
Isi Kandungan
ToggleGenap 6 tahun Stacy peluk Islam akui Akim jentik hati dan bercerita mengenai keindahan Islam dengan cukup santai dan tidak terlalu berat.
Tanggal 24 Ogos lalu, genaplah enam tahun usia penyanyi Stacy memeluk Islam di Jabatan Agama Islam Johor Bahru, Johor.
Genap 6 Tahun Stacy Peluk Islam Akui Akim Jentik Hati
Pemilik nama Islam Ummu Shaikhah Stacy Anam ini mengakui suami tercinta, Akim Ahmad antara insan yang banyak menjentik hatinya untuk mendekati agama Islam.
“Dulu sebelum memeluk agama Islam, saya seperti tiada agama sebenarnya. Hidup lebih berpaksikan cara membesar, apa yang dilihat dan didengari.
“Namun selepas enam tahun berkawan dengan Akim, banyak gerak hati untuk tahu apa itu Islam banyak didoronginya. Cara dia bercerita hal agama Islam nampak ringan dan tidak terlalu ‘direct’. Pendek kata apa yang terpacul dari mulutnya membawa ke satu siri penceritaan menarik.
“Siapa sangka keakraban kami, termasuk cara saya jadi dekat dengan Islam menerusinya terus menguatkan jodoh kami. Pandai adik (merujuk kepada Akim) ambil hati kakak (Stacy). Pada 26 September 2015, kami bertunang. Seterusnya 5 Februari 2016 kami bernikah di sebuah hotel di Sabah,” ungkap Stacy.
Imbas Detik Penghijrahan & Pernikahan
Ibu kepada dua cahaya mata kepada Bella De Luna Valentina, 8, dan Eshaal Afiq Hakim, 4, menerusi program bual bicara dalam talian, Bersama Tya akui detik paling bermakna dikenang hingga saat ini ialah ibu bapanya juga hadir ketika dia memeluk Islam.
“Saya rasa momen pengislaman jadi sangat sempurna apabila ibu bapa ada di sisi merestui keputusan paling besar dilakukan anak mereka.
“Awalnya hanya ibu bapa saya saja tahu keputusan memeluk Islam ini. Tapi adik beradik lain dan saudara mara belum diberitahu lagi. Apabila viral gambar dan video itu, jadi kecoh.
“Tapi Akim suruh saya bersabar dan relaks dengan apa yang terjadi,” katanya.
Mulakan Hari Lebih ‘Ummph’, Rasai Susu Dengan Kopi Sebenar Pilihan Stacy Anam

Takut Dengan Keputusan
Stacy akui sebenarnya, dia melalui satu episod yang cukup dasyat sebelum melafazkan dua kalimah syahadah.
“Jujur ketika itu, hati saya jadi takut sangat dengan keputusan berkenaan. Hingga saya mempersoalkan dalam diri, apakah betul keputusan yang dibuat itu.
“Saya macam berperang dengan diri sendiri. Hingga terpacul rasa apakah sampai tahap perlu meninggalkan keluarga sendiri untuk agama Islam.
“Tapi akhirnya, takdir hidup saya memilih Islam sebagai agama yang satu. Saat selesai melafazkan kalimah itu, kelihatan ibu bapa saya tersenyum dan gembira. Ketika itu saya sedar, perasaan bukan bukan itu hanya mainan emosi,” jawab Stacy yang masih belajar untuk menjadi insan yang terbaik.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Buat 14 Perkara Ini Di Bulan Ramadhan, Boleh Batal Puasa Ke? Hadam Baik-baik Apa Yang Ustaz Kata

Isi Kandungan
ToggleSampai hari ini masih ada lagi yang belum jelas berkaitan perkara yang membatalkan puasa. Penjelasan yang dikongsikan oleh Ustaz Dr Zaharuddin Abd Rahman, ini menerangkan 14 perkara yang membatalkan atau tidak puasa kita sekiranya dilakukan pada bulan Ramadhan.
Ujar Ustaz Dr Zaharuddin inilah persoalan yang sering ditanyakan oleh orang ramai. Moga ianya membantu anda.
RAMADHAN : BATALKAH PUASA KITA JIKA….
Isu perkara yang membatalkan puasa, tumpuan utama patut diberikan kepada hukum yang disepakati sahaja. Justeru, larangan yang disepakati tatkala puasa adalah menahan nafsu syahwat, menanggung lapar dan dahaga serta menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah.
Inilah yang dijelaskan dari al-Quran dan as-sunnah, demikian juga menjauhi kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi kerana Allah. Ia disebut di dalam ayat al-Baqarah : 187 dan disokong oleh hadith-hadith yang banyak.
Merokok, keluar darah haid atau nifas dan hilang aqal adalah dipersetujui secara sepakat ulama membatalkan puasa.
Adapun yang tidak disepakati, boleh dibincangkan cuma jangan sampai ia mengambil perhatian utama kita apabila berada di dalam Ramadhan. Sebagai panduan, berikut disertakan beberapa hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai :-
1) Darah keluar dari tubuh ; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain.
Hukumnya : Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar’ dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215). Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia telah dipinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wida’ dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majority mazhab kecuali Hanbali. ( Bidayatul Mujtahid, 1/247)
2) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.
Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.
Hukumnya : Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja’ atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.
3) Pil elak haid untuk puasa penuh :
Hukumnya : Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa. Namun yang terbaik adalah tidak menyekat haid, dan tidak menganggu kitaran fitrah yang telah ditentukan oleh Allah swt. selain itu wanita sedang haid juga masih boleh melaksanakan pelbagai jenis ibadah.
4) Penyembur gas untuk pesakit lelah :
Hukumnya : Baru-baru ini pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa di Putrajaya ada membincangkan isu ini. Isu ini amat kerap dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka berbeza pandangan apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak.
Menurut kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa. Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Julai 2007 baru-baru ini, tetapi kemudiannya mereka menarik balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan datang. Namun itu adalah pandangan sebahagian ulama kontemporari yang menyakini masuknya serbuk jisim gas ke dalam perut.
Bagaimanapun para ulama masih perlu bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat. Sebahagian ulama seperti Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut. Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226)
Namun jelas para ulama berhati-hati dalam memberikan keputusan dalam hal ini kerana menyedari walaupun serbuk-serbuk dari inhaler tersebut boleh memasuki ruang perut, namun ia adalah satu keperluan mendesak buat pesakit athma dan tidak pula dilaksanakan secara saja-saja, bukan pula kerana nafsu lapar.
Pandangan terpilih adalah TIDAK BATAL, kerana terdapat perbezaan informasi dan data oleh para pakar perubatan berkenaan ketepatan fakta masuknya jisim ke dalam perut pada setiap kali semburan dibuat. Justeru, hukum puasa adalah kekal di atas sifat asalnya iaitu sah selagi belum terdapat bukti nyata dan diyakini terbatalnya ia. Sebagaimana kaedah Fiqh “
والأصل بقاء الشيء على ما هو عليه
Ertinya : Hukum asalnya, kekalnya hukum sesuatu pada sifat sebelumnya.
Justeru, jika ada sekalipun jisim yang termasuk ke dalam perut, ia bukanlah makanan yang mengenyangkan dan bukan pula dilakukan secara suka-suka serta ia tergolong dalam ubat-ubatan yang diperlukan secara mendesak. Selain itu, jisim yang termasuk ke dalam perut pula adalah tergolong di dalam kategori DIMAAFKAN sebagaimana beberapa kadar air yang tertinggal di atas lidah dan dalam hidung semasa berkumur dan berwudhu. Wallahu’alam.
5) Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal:
Hukumnya : Terdapat dua jenis : samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, ‘pain killer’ dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100 ; ‘Uqlah , hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.
Berkenaan suntikan makanan, airseperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan : Pandangan majoriti adalah : Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercanggah dengan hikmah puasa. Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar’iyyah, hlm 268 ; Yasalunaka, 5/53 dll ).
Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.
6) Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu.
Hukumnya : Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di ketika puasa adalah lebih baik.
Ia berdasarkan hadith : “Sempurnakan wudhu , basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa ( Riwayat Abu Daud , no 142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi ; albani ; Sohih).
7) Melakukan maksiat seperti tidak solat
Hukumnya : Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramadhan. Pahala puasanya pula akan terhapus. Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa, beroleh keampunan dan jauh dari maksiat. (Qaradawi, hlm 104) Nabi bersabda : “Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah” (Riwayat Ibn Hibban)
8) Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa
Hukumnya : Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama.
Ia berdasarkan beberapa dalil antaranya :-
كان رسول اللَّهِ يُقَبِّلُ وهو صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وهو صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كان أَمْلَكَ لِإِرْبِهِ
Ertinya : “Nabi S.a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan nafsunya” (Riwayat Abu Daud, 2/311 ; Syuaib arnaout : Sohih)
Dan satu lagi adalah : –
فجاء شاب فقال أقبل يا رسول الله وأنا صائم قال لا قال فجاء شيخ فقال أقبل وأنا صائم قال نعم قال فنظر بعضنا إلى بعض فقال النبي قد علمت لم نظر بعضكم إلى بعض إن الشيخ يملك نفسه رواه أحمد والطبراني في الكبير وفيه ابن لهيعة وحديثه حسن وفيه كلام
Ertinya : Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya : Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi : Jangan ; tiba-tiba dating seorang tua dan bertanya soalan yang sama : Jawab nabi : Ye ( tiada masalah) ; kami kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata :-
“aku tahu apa mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu)” (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi’ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap dhoif)
Al-Qaradawi pula menambah “berapa ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak mampu mengawal nafsunya ” (Fiqh As-Siyam, hlm 106 )
Kesimpulannya, ia tidak membatalkan puasa dan ciuman sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari Ramadhan.
9) Wanita tamat haid
Wanita tamat haid pada waktu malam dan sempat niat pada waktu malamnya sebelum naik fajar subuh. Ia dikira sah walaupun belum mandi hadas. Jika ia tidak sempat berniat sebelum fajar subuh, seperti belum makan dan minum apa-apa pada pagi itu, kemudian pada jam 8 pagi haidnya kering, ia tidak dikira boleh berpuasa pada hari itu kerana tiada niat bagi puasa wajib boleh dibuat selepas terbit fajar.
Demikian juga ditegaskan oleh majoriti ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201)
Dalilnya adalah :-

من لم يُجْمِعْ الصِّيَامَ قبل الْفَجْرِ فلا صِيَامَ له
Ertinya : “Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa (wajib) baginya” ( Riwayat Abu Daud, 3/108 ; Albani : Sohih )
10) Keluar air mazi
Air mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan kerana naik syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi semasa berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau tidak.?
Zahir dalam mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan puasa.
Bagaimanapun mazhab Hanafi, Syafie, Awzai’e, Hasan albasri, As-Sya’bi dan Imam Ahmad dalam satu pendapatnya berfatwa keluarnya air mazi tidak membatalkan puasa. Saya lebih cenderung dengan pendapat ini.
11) Keluar air mani tanpa setubuh
Mencium dan menyentuh melalui onani sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib qadha, ia adalah disepakati oleh seluruh ulama.
Adapun keluarnya air mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, ia tidaklah batal menurut sebahagian ulama termasuk mazhab Syafie, Hanafi. (Al-Mughni, 4/159)
Manakala mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal.
Walau bagaimanapun, saya lebih cenderung dengan pendapat yang mengatakannya batal kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam. Selain itu, ia juga adalah sama dengannya keluar mani kerana sentuhan.
Keluar air mani kerana bermimpi di siang hari Ramadhan atau kerana sakit tertentu. Sepakat ulama menyatakan ia tidak membatalkan puasa.
12) Menelan air liur dan kahak
Hukum : Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untukmenjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159). Manakala Kahak yang selagi ia belum sampai ke anggota mulut (sebelah hadapan lidah), iaitu masih berada pada had tekak makatidak membatalkan puasa jika ditelan. Kerana ia masih tidak keluar daripada anggota zahir. Kahak yang sudah sampai pada mulut, inilah yang menjadi khilaf adakah membatalkan puasa atau tidak.
Ada pendapat yang mengatakan batal dan ada pendapat yang mengatakan tidak batal. Sebahagian ulama berpendapat HARAM menelannya dengan sengaja kerana ia adalah kotoran.
Jadi, kesimpulan yang terpilih adalah kahak yang sampai ke mulut haram ditelan dan kebanyakan ulama menyatakan ia membatalkan puasa. Manakala yang berada di bahagian pangkal lidah dan tekak, jika ditelan tidak membatalkan puasa.
13 ) Mandi
Tiada masalah untuk orang berpuasa mandi, ia tidak membatalkan puasa. Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan orang yang junub mandi selepas waktu subuh, namun mandi junub adalah wajib, bagaimana pula mandi sunat atau harian yang biasa?.
Jawabnya ia tidak membatalkan puasa malah sahabat besar seperti Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi ketika berpuasa. Anas bin Malik pula adakalanya merendam kepalanya di dalam batu dipenuhi air (seperti telaga) akibat bersangatan panas. (Rujuk Fath Al-bari).
Cuma puasa hanya boleh batal apabila seseorang mandi sambil mencuri minum sebagaimana yang mungkin dilakukan oleh para remaja dan lainnya, maka ia batal kerana minum dan bukan mandi itu sendiri.
14) Berniat berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu.
Tindakan sebegini adalah membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi. Cuma jika dengan segera seseorang itu kembali berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasa tidak terbatal.
Justeru, seluruh individu berpuasa wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong untuk membatalkannya. Imam Ibn Qudamah menolak pandangan yang mengatakan tidak batal kerana ibadah itu adalah berdasarkan niat seperti solat juga yang akan terbatal jika berniat membatalkannya. (Al-Mughni, 4/175)
Sumber/Foto : Dr. Zaharuddin Abd Rahman , india.com
Artikel Asal : http://www.zaharuddin.net/…/595-ramadhan-a-batalkah-puasa-k…
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Tak Payah Risau Sangatlah Bagi Kad Kredit Kepada Isteri!”

Nak guna kad kredit ini kena bijak, baik suami atau isteri masing-masing kena tahu had limitnya. Kalau ikut nafsu kehendak, memang semua nak ‘diswipe’.
Haaa… sebenarnya selamat ke tidak nak bagi kaum isteri guna kad kredit ya? Biasalah, kaum perempuan lebih dikenali dengan nafsu membeli-belah. Tak bahaya ke?
Nah, sebelum encik suami buat keputusan nak bagi isteri guna kad kredit, jemput hadam dari sudut pandang saudara Bijen Mohd ini tentang baik buruknya jika berlaku situasi kecemasan seperti yang dijelaskan.
Okay Ke Bagi Kad Kredit Pada Isteri?
Saya belajar tips ni dari orang lama yang berpengalaman. Almaklumlah saya waktu tu baru nak berjinak-jinak membina rumah tangga. Memang banyak kena belajar dengan orang lain yang dah menempuhinya, terutama di era modenisasi dan liberalisasi ini.
Saya tanya bagaimana beliau menguruskan perihal nafkah untuk isteri sesuai dengan arus pemodenan semasa. Isteri beliau tu bekerja sebagai guru. Waktu itu saya tengah mencari mekanisma terbaik untuk menyalurkan nafkah supaya saya tidak termasuk dalam golongan suami yang mengabaikan tanggungjawabnya.
Jawabnya, beliau memberikan kad kredit tambahan (supplementary) kepada isterinya untuk digunakan. Ikut pandai dialah nak belanja macam mana.
Maka lepas buat kaji selidik, analisa risiko dan sebagainya, saya pun berilah hadiah sekeping kad plastik kepada isteri. Kini dah nak masuk 6 tahun dah kot saya masih belum tarik lagi nikmat yang tak dapat didustakan itu. Hahaha!
Kawan-kawan,
Tak payah risau sangatlah bila bagi kad kredit kepada isteri. Kita boleh saja tetapkan limit untuk mereka berbelanja. Katakan gaji kita RM2,500 sebulan, buatlah limit kad isteri sebanyak RM500-RM1,000 sahaja.
Serius, mereka tak akan guna lebih pun. Nak beli apalah sangat? Shampoo, minyak rambut, deodorant? Semua tu bukannya setiap bulan kena restock. Beli baju raya? Setahun sekali saja. Baju kelawar pun tak adalah sampai setiap masa nak membeli. Beli bra, rasanya tunggu sampai dawai terkeluar baru nak ganti.
Last-last beli barang dapur juga. Itupun kita sendiri yang tumpang makannya. Cuma yang depa suka beli; sabun anak, losyen anak, pampers anak, baju anak, kasut anak, spender anak, mainan anak. Nak buat macam mana, dah kita sendiri malas nak pi beli. Heh!
Pakai kad kredit ni ada baiknya. Depa akan guna bila perlu saja. Berbanding kalau kita bagi cash di tangan, tak adanya depa nak pulangkan kalau ada lebih. Kan bagus macam tu? Pay per use omputih kata.
Itu satu perkara. Perkara lain yang best adalah setiap perbelanjaan depa akan muncul dalam penyata. Tak payah dah kita susah-susah nak teka depa ni perabis duit dekat mana.

Macam saya, bila hujung bulan, saya akan verify balik setiap baris item dalam penyata. Waktu tu, bini mulalah gelabah cari resit letak kat mana, check akaun Shopee beli barang apa. Dalam masa yang sama, kita boleh didik mereka apa must have thing dan nice to have thing. Gittew!
Malam-malam pula jangan lupa panjatkan doa.
“Ya Allah, tutuplah pintu hati isteriku dari boros berbelanja. Janganlah bagi dia mudah terpesona dengan tipu daya dunia. Kurangkanlah nafsunya bershopping sini-sana.”
Haa! Amal lagu ni, insyaAllah kelia.
Alahh, depa berbelanja pun murah rezeki untuk kita juga. Apa nak susah hati sangat?
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
“Tiada Perselisihan Faham.” Suami Sempat Peluk, Cium Sebelum Ghaib

Isi Kandungan
Toggle“Tiada perselisihan faham.” Suami sempat peluk, cium sebelum ghaib atau hilangkan diri pada malam kejadian.
Lagi pula memang suaminya biasa bersikap demikian, jadi wanita ini langsung tidak curiga sehinggalah sehingga hari ini suami masih tidak ditemui.
Tiada Perselisihan Faham
Suami sempat peluk, cium dan memuji kecantikan saya sebelum dia ‘ghaib’ tanpa sebarang berita,” kata wanita yang hanya mahu dikenali DJ Sal, 47, isteri kepada DJ Wong atau nama sebenar Noor Aziz Johari, 53, yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu.
Pasangan terbabit aktif bersiaran secara dalam talian di Facebook (FB) “DJ Wong And Sal Bollywood” yang kini mempunyai hampir 100,000 pengikut.
Baca Di Sini : “Saya Mahu DiSayangi.” Sedih DiTinggalkan Suami, Seorang Ibu Tergamak Cederakan Anak-Anak
Suami Sempat Peluk, Cium
Menurutnya, pada hari kejadian mereka sedang bersiap untuk bersiaran secara langsung di FB pada 10 malam sebelum dia dipeluk suami, dicium tiga kali serta dipuji cantik.
“Ketika itu, saya tidak terfikir apa-apa kerana suami memang kerap berbuat demikian dan selepas itu saya memintanya pergi bersiap dalam bilik.
“Bagaimanapun, saya selepas itu menyedari yang suami tidak masuk bersiap dalam bilik sebaliknya dia terus menghilangkan diri,” katanya yang ditemui di rumahnya di Taman Ria Mesra 2, Gurun, Kedah.
Sebelum Ghaib
Katanya, apabila menyedari suami tiada dalam bilik, dia cuba mencari dalam sekeliling rumah namun gagal menemui DJ Wong.
“Ketika itu hujan lebat dan saya cuba menghubungi suami namun telefon bimbitnya dimatikan. Bimbang dengan situasi itu, saya bergegas ke rumah keluarga suami di Kampung Bukit Lada, Pokok Sena namun masih gagal mengesannya,” katanya yang masih bingung dengan kejadian itu.
Menurutnya, tiada sebarang perselisihan faham berlaku antara mereka yang boleh dikaitkan dengan misteri kehilangan suaminya itu yang dilihat keluar dengan memakai kemeja dan jeans biru.
“Saya hanya perasan suami kelihatan agak murung sejak kebelakangan ini dan tidak ceria berbanding sebelumnya namun tidak tahu apa masalah difikirkannya.
“Suami hanya membawa telefon bimbit serta kad pengenalan dan saya sudah membuat laporan polis berhubung kehilangannya itu,” katanya yang berharap suami ditemui dalam keadaan selamat.
Baca Juga Di Sini: Baru Berkahwin Seminggu, Gara-gara Nafkah RM8.80 Sehari, Suami Ditinggalkan Isteri
Meminta Bantuan
Katanya, dia sudah meminta bantuan saudara serta kenalan untuk mengesan dan memberi maklumat sekiranya terjumpa suaminya itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau terlihat DJ Wong boleh menghubungi DJ Sal di talian 0135783727 atau 0134194818.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Mingguan Wanita : Semoga DJ Wong ditemui selamat dan kembali ke pangkuan isterinya. Insyallah.
Sumber : myMetro
Follow kami di :
Facebook : https://www.facebook.com/mingguanwanita
FB Grup Cerita Mak-mak Hari Ini : https://www.facebook.com/groups/ceritamakmak
Website: https://www.mingguanwanita.my/
Instagram : https://www.instagram.com/mingguanwanita/?hl=en
YouTube: https://www.youtube.com/c/MingguanWanitaOfficial/featured
Twitter: https://twitter.com/mingguanwanita?lang=en
Telegram MW: https://t.me/mingguanwanita
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI