Sebut saja DURIAN, terbayang baunya yang menyengat namun memukau selera! Untuk peminat durian, bau durian memiliki ‘keharuman’ tersendiri.
Buah yang digelar ‘raja buah’ ini cukup diminati masyarakat Malaysia bahkan luar negara juga. Rasanya yang lemak, manis dan pahit, cukup unik hingga menjadi igauan ramai.
Selain dimakan mentah, ia turut dijadikan tempoyak, dibuat masak lemak dan macam-macam pemanis mulut. Terdapat lebih 200 jenis durian yang didaftarkan di negara ini dan yang paling mahal sudah tentulah ‘Musang King’!
Panas
Tapi, durian juga dikatakan buah yang ‘panas’, tidak sesuai dimakan oleh wanita mengandung dan orang yang berpenyakit. Benarkah?
Menurut En. Mohd Khairul Azuan Din, Pegawai Dietetik Klinikal, Jabatan Dietetik, Pusat Perubatan Universiti Malaya, tidak ada kajian tentang durian yang dikatakan ‘panas’.
” Ada yang menyatakan, bila makan durian, akan rasa panas, ia sebenarnya bergantung pada toleransi badan seseorang.
” Sebenarnya durian adalah jenis buah-buahan yang kaya potasium yang boleh membantu menurunkan tekanan darah tinggi, menurunkan kolesterol dan bagus untuk kesihatan jantung. Walau bagaimana pun, ia mesti diambil dalam kuantiti yang dibenarkan,” ujar Mohd Khairul.
Saranan Pengambilan
Menurutnya lagi, untuk individu yang sihat dan tidak mempunyai apa-apa penyakit, disarankan memakan sebanyak dua ulas setiap sajian, diambil dua atau tiga sajian sehari.
” Pada pendapat saya, masalah akan timbul apabila ia dimakan secara berlebihan. Sepatutnya makan dua ulas, tapi dimakan dua biji! Kesannya, apabila dimakan berlebihan, boleh menganggu ritma jantung.
Siapa Tak Disarankan Ambil?
Tambah En. Mohd Khairul, memandangkan durian tinggi kandungan potasium, terdapat individu yang tak digalakkan memakan durian seperti mereka yang mempunyai penyakit buah pinggang kronik dan penyakit jantung. Selain itu, tidak disarankan untuk mereka yang mempunyai kandungan potasium yang tinggi dalam darah.
” Bagi saya, tak salah kalau sekadar makan seulas dua, tapi jangan berlebihan sehingga boleh menganggu kesihatan.” Tambahnya.
Bagaimana Dengan Wanita Mengandung Dan Anak Kecil?
Jelas En. Mohd Khairul lagi, tak ada kajian yang mengaitkan wanita mengandung tak boleh makan durian.
” Tapi makan biar berpada kerana jika berlebihan ditakuti boleh menganggu kesihatan si ibu, dan seterusnya menjejaskan kandungan. Untuk anak kecil, boleh makan tapi ibu bapa kena ingat, keperluan potasium anak kecil tak sama dengan keperluan potaisum yang diperlukan oleh badan untuk orang dewasa. Durian tinggi potasium. Dibimbangi kalau anak makan banyak, ia melebihi kandungan potasium yang diperlukan oleh mereka dan seterusnya mengundang masalah lain pula.
” Menurut Institute Of Medicine, untuk mereka yang berumur 19 tahun ke atas, disarankan mengambil tidak lebih daripada 4.700mg potasium setiap hari,” akhirinya.
Memang menarik topik hari ini berkenaan ‘Raja Buah’. Jangan lupa saksikan episod ulangan Mingguan Wanita Talkshow ini di Astro Prima 105 dan Prima HD 121 pada pukul 8 malam ini. Siti Elizad dan Raden Amir akan membincangkan topik ini bersama-sama tetamu istimewa yang akan memeriah perbincangan di studio MW. Turut diadakan dua demo memasak manisan berasaskan durian.
#MingguanWanitaTV
#MingguanWanitaTalkShow
#MingguanWanita
#TemanSetiapWanita
#AstroPrima105
#PrimaHD121
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI