Sesungguhnya ajal maut ketentuan tuhan. Kita hanya mampu merancang dan tuhan yang menentukan segalanya.Sepasang suami isteri warga emas yang bakal meraikan ulang tahun hari kelahiran dalam bulan sama pada Julai dan dijadual menunaikan umrah pada Oktober depan, maut dalam kemalangan di Kilometer 192.6 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), semalam.
Terjunam Ke Dalam Gaung
Mangsa, Abd Talib Akob, 73, serta isteri, Fuziah Mohd Marzuki, 62, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas Mitsubishi Triton dipandu anak mereka, Muhamad Taufik Abd Talib, 34, dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas lalu terjunam ke gaung.
Insiden yang berlaku ketika hujan lebat kira-kira jam 5.10 petang itu turut menyebabkan Muhamad Taufik parah di bahagian kepala, manakala isterinya, Noor Syafiyana Ahmad Sobri, 32, yang duduk di kerusi penumpang bahagian depan pula cedera ringan.
Anak ketiga arwah, Muhamed Tarfizam Abd Talib, 40, berkata mereka lima beradik bersama pasangan masing-masing sudahpun merancang untuk mengadakan kejutan majlis sambutan ulang tahun hari kelahiran ibu bapa mereka di sebuah hotel di Kuantan, bulan depan.
“Kami akan ke Kuantan untuk menghadiri majlis perkahwinan saudara, Julai depan.
“Justeru, kami berpakat mahu bermalam di hotel dan membuat kejutan untuk ayah dan emak dengan mengadakan majlis sambutan hari jadi kerana tarikh lahir mereka jatuh pada bulan sama, iaitu ayah pada 3 Julai, manakala emak 18 Julai.
“Ayah dan emak juga dijadual menunaikan umrah pada 10 hingga 17 Oktober depan. Namun, semua hasrat itu tidak kesampaian,” katanya sambil memaklumkan pasangan itu ke Kuantan untuk mengikuti kursus umrah serta membuat pasport.
Muhamed Tarfizam yang bertugas di Kem Desa Pahlawan, Pengkalan Chepa, berkata mereka mendapat maklumat daripada isteri Muhamad Taufik mengenai kemalangan itu, kira-kira jam 5.30 petang semalam.
Ads
Tercampak Keluar
Beliau berkata, mereka dimaklumkan bahawa ketika Mitsubishi Triton itu terbabas, Abd Talib dan Fuziah yang duduk di kerusi penumpang belakang tercampak keluar.
“Ayah adalah seorang pesara polis. Arwah adalah seorang yang periang dan tidak pernah menyusahkan anak. Malah jika hari hujan, arwah tetap pergi ke surau dengan menunggang motosikal walaupun anak hendak menghantarnya,” katanya.
Kenderaan Hilang Kawalan
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh, berkata kemalangan berkenaan hanya membabitkan Mitsubishi Triton itu.
Ads
“Kenderaan dipandu dari arah Kuantan menghala ke Jerantut itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan sebelah kiri sebelum masuk ke dalam gaung.
“Akibat kemalangan itu, kenderaan terbabit remuk keseluruhannya. Dua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan di lokasi mendapati jalan adalah lurus dan mempunyai dua lorong sehala, namun cuaca hujan lebat ketika kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Ohsem sungguh hasil kerja 3 hari mendeko perpustakaan sekolah agama ini. Kerja-kerja mendekorasi ruang perpustakaan sekolah agama ini merupakan program khidmat masyarakat untuk mencantikkan perpustakaan sekolah.
Sekolah terlibat adalah Sekolah Agama Seri Aman, Kampung Baru, Sri Gading, Batu Pahat. Mingguan Wanita menghubungi Naser Ibrahim, Pustakawan dari Perpustakaan Tunku Tun Aminah, Universiti Tun Hussein Onn merangkap pelakar dan pereka imej 3D bagi program tersebut.
“Saya tunjukkan hasil ‘makeover’ perpustakaan sekolah. Hasil kerjasama saya dan team (team khidmat masyarakat bersama pihak sekolah.”
“Mereka beri kepercayaan kepada saya untuk ‘makeover’ perpustakaan mereka. Alhamdulillah bermula dari perbincangan, melakar, 3D sketch dan akhirnya terhasillah ini.”
Dalam proses menyiapkan projek tersebut, mereka menggunakan barangan daripada Ikea, Kaison, Mr DIY dan hasil sendiri. Manakala cat pula menggunakan Sancora.
“Siap semua dalam masa 3 hari.”
Proses Mendekorasi Bermula
Ulas beliau lagi, perbincangan pertama dengan pihak sekolah bermula pada 11 Februari 2018. Kemudian pada 27 Februari 2018 kami bertemu semula untuk persetujuan pihak sekolah tentang susun atur perabot, warna dan hiasan dalaman.
“Proses untuk ‘makeover’ bermula pada 13 hingga 15 Mac 2018 selama 3 hari dengan jumlah petugas yang hadir purata 15 orang.”
Secara ringkasnya ruang yang diberikan adalah kecil iaitu 2 bilik yang berkeluasan sama 12 kaki x 10 kaki.
“Ada juga cabaran yang perlu kami tempuh. Antaranya untuk menjadikan ruang yang kecil nampak luas dan sesuai dengan aktiviti pusat sumber sekolah.”
Tip Deko Perpustakaan
Ini tip yang pustakawan atau guru-guru boleh ikut sekiranya berhasrat mahu mendekorasi perpustakaan sekolah masing-masing.
• Pilih tema yang bersesuaian dengan persekitaran.
• Susunan buku kemas, mudah dilihat dan diambil.
• Kenalpasti fungsi ruangan aktiviti.
• Pastikan pencahayaan sesuai untuk membaca.
• Wujudkan ruangan yang kondusif, ringkas dan santai.
• Perabot yang boleh pelbagai guna dan boleh diubah-ubah mengikut keperluan.
• Berikan ciri khas bagi setiap dekorasi.
Kalau mak ayah masih ingat tahun lalu telatah Teacher Mok Cun ini begitu mencuit hati netizen. Dalam kelas tabika Teacher Mok Cun ajar anak-anak muridnya membaca. Dengan gaya watak Mok Cun yang dipopularkan oleh sutradara & pelakon, Erma Fatima itu. Bezanya Mok Cun yang mengajar ini adalah guru tabika KEMAS yang mengajar murid-muridnya dengan pemakaian malah loghat Kedah seakan Mok Cun.
Kata Teacher Mok Cun atau nama sebenarnya, Masturah A. Latib, 34 watak yang dipilih itu bersebab. “Watak Mok Cun ini dah dikenali tak kira usia.”
“Tujuannya pun nak dapatkan perhatian anak-anak didik saya. Saya mahu buktikan guru tabika yang tak fasih berbahasa Inggeris seperti saya juga mampu mengajar anak didik membaca bahasa Inggeris. Walaupun pdpc yang berjalan tidak menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya.”
“Watak Mok Cun dan loghat Kedah yang digunakan mampu menutup kelemahan saya di situ. Mungkin sesetengah pihak tak sependapat tentang loghat bahasa yang digunakan, Dan kenapa ajar BI tapi cakap Melayu?
“Pada saya, itu hanyalah satu pendekatan dan usaha nak memastikan objektif pdpc pada sesi itu tercapai. Tak guna juga kalau cakap oghang putih berhabuk tapi anak murid blur. Satu habuk pun tak faham. Objektif tak tercapai, Pdpc pun tak bermakna.”
Kaedah Fonik Gabung Bunyi Ajar Anak Membaca Ikut Fitrah
Selepas 8 tahun berkhidmat sebagai Pemaju Masyarakat Tabika KEMAS (Guru KEMAS), kini Mastura mempunyai pusat membaca phonicsmart mahicphonics di Johor Bahru.
Akuinya kaedah fonik gabung bunyi (syntetic phonics) digunakan untuk mengajar anak-anak tabika membaca bukan saja bahasa Inggeris malah bahasa Melayu.
“Kaedah fonik gabung bunyi menekankan konsep belajar berdasarkan bunyi dalam bahasa pertuturan dan membaca dengan cara menggabung-gabung bunyi untuk membaca. Ia sangat mudah, cepat logik dan mengikut fitrah.
“Kaedah ini semakin dibuktikan dengan hasil kajian secara saintifik yang membuktikan otak membaca dengan cara menggabung bunyi. Pendekatan mengajar dengan kaedah ini digunakan sejak 1996 iaitu siri cepat membaca Bacalah Anakku yang sistematik dan guru yang dedikasi adalah ramuan yang paling baik mencapai objektif sifar buta huruf di Malaysia.”
Kalau mak ayah nak tahu Teacher Mok Cun ini mendapat pendidikan tertinggi di Institut Pendidikan Guru Sultan Mizan, Besut Terengganu. Dan mempunyai Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak.
Kenapa Kaedah Fonik Gabung Bunyi Berjaya
Hasil penggunaan kaedah fonik semenjak 1996 sehinga sekarang, keberkesanan fonik semakin ketara. Kaedah ini telah banyak membantu kanak-kanak membaca seawal usia 3-4 tahun membaca dalam masa 3 hingga 4 bulan, membantu kanak-kanak prasekolah berusia 5-6 tahun membaca dalam masa 3 bulan, dan kanak-kanak pemulihan membaca dalam masa 2 bulan sahaja.
Cepat
Kaedah ini membantu kanak-kanak cepat membaca kerana hanya 28 – 30 sahaja bunyi dan simbol yang perlu dikuasai. Oleh itu masa yang diperlukan untuk menguasai bunyi dan simbolnya adalah pendek.
Mudah
Kaedah menggabung bunyi adalah natural, automatik dan logik dan asas kepada cara kanak-kanak berbahasa dan sesuai dengan cara otak membaca yang dibuktikan secara saintifik. Dengan cara ini kanak-kanak boleh menggabung bunyi secara bersahaja.
Lancar
Dengan menggabung bunyi, setiap bunyi boleh digabungkan secara berturutan tanpa perlu dipecahkan kepada suku kata, suku kata tertutup atau seterusnya. Hanya dengan menggabung-gabung bunyi , perkataan yang panjang pun dapat dibaca dengan lancar.
Senang Membaca Dalam Bahasa Inggeris
Sebenarnya kaedah yang sama juga boleh digunakan untuk menggabung bunyi-bunyi yang ada dalam perkataan Inggeris kerana perkataan Inggeris juga terbina daripada bunyi-bunyi. Hanya dengan mempelajari bunyi-bunyi sebutan dalam bahasa Inggeris, kanak-kanak dengan mudah menggunakan kemahiran gabung bunyi mereka untuk perkataan membaca bahasa Inggeris.
Beberapa faktor berikut adalah kunci kepada kejayaan mengajar membaca.
1. Kaedah yang betul dan sesuai dengan kanak-kanak dan menepati fitrah – fonik gabung-bunyi
2. Teknik mengajar yang betul untuk menguasai bunyi dan mengenalpasti huruf – teknik Bacalah Anakku
3. Teks bacaan yang sistematik, terancang dan berperingkat untuk melancarkan bacaan – Bacalah Anakku
4. Suasana belajar sambil bermain – secara kreatif untuk membina kemahiran dan fokus
5. Guru-guru yang terlatih, dedikasi dan penyayang bagi membina keyakinan diri
Penangan Mok Cun Dan Uncle Muthu
“Tak semua orang boleh menerima kaedah fonik pada permulaannya walaupun kaedah fonik ini telah lama bertapak dalam dunia pendidikan, lebih 20 tahun.
“Masih ramai yang tegar dengan ABC, dan menyebabkan kaedah fonik (bunyi) ini tidak dapat di terima pada permulaannya. Namun alhamdulillah, teacher mendapat sokongan daripada ibu bapa 100% pada ketika itu.
“Mereka bersama-sama dengan teacher untuk memastikan kaedah ini berjaya menjadikan anak-anak mereka mampu membaca dengan baik, malah berjaya menjadi ‘independent reader’ .
“Semenjak itu, fonik mula di terima dan dengan kehadiran Mok Cun dan Uncle Muthu, fonik mula di terima dan mereka mula yakin dengan keberkesanan kaedah fonik itu sendiri. Mok Cun dan Uncle Muthu hanya menyambung perjuangan penulis dan pengasas kaedah fonik dan buku Bacalah Anakku serta read easy yang telah berjuang lebih 20 tahun.”
“Alhamdulillah, kini fonik gabung bunyi bukan sahaja membuka mata guru, malah ibu bapa juga. Kaedah ini menjadi pilihan utama guru-guru tadika dan ibu bapa untuk mengajar anak-anak mereka membaca.”
Bila sebut sahaja mengenai perbelanjaan dapur, pasti ramai mak-mak yang mengeluh.Harga barang dapur sekarang tak macam dulu-dulu. Berapa jenis lauk dan barang je boleh dibeli dengan nilai Not RM100? Sebenarnya,mak-mak boleh jimatkan lagi belanja dapur, kalau ikut 7 Tip ini;
1.Senaraikan barang yang ingin dibeli
Mak-mak boleh jimatkan perbelanjaan dengan menyenaraikan barangan dapur yang ingin dibeli pada setiap bulan. Dengan cara ini boleh mengawal perbelanjaan dengan membeli barangan mengikut keperluan yang telah disenaraikan sahaja. Ia juga bagi mengelakkan dari membeli barangan yang tidak diperlukan yang boleh menyebabkan berlakunya pembaziran.
2.Berbudi pada tanah
Rajin-rajinlah bercucuk tanam dengan menanam sayuran seperti cili, sawi, tomato, daun kari, daun kunyit dan bayam di rumah. Menariknya, kesemua tanaman ini tidak memerlukan penjagaan yang rapi. Malah, mak-mak juga boleh menanamnya di dalam pasu. Mudah dan sungguh praktikal! Meskipun tanaman ini tampak remeh namun secara tidak langsung ia turut menyumbang kepada penjimatan perbelanjaan dapur.
3.Catat jumlah perbelanjaan harian
Cara ni agak melecehkan kerana mak-mak perlu membuat catatan harian kepada setiap sen yang dikeluarkan. Tapi dengan cara ini sahaja akan dapat mengesan ke mana ‘hilangnya duit’ di samping dapat membandingkan jumlah perbelanjaan pada setiap bulan. Cuba buat analisa mengenai perbelanjaan harian dengan membuat satu jadual mudah seperti duit keluar dan duit masuk. Pasti mak-mak akan dapat mengawal perbelanjaan dengan lebih berhemah.
4.Beli secara borong
Jika mak-mak sejenis rajin memasak di dapur, belilah sesuatu bahan yang selalu digunakan secara borong. Sebagai contoh belilah minyak masak dalam botol yang bersaiz besar, kerana ia lebih menjimatkan berbanding membelinya berulang kali dalam botol yang bersaiz kecil. Pembelian ini akan menjimatkan sebanyak 10 hingga 20 peratus pembelian tau. Di samping itu ia menjimatkan minyak kereta kerana tidak perlu berulang-alik ke kedai untuk membeli bahan tersebut sekiranya habis!
5.Kurangkan penggunaan elektrik
Apa kata sekali sekala anda masak nasi atau menjerang air menggunakan dapur gas saja. Tutuplah kipas dan bukalah tingkap dengan luas bagi pengudaraan semula jadi di dapur. Hadkan penggunaan elektrik terhadap perkara-perkara yang perlu dan penting sahaja. Secara tidak langsung, langkah ini dapat membantu mengurangkan penggunaan tenaga elektrik di dapur.
6.Masak sendiri
Kekangan masa dan jadual tugasan yang sibuk menjadikan membeli makanan di kedai mahupun restoran menjadi suatu kebiasaan. Walau sesibuk mana pun, cubalah untuk luangkan lebih masa untuk memasak sendiri. Kini terdapat banyak menu-menu masakan mudah yang boleh dicuba. Anak-anak pastinya ingin merasa masakan air tangan ibunya sendiri, kerana ia bukan sahaja lazat, mengeratkan ikatan malah terjamin kebersihannya. Perbelanjaan dapur juga pasti dapat dijimatkan. Apa-apa pun ia bergantung pada perkiraan dan kebijaksanaan mak-mak juga.Jika merasakan membeli makanan lebih menjimatkan berbanding memasak, belilah.
7.Lebih kreatif dalam masakan
Bukan itu je, mak-mak juga perlu lebih kreatif dalam masakan dalam masa yang sama membantu mengelakkan pembaziran. Caranya mudah iaitu dengan mempraktikkan menyimpan lebihan lauk-lauk seperti ayam atau daging yang masih elok di dalam peti sejuk. Semua lebihan ini boleh dimasukkan ke dalam masakan lain seperti mee goreng atau bihun goreng sebagai bahan perencah. Nasi lebihan juga boleh dibuat nasi goreng sebagai sarapan pagi. Pasti menjimatkan berbanding dibuang begitu sahaja.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Sekeluarga dirempuh treler pemandu microsleep, ibu belum tahu anak meninggal kerap tanya mana anak sulung. Sebuah keluarga yang menaiki kereta proton saga mengalami detik...