Ibarat air dicincang yang takkan putus, begitulah istimewanya hubungan adik beradik.Namun yang membuat rasa terkilan, apabila adik beradik semakin meningkat dewasa, usia semakin bertambah dan masing-masing sibuk mengejar impian serta cita-cita masing-masing.Hubungan yang pernah erat ini semakin renggang dan menjauh.
Mungkin ada adik beradik yang berjaya dalam hidup dan mungkin ada juga yang kecundang. Namun, janganlah sampai kita mengabaikan hubungan adik beradik meskipun sudah berbeza haluan. Kenangkan kembali zaman kanak-kanak kita membesar bersama-sama di bawah bumbung rumah yang sama dan berkongsi rahim yang sama.
Adat adik beradik ada kala terjadinya perselisihan faham dan perselisihan pendapat. Bila dah bermasam muka dan tidak bertegur sapa, nak berbaik semula tu yang susah.Buanglah yang keruh ambillah yang jernih.Jagalah hubungan sesama adik beradik, saling bermaafan dan menghormati. Kadang kala mengalah bukan sebab kalah, kita mengalah sebab hormatkan dengan hubungan yang ada.
Sebenarnya bila adik beradik bergaduh sebenarnya telah hilang rahmat Allah dalam keluarga tu sebab tu penting jaga hubungan dengan adik beradik.Kalau kita tengok ada adik beradik kita susah sikit dan Allah bagi kita rezeki lebih.Bantulah adik beradik kita.Bukan kah sebaik baik sedekah adalah kepada ahli keluarga yang terdekat.
Ini antara 10 tip yang boleh dipraktikan bagi merapatkan lagi hubungan antara adik beradik.
Tip Jaga Hubungan Adik Beradik:
1. Solat Berjemaah
Jika masih tinggal serumah, rebut peluang solat secara berjemaah sesama adik beradik. Apatah lagi selepas bersolat kita akan bersalaman sesama adik-beradik dan berdoa bersama-sama. Dengan itu hubungan kekeluargaan akan lebih diberkati oleh Allah SWT. Jika berjauhan,jadikan amalan solat berjemaah ini sebagai rutin setiap kali berkumpul bersama.
2. Makan Bersama
Waktu makan ialah waktu yang tepat bersama-sama atau berkumpul beramai-ramai. Tambahan lagi jika melibatkan adik beradik dan ahli keluarga yang ramai, tetapkanlah satu waktu dan keraplah makan bersama-sama. Selain itu, boleh juga sesekali makan didalam dulang dengan adik beradik. Selain merupakan sunnah ia mampu mengeratkan lagi hubungan adik beradik, apabila dapat bergurau senda dan makan bersuap pasti menambah kemesraan. Bahkan jika terdapat apa-apa majlis seperti kenduri dan keraian, berkunjunglah agar hubungan sesama adik-beradik setiasa rapat dan tidak terputus.
Ads
3. Berkongsi Masalah Dengan Adik-Beradik
Berbanding kawan-kawan, adik beradik, mak ayah dan keluarga kita lah antara orang yang paling boleh dipercayai. Ini kerana mereka lebih mengenali kita berbanding orang lain dan dapat memberi nasihat yang lebih tepat dan yang terbaik untuk kita sebagai ahli keluarganya.
4. Melakukan Aktiviti Bersama-Sama
Jangan selesa apabila bersendirian tanpa keluarga dan adik-beradik. Lakukanlah apa-apa jua aktiviti secara bersama-sama. Ambillah waktu untuk bercuti bersama-sama ataupun melakukan aktiviti riadah dengan ahli keluarga seperti berkelah,bersenam, membeli-belah dan sebagainya. Paling terbaik, adakan hari keluarga bagi mengeratkan lagi hubungan.
5. Menyambut Hari Penting
Ahli keluarga juga boleh mengeratkan hubungan dengan meraikan hari-hari penting bagi setiap ahli keluarga. Contohnya meraikan ulang tahun setiap adik-beradik, ulang tahun perkahwinan mak ayah dan sebagainya.Tindakan ini bukan sahaja dapat mengeratkan silaturahim tetapi sebagai tanda penghargaan kepada ahli keluarga tersebut. Mereka juga akan berasa bahagia dan gembira.
Ads
6. Memberi Hadiah Dan Buah Tangan
Jika ada rezeki lebih, contohnya jika pulang dari bercuti atau melancong, belilah apa-apa sahaja untuk ahli keluarga, biarlah tidak mahal tetapi tetap ada untuk mereka.Jenama, harga dan rupa tidaklah penting, tetapi pemberian tersebut yang ikhlas akan memberi kesan.
7. Sentiasa Berhubung
Seringlah berhubung antara satu sama lain walaupun berada di tempat yang berjauhan. Dengan kemudahan teknologi hari ini sudah tidak ada alasan lagi untuk tidak berhubung.Contohnya aplikasi whatsapp, facebook yang memudahkan kita menghubungi adik-beradik dan keluarga bila-bila masa sahaja. Tidak seperti zaman dahulu yang memerlukan sepucuk surat sampai berhari-hari lamanya.
8. Saling Menghormati
Hal yang sangat perlu dititikberatkan dalam menjaga hubungan antara adik-beradik ini adalah rasa hormat antara satu sama lain, terutamanya bagi adik-adik perlu menghormati kedudukan abang dan kakaknya selagi tidak bertentangan dengan syariat Allah SWT. Namun ni tidak bermakna abang dan kakak tidak perlu menghormati adik-adiknya. Hormat menghormatilah antara satu sama lain daripada aspek percakapan, perbuatan menjaga perasaan dan sebagainya. Jangankan kita sahaja mengharapkan orang lain menghormati kita tanpa kita menghormati orang lain terlebih dahulu.
Ads
9. Menghargai Dan Mencari Kelebihan Mempunyai Adik-Beradik
Mak ayah sewajarnya mendidik anak-anak untuk bersyukur kerana diberi adik-beradik. Ajarlah mereka mensyukuri apa yang ada dan membandingkan diri dengan mereka yang tidak mempunyai adik-beradik.Jangan sesekali berasa tertekan dan mengangap bilangan adik beradik yang ramai sebagai bebanan dan sukar, sebaliknya anggaplah kehadiran adik-beradik sangat memeriahkan dan tidak sunyi.
10.Mudah Memaafkan
Adalah perkara biasa jika terdapat perselisihan antara adik-beradik. Namun, hal tersebut jangan dipanjangkan dan segera diselesaikan daripada dibiarkan berlarutan. Segeralah memohon maaf dan mudahkanlah menghulurkan kemaafan. Jangan ego dan terlalu meninggi diri dengan adik-beradik, tetapi keraplah bertolak ansur dan bersangka baik. Jika ada perkara salah dan silap dilakukan oleh adik-beradik kita, maka tegurlah dengan cara yang berhikmah dan lemah lembut. Cara itu adalah lebih baik dalam menjaga keharmonian kekeluargaan.
Menjaga keharmonian institusi keluarga sangat penting dan dituntut dalam agama. Walaupun sering berselisih faham, bergaduh dan berebutkan benda, adik-beradik tetap mempunyai hubungan yang istimewa antara satu sama lain.
Media sosial ini boleh jadi medan silaturahim, dan boleh juga jadi medan perbalahan. Sebab itulah, kena digunakan bukan setakat sebaik-baiknya malah serasional mungkin. Agar tidak menjadi medan untuk menilai buruk orang lain.
Hadamkan pesanan Firda Ashaary ini. Agar setiap komen mahupun perkongsian yang anda tulis memberi manfaat kepada orang lain.
Sekarang Zaman Di Hujung Jari
Tak dapat dinafikan zaman sekarang adalah zaman hujung jari. Tekan-tekan je, siap.
Nak nasihat boleh, nak kutuk boleh, nak acah-acah boleh, nak maki orang boleh. Ehh semua pun boleh lah! Taip je, apa pun boleh. Tiada batasan, tiada sempadan.
Tapi, persoalannya.
Adakah kita perlu menonjolkan semua sisi dalam diri kita pada audien/umum?
Ada yang menjawap,
“Ya! Kita perlu jujur. Jangan acah, jangan hipokrit. Jadilah diri sendiri dan diri sebenar.”
“Eh, fesbuk aku, suka hati aku lah. Tak suka blah!”
Gitu.
Hurmmm, tapi kalau korang tanya aku. Aku akan jawap,
“Tak perlu kot? Kenapa perlu tunjuk semua sisi kau pada orang tak kau kenali atau hanya kau kenali di alam maya atau di atas talian?”
Kenapa aku jawap begitu?
Yelah, cuba korang bayangkan ye.
Korang kenal somebody ni, bagus penulisannya. Wajah lawa, kerjaya bagus. Hidup pun nampak macam okaylah. Tiba-tiba acapkali pula, kau pasti akan terserempak dengan status maki-maki orang, orang tu tak kena, orang ni tak kena. Kau rasa?
Apa kau fikir?
Ye, betul lah itu life dia. Kau tak suka, scroll je laju-laju. Tak pun boleh je unfollow atau unfriend saja. Settle.
Tapi apa yang aku nak tekankan, pandangan orang luar pada somebody tu, macam mana? Mesti sama jugak macam kau rasa kan? Annoying betul tak? Mesti rasa macam erkk? Dia ni mulut macam ni ke? Laki dia siapa, tak marah ke?
Ehh, pasti banyak lah persoalan timbul dan tak ada jawapan.
Dari orang tak kenal kita dan hanya kenal di talian, terus orang boleh ‘tafsirkan’ kita ni kategori mana. Dari orang sangka baik dengan kita, terus bertukar jadi negative thinking. Tak best lah kan? Jumpa pun tak pernah tapi dah menilai buruk. Tapi nak salahkan siapa, sebab kita sendiri yang tebar sisi begitu. Tak boleh nak marah lah.
Ingat gais,
Ada benda kita boleh kongsi, ada benda yang tak perlu dikongsi. Baik simpan sahaja sendiri. Tak semua benda boleh cerita untuk tatapan umum. Banyak aib yang kita perlu jaga. Aib suami, aib keluarga, semua tu tanggungjawap kita. Rasa nak marah, nak carut, kau gi lah carut sorang-sorang. Jangan carut kat fesbuk.
Aku tak kata aku dah cukup bagus. Tapi aku cuba, sentiasa cuba.
Kita bukan di fasa umur 15 – 16 tahun yang baru nak kenal apa itu fesbuk. Kita dah kenal hampir separuh dari umur. Takkan masih nak berfesbuk di takuk lama. Masih nak maki, nak carut orang je kerjanya. Malu lah kat anak cucu.
Tulislah sesuatu yang bermanfaat dan mudah-mudahan boleh buat kau tersenyum bila scroll semula nanti dengan anak cucu.
InshaAllah,
Kita mampu ubah cara kita.
#SuffianSuffiya #SepatahDuaKata
Pesanan ikhlas dari wanita kepada wanita khususnya.
Mingguan Wanita :Jangan sampai jari-jemari lebih pantas dari akal fikiran. Fikir-fikirkan.
Bukan mudah bagi seorang lelaki untuk jadi suami dan ayah, apatah lagi nak jadi ketua keluarga yang boleh memimpin keluarga dan dihormati isteri serta anak-anak.Besar tanggungjawab yang perlu digalas.
Fenomena dalam kekeluargaan hari ini, ramai isteri dan anak-anak semakin hilang rasa hormat dan pandang rendah pada insan bergelar suami dan ayah ini. Ini kerana ia bergantung pada sikap suami sendiri serta gagal memenuhi 6 elemen yang dijelaskankan oleh Encik Hishamnamatini.
Berikut merupakan perkongsian daripada beliau;
“Bertanggungjawab adalah tanggungjawab semua, tidak kira yang berpoligami mahupun monogami. Cuma kenapa elemen bertanggungjawab ini perlu diperincikan lagi kepada suami yang beristeri lebih dari seorang adalah kerana beban yang dipikul itu berlebihan dan dalam banyak keadaan ianya memerlukan kebijaksanaan untuk melaksanakannya.
Saya tidak mahu menumpukan huraian ini pada tanggungjawab yang lazimnya kita semua sudah ketahui seperti tanggungjawab zahir dan batin, tanggungjawab tempat perlindungan dan makan pakai, tanggungjawab membimbing isteri untuk melaksanakan ibadah khusus dan sebagainya. Itu adalah syarahan atau silibus yang terdapat di peringkat sekolah mahu pun universiti.
Sikap Suami
Apa yang ingin saya ketengahkan sekarang adalah membawa anda menilai tanggungjawab dari sudut perlaksanaan dan sikap suami terhadap sesuatu amal perbuatan. Ini kerana isteri mahupun anak-anak sendiri akan ‘memberikan markah’ kepada suami atau ayah mereka sebenarnya.
Dalam erti kata lain mereka sedang memerhatikan setiap tindak tanduk anda untuk menilai bagaimanakah sikap seorang yang dikatakan sebagai pelindung kepada mereka.
Adakah mereka berpaut pada dahan yang betul; malah itulah harapan mereka sebenar-benarnya. Apabila ‘markahnya’ tinggi maka lagi mudahlah untuk mereka patuh dan menuruti ‘kemahuan’ anda kerana sejauhmana tinggi atau resiko pun ‘kemahuan’ tersebut, mereka akan tetap yakin yang anda akan melaksanakannya dengan penuh rasa amanah dan bertanggungjawab.
Sekira ‘markahnya’ rendah maka disitulah timbulnya rasa jelek seorang suami, apabila setiap tindak tanduknya sering sahaja dipertikaikan oleh isteri malah anak-anak yang juga sudah boleh berfikir.
Di sinilah timbulnya si suami asyik mempertikaikan ketaatan dan sikap memberontak si isteri tanpa mereka sedari bahawa sikap ‘protes’ itu datang dari rasa kurang hormatnya kepada suami yang dilihat culas mengalas segala amanah dan tanggungjawab.
Pemerhatian
Keculasan memikul amanah dan tanggungjawab ini tidak semestinya sesuatu yang berkait secara langsung dalam amalan rumahtangga sahaja. Isteri dan anak-anak juga sentiasa memerhatikan tindak tanduk suami di luar dari persekitaran rumah.
Mereka memerhati bagaimana suaminya bermuamalat, menunaikan janji kepada saudara dan sahabat handai, melaksanakan tugas di pejabat, mentaati dan menghargai masa dan pelbagai lagi situasi yang boleh mereka nilaikan.
Sekiranya perkara-perkara yang di luar lingkaran rumahtangga ini pun berada di dalam radar pemerhatian mereka, apatah lagi perkara-perkara yang berkaitan secara langsung dengan amalan rumahtangga. Sudah tentulah ianya lebih lagi tinggi nilaiannya.
Antara elemen-elemen lazim yang sering dituntut pertanggungjawabannya oleh isteri adalah:
1. Tahap menunaikan janji 2. Membantu ringankan beban kerja rumah beliau 3. Bersikap perihatin tentang keperluan anak-anak 4. Meluangkan masa untuk keluarga 5. Ketegasan suami menangani isu rumahtangga 6. Hubungan jiwa suami pada Allah S.W.T.
Saya tidak perlu menghurai secara panjang lebar ke enam-enam perkara di atas kerana ianya sangat jelas tuntutannya dan boleh difahami dengan mudah akan kesan yang bakal berlaku sekiranya suami gagal berperanan secara efektif terhadap perkara yang tinggi tuntutannya itu.
Secara dasarnya enam elemen tersebut (mungkin ada lebih; anda boleh fikirkan sendiri) merupakan faktor-faktor penting yang seharusnya menjadi amalan kehidupan bagi seorang suami mithali sekiranya anda ingin menjadi dambaan isteri.
Jika berlakunya pengabaian, maka weight of loosing trust and respect itu akan lebih tinggi bebannya berbanding dengan kesan pengabaian tanggungjawab suami di luar lingkungan rumahtangga tadi. Ini suatu perkara yang pihak suami benar-benar kena fahami.
Media sosial ini boleh jadi medan pahala, boleh jadi juga medan kumpul dosa. Sebab itulah, pengguna itu sendiri mahu pilih yang mana. Jika sisi positif yang dipilih, maka positiflah ia. Pesanan Guru Kaunseling ini ada banyak benarnya, tentang ketahanan hati seseorang apabila nampak posting orang lain di media sosial.
Kerana, bagi Abdul Muiez Ruslee ini apabila seseorang itu melatih diri untuk menulis yang baik-baik setiap kali melihat perkongsian orang lain, dia juga sebenarnya sedang mendoakan orang lain. Dalam masa yang sama mendoakan untuk dirinya sendiri.
Nampak Orang Pergi Korea, Saya Berdoa Dalam Hati
Sekitar tahun 2005 dulu, saya nak pergi umrah. Tapi visa tak lepas.
Seronok betul tengok orang pergi umrah. Perlahan-lahan saya doa dalam hati. Semoga satu hari nanti, saya pun dapat pergi macam orang lain pergi.
Lima tahun lepastu, saya dihubungi seseorang. “Muiez nak pergi umrah tak? Bawa jemaah.”
Allahu akbar. Siapa sangka, Allah bagi peluang dengan cara yang tak disangka dan sudah tentu pada waktu yang terbaik.
Beberapa tahun lepas, saya pernah rancang nak pergi Korea dengan keluarga. Dah bayar deposit. Bila kira-kira balik, macam tak sempat kumpul duit sampai hujung tahun. Saya tarik balik deposit tu.
Bila tengok orang pergi Korea, saya berdoa dalam hati. Semoga dapat juga pergi Korea macam orang lain.
Tahun lepas, saya dihubungi seseorang. “Abang Muiez nak pergi Korea tak? Bawa orang. Percuma saja. Siap dapat gaji lagi.”
Allahu akbar. Sekali lagi peluang datang tanpa disangka.
Kita Tengok Orang Kongsi Apa-apa Di Media Sosial, Elak Tulis Begini
Bila tengok orang dapat itu ini, saya pun berdoa semoga saya dapat macam orang lain juga. Alhamdulillah, ada saja jalan yang Allah lorongkan untuk saya dapat macam orang lain.
Kalau kita tengok orang kongsi apa-apa dalam media sosial, cuba halang diri daripada menulis begini.
“Kau kaya tak apalah.”
“Alah, benda tu bukan boleh bawa mati.”
“Nak menunjuk lah tu.”
“Dapat duit entah dari sumber mana, lepastu nak menunjuk pula.”
Cuba latih diri kita menulis begini.
“Ya Allah. Seronoknya. Semoga satu hari nanti aku pun akan dapat macam dia.”
“Tahniah. Doakan saya ya. Saya pun nak macam ni satu hari nanti.”
“Mohon kawan-kawan yang baca komen ni, doakan sama-sama supaya kita pun akan dapat macam dia.”
Cuba kita renung balik sepanjang hidup kita. Pernah tak kita dapat, satu benda yang kita nak tapi tak sangka kita akan dapat? Ada saja jalan yang Allah tunjukkan untuk kita dapat benda tu. Malah dari jalan-jalan yang tak disangka.
“Aku saja je masuk peraduan ni. Hantar satu penyertaan saja. Tak sangka boleh menang iPad.”
“Tak sangka. Datang kedai ni nak beli baju sekolah. Tiba-tiba menang telefon sebagai pengunjung bertuah. Lama sangat dah nak pakai telefon ni.”
“Tak pernah pergi Langkawi. Tengok kawan-kawan pergi, cemburu pun ada. Tiba-tiba abang ipar belanja kami satu keluarga. Syukur.”
“Tak pernah makan musang king seumur hidup. Tiba-tiba dapat moratorium. Syukur.”
Stop wishing, start doing. Doa-doakan, mudah-mudahan impian kita akan menjadi kenyataan.
MW : Banyak benarnya, sebab itulah bila nampak posting orang lain tulis, doakan lah yang baik-baik.
Suami terpaksa 'mengemis' nak puaskan nafsu, dah merayu masih tak dapat. Dalam kehidupan berumah tangga, kebahagiaan dan keharmonian bukan sahaja bergantung kepada aspek kewangan, komunikasi, dan tanggungjawab harian, tetapi juga kepada keperluan batin pasangan.