Ego dan lelaki. Apabila saya ditanya mengapa lelaki selalu tinggi egonya, saya sering menjawab yang lelaki yang hebat adalah lelaki yang dapat menakluk egonya. Manakala seorang wanita yang hebat adalah mereka yang dapat menguasai emosinya.
Ikuti perkongsian daripada Dato’ Dr. Azhar Haji Sarip, NLP Gold Master Trainer (NFNLP USA), Presiden Malaysian Academy Of NFNLP, Founder Spiritual NLP Training, juga salah seorang kolumnis di dalam Majalah MINGGUAN WANITA.
Lelaki Bijak Sembunyikan Sesuatu
Kali ini saya ingin berkongsi satu fahaman tentang lelaki yang jarang dibincangkan. Selain dari sikap ego yang sering menguasai watak seorang lelaki, ada satu watak tersembunyi yang kita sering terlepas pandang.
Kita terlepas pandang kerana seorang lelaki itu mungkin bijak dalam menyembunyikan watak tersebut atau boeh jadi ianya terlindung oleh sikap ego yang wujud dalam diri seorang lelaki.
Dalam Diri Lelaki Ada Watak ‘Budak’ Lelaki
Saya suka bercerita akan hal ini dalam beberapa program yang saya adakan. Ini kerana kita perlu memahami kekuatan dan kelemahan yang wujud dalam diri kita. Pada saya dalam setiap manusia yang digelar lelaki, wujud satu watak budak lelaki dalam dirinya. Biar sehebat mana seorang lelaki itu, biar sebesar mana tubuh badannya, tetap sahaja watak seorang budak lelaki ada dalam dirinya.
Watak seorang budak lelaki ini dapat dilihat dengan sangat jelas ketika seorang yang lelaki itu berada dalam kesedihan atau dalam kesakitan. Seorang lelaki yang sedang berada dalam kesedihan akan hilang sedihnya apabila dia dibelai dan dilayan seperti mana seorang anak lelaki.
Bila Sakit Ingin Dibelai Tapi Ego Nak Bagitau
Begitu juga keadaannya apabila dia jatuh sakit. Mereka akan menjadi manja dan mahu diberi perhatian dan tanpa mereka sedari sikap mereka menjadi seperti keanak-anakan.
Menariknya semakin berumur seorang lelaki semakin besarlah sikap budak lelaki yang wujud dalam diri mereka. Meskipun begitu, ia tidak pula mengurangkan nilai kematangan diri yang terbentuk dari pengalaman dan corak berfikir mereka.
Justeru, bagi wanita usahlah pelik jika pasangan anda semakin berumur semakin kuat pula merajuknya. Layanlah mereka sebagaimana anda melayan seorang budak lelaki yang masih kecil. Mereka perlukan perhatian pada ketika itu. Biar segarang mana pun seorang lelaki, mereka tetap sahaja seorang lelaki yang manja.
Ego Boleh Ditundukkan Dengan Kasih Sayang
Mereka tetap sahaja seorang budak lelaki yang mahu dilayan dan dibelai. Mereka mungkin budak lelaki yang degil tetapi mereka sangat mudah untuk ditundukkan. Jangan pernah tundukkan mereka dengan kekerasan. Jangan pernah tundukkan mereka dengan kedegilan. Tundukkanlah mereka dengan kasih sayang kerana ada anak yang manja biarpun tidak pernah dinyatakan dengan perbuatan mahupun perkataan.
Menariknya mereka juga cukup suka kalau dipujuk. Pujukan yang betul dapat mencairkan kemarahan mereka. Pujukan yang penuh kasih sayang akan meleburkan keegoan seorang lelaki.
Jangan Layan Marah Lelaki
Usah dilayan marah seorang lelaki kerana marahnya sama seperti marahnya seorang budak kecil yang hilang apabila diberikan mainan. Kemanjaan mereka boleh menjadi emosi yang menyeksa diri apabila seseorang itu melayan kemanjaan dengan kemarahan.
Seorang lelaki yang budiman pada saya adalah lelaki yang dapat mengawal sikap budak lelaki yang ada dalam dirinya dari membesar dan mengatasi kematangan akalnya.
Sikap budak lelaki yang ada dalam diri lelaki merupakan satu kekuatan dan kelebihan jika ia dapat digunakan dengan baik dan betul serta kena pada tempatnya. Sikap budak lelaki yang ada dalam diri seseorang lelaki jika digaul dengan kematangan akal akan menjadikan seorng lelaki itu sangat istimewa kerana dapat membahagiakan dirinya serta orang di sekelilingnya.
Namun jika mereka membiarkan budak lelaki yang dalam dalam diri mengemudi kehidupan mereka maka mereka akan melakukan kesilapan demi kesilapan. Kegelojohan dan kemanjaan yang ada sering membuatkan mereka tidak mencapai apa yang mereka inginkan.
https://www.mingguanwanita.my/umpama-mengais-sampah-bawah-tikar-ikutkan-ego-tak-mengaku-anak-oku/
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI