penjaga anak

Kasihan tengok nasib anak-anak yang jadi mangsa kena pukul di taska baru-baru ini, ke mana sifat keperikemanusiaan golongan ini hilang. Kalau sebelum ini pengasuh umur 18 tahun cederakan kanak-kanak umur 2 tahun di Pulau Pinang, semalam pula viral cikgu 21 tahun dan 40 tahun pukul kanak-kanak di tadika.

Sedih tetapi pelik, tak kan lah tak terdektik langsung rasa bersalah pada anak kecil yang tak mampu nak melawan. Sebenarnya ini kes pukul dan kemalangan yang berlaku di taska mahu pun di rumah pengasuh ini sangat membimbangkan hati mak ayah yang bekerja dan terpaksa menghantar anak mereka di taska atau di rumah pengasuh.

Bukan mak ayah tak teliti dalam memilih taska untuk anak mereka, tetapi ada sesetengahnya tiada pilihan langsung. Jadi nak tak nak mak ayah yang keluar mencari rezeki terpaksa menghantar anak-anak ke taska yang tidak memenuhi kehendak mereka.

Apa yang mampu mak ayah buat, cuba semak taska dan penjaga anak-anak lebih kerap. Nak elak daripada ‘nasi menjadi bubur’, mak ayah boleh ikut tip ini…

Ini Ciri-ciri Taska Yang Bagus

1. Pastikan taska berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ini bagi memastikan taska tersebut mengikut standard yang ditetapkan dan menepati piawaian dalam penjagaan kanak-kanak.

2. Pilihlah kawasan taska yang selamat. Tengok kawasan sekeliling, adakah ia kawasan perumahan atau kawasan perkilangan? Macam mana pula dengan keadaaan jalan raya yang berhampiran dengan taska. Itu semua perlu diambil kira.

3. Ada tangga keselamatan, pintu kecemasan dan alat pemadam kebakaran. Taska perlu mendapat kelulusan pihak Majlis Negeri dan juga Bomba. Ini bagi memastikan bahawa jika berlaku kecemasan seperti kebakaran, taska berkenaan bersedia untuk mengahdapi kemungkinan.

4. Taska bersih bagi menjamin kesihatan anak-anak. Penyakit berjangkit seperti penyakit kaki, tangan dan mulut selalu berlalu di kalangan kanak-kanak. Ianya mudah merebak jika kawasan tempat anak-anak tinggal dan diletakkan tidak dijaga dengan baik dan tidak bersih.

Kalau pengasuh keluar, anak dengan siapa?

Andai kata pengasuh memasak, di mana kedudukan anak waktu itu,. Jika pengasuh mandi atau buang air, siapa yang jaga anak kita? Pengasuh boleh keluar tak? Kalau keluar, bawa anak kita ke? Kalau tinggal, siapa jaga? Semua kena ambil tahu.

Memilih pusat jagaan atau taska yang baik bukan sahaja tertumpu kepada persekitaran tetapi paling penting kena waktu nak pilih pengasuh atau guru kepada anak anda.

Ads

Ciri-ciri Penjaga Yang Baik Untuk Anak

1. Amalkan cara hidup Islam 

Ini penting kerana penampilan, perwatakan dan tingkah laku pengasuh sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada anak. Pengasuh yang baik akan sentiasa memelihara aurat dan akhlaqnya. Dia bukan sahaja memakai tudung dan berpakaian sopan yang menutup aurat, tetapi dia juga berilmu. Pengasuh boleh membaca doa-doa harian yang mudah, membaca al-qur’an dan berzikir.

2. Tahu tentang penjagaan bayi dan kanak-kanak

Ilmu Pendidikan awal kanak-kanak amatlah penting kepada seorang pengasuh. Bukan sahaja dia tahu menukar lampin dan membuat susu, malah dia juga tahu bagaimana menangani anak yang bergaduh atau mengendalikan anak yang menggigit.

3. Anak selesa dan suka penjaganya

Mungkin mengambil masa yang lama untuk anak anda mesra dan selesa ketika berada bersama pengasuh. Ingat ya, walau baik macam mana pun layanan pengasuh tetapi tetap tidak dapat menggantikan tempat seorang mak.

Ads

Selepas beberapa hari anak bersama pengasuhnya, cuba semak anak  selesa dan mesra bersama pengasuh atau tidak. Kalau anak masih tak mahu kepada pengasuhnya, ini mungkin bermakna pengasuh tidak dapat memberikan kemesraan sewajarnya dan personaliti pengasuh itu mungkin kurang baik.

4. Kasih pada anak

Awal-awal mak ayah akan dapat lihat jika pengasuh benar-benar gembira menjaga dan mengasuh anak dan anak anda juga lebih senang duduk dengan pengasuh. Silap-silap ada anak lebih manja dengan pengasuh daripada mak ayah sendiri.

5. Pengasuh tak banyak karenah

Kalau anak anda susah untuk makan, pengasuh akan cuba menarik perhatian anak dan pandai pujuk anak sampai anak-anak boleh makan. Jika anak tak mahu tidur, pengasuh akan bertanya kepada mak ayah nasihat tertentu. Berkerjasama dengan mak ayah dan melakukan pelbagai usaha dalam mengasuh anak adalah petanda bahawa pengasuh melakukan kerjanya dengan serius.

Ads

6. Faham kerja mak ayah

Pengasuh yang baik akan membuka pusat jagaan sebelum anda sampai atau memberitahu sebarang kemungkinan kepada anda seawal yang mungkin. Jika berlakunya tiada pengasuh pada satu-satu masa, pengganti akan dicari.

7.Rajin beritahu pasal anak

Pengasuh yang bertanggungjawab akan memberitahu tentang sebarang perkembangan dan apa yang berlaku sepanjang hari sewaktu di dalam penjagaannya. Mungkin dengan hanya secebis nota yang diselitkan di beg anak, mak-mak tentu rasa dihargai dan menghargai usaha pengasuh.

8. Bersih ke tidak

Kebersihan petanda kepada pengasuh yang baik. Sebagaimana anda meninggalkan anak dalam keadaan yang bersih, begitu juga anda mengharapkan pengasuh akan menyerahkan kembali anak anda dalam keadaan yang bersih tanpa meninggalkan sebarang kekotoran pada anak.

9. Anak jarang cedera dan sakit

Sudah tentu kemalangan kecil seperti terjatuh atau bergaduh dengan kawan akan berlaku. Tetapi, pengasuh yang baik akan memastikan keselamatan anak anda adalah keutamaannya. Pengasuh akan sentiasa mengawasi anak ketika bermain dan memastikan pagar sentiasa ditutup dan berkunci.

Itu serba sedikit tip yang mak ayah boleh berjaga-jaga kalau nak hantar anak di rumah pengasuh dan taska selepas ini. Semoga kejadian ini akan lebih membuka mata kita dan pihak penguasa juga. Jiran-jiran juga perlu lebih peka dan ambil tahu. Semua kena main peranan.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI