Generasi hari ini (millennial) dan generasi terdahulu sangat berbeza. Seringkali kedengaran aduan daripada rakan-rakan bahawa cara didikan dahulu dan sekarang jauh berbeza. Jika dulu, rotan itu perkara biasa dan tiada anak yang lari rumah kerana di rotan malah makin baik akhlak dan perilakunya. Namun, senario itu agak berbeza sekarang.
Ikuti perkongsian daripada Dr. Nurul Asiah Fasehah binti Muhamad pensyarah Di USIM dan kolumnis di dalam Majalah Mingguan Wanita. https://www.facebook.com/naznur.muhamad
Jurang Generasi Jauh Berbeza
Konklusi yang dibuat, orang sekarang manjakan anak tidak sama dengan orang dahulu. Perbincangan ini ada benar dan ada salahnya. Ini kerana, setiap kita berbeza apatah lagi apabila melibatkan generasi sudah pasti gelombang perbezaannya lebih besar dan memerlukan cara yang mungkin sedikit berbeza namun matlamatnya sama.
Begitulah juga dengan cara mendidik. Untuk membangunkan generasi, tidak semudah membangunkan atau mencipta sebuah mesin. Manusia memiliki komponen spiritual dan fizikalnya. Kedua-duanya berbeza sentuhan dan keperluannya.
Ads
Pentingnya Wujudkan Persekitaran Sihat
Namun yang perlu kita fahami adalah komponen spiritual inilah yang memandu keseluruhan kehidupan manusia tersebut. Berbalik kepada perubahan generasi, ia tidak terletak kepada individu atau sesebuah generasi tersebut. Minat dan kecenderungan adalah pengaruh persekitaran yang wujud di sekeliling mereka sewaktu mereka membesar.
Jadi adalah amat penting untuk kita mewujudkan sebuah persekitaran yang sihat untuk anak-anak kita bermula daripada usianya yang masih kecil. Apabila dikatakan persekitaran, ia bukan sahaja merujuk kepada persekitaran kecil di rumah malah persekitaran di luar kawasan rumah juga iaitu masyarakat. Pendedahan kepada anggota masyarakat yang baik amat membantu persekitaran anak-anak kita.
Generasi Kini Tak Seakrab Dulu
Dahulu, anggota masyarakatnya amat akrab. Seisi masyarakat bagaikan satu keluarga. Jika anak dimarahi di rumah kerana melakukan sesuatu, perkara itu jugalah yang akan diterima di luar rumah sebagai peneguhan. Maksudnya, informasi dan input yang baik itu dijumpai di mana-mana.
Ads
Anak-anak tidak keliru untuk memilih, perkara yang baik jelas, manakala perkara yang tidak baik juga jelas. Kemudian, kasih sayang dalam sebuah masyarakat amat dirasai. Anak jiran, anak kita juga. Mengambil tahu dan mengambil peduli. Keakraban ini membentuk nilai murni yang seragam di antara anggota masyarakat.
Sibuk Sampai Berjiran Pun Tak sempat
Berbeza dengan generasi era ini. Kesibukan menyebabkan kita menyendiri tiada jaringan yang positif dengan jiran-jiran apatah lagi masyarakat. Kita hanya sibuk dengan urusan kita dan keluarga dan tidak mahu mengambil tahu urusan orang luar kerana persekitaran kita membentuk norma sedemikian.
Ads
Bayangkan anak-anak yang akan dibesarkan dalam persekitaran sebegini, mereka sudah pasti sukar untuk mendapat perhatian dan sokongan masyarakat terhadap apa yang dilakukan apatah lagi merasai kasih sayang hidup bermasyarakat. Pada waktu ini, jika kita memarahi anak-anak, mereka tiada tempat mengadu, dan persekitaran yang mereka ada sangat rencam sehingga sukar membezakan yang benar dan yang salah.
Jika salah apa yang dibuat di rumah maka mereka memiliki seribu satu pilihan di luar rumah untuk mereka. Amatlah ditakuti pilihan mereka itu salah dan tiada siapa yang sudi menegur kerana anakmu, bukan anakku.
Sesuaikan Pendidikan Dengan Keadaan Semasa
Oleh sebab itulah, cara pendidikan yang ditengahkan perlu laras dan sesuai untuk generasi yang sedang kita bangunkan. Generasi kini amat sensitif, perlu sentiasa dipujuk dan ditunjukkan contoh agar perilakunya terpimpin. Ruang pembelajarannya terhad di dalam rumah dan di sekolah. Manakala pembelajaran di dalam konteks masyarakat mungkin sukar untuk diperoleh. Jadi, mereka harus dibelai dan ditunaikan keperluan mereka barulah impian yang kita letakkan mampu memberikan impak dan kesan terhadap pembentukan kendirinya selaku hamba Allah dan khalifah-Nya.
Oleh yang demikian, apa yang kita lihat daripada orang yang terdahulu haruslah dijadikan ibrah dan pengalaman yang dapat mengajar kita bagaimana seharusnya kita bertindak untuk menyediakan yang terbaik buat anak-anak kita dan yang paling penting adalah ianya bersesuaian dengan zaman mereka. Wallahuallam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Nama panggilan ini nampak simple je nak buat, tapi kesannya hebat. Malah Rasulullah SAW pun memanggil isterinya dengan gelaran yang indah-indah. Barulah rumahtangga barakah. Romantik pun romantik.. sweet pun sweet, tahap potong kaki punya.
Penting sebenarnya memanggil dan memuji isteri dengan gelaran atau panggilan terindah. Hati isteri akan jadi bertambah bahagia bila suami panggil dengan panggilan sayang, manja dan sebagainya. Rasa tenang sama pun iya.
Sebab itulah, wahai suami.. Ustaz Ebit Lew berpesan agar memuji dan memanggil isteri dengan panggilan yang paling anda sukai. Haa.. sama juga dengan isteri. Pun kena panggil suami dengan gelaran terindah yang baik-baik.
Puji Dan Panggil Isteri Dengan Gelaran Terindah
Aduh. Ya Allah tuhanku..sebak rindu semua ada. Dapat peluang berdua-duaan dengan bidadari sayang dalam kereta nak pergi ambil anak balik sekolah. Rasa bahagia pegang tangan. Nak berbual. Nak cakap i love u till jannah banyak-banyak kali. Makin hari makin rindu. Makin jatuh cinta sayang.
Ya Allah jagakanlah bidadariku ini supaya dapat kami bersama mendapat RedhaMu dan jannatulFirdausMu
Rumahtangga paling bahagia ialah rumahtangga Rasulullah saw. Jadilah orang paling baik dan romantik seperti Rasul saw… Bila pulang ke rumah baring atas riba isteri. Atau isteri baring di atas riba kita. Saling mengusap dahi dengan cinta dan kasih sayang. Setelah berpenat berjuang di luar sana. Dakapan pasangan yang kita cintai ialah tempat paling indah. Mengubat segala duka dengan izin Allah.. Rasulullah saw berpelukan menangis kerana keletihan dan diuji dengan pukulan, cacian, kesusahan yang amat dahsyat di luar sana.. rumahku syurgaku.baiti jannati. Memuji dan memanggil isteri atau suami dengan panggilan paling disukai.
Wahai bidadariku yang menawan, yang cantik, kekasih hati teman hidupku. Menemuimu dalam hidup ini perkara yang terindah. Kaulah bulan. Kaulah matahari. Kaulah kurnia Allah yang terindah dalam hidup ini..
Rasulullah saw memanggil isteri dengan gelaran dan panggilan terindah.
Berlemah Lembut, Lunakkan Suara Ketika Bersama Pasangan
Mengusap tangan dan peha pasangan. Sambil ucap dan lafazkan sayang. Saya cinta dan sayang awak sampai syurga. Saya ingin terbang bersama sayang dalam syurga.
Berlemah lembut dan lunakkanlah suara bersama pasangan. Perkataan dari hati yang mencintai dan bersyukur. Mereka bukan milik kita. Tapi amanah Allah yang untuk kita cintai dan bawa bersama ke syurga. Jangan sesekali berkasar, dengan wajah bengis, bahasa kasar semua orang lari darimu
Mandi bersama dan bergurau semasa mandi bersama. Rasulullah saw mandi bersama isterinya.
Dukung dan rapatkan pipi. Dengan kasih sayang dan manja. Bergurau dan sekali sekala main kejar-kejar dengan pasangan bagi yang sihat. Berlari bukakan pintu rumah atau kereta bagi pasangan. Berebut nak angkat barang atau anak semasa bersama. Bersama dengan manja dan kasih sayang.
Isteri ini, Husna Adnan berkongsi pengalaman membawa suaminya yang menghidap ‘panic disorder’ untuk mendapatkan dos pertama vaksin di pusat vaksin. Suaminya ini amat memerlukan peneman bagi menguruskan keperluan sedemikian.
Namun, jadi satu kesukaran buat isteri ini yang menemani suami mendapatkan dos pertama suntikan vaksin, apabila masih ramai yang belum faham akan situasi yang dihadapi pesakit mental sebegini.
Tak mudah sebenarnya, kerana penyakit yang suaminya hadapi itu masih ramai yang belum ada kesedaran tentangnya. Masih ramai juga yang belum memahaminya.
Dan inilah yang terjadi, dikongsikan isteri ini agar lebih ramai buka mata dan memahami penyakit sebegini wujud. Sebagai penjaga pesakit yang menghadapi masalah mental, Husna berharap semoga semakin ramai lebih cakna dengannya.
TIDAK SEMUA SAKIT TERLIHAT PADA MATA
Tidak seperti insan yang diuji dengan kecacatan kekal, sakit mental hanya dapat disahkan selepas kita bertemu pakar di hospital.
Selepas disahkan oleh pakar pun, tiada siapa akan tahu selain kita sendiri memberitahu kepada umum.
Sudah diberitahu pun tidak semua faham. Tidak sama reaksinya apabila kita menjelaskan yang kita menghidap anxiety disorder, major depressive disorder, bipolar, atau skizofrenia, berbanding apabila menyebut sakit kanser atau jantung.
Sakit mental juga salah satu penyakit. Boleh diubati, boleh sembuh. Sama waktu kita demam.
Namun masyarakat masih skeptikal akan pesakit mental dan ini yang berlaku semalam waktu aku menemani suami yang menghidap panic disorder bagi mendapatkan dos pertama vaksin.
Nazry disahkan menghidap panic disorder / anxiety disorder sejak tahun 2016, empat tahun selepas kami sama-sama sedar yang Nazry tidak berkelakuan normal seperti orang lain.
Dia tidak boleh memandu seorang diri.
Dia tidak suka kawasan sesak.
Dia takut pergi solat Jumaat.
Dia tidak boleh berbuat apa sahaja di luar rumah tanpa kehadiran aku. Nak aku juga teman.
Sekiranya dia tidak bersama aku, pasti kerana dia ada bersama kawan-kawan / escort.
Selama ini aku sentiasa menemani dia hampir ke mana jua hatta terpaksa menunggu berjam-jam di dalam kereta Kelisa yang akan menjadi panas bagaikan ketuhar ketika dia bermesyuarat, adalah kerana ini. Bukan kerana aku isteri yang manja, bukan juga kerana dia suami mengada-ngada.
Pengalaman Pesakit Panic Disorder Dapatkan Dos Pertama Vaksin
Panic disorder bukan ketakutan seperti kita panik apabila rumah terbakar, air tiada waktu mandi, ataupun diserang lipas terbang.
Perkataan “disorder” itu membezakan panik orang biasa dan panik pesakit ini.
Ia tidak normal.
Apa yang ditakutkan dengan bersolat Jumaat?
Apa yang ditakutkan dengan memandu sendirian?
Apa yang ditakutkan dengan buang air besar?
Apa yang ditakutkan dengan tidur?
Ayat biasa orang normal adalah,
“Nak takut apa?”
Ya, kita yang sihat tidak akan faham sekiranya tiada ilmu. Hal biasa saja tapi kenapa nak takut beria?
Apabila Nazry mendapat SMS berkenaan dos pertamanya – sehari selepas tarikh berperang mendapatkan AZ kumpulan kedua yang gagal – dia sudah mula panik.
Panik apabila dia dapat vaksin yang asalnya gagal dimohon, panik apabila dia diarahkan ke PWTC dan bukannya di sekitar Kajang, dan lebih panik apabila mendapati aku yang lebih berusaha berjuang menempah tarikh AZ, tiada panggilan hingga ke hari ini. Isi borang sekali lagi, sudah. Kemas kini segala info, sudah. Semua sudah, semua sudah.
Bagaimana pesakit panic disorder seperti dia mampu pergi seorang diri ke PWTC demi mendapatkan dos pertama?
Tiada cara.
Tiada cara melainkan aku menemani dia.
Maka itulah yang berlaku semalam.
Buku temujanji berwarna biru dari Klinik Psikiatri Hospital Kajang siap dibawa sebagai bukti.
Namun apa yang berlaku seawal masuk ke PWTC, adalah amat mengecewakan.
Buku Biru Sebagai Bukti Ketika Dapatkan Dos Pertama Vaksin
Kami ditahan oleh seorang anggota tentera kerana aku tidak dapat menunjukkan bukti temujanji di MySejahtera. OF COURSE. Dah kerajaan belum beri, macam mana aku nak dapat. Aku di situ pun bukan sebab aku ada temujanji.
Maka Nazry hulurkan buku biru dia dan menjelaskan kedudukan sebenar.
Anggota itu masih menghalang aku dan menyuruh Nazry masuk seorang diri.
Bayangkan.
Ini PWTC. Luas. Besar.
Kena naik ke tingkat 2 dan 3.
Bukan klinik desa.
“Saya ada panic disorder, tuan.”
Nazry dah mula panik dan marah.
Aku menjelaskan sekali lagi, namun anggota itu membalas yang dia tidak dapat berikan kebenaran kerana memang tidak dibenarkan ada peneman. PWTC perlu uruskan 18k temujanji setiap hari.
Itulah yang diulang. Tidak mahu berlaku kesesakan tidak perlu barangkali.
Lalu Nazry kata dia tak nak naik seorang. Dia tak nak ambil vaksin dan nak balik.
Dengan nada bersahaja anggota itu berkata, “Terpulanglah.” Tetapi beberapa saat kemudian, dengan buku biru Nazry masih di tangannya, dia memanggil pegawai lebih tinggi. Tak pasti pangkat apa, kami pun tak jelas hal paku.
“Tuan, mereka ni nak masuk berdua.”
Kini kami menghadap tiga anggota tentera.
Pegawai itu mengambil buku biru dan membelek. Beberapa soalan diajukan, dan buku biru diserahkan semula kepada aku.
Sambil memeluk tubuh, pegawai itu bertanya, “Dia memang selalu macam ini ke?”
“Ya, tuan. Kami ke sini pun saya yang memandu. Beberapa hari sebelum, dia dah panik sampai tak boleh tidur. Ini saya yang ‘encourage’ dia supaya dia ambil vaksin.” Penat kena ulang jawab tapi kita jawab jugalah.
“Hmm.” Jeda. “Boleh naik, tapi saya tak jamin di atas nanti kamu diberi masuk.”
Kami pun beredar selepas mengucapkan terima kasih. Bayangkan. Temujanji jam 4, kami dibenarkan masuk dengan jarak jauhnya, dengan soal jawabnya, jam 4.30 baru selesai.
Itu baru di lobi.
Masuk ke Dewan Merdeka, tiada yang tahan. Tetapi sekali lagi aku ditanya petugas waktu nak masuk ke ruang menulis borang.
“Sini tak boleh masuk kalau tak ada temujanji, kak,” kata seorang petugas lelaki.
“Saya temankan sebab dia ada panic disorder.” Sekali lagi aku tunjuk buku biru.
“Ha tak boleh, kak. Sebab sini sehari 18k orang kami kena urus, tak cukup kerusi.”
Waktu itu Nazry dah masuk ambil borang, maka aku hanya menunggu di luar pagar putih yang membezakan meja petugas dengan Station 1.
Melihatkan aku berdiri di luar pagar, Nazry juga mengisi borang sambil berdiri di hadapan aku walaupun banyak kerusi kosong.
Kemudian terdengar petugas lelaki itu memanggil.
“Kak, masuklah kak.”
Aku pun angguk dan berjalan ke arah pintu masuk sebelum seorang lagi petugas wanita bersuara, “Masuk tapi tak boleh duduk ya kak. Akak kena berdiri. Kerusi untuk yang nak isi borang je.”
Aku tarik nafas dalam-dalam.
Sebagai Penjaga Pesakit, Ini Yang Selalu Dihadapi
Aku tak kisah kalau semua ini disusahkan kerana prosedur. Aku serius memahami.
Tapi aku sebagai penjaga pesakit / caregiver rasa sayu pun ada. Sebab ini situasi biasa yang aku dah hadapi sejak jadi peneman Nazry.
Nazry diberi air, aku tidak.
Nazry diberi kerusi, aku tidak.
Nazry mendapat simpati bagi yang memahami, tetapi aku yang menjaganya dilayan macam habuk.
Aku tak minta dilayan lebih, tapi aku harap masyarakat kena faham yang penjaga pesakit seperti kami ini sentiasa dalam keadaan penat.
Penat fizikal, penat mental.
Bukan waktu itu saja, sebab kami kena buat banyak persediaan rapi sebelum hari kejadian.
Aku tak sempat makan apa pun sebelum ke PWTC memandangkan banyak tempahan yang perlu aku bungkus sebelum ke sana. Aku kena siapkan kerja sebelum temankan Nazry. Itu pun sambil-sambil menguruskan PdPR anak-anak.
Jangan tanya kenapa Nazry tak bantu.
Dia sedang berperang dengan diri dia.
Dia yang akan dicucuk petang itu.
Jam 1 petang baru selesai. Aku minta tidur sekejap kerana nanti aku perlu memandu.
Jam 1.40 petang aku bangun, mandi, bersiap, solat, kemas apa yang patut, dengan Afia masih berusaha siapkan PdPR, jam 3 petang kami hantar anak-anak ke rumah mak aku sebelum ke PWTC.
Tak sempat makan apa pun.
Tapi kepenatan aku tiada buku biru nak dijadikan bukti. Kepenatan penjaga hanya kami yang rasa.
Pesakit mental perlu difahami.
Penjaga mereka juga perlu diambil peduli.
Aku berdiri pun tak apa, tapi nada mengarah dengan gaya tubuh yang menyebalkan itu buat aku jadi tambah letih. Okey sambung.
Orang Tak Beri Duduk, Saya Tak Duduk
Aku masuk dan berdiri di belakang kerusi Nazry. Dari satu kerusi ke satu kerusi kerana perlu penuhkan kerusi di hadapan, aku hanya berdiri.
Ada dalam 5 – 10 minit aku berdiri. Entahlah.
Tiba-tiba petugas lelaki tadi menghampiri aku. “Akak duduklah. Ada kerusi kosong.”
Aku dah rasa nak flip chair. “Saya hanya ikut arahan. Orang tak beri duduk, saya tak duduk walaupun nampak banyak kerusi kosong.”
Dia gelak kecil. “Biasa ramai, kak. Waktu ini tak ramai pula. Akak duduklah.”
Beberapa ketika selepas aku duduk, nombor Nazry dah naik. Aku ekori dengan buku biru, petugas tahan sekali lagi tetapi terus dibenarkan masuk apabila aku kata aku peneman.
Sampai di Dewan Tun Razak 4, ditanya sekali lagi tapi dibenarkan masuk. Berdiri di sebelah Nazry tetapi tidak lama. Di ruang Consultation, aku kira petugasnya adalah staf kesihatan, maka aku dilayan lebih baik. Dapat duduk haha.
Waktu dipanggil ke meja penasihat, doktor memberi beberapa penerangan. Nazry alah pada paracetamol, jadi diminta ke farmasi bagi mencari ubat alternatif sekiranya demam.
Selepas itu proses vaksinasi cepat dan lancar. Tunggu 15 minit, dia kata lengan lenguh-lenguh saja, tiada kesan yang lebih serius.
Malam tadi dia demam sekejap. Tangan dan seluruh badan jadi sangat sejuk. Dia bangun makan ubat dan tidur semula. Pagi ini alhamdulillah dah okey, tiada kesan sampingan lain.
Pada aku, PWTC waktu PBAKL pun banyak kerenah. Aku malas nak ungkit apa jadi sebab orang buku pun meloncat hal-hal dulu sampailah sekarang, tapi aku tak sangka bab vaksinasi ini pun disusahkan sehabis boleh berbanding tempat lain.
Di UKM, mak ditemani kakak sulung. Semuanya sangat cepat. Tahu-tahu dah selesai. Kakak tidak sempat turun dari kereta, mak dah masuk balik.
Pengalaman mak dan kakak berbeza. Petugas baik melayan dan membantu. Indah belaka.
Tapi mungkin bukan sebab lokasi semata-mata.
Sebabnya, aku menemani suami yang sama-sama nampak sihat dan muda.
Harap Mudahkan Urusan Kes Yang Ada Bukti Klinikal
Aku yakin pasti sudah banyak perangai manusia yang petugas hadap sampai ketat sebegini. Mungkin benar ada yang diteman sebab mengada-ngada, sekadar nak meluangkan masa di luar rumah sambil berOOTD.
Tapi aku harap mana-mana kes yang siap diberi bukti klinikal seperti pesakit mental ini, dimudahkan urusan. Cukup baik mereka hadir demi temujanji yang diaturkan, banding tidak hadir langsung.
Dan aku harap dengan perkongsian ini juga, masyarakat lebih berusaha dalam memahami situasi pesakit mental dan penjaganya.
Nak suruh empati, tidak semua mampu.
Tapi terimalah yang sakit ini wujud.
Bukan rekaan semata-mata.
Dan tolong.
Sakit mental tidak berkaitan dengan iman. Nazry cukup solat, mampu jadi imam, tidak culas nafkah keluarga, dan hafal al-Mulk. Tiap kali sebelum tidur dia akan baca al-Mulk. Namun dia tetap diuji dengan sakit mental. Bukan dia minta.
Cuma, ya. Iman membuatkan dia mudah tenang dan ditenangkan. Ubat yang doktor beri juga wajib dimakan supaya dia tidak masuk ke tahap depresi. Insya-Allah, ada nampak perkembangan baik dengan pengurangan dos dan bilangan pil.
Doakan dia, doakan aku, doakan kami, dan doakan semua yang sedang bertarung dengan diri sendiri. Ramai kawan kami yang sudah didiagnos dengan pelbagai kondisi sejak zaman PKP ini.
Anda takkan faham selagi tidak menghadapinya.
Aku harap, tiada siapa perlu menghadapinya.
#HusnaAdnan,
Allah uji ikut kemampuan. NOTA: Dengan perkongsian ini, jangan tanya apa-apa kepada Nazry, jangan telefon Nazry nak tanya pengalaman dia, jangan ada stigma, jangan apa pun. Cukup dengan doa.
Sekiranya anda rasa anda juga ada masalah mental, bertemulah dengan pakar. Jangan Google saja, jangan diagnosis sendiri. Just don’t.
Dibenarkan Share. Aku izinkan.
Aku harap lebih ramai cakna dan ada perubahan.
Mingguan Wanita : Hakikatnya bukan saja warga emas, pesakit mental juga memerlukan peneman dalam mendapatkan dos pertama dan kedua vaksin di pusat suntikan vaksin.
Ada sesetengah orang merasakan tidak perlu untuk membuat wasiat kerana memikirkan harta yang ada tidaklah banyak. Rasa tidak berbaloi untuk membuatnya. Namun, sesetengah orang, ia sangat penting untuk pewaris terutamanya dalam meneruskan kehidupan.
Sebenarnya, tidak kira banyak atau sedikit harta yang kita ada, sekurangnya dengan wasiat ini tidaklah berlaku pergaduhan dan setiap pewaris ada hak ke atas harta yang ditinggalkan. Bahkan dengan ada perjanjian dan wasiat ini, ia menyenangkan pihak yang terlibat dan memudahkan kerja mereka.
Lagi satu, bila adanya perjanjian hitam putih ini, ia secara sahnya telah termaktub hak milik untuk pewaris dan tidaklah harta yang ditinggalkan itu pergi ke Amanah Raya. Malah, kalau ingin dituntut pun perlu mengambil masa yang lama untuk memastikan pewaris yang betul.
Perkongsian Khairul Johari ini cukup menarik dalam menceritakan tentang wasiat yang dibuatnya apabila dia meninggal nanti. Kita tak tahu ajal kita bila. Tapi dengan adanya ini, tidaklah pewaris yang ditinggalkan itu tiada sebarang harta untuk bekalan hari mendatang.
Tahu tak, apa perasaan bila tanda tangan surat wasiat ini. Seolah-olah rasa dia macam nak mati dah esok. Sedih.
Aku ini takdelah banyak harta. Hanya yang ada tu sama sahaja macam orang lain seperti rumah, kereta, sedikit simpanan, hibah takaful serta sedikit bisnes di sana sini.
Tapi itulah, bila dicampur-campur macam harta Ismet Ulam Raja pulak jadinya.
Kenapa perlu wasiat?
Kan semua harta kena bagi ikut faraid?
Tahu tak, satu pertiga daripada harta bersih selepas ditolak hutang boleh diberikan kepada bukan waris.
Harta yang bahagian faraid memang sudah terjamin bahagiannya. Anak-anak aku, mak ayah aku sudah terjamin akan terima bahagian faraid masing-masing. Namun bagaimana ahli waris lain yang terlindung daripada merasa sedikit harta aku walaupun seorang seratus ringgit?
Jadi dengan wasiat, satu pertiga baki harta aku selepas ditolak hutang boleh diwasiatkan kepada orang lain atau aku nak sedekah dan sebagainya.
Uruskan Harta Dan Hutang
Namun, paling penting sebenarnya aku buat wasiat adalah untuk ada orang uruskan harta dan hutang aku bila aku mati.
Kalau aku tak buat wasiat ni jenuh waris aku nanti nak korek dan cari semua harta milikan aku untuk difaraid. Jenuh nak cari pemiutang aku untuk dilunaskan.
Aku pernah uruskan wasiat arwah isteri aku dan aku sedar betapa pentingnya wasiat ini. Ia memudahkan waris, melancarkan kehidupan waris yang ditinggalkan.
Takkan aku nak harap abah aku yang dah tua itu bersusah payah buat semua kan. Makan tahun kot nak selesaikan semua bila melibatkan harta pusaka ni. Lepas tu anak-anak aku semua bawah umur pulak tu. Siapa nak uruskan bahagian depa nanti.
Jadi dengan berwasiat aku boleh tetapkan dah, macamana pembahagian semua harta aku tu. Duit anak-anak aku boleh tetapkan macam mana, sama ada nak bagi seketul terus atau syarikat amanah release setiap bulan kepada penjaga sehingga umur berapa dan sebagainya.
Senang cakap, bila aku mati, dah ada pentadbir harta uruskan semuanya. Takdelah harta aku terbeku di Amanah Raya bersama-sama 70 billion ringgit harta pusaka rakyat Malaysia yang terbeku sekarang ni.
Semuanya sebab tak ada wasiat. Tak ada surat hitam putih dan tak ada segala dokumen untuk membuktikan pemilikan harta, bukti waris dan segala macam isu. Ramai yang akhirnya give-up dan tak mau tuntut lagi sebab sukar nak dapatkan dokumen yang lengkap.
Jadi, aku buat siap-siap agar mudah untuk anak-anak aku, mak abah aku dan adik beradik aku nanti.
Begitulah.
Korang yang ada harta, buatlah wasiat. Carilah kawan-kawan korang perunding wasiat tu dan minta khidmat nasihat depa. Insya Allah mereka akan bantu terangkan semua.
Aku buat dengan syarikat as-Salihin Trustee melalui kawan aku Azlin Ishak
Korang carilah kawan-kawan yang dekat, senang nak jumpa nak bersembang dan tanya sampai faham.
Petang tadi aku tanda tangan wasiat ini di hadapan 2 orang saksi lelaki, berbelas mukasurat jugak lah nak tandatangan setiap satu.
Alhamdulillah, aku punya dah settle.
Selesai dah tanggungjawab aku.
#superdaddy
MW: Tak kiralah harta sedikit atau banyak, sekurangnya dengan wasiat ini sudah termaktub siapa penerima dan pewaris yang ada dapatlah teruskan kehidupan dengan apa yang ditinggalkan oleh orang tersayang.