Harga pasaran emas makin meroket, naiknya bagaikan belon panas. Ramai yang mengeluh kerana tidak menyimpan emas sebelum ini. Ramai juga mengeluh kerana sudah menjual emas yang disimpan lebih awal.

Mereka yang mencagarkan emas di ar-rahnu pula, tersenyum. Kini jika mereka mahu wang, mereka boleh memintanya daripada ar-rahnu. Namun harus diingat, pasti jumlah pinjamannya akan meningkat.

Islam Tak Benci Emas

Emas dalam sejarah manusia tidak dapat dipisahkan. Jika direnung, kekayaan Qarun sepupu Nabi Musa a.s itu pun berpunca daripada emas. Perhiasan istana zaman silam pun tidak lekang dengan emas. Manusia sanggup mati kerana tamakkan emas. Emas selalu menyihir manusia sehingga berubah wataknya.

Adakah Islam membenci emas? Jawapannya, tidak. Malah Islam mempunyai sudut pandang istimewa tentang emas. Nabi Muhammad s.a.w menjadikan emas sebagai matawang, iaitu dinar. Banyak hadis nabi menyentuh tentang dinar. Hingga akhirnya, nabi menjadikan emas sebagai ukuran kekayaan umat Islam. Harus diingat, hanya orang kaya wajib berzakat.

Zakat Lepas Cukup Nisab

Dalam Islam, kekayaan itu ditukar kepada aset yang mencapai atau melebihi nisab. Nisab adalah ukuran minimum wajib zakat. Nisab disandarkan kepada harga emas yang mencapai berat 85 gram. Ada hadis mengenainya. Sesiapa yang mempunyai emas seberat 85 gram atau harta yang mencapai nisab setara 85 gram itu, maka zakatnya ialah 2.5 peratus.

Emas juga menjadi perhiasan unggul kaum wanita. Islam meraikannya dengan membenarkan wanita memakai emas sebanyak mana yang mereka mahu; namun ada kayu ukur khusus mengenai emas perhiasan wanitayang dikenali sebagai uruf. Hanya emas perhiasan wanita yang melebihi uruf sahaja wajib dizakatkan. Di Selangor, urufnya sebesar 800 gram, hampir sekilo!

Ads

Baca lagi di sini:

Nak Beli Barang Kemas Kena Ada ILMU EMAS Supaya Tak Mudah Ditipu

https://www.instagram.com/mingguanwanita/

Ads

Harga Emas Makin Meroket, Cagar Kemudian Beli Emas Baru Lebih UntungHarga Cagar Dan Beli

Emas yang dimiliki dapat dikembangkan lagi jika kita tahu caranya. Ada orang menyimpan emas di rumah. Ia pastilah mengundang risiko kehilangan. Ada cara lain, iaitu menyimpan emas berkenaan di institusi. Bank misalnya, ada yang menawarkan penyimpanan emas. Namun, pastikan kaedahnya patuh syariah agar transaksi emas itu sah.

Mereka yang pintar, mencagarkan emas di ar-rahnu dan mendapatkan wang pinjaman dari institusi berkenaan untuk membeli emas lagi. Kemudian, emas itu boleh dicagarkan kembali dan dengan wang yang didapati, maka dibeli lagi emas.

Emas Sebagai Instrumen Pelaburan

Perbuatan ini tidak bercanggah dengan syarak, kerana ia adalah transaksi yang halal. Kendatipun ada pendapat menyatakan perbuatan ini seolah-olah memperbanyakkan hutang dan menjadi makruh; namun hakikatnya ia adalah satu bentuk pelaburan dengan risiko yang sangat rendah.

Ads

Apabila emas dijadikan instrumen pelaburan, maka ia selalunya bersifat pelaburan jangka panjang. Banyak kelebihan melabur dalam emas, misalnya ia mempunyai simpan nilai yang sangat stabil.

Menyimpan dan melabur dengan mata wang, nilainya sangat volatile (tidak stabil). Emas juga bersifat kalis dengan masalah ekonomi, khususnya inflasi. Sebab itu, sesetengah negara kaya mempunyai deposit emas yang cukup banyak buat menampung keperluan negara.

Transaksi Guna Emas

Nabi Muhammad s.a.w sendiri mengingatkan agar kita wajar menjalankan transaksi dengan emas. Suatu saat nanti, emas atau dinar juga akan kembali berperanan sebagai wahana transaksi dunia.

Abu Bakar Ibn Abi Maryam melaporkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Akan tiba suatu zaman di mana tiada apa yang bernilai dan boleh digunakan oleh umat manusia. Maka simpanlah dinar (emas) dan dirham (perak).” (Hadis dari Musnad Imam Ahmad Ibn Hanbal). Wallahuallam.

Sumber: Ustaz Hamizul bin Abdul Hamid,Pengurus Sekretariat Dakwah dan juga Dai Lembaga Zakat Selangor (MAIS) dan boleh dihubungi di hamizul@zakatselangor.com.my.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI