Elyana penuhi harapan anak. Apabila doktor memaklumkan kanser dirinya berakhir pada Disember tahun lalu pemilik nama sebenar Erneelya Elyana Emrizal atau lebih dikenali dengan nama pentas, Elyana sangat bersyukur dengan nikmat yang diberikan oleh Allah ini.
Seperti sedia maklum, Elyana pernah mendedahkan menghidap kanser limfoma tahap empat dan sudah menderitai penyakit itu sejak 10 tahun lamanya.
Sinaran yang muncul juga merupakan perkhabaran yang cukup bermakna bukan saja pada diri penyanyi yang pernah popular dengan lagu, Diriku Tapak Sulaiman malah buat suami Khairul Anuar Husin dan anak mereka, Cinta Sumayyah, 11, serta Cahaya Ramadhani, 3.
Elyana Penuhi Harapan Anak
Keluarga merupakan pendorong utama Elyana selama dia bertarung melawan penyakit. Malah anak kesayangan Cinta Sumayyah juga pernah meluahkan harapan untuk ibunya menjadi normal seperti ibu orang lain.
Seperti mana yang dimaklumkan sewaktu sidang media Konsert Separuh Akhir Gegar Vaganza musim Kelapan (GV8) baru-baru ini dirinya mahu melunaskan impian yang diharapkan oleh anak kesayangannya itu.
“Saya percaya setiap apa yang kita fikir, cakap, itu semua doa.
Ads
“Jadi saya selalu impikan untuk hidup lama supaya dapat menemani anak saya sampai dia besar, sehingga ada yang mampu menjaganya sama seperti saya menjaga.
“Malah Cinta juga selalu berkata, dia berharap saya boleh menjadi ibu normal seperti ibu orang lain, iaitu ibu yang tidak sakit dan boleh menemani dia ke mana sahaja.
“Selama ini, banyak aktiviti dia terpaksa lakukan sendiri jadi dia mahu rasa seperti kawan sebayanya yang ditemani ibu,” ungkap Elyana yang masih perlu menjalani empat sesi kimoterapi bermula Februari ini.
Kunci Kesabaran, Setiap Ujian Pasti Ada Pelangi
Malah Elyana yang ditemani suami sewaktu sesi tersebut juga memaklumkan dirinya berasa sebak apabila doanya selama ini menjadi kenyataan.
Ads
“Apabila doktor maklumkan kanser saya sudah hilang, rasa tak percaya, seperti mimpi. Apa yang doakan selama ini akhinrya menjadi kenyataan.
“Saya sangat gembira, sebak. Inilah yang orang kata “sabarlah setiap ujian pasti akan ada pelangi di hadapan”
“Inilah yang pelangi yang saya nanti-nantikan selepas 10 tahun bertarung dengan kanser.
“Malah anak saya, Cinta turut sama teruja dan gembira. Sehingga ada ketika dia rasa tidak percaya serta bertanya kepada saya, sama ada betul ke saya sudah bebas kanser,” ujar Elyana.
Mingguan Wanita: Alhamdulillah mendengar perkhabaran gembira ini. MW sendiri pernah menemubual dan hadir ke rumah Elyana. Ternyata pengalaman yang dikongsi Elyana dan suami cukup membuatkan air mata menitis. Begitu tabah Elyana dan pasangan mengharungi hidup penuh dugaan ini.
Wahai Suami, Bila Ibumu Berkonflik Dengan Isteri, Ini Langkah Yang Perlu Dibuat
Konflik ibu mentua dengan menantu sudah biasa kita dengari lebih-lebih lagi dalam kalangan menantu perempuan. Isu ini menjadi antara masalah dalam rumah tangga termasuk ketidaksefahaman antara satu sama lain. Tidak dapat dinafikan setiap wanita yang telah berkahwin menginginkan hubungan yang baik dengan ibu mentua.
Bagi mereka yang mempunyai hubungan baik dengan keluarga mentua, tidak menjadi masalah. Bagaimanapun, apabila sudah tinggal sebumbung, mungkin juga krisis bersama mentua atau adik-beradik ipar duai sukar untuk dikawal.
Tapi seandainya ibu mentua ada konflik dengan menantu khususnya isteri, apa perlu suami lakukan? Menangkan emaknya atau isterinya? Atau paling tidak diamkan diri dan biar hal itu berlalu begitu sahaja. Ini penyelesaiannya kalau mentua ada masalah dengan menantu perempuan.
APA SUAMI PERLU BUAT?
Seorang suami memiliki kewajiban untuk bersikap baik kepada isterinya. Namun di sisi lain, dia juga diharuskan patuh kepada ibu atau orang tuanya. Tapi bagaimana jika ibunya berkonflik dengan isterinya? Apa yang harus suami lakukan kalau ibu dan isterinya ada konflik?
Dipetik dari About Islam, kaunselor perkahwinan seorang suami haruslah berbicara lembut dengan ibunya bagaimana hati isterinya rasa terluka dengan kata-kata yang menghina. Masa yang sama, suami juga diharuskan untuk membuat isteri berasa istimewa sambil memberikan waktu bagi ibu dan isterinya untuk berjauhan.
Yang harus dilakukan oleh suami ialah:
*Berkomunikasi dengan ibu: Suami disarankan untuk berkomunikasi dengan ibunya dan maklumkan yang hati isteri terluka dengan kata-kata menghina ibunya. Hal ini perlu disampaikan dengan baik dan nada yang lembut dan tidak menunjukkan seperti menuduh. Bila disampaikan dengan baik, ia mampu merungkai masalah sulit antara kedua belah pihak.
*Menyedarkan ibu bahawa perbuatan menegurnya salah: Kadangkala ada bahasa yang membuat banyak jiwa terluka. Walau ia tidak melukakan tangan tapi ia menyakitkan hati dan jika konflik ini berpunca dari mulut ibu, sedarkan dirinya tentang hal ini.
*Layanilah isteri dengan istimewa: Jika benar hati isteri terluka dengan kata-kata ibu mentua, suami harus berperanan besar dalam membuatkan isteri begitu istimewa di hatinya. Melalui perbuatan yang baik dan kata-kata yang manis, isteri akan merasakan suami memang masih sayangkannya dan masalah dengan ibu mentua adalah asam ragam berumah tangga. Dan semua itu akan berlalu apabila masing-masing matang dalam berbicara.
*Atur majlis ketemukan keduanya: Mengatur acara keluarga adalah sebahagian dari menyambung silaturahim untuk terus erat dan mesra. Jika ibu dan isteri ada konflik, jemputlah keduanya makan malam bersama atau pergi jalan sama-sama. Awalnya mungkin tegang tapi hati manusia sememangnya boleh berubah.
Tunjukkan yang anda hargai keduanya iaitu orang yang sangat penting dalam hidup anda dan mahu keduanya terus kekal selamanya di hati. Percayalah, kasih sayang mampu meleraikan ego seseorang.
Sumber : About Islam (ARTIKEL INI DIOLAH DARIPADA KASHOORGA)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Allahuakbar! Seorang bapa keluar membeli barang, kemudian tinggalkan anak tanpa pengawasan.” Kanak-kanak ini ditemui meninggal apabila jatuh kondominium dari tingkat 29.
Beratnya ujian. Sudah tentu sang bapa menyesal tak sudah apabila anak yang ditinggalkan apabila ditemui sudah tidak bernyawa. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Bapa Keluar, Tinggalkan Anak Tanpa Pengawasan
Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat 29 sebuah kondominium di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, polis menerima maklumat kejadian pada 2.41 petang.
“Sepasukan polis dari Balai Polis Jinjang ke lokasi dan berdasarkan siasatan awal, mangsa ditinggalkan bersendirian tanpa pengawasan di rumah dalam keadaan berkunci.
“Bapa mangsa dikatakan keluar membeli barang dan apabila pulang ke rumah, dia mendapati anaknya sudah tiada sebelum meminta bantuan pihak pengurusan untuk mencari mangsa.
“Mangsa ditemui salah seorang kakitangan pengurusan di kawasan koridor tingkat lapan dalam keadaan tidak bernyawa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beh berkata, pihak pengurusan menghubungi ambulans dari Hospital Selayang dan mangsa disahkan meninggal dunia.
Tingkap Tiada Jeriji
Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tingkap bilik mangsa terbuka dan satu kerusi berada di tepi tingkap yang tidak mempunyai jeriji itu.
“Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian.
“Siasatan di lokasi mendapati tiada unsur jenayah ditemui dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
Mingguan Wanita : Semoga tragedi ini menjadi iktibar buat kita semua. Tidak dinafikan malang tak berbau, namun selagi boleh elak janganlah dibiarkan kejadian seumpama ini berulang lagi.
Nampak macam senang, hakikatnya ujian wanita yang kahwin dengan duda itu besar cabarannya. Tak mudah untuk mereka. Selain menjaga suami, dia juga perlu berbaik-baik dengan anak tirinya.
Dan anak-anak tiri ini tak boleh disogok dengan kepura-puraan dan sikap ramah yang plastik. Keikhlasan dan luhurnya hati mendorong perasaan sayang dan suka dalam hati mereka. Sebab itulah, wanita yang berkahwin dengan duda perlu faham garis panduan ini.
5 Tip BAHAGIA Untuk Wanita Yang Kahwin Dengan Duda
Satu : Belajar Menjadi Ikhlas
Benarkan, yang paling sukar diduga adalah keikhlasan. Ia perasaan suci yang hanya mampu dinilai oleh Yang Maha Esa.
Namun, hati-hati yang suci mampu melihat sejauh mana seorang itu ikhlas atau tidak terhadap mereka. Justeru, terimalah anak-anak suami anda dengan penuh rasa cinta.
Dua : Jujur Pada Diri Sendiri
Sebagaimana anda cinta dengan suami, salurkan rasa itu pada darah dagingnya. Berikan sepenuh jiwa dan layani makan minum mereka mengikut aturan yang sepatutnya.
Anda juga perlu menjadi jujur pada diri sendiri. Agar keikhlasan itu boleh terpancar dari lubuk nurani yang ikhlas.
Tiga : Dekatkan Jurang
Bagaimana mahu menjadi rapat dengan anak-anak, cinta hati suami ini? Salah satu caranya adalah merapatkan hubungan yang mula terasa hambar.
Lakukan aktiviti bersama suami dan anak-anak tiri ketika waktu lapang. Bawa mereka bersiar atau melancong ke satu destinasi yang tenang.
Empat : Pupuk Rasa Kasih
Anda boleh juga pupuk jiwa kasih anak-anak tiri melalui solat berjemaah. Pinta suami lakukan bersama biarpun cuma dapat melakukannya ketika solat maghrib sahaja.
Selesai solat, biarkan suami memberi tazkirah diikuti oleh harapan anda sebagai seorang ibu baru kepada anak-anak suami.
Lima : Bersabar Dan Bertenang
Jika duda yang anda kahwini itu kematian isteri, anda selamat kerana tidak perlu berbalah dengan bekas isterinya. Jika bercerai hidup, bertahanlah.
Apa pun kawal diri anda dan jangan sengaja mengungkit kisah silam suami anda. Ketika bersama anak-anak, jangan ‘apikan’ anak-anak agar membenci ibu mereka. Oh! itu paling bahaya sekali.
Belajar Terima Hakikat, Anda Ibu Ekspres
1. Anak-anak merupakan permata yang paling berharga. Ibarat melentur buluh dari rebungnya, begitulah halnya dengan diri anda. Lenturlah diri agar dapat mengadaptasi suasana baru itu. Status seorang isteri sekali gus ibu ekspres kadangkala memberi bebanan yang luar biasa.
2. Paling sukar apabila anak-anak tiri sudah masuk peringkat remaja.Pendekatan menawan hati mereka tidak sama dengan cara memujuk anak kecil dengan sebungkus gula-gula. Namun, kaedahnya masih sama iaitu sentuhan emosi memainkan peranan utama.
3. Perkara utama yang boleh anda praktikkan adalah jadikan diri anda buah hati pada anak-anak tiri anda. Jika mahu diri dianggap bagaikan sahabat, teman mahupun BFF, cubalah cipta diri anda jadi sebegitu. Anda perlu jadi pendengar yang baik dan bukannya pengarah yang dibenci. Anda juga perlu tahu bagaimana mahu menjadi pembantu mereka bukannya seorang yang mudah dibuli.
4. Menasihati mereka juga ibarat menarik rambut di dalam tepung. Ia tidak meninggalkan pesanan yang berbisa. Sebaliknya jika mereka mahu berubah, mereka lakukan dengan rela. Hubungan baik anda dan permata hati suami ini pasti menyenangkan hati suami.
Suami jadi lebih sayang malah suami sendiri pasti mahu tahu rahsia anda dapat berbaik dengan anak-anaknya. Justeru jadilah ibu tiri yang lembut jiwanya namun tegas dalam setiap tindak tanduk.
Perlu Kental & Sabar Melayan Emosi Seorang Duda
Berkahwin dengan seorang duda yang sudah beranak pinak membuatkan anda perlu bekerja lebih keras untuk memenangi hati mereka. Benarkah begitu? Atau ada cara lain yang lebih relaks dan tak perlu terkocoh-kocoh merebut cinta suami yang satu ini.
Bertenang, sebenarnya tak perlu bersusah payah. Biarpun mereka ada anak-anak, andai suami sudah melafazkan kata cinta bermakna andalah pilihan utama di hati. Jaga makan minumnya dan belajarlah santuni emosinya.
Layan suami dengan perasaan kasih, jadilah isteri yang mendengar kata dan bijaksana. Anda juga perlu tahu bilakah masanya perlu bertolak ansur. Yang mana suami boleh membahagikan ruang untuk anda dan juga anak-anaknya. Jangan terlalu tamak.
Ya, anda isterinya. Namun, anak-anak juga perlukan kasih seorang ayah. Dalam masa yang sama, mereka juga perlukan belaian mesra seorang ibu. Lengkapilah hidup keluarga baru anda itu dengan kasih sayang yang tidak berbelah bagi.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!