Ibarat Hamba Abdi Pembantu Rumah Cedera Teruk Dipukul, Dicucuh Bara Rokok!

Siapa sangka harapan bekerja sebagai pembantu rumah untuk menyara keluarga menjadi mimpi ngeri apabila diri diseksa teruk dan diperlakukan sesuka hati tanpa ada rasa sifat perikemanusiaan.

Badannya dicucuh dengan bara rokok selain dipukul majikan sehingga patah dua gigi hadapan.Pembantu rumah malang warga Kemboja berusia 20-an itu diibaratkan seperti hamba abdi kerana bukan saja didera majikannya, malah tidak dibayar gaji sejak dua tahun lalu selain dihalang berhubung dengan keluarganya di kampung.

Penderitaannya berakhir apabila wanita terbabit melarikan diri dari rumah majikan di Taman Sri Siantan, Bentong, Pahang, Jumaat lalu.

Minta Bantuan Pusat Tahfiz

Wanita itu kemudian meminta bantuan di pusat tahfiz terletak tidak jauh dari kawasan rumah majikannya.

Pemilik Madrasah Tahfiz Darul Furqan, Mohamad Azam Shah Aziz Mohamad berkata, ketika wanita terbabit datang ke madrasah meminta bantuan, tenaga pengajar di situ yang juga warga Kemboja membantunya.

“Tenaga pengajar itu segera membawa wanita itu ke rumah saya,” katanya.

Ads

Menurutnya, dia yang berada di luar kemudian dihubungi ibunya memaklumkan kejadian sebelum bergegas pulang.

“Saya terkejut melihat kecederaan teruk dialami wanita itu. Katanya, dia bukan saja dipukul malah turut dicucuh bara rokok di badannya.

“Mujur ustaz Kemboja menularkan gambarnya dalam kumpulan WhatsApp sebelum dapat menghubungi ahli keluarga di kampung,” katanya.

Ibarat Hamba Abdi Pembantu Rumah Cedera Teruk Dipukul, Dicucuh Bara Rokok!

Ads

Ibu Sangka Anak Meninggal Dunia

Mohamad Azam berkata, ibu wanita terbabit memberitahu dia menyangka anaknya meninggal dunia kerana terputus hubungan sejak dua tahun lalu dan sangat sedih mendengar berita menimpa anaknya.

“Kakak ipar saya membawanya ke Balai Polis Bentong untuk membuat laporan.

“Saya difahamkan susulan laporan itu pasangan suami isteri terbabit ditahan polis dan direman tujuh hari,” katanya.

Ads

Sumber memberitahu, kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom).

“Pasangan suami isteri berusia 56 dan 48 tahun juga ditahan Sabtu lalu. Polis turut merampas rotan dan penggaru badan. Kedua-dua suspek warga Kemboja yang mendapat taraf penduduk tetap,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Yusof Unis ketika dihubungi, mengesahkan laporan berhubung kejadian itu dan penahanan kedua-dua suspek.

MW: Sebagai manusia haruslah ada sikap belas kasihan dan berperikemanusiaan pada orang lain. Tak patut sungguh bagi majikan menyeksa pekerja amah dengan cara sedemikian. Semoga wanita ini mendapat pembelaan dan yang menindas mendapat pembalasan dibawa ke muka pengadilan.

Sumber: Hmetro

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI