Hati perempuan memang istimewa. Datanglah sebesar mana pun dugaan kasih sayangnya sukar digugat. Segalanya akan kekal teguh; seteguh tembok besar China.

Hati Wanita Ada Kepantangannya!

Memang tidak ada keraguan langsung tentang perkara ini. Namun di sebalik semua ini ada satu pantang yang tidak boleh dilanggar. Jangan cuba-cuba menduga kasih sayang dan kepercayaan yang telah diberikan. Ramai yang berkata, sekali dikhianati, mereka tidak akan percaya lagi.

Ya, sebagai isteri pasti anda mahu membuktikan yang anda serius dalam perkara ini. Namun keadaan kadangkala tidak menyebelahi anda untuk membuktikan perkara itu. Bayangkan kepercayaan anda itu dikhianati selepas anda mempunyai tiga orang anak. Dua orang baru sekolah rendah dan yang bongsu baru berumur 2 tahun.

Hati Wanita Istimewa, Sentiasa Memaafkan…Tapi Jangan Langgar ‘Pantangnya’!Hati Sakit Tapi Tetap Bertahan Demi Anak

Setelah menilai semua perkara nyata anda tidak ada pilihan. Hati anda memang disakiti tetapi demi anak-anak anda terpaksa belajar untuk mempercayai semula. Inilah ajaibnya alam perkahwinan. Anda hanya dapat belajar mempercayai semula setelah ianya berlaku. Dalam keadaan lain pula, anda tidak ada pilihan.

Hati anda hancur berkecai seperti kereta kancil dirempuh trelar 32 tayar. Tidak mungkin anda menerima dia lagi. Anda berpisah dan itulah yang berlaku. Pintu hati anda kunci kuat-kuat dan anak kuncinya anda buang ke laut. Setelah beberapa ketika, ada orang yang mengetuk pintu hati. Anda tidak tahu bagaimana membuka pintu itu semula. Nota minggu ini berkongsi cara untuk anda melakukannya dalam kedua-dua keadaan ini.

IKLAN

Suami Tak Rasa Bersalah Pun!

Tidak ada isteri yang tidak emosional apabila terpaksa berhadapan dengan situasi ini. Lebih-lebih lagi apabila pasangan anda tidak sedikit pun menunjukkan rasa bersalah.
Setiap malam senyumnya masih melebar dari telinga kiri ke telinga kanan. Tarik nafas dan lepaskan perlahan-lahan. Anda tidak mati dengan melihat mukanya itu. Ingat bahawa apa sahaja yang tidak dapat membunuh anda, akan menjadikan anda lebih kuat.

Cari Sebab Terkuat Untuk Bertahan

Cari sebab terkuat kenapa anda mesti kuat dan terus bertahan? Adakah kerana masa depan anak-anak? Adakah kerana taat kepada suami dan untuk mendapat pahala melimpah-ruah? Atau kerana malu kalau dapat gelaran ‘Janda’? Apa sahaja sebab itu, pegang, paut dan gigitlah sebab itu sekuat hati, terus bertahan dan masa akan membuka jalan untuk anda mempercayai dia semula. Ya, mungkin dalam bentuk yang lain.
Jika anda sudah bulat hati dan sudah habis berfikir untuk berpisah maka sudah tentu keputusan itu adalah keputusan yang tepat. Ini adalah kehidupan anda dan anda yang benar-benar melaluinya.

Hati Kita Bukan Putih

Hati kita bukan putih seperti hati para Nabi atau seperti insan-insan terpilih. Kita mungkin ber’dendam’ tetapi dendam yang terhebat ialah dengan membuktikan anda boleh menjadi lebih baik selepas ini. Mungkin selama ini anda dipertemu dengan lelaki yang salah sebagai persediaan untuk menerima lelaki yang baik selepas ini.

IKLAN

Akal kita memang pelik. Kita selalu kesal dan sedih dengan apa yang telah kita lalui. Sebab itu kita selalu berfikir alangkah baiknya jika boleh kembali semula ke masa silam. Dengan itu dapatlah kita membetulkan tindakan yang telah dibuat sebelum ini. Namun itu adalah mustahil.

Alihkan Perhatian

Jangan buang masa mengharap sesuatu yang tidak boleh kita lakukan. Alihkan perhatian daripada meratap melihat apa yang telah berlaku kepada bersedia untuk menghadapi masa hadapan. Ada berjuta-juta lagi lelaki baik di luar sana. Pasti ada seorang yang sedang menunggu dan sangat menghargai kepercayaan yang bakal anda berikan.

Perpisahan rumah tangga memang sangat menyakitkan. Pakar rumah tangga yang selama ini bahagia dalam hidupnya sendiri tidak tahu bagaimana perit dan sakitnya pengalaman itu. Namun sekiranya itu berlaku jangan terbawa-bawa menyalahkan diri anda untuk selama-lamanya.

IKLAN

Kesilapan

Mungkin ada kesilapan anda tetapi adalah lebih penting anda belajar daripada kesilapan itu. Jangan disebabkan perpisahan itu anda tidak percaya yang orang lain boleh menerima anda lagi selepas ini. Setiap masa mempunyai sisi baik.

Mungkin selama ini sisi putih itu tertutup dengan segala kekotoran. Apabila anda percaya ada sifat baik dalam anda maka anda akan terbuka untuk mempercayai dan menerima orang lain sekali lagi.

Sumber: Dr. Syed Yusainee, Yahya, Promind Training And Consultation (Fanpage: FACEBOOK/NOTA EMAS UNTUK ISTERI)

https://www.facebook.com/mingguanwanita/

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI