Jumaat itu, kedatangan kami ke teratak indah milik chef selebriti Datuk (Dr) Chef Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan, disambut mesra oleh beliau serta bondanya, Noraini Abdullah. Apa yang manisnya, menurut Chef Wan lagi, sebaik dikhabarkan kepada Cik Ani beliau bakal disunting menyeri sampul hadapan majalah Mingguan Wanita…terujanya dia bukan kepalang.
Awal-awal pagi lagi, Cik Ani sudah bersiap dan menunggu ketibaan kami. Dengan senyum tak lekang di bibir, sesekali Cik Ani mengayun tubuhnya mengikut rentak lagu klasik Almarhum Tan Sri P Ramlee yang berkumandang di ruangan tamu sambil diusik oleh Chef Wan.
Sebaik sesi tatarias wajah oleh jurusolek Ajam hampir selesai, Cik Ani tersenyum malu apabila anak sulungnya memuji perubahan wajahnya yang tampak 10 tahun lebih muda. Chef Wan pantas merakam momen tatarias Cik Ani dan berkongsi video eksklusif ke dalam laman instagram miliknya. Dalam sekelip mata video tersebut telah mencatat 93,233 tontonan. Selain Chef Wan dan Serina, Cik Ani juga adalah selebriti di kalangan peminat setia instagram chef kebanggaan Malaysia ini. Kerana sayang, di instagram miliknya, beliau mengkhususkan tanda pagar (hashtag) khas untuk bondanya; #cikanisayang.
Kongsi Rezeki Dengan Keluarga
Melihat keluarga ini yang sentiasa diulit kasih sayang dan senda tawa, pasti ramai yang teruja ingin mengetahui rahsia ukhuwah keluarga ini. Meski sudah mencapai pencapaian peringkat tertinggi di dunia, tidak ada yang membahagiakan bagi seorang anak…apabila diberi rezeki untuk berkongsi dengan orang tersayang. Berikut adalah perkongsian sarat kasih sayang dan sebuah rasa tulus dari tiga insan istimewa ini bersama Mingguan Wanita.
“Selaku anak sulung daripada tujuh bersaudara, sedari kecil saya sudah terbiasa melihat perih jerih ibu membesarkan kami. Bilangan adik beradik yang rapat membuatkan saya dengan rela hati membantu ibu menguruskan adik-adik dan melakukan kerja-kerja rumah. Bahkan ketika ibu dalam proses berpantang, saya juga yang membantu menyediakan makan berpantang dan membakar batu sungai untuk kegunaan ibu bertungku. Ketika itu bapa saya yang bertugas sebagai kakitangan kerajaan, jarang berada di rumah atas tuntutan tugas.
“Gaji bapa yang tidak terlalu besar, diatur sebaiknya bagi memastikan keperluan kami sekeluarga seadanya dari bulan ke bulan. Dari kecil lagi saya sudah dilatih untuk prihatin dan murah dengan kasih sayang. Saya juga diajar untuk tidak berkira dan jangan lokek dengan orang. Alhamdulillah hasil didikan sebegitu sejak kecil terbawa-bawa dalam kehidupan saya hari ini.
“Saya juga bersyukur, kerana perkongsian rezeki yang ada pada saya bersama orang sekeliling menjadikan rezeki yang diterima tidak pernah putus, tidaklah terlampau mewah… tapi ada sahaja yang datang dari sudut yang tak diduga. Sejujurnya hidup ini tidaklah lancar sentiasa tanpa adanya dugaan. Islam juga mengajar kita untuk berbuat baik dalam apa jua cara, insya-Allah balasannya yang baik-baik juga akan diterima,” ulasnya ceria.
Dimentia Dan Cik Ani Sayang
Tautan kasih antara anak dan ibu tidak akan terpisah selagi nyawa dikandung badan. Cik Ani sosok istimewa di jiwa Chef Wan. Adalah sukar bagi seorang anak itu membalas semua jasa dan bakti si ibu.
Berstatus selebriti tidak membuatkan Chef Wan malu dengan kondisi kesihatan ibu kesayangannya. Malah tanpa berselindung, lelaki berusia 61 tahun ini dengan bangganya membawa ke mana sahaja ibunya bersama termasuk menghadiri majlis melibatkan orang kenamaan negara.
Ads
“Sejak mengalami dimentia, ada masanya ibu saya lupa dan melakukan perkara seperti anak kecil. Kadang-kadang secara berseloroh saya bergurau sambil membuat ‘ulang kaji’ bertanya perkara berkaitan dirinya. Walaupun begitu, saya tidak pernah malu malah terbuka dan berkongsi kondisi ibu bersama followers saya di instagram.
“Bagi saya, ibu adalah kawan rapat yang terbaik. Setelah berpenat lelah membesarkan anak-anak yang ramai, sudah tiba masanya dia berehat. Saya tak malu nak bawa ibu ke majlis yang ada selebriti dan orang ternama. Seronok apabila melihat kehadiran ibu dilayan dengan baik. Jangan tak tahu, ibu saya lagi ramai peminat daripada saya. Ke mana saya pergi, kalau Cik Ani tak ikut, ada sahaja yang mintak sampaikan salam kepadanya.
“Apabila ada netizen yang berkata saya mengambil kesempatan ke atas ibu, sejujurnya bukan itu niat saya berkongsi cerita tentang Cik Ani Sayang di media sosial. Sejujurnya dengan perkongsian berkenaan ibu saya, ramai yang maklumkan momen ibu anak kami mengingatkan mereka tentang arwah ibu dan kasih sayang ibu mereka.
“Saya tidak pernah berniat mengeksploitasi ibu dan mengambil kesempatan ke atasnya. Selagi hayat ibu tercinta masih ada, apalah salah saya berbakti sepuasnya ke atas dia. Melalui doa beliau juga, saya berjaya seperti apa yang anda lihat hari ini. Selagi anda masih punya ibu, kasihi, hormati dan sayangilah wanita ini seadanya,” luah Chef Wan tulus.
‘Check In’ Ke Rumah Orang Tua
Bila diajukan, apa lagi rencana Chef Wan di masa depan, beliau menyatakan hasratnya untuk menghabiskan sisa tuanya di sebuah rumah orang tua eksklusif di Langkawi.
“Apa yang saya tahu, ada sebuah rumah orang tua eksklusif sedang dibina di Langkawi. Di situ segala kemudahan disediakan baik lengkap dengan adanya pakar dari bidang pemakanan, kesihatan dan lain-lain. Jika orang lain tidak mahu ke rumah orang tua, sebaliknya saya memang bercita-cita untuk menghabiskan sisa usia bersama kawan-kawan seusia di situ.
Ads
“Setelah pelbagai pengiktirafan dan peluang yang telah saya kecapi, saya rasa untuk diri sendiri saya perlukan satu bentuk penghargaan yang berbeza. Saya tidak mahu bergantung harap kepada anak-anak kerana mereka sendiri sudah punya keluarga dan urusan peribadi masing-masing.
“Selain bidang kulinari saya minat dengan dunia hiasan dalaman dan mencantikkan landskap sekitar kediaman saya. Di usia sekarang, pakaian serta perkara-perkara mewah dan berjenama bukan lagi keterujaan saya,”ujar datuk kepada tiga orang cucu ini.
“Wan Anak Yang Baik,” – CIK ANI
Ketika sesi luahan rasa bersama Chef Wan di gazebo redup bersebelahan ruang dapur kediamannya, Cik Ani atau nama sebenarnya Noraini Abdullah ada bersama. Sesekali bila perlu dia akan mencelah sambil ketawa kecil, apabila Chef Wan mengusiknya. Sebaik diajukan bagaimana hubungan beliau dengan anak sulungnya…berikut adalah komentar jujurnya.
“Wan anak yang baik. Dia jaga saya dengan baik. Saya suka duduk sini (menetap dengan Chef Wan) Kalau tak jaga baik-baik, dah lama saya lari tinggalkan dia,” kongsinya spontan mengundang tawa kami yang mendengarnya.
Serina Sedia Berumah Tangga Semula
Air mata Chef Wan pernah tumpah saat hari pernikahan satu-satunya puteri tunggalnya setelah rasmi bergelar isteri pada 1 Januari 2010. Walau bagaimanapun jodoh Serina dan bekas suaminya, Gavin Edward O’Luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar, terlerai pada 1 Ogos 2018. Mereka berdua dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Tristan Tareef O’luanaigh, 6, dan Isabella Safiyya O’luanaigh, 5.
Ads
“Sekarang saya perlu bekerja keras demi anak-anak. Selaku seorang ibu tunggal semestinya saya mahukan yang terbaik untuk mereka. Sebagai ibu saya berusaha memberikan pendidikan dan ilmu agama sebaiknya. Di hari biasa mereka ke sekolah, apabila hari minggu saya panggil seorang ustaz dan seorang ustazah bagi mengajar anak-anak cara solat dan mengaji al-Quran.
“Terkini saya sibuk mengusahakan pelbagai perniagaan. Antaranya kolaborasi bersama Adryssa Atelier X Serina RTW yang mengkhususkan busana untuk mereka bersaiz ‘comel’. Memahami rungutan mereka yang berbadan begini, saya sediakan busana istimewa bermula dari saiz S hingga 4XL. Jahitan sulaman dan butiran manik yang kemas menjadi signature koleksi ini. Harga yang ditawarkan mampu milik.
*******
Banyak lagi sebenarnya cerita menarik yang dikongsikan oleh pasangan anak beranak ini. Baca sambungannya dalam Majalah Mingguan Wanita edisi April, Volume 1 dan jangan lupa dapatkan majalah kesayangan ramai ini yang kini telah berada di pasaran!
Penyelaras & Teks : Mastura Burhanuddin Foto : Sharinizam Othman & Nurul Akmar Azimi Solekan : Muhammad Azam Abdul Hamid @Ajamaros Busana : Terima Kasih @Piecesbyraeesa , Butik Jedan, Sacc Mall Dan Koleksi Eksklusif Dari Adryssa Atelier X Serina Rtw
Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 32, tidak sabar menimang cahaya mata bersama suaminya, Syamsul Yusof, 33 tahun. Bulan April 2017 adalah bulan yang amat ditunggu-tunggu kerana bayi pertama mereka bakal dilahirkan pada bulan tersebut.
Ibu yang tidak sabar menerima kehadiran bayi pertama memang jelas nyata di wajah Puteri Sarah Liyana sepanjang perbualan ini. Kegembiraannya turut dikongsi bersama dengan ibu mentuanya Datin Fatimah Ismail.
INILAH CARA MUDAH NAK ‘JERAT’ HATI IBU MENTUA
Berbalik kepada perhubungan antara Puteri Sarah Liyana dan ibu mentuanya, Datin Fatimah. Bagaimanakah hubungan antara menantu dan mentua ini?
“Sebelum kahwin Sarah akui diri ini memang takut dengan Datin. Siapalah kita jika dibandingkan dengan keluarga ternama ini. Selepas itu, masa mereka datang merisik, Sarah berbual dengan Datin. Daripada perbualan tersebut Sarah dapati Datin seorang yang bai
“Selepas itu Sarah selalu berurusan dengan Datin berkaitan dengan persediaan perkahwinan Sarah dan Syamsul. Sewaktu itu Sarah bekerja di butik di Taman Melawati. Sarah tidak sangka Datin memberikan layanan yang amat baik. Kadang-kadang dia akan menghantar makanan kepada Sarah. Sarah rasa amat terharu. Segan pun ada.
“Kemudian selepas berkahwin dengan Sarah, seminggu Syamsul duduk di rumah keluarga Sarah. Selepas itu Sarah berpindah untuk tinggal bersama Syamsul di rumah keluarganya. Datin memang layan baik.
“Alhamdulillah Sarah tidak seperti orang lain yang takut-takut dan bermasalah dengan ibu mentua. Memang Datuk dan Datin sangat baik. Alhamdulillah Sarah mendapat mentua yang baik.”
Berkaitan dengan menyesuaikan diri dalam keluarga ternama ini, Sarah mengakui pada mulanya dia agak segan dalam menyesuaikan diri. Tetapi selepas tinggal bersama barulah dia dapat menyesuaikan diri. Segan perlu ditolak tepi.
“Tinggal bersama mentua, Sarah banyak belajar perkara baru mengenai suami. Datin banyak ajar makanan kegemaran Syamsul. Dia suka makanan eksotik seperti otak lembu.
RESEPI TINGGAL SEBUMBUNG DENGAN MENTUA
Walaupun semua anak-anak Datuk Yusof tinggal bersama di banglo miliknya, duduk bersama dalam satu rumah tidak menghalang kebebasan kami untuk melakukan perkara yang biasa dilakukan setiap hari. Lagipun rumah ini besar. Kami ada tingkat masing-masing. Cuma bila hendak makan, kami perlu makan di ruang makan sama.”
KELUARGA MENTUA JADI IDOLA
Melihatkan hubungan pasangan terkenal di Malaysia ini, Puteri Sarah mengakui dia banyak belajar daripada mereka.
“Datuk Yusof Haslam dan Datin Fatimah memang pasangan yang saling cinta-menyintai. Malah Datuk dan Datin selalu tegaskan pada Syamsul agar sayangkan isteri. Sarah banyak belajar mengenai kasih sayang dan hubungan suami-isteri.
“Kami keluarga seni. Datuk dan Datin selalu berpesan pada Sarah agar sabar dan faham dengan kerjaya Syamsul. Nasib baik Sarah dalam bidang yang sama dan faham dengan apa yang Syamsul lakukan. Bagi Sarah, sikap saling mempercayai itu amat penting.”
SOAL BISNES TETAP JALAN
Apabila ditanya mengenai bisnes butiknya, Puteri Sarah menjelaskan bahawa dia mungkin akan lebih fokus dalam membesarkan anak selepas melahirkan bayinya ini.
“Sarah tidak mahu kelam-kabut. Tetapi bisnes tetap diteruskan. Cuma Sarah akan tukarkan bisnes ini kepada berjual di dalam laman web. Buat masa sekarang, Shara Islamic Fashion House masih ada lagi di Bangsar. Setelah kontrak sewa kedai ini tamat, mungkin Sarah akan cari kedai kecil untuk meneruskan bisnes ini.”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kelahiran Laura Zuleykha sememangnya dinanti-nanti oleh pasangan selebriti terkenal Ayu Raudhah serta suami, Zaquan Adha. Anugerah cahaya mata ketiga ini nyata menyerikan lagi kehidupan rumah tangga mereka yang sedia bahagia.
Kata Ayu, di awalnya keadaan sedikit kelam kabut kerana ‘meriahnya’ anak-anak menerima adik baru tetapi lama-kelamaan ia menjadi aktiviti rutin yang harus dilakukan.
Suara riuh-rendah anak-anak menjadi muzik terapi buat pasangan ini. Ayu Raudhah mengakui hidupnya dan suami kosong bila anak-anak tiada di sisi walaupun dalam tempoh waktu yang singkat.
Amalkan Pengambilan Sarang Burung
Penulis mengambil kesempatan mencungkil cerita si comel Laura Zuleykha. Dengan kulit yang putih mulus serta langsung tidak banyak ragam, pasti ada rahsia yang cuba disembunyikan Ayu. Meleret senyuman Ayu apabila ditebak soalan yang sebegitu. Katanya, tidak ada rahsia sangat tentang puteri kesayangannya itu cuma ketika mengandung dahulu, dia ada mengambil sejenis makanan selain mempraktikkan sedikit amalan yang diberi oleh orang tua-tua.
“Waktu disahkan hamil, saya mula mengambil sarang burung sebagai makanan tambahan. Ketika itu, saya belum tahu lagi bayi kami perempuan atau lelaki. Saya amalkan makan sarang burung setiap hari. Ada kalanya rasa macam hendak muntah tetapi bila fikirkan khasiatnya, saya telan juga.
“Suami pula sudah seperti jururawat di rumah. Asyik tanya sahaja sama ada saya sudah makan atau belum sarang burung. Pada masa yang sama, saya amalkan bacaan surah al-Fatihah apabila teringatkan anak-anak.
“Alhamdulillah, setakat ini saya rasa perubahan yang positif. Lasak dan aktif, itu dah memang sifat anak-anak tetapi bonding antara kami sangat kuat. Garang? Rasanya bukan saya garang kot tetapi lebih kepada tegas kerana saya mahu mendidik dan mendisiplinkan anak-anak.
“Suami pula jenis yang fleksibel, sebab itulah anak-anak sangat rapat dengan dia. Tetapi bila sampai masa tidur, dengan sayalah mereka akan datang menghimpit. Saya dan Zaquan memang tidak boleh berenggang dengan anak-anak, mereka harta kami yang paling berharga,”katanya.
Cinta Semakin Kuat
Melihat ahli keluarga yang semakin ramai, Ayu Raudah tidak nafikan kehidupannya dan suami begitu sibuk sehinggakan masa untuk berdua-duaan menjadi amat terhad.
“Ada juga yang bertanya, bila sudah ada anak ramai ni macam mana dengan waktu privasi saya dan suami. Terjejas atau tidak. Sebenarnya, saya tidak suka guna perkataan terjejas sebab anak-anak bukanlah gangguan tetapi anugerah yang sangat berharga buat kami berdua.
“Ketika bersama dengan anak-anak, kami akan gunakan waktu sebaiknya. Bermain, bercerita, melukis dan sebagainya. Saya isi waktu terluang dengan aktiviti yang anak-anak suka, momen ini sangat indah.
“Istilah privasi itu pula biasanya kami praktikkan saat berdua, tidak kiralah di mana-mana sahaja. Pada saya, selagi kuatnya rasa kasih dan sayang, takkan timbul perasaan jemu atau penat untuk bercinta. Tempoh bulan madu bukan di awal perkahwinan tetapi setiap saat yang kita lalui bersama. Sekalipun suami lebih muda usianya tetapi fikirannya matang. Sikap family man, penyayang dan romantik benar-benar membuatkan saya jatuh cinta setiap hari.
“Bercerita tentang perancangan tahun baru, rasanya tak banyak yang berubah. Saya akan beri lebih tumpuan kepada perniagaan pakaian suami dan produk kecantikan saya yang dilakukan secara online.
“Alhamdulillah, sampai ke hari ini sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Mungkin kerana harga yang ditawarkan mampu milik selain berkesan kepada pengguna. Hendak ‘ligat’ berlakon kembali, rasanya biar dululah ya,” katanya yang baru sahaja mewujudkan akaun Instagram buat Laura dan penangan follower sangat memberangsangkan.
Penulis/Wartawan Mingguan Wanita: Nazwa Selamat
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Agak sukar sebenarnya menyatukan tiga figura ini sebagai penyeri penghias hadapan Mingguan Wanita edisi Hari Malaysia. Menjalin kerjasama dengan barang kemas Poh Kong memerlukan kami di redaksi Mingguan Wanita mencari sosok yang sesuai untuk dijadikan sebagai wajah penghias.
Kolaborasi antara Amber Chia, Pushpa Narayan dan Yana Samsudin akhirnya dijayakan dengan sempurna. Ketiga-tiga mereka mewakili wanita Malaysia dari tiga etnik utama yang menjadi sebahagian daripada warganya. Bersama Mingguan Wanita, ketiga-tiga selebriti ini saling berkongsi rasa kasih dan kecintaan mereka terhadap tanah air, perkembangan karier seni masing-masing dan sisi lain kehidupan mereka selaku isteri dan ibu.
Jangan Cuba Rosakkan Keharmonian Malaysia – YANA SAMSUDIN
Norliana Samsudin atau lebih komersial dengan nama Yana Samsudin, merupakan anak kelahiran Yong Peng, Johor. Anak ketiga daripada lima bersaudara ini merupakan anak campuran bangsa. Ibunya Suhaily “Elly” Abdullah berbangsa Bidayuh berasal Serian, Sarawak. Manakala bapanya, Samsudin Jamuri adalah anak jati Yong Peng, Johor, seorang Melayu berketurunan Jawa.
Isteri kepada Fadzil Zahari dan ibu kepada Aisy Mateen ini cukup bimbang apabila adanya anasir-anasir yang cuba mengganggu gugat keharmonian Malaysia. Dengan tegas Yana berkata, jangan cuba bermain dengan isu sensitif yang boleh membahayakan negara dan merugikan kita rakyatnya.
“Apa yang saya bimbangkan apabila Malaysia yang terkenal dengan kepelbagaian etnik dan bangsa bakal kucar kacir, apabila ada parasit yang cuba memetik api perkauman. Bagi saya orang sebegitu, kelompok manusia lupa pada sejarah dan asal usul perjuangan pejuang-pejuang kita satu masa dahulu.
“Membesar di Yong Peng di mana persekitaran kami dikelilingi masyarakat Cina dan India membuatkan saya cukup menghargai keharmonian yang ada. Perbezaan bangsa bukan subjek utama dalam kawasan kejiranan kami. Apabila tiba musim perayaan, lazimnya kami saling berkunjungan dan bertukar-tukar juadah. Malah saya juga masih menjalin hubungan baik dengan kenalan rapat berlainan bangsa ketika di bangku sekolah hingga ke hari ini.
“Jangan memperjudikan keharmonian Malaysia dan jangan biarkan Malaysia bergolak kerana isu-isu sensitif dan perkauman. Jaga dan pelihara keamanan yang kita kecapi hari ini. Tanpa adanya pejuang bangsa yang bermati-matian menyatukan semua bangsa di bawah satu negara, tidaklah wujud tanah air kita, Malaysia,” tegas Yana.
Elakkan Sentimen Perkauman – PUSHPA NARAYAN
Keramahan suri hati kepada Richard Frederick Robless yang merupakan naib juara Pencarian Dewi Remaja 2004; Pushpa Narayan membuatkan sesiapa sahaja cukup senang berurusan dengannya. Anak kelahiran Jerantut, Pahang ini cukup selesa apabila berada di studio Karangkraf baru-baru ini. Ujarnya lagi, mana mungkin dia melupakan tempat yang berjaya mencungkil bakatnya sekali gus menaikkan namanya sebagai salah seorang ikon dalam program ikonik Pencarian Dewi Remaja anjuran majalah Remaja.
Hadir meluahkan rasa rindunya, dia awal-awal lagi melapangkan diri bagi memenuhi undangan sebagai salah seorang penghias wajah edisi kolaborasi tiga bangsa. Ibu kepada Rhea Rosa Robless (8) dan Robert Richard Robless (6) anggun mengayakan sari berona biru lembut ketika diminta menggayakan busana kebangsaan. Berbicara perihal persahabatan yang terjalin berbeza bangsa, Pushpa cukup sensitif dan menerapkan nilai murni dalam persahabatan lain bangsa bersama anak-anaknya.
“Saya mendidik mereka untuk menghormati perbezaan dan lebih menghargai nilai persahabatan. Saya tak galakkan anak-anak bergaul dalam satu kelompok bangsa sahaja. Saya mengesyorkan mereka untuk meluaskan pergaulan tanpa terikat pada satu bangsa sahaja.
“Saya juga mengelakkan penggunaan perkataan kaum. Contohnya saya tidak akan menyebut kawan Melayu, kawan Cina atau kawan India merujuk kepada sahabat saya ataupun anak-anak. Saya lebih suka menggunakan nama sahabat-sahabat anak sebagai rujukan yang lebih jelas apabila bertanya berkenaan teman mereka. Sekiranya timbul soalan dari anak-anak terutamanya hal budaya dan agama, saya dan suami akan menjelaskan sebaik mungkin.
“Membesar di Malaysia membuatkan kita terdedah dengan campuran budaya. Saya selalu menerapkan nilai-nilai murni terutamanya dalam mendidik anak-anak yang tinggal di persekitaran masyarakat majmuk. Mungkin kita ada perbezaan identiti melibatkan agama dan bangsa, tetapi itu bukan subjek utama dalam kita menjalin persahabatan. Saling memahami, lengkap melengkapi dan jangan mencetuskan provokasi bagi memastikan keharmonian yang dirasai hari ini, terus berkekalan hingga ke generasi hadapan,” kongsi wanita yang cukup menggemari juadah signature Malaysia, Nasi Lemak bersama ayam rempah.
AMBER CHIA Bangga Bawa Nama Malaysia
Siapa sangka anak kelahiran Tawau, Sabah ini hanya bergelar penjual ikan di pasar 20 tahun yang lalu. Namun impian besarnya untuk menjadi seorang supermodel akhirnya membuka jalan yang luas untuk dia mencipta nama. Bertahan selama 20 tahun bersandarkan pada bakat sepanjang dua dekad juga membuktikan kemampuan model Asia ini.
Amber Chia, 39 tahun, merupakan seorang figura yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Dia sendiri teruja apabila kehadirannya diterima umum selama ini. Apatah lagi dia merupakan model berbangsa Cina, jadi dia berasa bertuah dengan jalan hidupnya kini.
Selain berpeluang ke luar negara atas dasar tugas, Amber sememangnya gemar mengembara ke seluruh dunia sebagai seorang peragawati terkenal. Walaupun merantau jauh ke luar negara, tetapi nama Malaysia tidak pernah lekang dari bibirnya.
Malahan dia terlalu lama berada di luar negara, dia sentiasa berasa rindu dengan tanah air. Biar pun terpisah beribu batu dari negara sendiri, Amber pasti memilih untuk memesan atau mencari masakan Malaysia di luar negara. Jika bersama rakan-rakan dari negara luar, dia juga akan menceritakan kelebihan negara Malaysia dari segi makanan dan rakyatnya.
“Saya sendiri memang suka nasi lemak dan satay. Jika keluar negara, saya cuba mencari dua makanan ini kerana mudah didapati dan makanan kita sudah terkenal di luar negara. Saya rasa bertuah menjadi rakyat Malaysia yang hidup berbilang bangsa dan harmoni.
“Pergi ke mana pun, di hati saya hanyalah Malaysia kerana bukan sahaja dari segi cuaca yang buat kita selesa, makanan yang sedap pun ada di Malaysia kerana kita mempunyai terlalu banyak makanan. Saya boleh merasa masakan Melayu, India dan banyak lagi.
“Oleh itu, sempena Hari Malaysia, saya mengharapkan Malaysia terus maju dan dapat mengekalkan keharmonian antara bangsa,” jelasnya lagi.
Banyak lagi cerita menarik yang dikongsikan oleh Yana Samsudin, Amber Chia & Pushpa Narayan, baca sambungannya didalam edisi khas Hari Malaysia, Majalah Mingguan Wanita isu September, volume 2 yang kini telah berada di pasaran.
Teks & Penyelaras : Mastura Burhanuddin & Nur Syazwani Mehat Foto : Tuan Azman Tuan Muda Video : Nor Yanti Saharuddin Solekan: Pushpa (Anne Karim), Yana Samsudin (Noor Zaleha Mohd Sharif), Amber Chia (Pinky Chia Amber Chia Academy Makeup Coach) Busana : Terima Kasih Butik Qamilla Sacc Mall, Shah Alam, Saree By Jansri Sarees, Saree Blouse By Amisha Fashion House & Tailoring, Zara Malaysia Tajaan Pakaian Amber Chia : Maglifestyle Officialaksesori : Poh Kong Hijab : Butik Radiusite, Seksyen 7, Shah Alam
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Gula-gula gummy bebas dijual di pasaran, jelly berisiko tercekik bagi kanak-kanak. Kejadian tragis melibatkan adik Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, seorang kanak-kanak berusia 10...