ingat, walau sesibuk mana pun kita, jangan lupa bertanya keadaan pasangan. Ayat yang simple seperti ‘Awak Okay Ke?’ pun dah cukup menenangkan hati.
Gula-gula gummy bebas dijual di pasaran, jelly berisiko tercekik bagi kanak-kanak. Kejadian tragis melibatkan adik Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, seorang kanak-kanak berusia 10...