Syawal kelima, menjadi tarikh paling menyayat hari buat suami ini, Othman Awang, 41 apabila terpaksa menerima hakikat kehilangan isteri tercinta, Allahyarham Miss Nurul Mohd Deraman, 32 yang meninggal kemalangan motosikal di tempat kejadian.
Lebih menyayat hati, kedua anak, Muhammad Hasbullah Othman,5 dan Muhammad Hassim, 14 yang membonceng bersama ibu menyaksikan detik akhir hayat ibu mereka. Menangis keduanya di sisi jenazah ibu.
Allahyarham yang menunggang motosikal bersama dua orang anaknya ini dipercayai membuat pusingan U sebelum dilanggar sebuah kereta dari arah yang sama. Kejadian berlaku di Kampung Batu 9, Jalan Jdok dekat Tanah Merah
Tragedi kemalangan kira-kira jam 8.45 pagi itu akhirnya sampai juga ke pengetahuan suami yang ketika itu sedang berada di kedai borong miliknya di bandar Tanah Merah.
Segera dia ke tempat kejadian bila rakan maklumkan berita sedih itu.
Luluh Hati Lihat Dua Anak Menangis Di Sisi Jenazah Ibu
Sebaik sampai, tak dapat dia menahan emosi. Mengucap panjang suami ini, melihat sekujur tubuh isteri yang sudah kaku ditutup kain oleh orang ramai.
“Luluh hati ini melihat dua anak menangis di sisi ibu mereka yang tak bernyawa. Berat hati saya menerima takdir isteri kesayangan sudah pergi buat selamanya.”
“Lebih menyedihkan apabila dua anak saya terutama yang berusia lima tahun masih terkejut sambil menangis teresak-esak di samping ibunya.”
Menurut Othman, sebelum-sebelum ini tidak ada perubahan yang nyata dalam diri arwah isteri yang menunjukkan tanda-tanda dia akan pergi.
“Cuma semalam, dia ada suarakan perasaan sunyi dan bosan sebab terpaksa berada di rumah.” Malah, lebaran kali ini pun disambut sama seperti biasa. Isterinya juga sempat memohon maaf di atas kesilapan lalu.
Isteri Tak Tunjuk Tanda-tanda Akan ‘Pergi’
Kali terakhir dia dapat berjumpa dengan arwah isterinya itu pun pada awal pagi, selepas solat Subuh sebelum kemalangan. Selepas itu, dia terus bergegak ke kedai untuk bekerja.
Pastinya, kerinduannya tak berpenghujung. Terutama mengenang saat bersama arwah isteri, keramahan dan kebaikan isteri yang selama ini menjadi suri hatinya.
Jenazah isterinya, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bendang Nyor selepas Maghrib. Manakala, kedua orang anaknya itu menerima rawatan di Hospital Tanah Merah.
Berdasarkan siasatan awal yang dimaklumkan Ketua Polis Daerah Tanah Merah Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf, mangsa yang menunggang motosikal membawa dua anak dipercayai membuat pusingan U sebelum dirempuh kereta yang juga melalui arah yang sama iaitu dari Panglima Bayu ke Tanah Merah
“Mangsa membuat pusingan U dengan jarak yang sangat dekat menyebabkan pemandu kereta tidak sempat memperlahankan kenderaan lalu melanggar mangsa.
“Sebaik anggota sampai ke lokasi, mangsa didapati meninggal dunia di tempat kejadian, dua anaknya cedera manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Menurutnya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
MW : Akhir-akhir ini, berita kemalangan dengan pelbagai punca mengundang perasaan sebak bercampur baur di hati kita yang membacanya. Semoga rakyat Malaysia lebih berhati-hati di jalan raya, dan mengamalkan sikap berhati-hati, prihatin dan kekal tenang dalam pemanduan.
Al Fatihah.. semoga roh Allahyarham Miss Nurul Mohd Deraman ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.
Sumber/Foto : Harian Metro
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI