Harta Sekangkang Kera Boleh Porak Peranda Adik-beradik, Jangan Main-Main!
Foto: 123rf

Harta boleh dicari, tapi hubungan kekeluargaan andai retak, sukar nak dipulihkan kembali. Sebab itulah, PENTING untuk menjaga hubungan kekeluargaan. Tapi akibat harta pusaka, banyak hubungan adik-beradik dan saudara mara yang terlerai.

Harta Mudah Dicari Zaman Sekarang

Pada era digital masa kita, ada macam-macam cara untuk mendapatkan duit.  Bahkan ada cara yang tidak pernah terfikir oleh kita dahulu. Bagi mereka yang mahir dalam hal-hal berkaitan IT, mereka mempunyai banyak peluang untuk mengumpul duit kerana era ini adalah era yang mana IT menjadi satu keperluan.

Justeru, tidak hairanlah jika kita melihat anak-anak muda hari ini memandu kereta yang mahal-mahal serta sering war-warkan percutian luar negara mereka di media sosial. Bahkan ada di antara mereka yang belajar biasa-biasa sahaja namun pengetahuan mereka tentang keperluan dunia hari ini amat membantu mereka memperoleh pendapatan yang begitu lumayan.

Harta Sekangkang Kera Boleh Porak Peranda Adik-beradik, Jangan Main-Main!
Foto: 123rf

Lagi artikel menarik di sini:

Mentua Jangan Suka Bandingkan Menantu, Bahagia Tak Diukur Dengan Harta

Harta Pusaka HAK Mak Ayah, Adik Beradik Tak Perlu Nak BEREBUT

Ikuti kami di sini:

Ads

https://www.instagram.com/mingguanwanita/

Berpijak Di Bumi Nyata

Pada saya, ia satu perkembangan yang bagus asalkan mereka masih berpijak di bumi yang nyata, tidak tamak dan jauh daripada kesombongan. Ini kerana ada kalanya kemampuan untuk hidup mewah pada ketika usia muda mampu menjadikan seseorang tidak berpijak di bumi nyata dan bersikap sombong.

Mereka hanya akan sedar apabila apa yang dikumpulkan selama ini hilang sekelip mata biarpun ketika sedang memeluknya. Ada kalanya mereka lupa harta yang mereka kumpul masih belum boleh dipanggil harta mereka sepenuhnya kerana pembiayaannya dengan bank masih belum selesai.

Harta Sepenuhnya Bila Selesai Bayar

Sesuatu harta itu, pada saya adalah milik kita sepenuhnya apabila ia tiada lagi hubungan dengan bank. Selagi ada, ia belum bermakna harta kita sepenuhnya. Banyak yang kita lihat dan dengar bagaimana harta-harta yang dahulunya lambang kemegahan akhirnya diambil semula oleh pihak instituisi kewangan.

Zaman dahulu, harta yang dimiliki oleh ibu bapa kita adalah yang kebanyakannya dibeli secara tunai. Justeru, mereka tidak memiliki tanah-tanah yang besar. Namun mereka mempunyai banyak tanah. Ini kerana mereka mengumpul sedikit-demi sedikit wang untuk pembelian harta seterusnya, demi kesenangan anak cucu.

Ads

Ada juga yang hanya mempunyai harta yang sedikit dan tanah sekangkang kera untuk dijadikan tanah pusaka. Sudah beberapa kali saya mendengar cerita tentang pertembungan adik beradik tentang tanah pusaka. Lebih menarik lagi pertembungan antara adik beradik yang dahulunya akrab tetapi setelah kematian orang tua, masing-masing sibuk mahukan tanah sekangkang kera itu, seolah-olah tiada aturan yang ditetapkan Allah SWT.

Dinafikan Hak

Ada di antara mereka yang sanggup menipu pejabat-pejabat kerajaan yang berkaitan demi mengambil secara mutlak harta peninggalan orang tua dan kemudian menjualnya.Mereka melakukan hal sedemikian sering membuat penilaian nafsu dan bukan dengan garis panduan yang ditetapkan Allah SWT.

Bagi mereka, apa yang mereka buat itu tidak salah kerana mereka mempunyai alasan yang kuat. Mereka lupa apabila mereka menidakkan hak orang lain maka mereka sebenarnya sedang cuba menipu Allah SWT. Mereka juga sebenarnya sedang mempertikaikan apa yang ditetapkan Allah SWT untuk menjadi panduan hidup hamba-hambaNya. Apa yang ada di benak mereka adalah keperluan pemilikan harta untuk kesinambungan hidup.

Orang Tua Meninggal, Diri Difitnah

Pernah ada yang bercerita tentang kesedihan yang mereka alami tentang pembahagian harta segenggam dan tanah sekangkang kera. Katanya dia hidup penuh derita. Dia bercerita panjang lebar kisah hidupnya yang difitnah oleh adik beradiknya. Kemudian apabila orang tuanya sudah tiada masing-masing membahagikan harta mengikut cara mereka dan menafikan haknya.

Ads

Saya bertanya kepadanya, adakah dia akan menggunakan kaedah perundangan untuk mendapatkan haknya.Katanya harta yang ditinggalkan tak sebanyak mana, tanah pun sekangkang kera, jadi dia malas untuk bergaduh hanya kerana itu.

Apa yang menyedihkannya ialah sikap tamak dan menafikan ketetapan Allah SWT.  Mereka sanggup berbuat apa sahaja untuk memiliki harta yang ada.  Mereka lupa apa yang bakal mereka terima di dunia sebelum mereka mati nanti dan apa yang bakal mereka terima setelah berada seorang diri di alam kubur nanti.

Pengajaran Dalam Hidup

Dia memberitahu saya yang dia banyak belajar dari kisah kehidupannya sendiri. Pertama, katanya, berpadalah dalam memanjakan anak. Kita juga perlu adil untuk kesemua anak agar tiada yang terasa hati. Keduanya, hindarilah perkara-perkara yang khurafat.

Seandainya kita ingin berubat secara tradisi maka carilah mereka yang berdamping secara benar dengan Allah SWT dan bukan yang berdamping dengan jin dan suka membuat tilikan. Ketiga, katanya bahagilah harta semasa hidup secara bersemuka supaya apabila kita sudah tiada mereka tidak bermasam muka dan berebut harta. Mendengar ceritanya banyak pelajaran yang dapat saya jadikan panduan masa depan.

Pelajaran itu tidak hanya datang dengan pembacaan tetapi juga dengan pengalaman orang lain. Air dicencang memang takkan putus tetapi apabila air sudah menjadi dingin dan beku, ia sangat senang untuk dipecahkan.

Sumber: Dato’ Dr. Azhar Haji Sarip, NLP Gold Trainer (NFNLP USA)

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI