Tidak dinafikan bermain mengalakkan perkembangan sensori bagi anak-anak dan membuatkan mereka rasa gembira. Namun ramai mak ayah yang mulai bimbang nak bawa anak-anak bermain baik di taman permainan atau di kolam bola di pusat membeli belah. Banyak kejadian dilaporkan bahaya dari segi keselamatan, banyak benda tajam mahupun macam-macam penyakit boleh dijangkiti di tempat tersebut. Jadi ramai yang tertanya-tanya perlu atau tidak bawa anak-anak bermain di tempat sebegini.
Bagi mak ayah yang masih bimbang, jemput baca perkongsian daripada Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan ini sebagai rujukan;
Isu bahaya kolam bola (ball pit) ni sudah beberapa kali viral. Dari masa ke masa akan ada media laporkan ada kanak-kanak tercedera kerana benda tajam, mendapat jangkitan dari kuman, atau dicemari najis.
Sebelum saya ulas, saya rasa elok kita lihat sedikit bagaimana kolam bola ni mula-mula muncul, dan kenapa ia menjadi popular.
Kolam bola ni mula popular sekitar tahun 80an, kerana ketika itu muncul kerisauan tentang bahaya taman permainan konvensional.
Taman permainan ketika itu lazimnya terdiri daripada buaian, gelungsur, jongkang-jongkit, palang gayut(monkey bar) serta jim hutan(jungle gym). Semua di perbuat dari kayu dan besi.
Kerisauan ibu bapa ketika itu adalah pada kecederaan berkaitan trauma fizikal: patah tulang, gegeran otak, terluka akibat jatuh. Selain itu, risiko lain adalah penculikan, dan serangan haiwan.
Jadi pada tahun 70an muncul taman permainan jenis baharu, di mana ia terdiri didirikan di dalam bangunan tertutup (indoor), diperbuat daripada bahan lembut seperti plastik, getah, dan lantai dipenuhi bebola untuk mengurangkan impak jika terjatuh.
Ia dinamakan ball crawl/pit/pond, dan menjadi pilihan popular dikalangan ibubapa serta kanak-kanak. Mulai itu, mula dibina di pusat beli-belah, restoran francais, malah di taman-taman tema.
Semua orang suka kolam bola ni, malah ia juga menarik perhatian para pengkaji untuk meneliti potensi dan menilai risiko taman permainan begitu. Di sini timbul pula dua perkara.
Satu berita baik, dan satu berita tak baik.
Berita tak baik:
Kolam bola yang tidak diselenggara dengan baik kebersiham dan keselamatan nya mendedahkan kanak-kanak kepada risiko kecederaan akibat benda tajam, menjadi tempat pembiakan kuman. Ini semua kita dah tahu, kerana ia ketap viral.
Berita baik:
Kolam bola ini bagus kanak-kanak yang ada masalah perkembangan pemprosesan sensori. Ia membantu dalam kanak-kanak memahami sensori tubuh mereka. Ini tak semua faham, tapi jangan risau. Perkara inilah saya nak ulas.
Pemprosesan Sensori
Pemprosesan Sensori(sensory proscessing) adalah proses untuk mengatur semua stimulasi dari persekitaran yang diterima oleh deria, agar seseorang itu boleh menggunakan tubuhnya dengan baik dalam sesuatu persekitaran.
Kolam bola didapati dapat melatih sensori visuo-spatial, propriosepsi, ekuilibrium, dan memberi rangsangan pada penglihatan, sentuhan, serta tekanan.
◾Visuo-spatial adalah sensori berkaitan kebolehan menganggarkan kedudukan objek dalam ruang. Hanya dengan melihat kita boleh anggar jarak dan saiz objek berdasarkan benda-benda di sekitarnya.
◾Propriosepsi(proprioception) adalah sensori berkaitan kebolehan menganggarkan keberadaan dan posisi anggota tubuh di dalam ruang. Tanpa lihat kita boleh tahu tangan kita di mana dan sedang buat apa, kan?
◾Ekuilibrium(vestibular) pula adalah sensori berkaitan keseimbangan tubuh. Ia melibatkan memahami dinamik graviti, tujahan, momentun dan elemen fizik yang bertindak ke atas tubuh.
Bagi melatih sensori-sensori ini, kanak-kanak perlu berlari, melompat, jatuh, berguling, membuai, berkubang dan sebagainya. Itu naluri mereka, dan ia sebahagian daripada cara mematangkan sensori.
Macam mana pemain bola boleh buat sepakan dengan tepat ke gawang? Bagaimana pemain golf boleh pukul bola masuk dalam lubang kecil?
Kerana ahli sukan berjaya benar-benar menguasai pemprosesan sensori-sensori ini melalui latihan, dan latihan itu bermula dari umur kanak-kanak.
Kolam bola menyediakan ruang untuk aktiviti yang memberi stimulasi dan rangsangan untuk latih tiga sensori unik ini. Sebab itu, kolam bola juga dibina hospital dan pusat rehabilitasi yang merawat kanak-kanak yang kelewatan dalam perkembangan.
Antara kanak-kanak yang mendapat manfaat daripada terapi kolam bola adalah kanak-kanak autistik, cerebral palsy, serta sindrom-sindrom lain.
Perlu Atau Elak
Berdasarkan perkara ini, bila di tanya adakah kita sebagai ibu bapa perlu mengelakkan anak-anak daripada bermain di kolam bola, saya perlu beri dua jawapan.
1. YA, PERLU ELAK!
Elak kolam bola yang tidak diselenggara keselamatan dan kebersihannya dengan baik. Khuatir anak akan tercedera atau dijangkiti penyakit berjangkit.
2. TAK, JANGAN ELAK!
Ia mematangkan pemprosesan sensori, dan menjadikan kanak-kanak lebih cekap dalam aktiviti fizikal, serta meningkatkan potensi mereka.
Lazimnya kolam bola di hospital dan pusat rehabilitasi diselenggara mengikut jadual. Ada dua set bebola. Setiap kali satu set dihantar untuk dibersihkan, set simpanan akan diguna. Kolam juga dibersihkan semasa penukaran bebola.
Hal ini saya pasti. Saya pernah berkhidmat di Jabatan Rehabilitasi hospital kerajaan, dan memang ada jadual pembersihan kolam bola. Malah setelah saya buka pusat rehabilitasi sendiri, saya juga pastikan kolam bola dibersihkan secara berkala.
Apapun, lepas main di kolam bola, mandikan anak-anak.
Selain itu, ibu bapa juga boleh buat kolam bola di rumah. Gunakan kolam tiup(inflatable pool), dan isikan dengan bola. Boleh juga gunakan playpen. Bersihkan secara berkala. Maka tak ada kebimbangan, sebab kita selenggara sendiri.
OK, semoga bermanfaat!
Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Greatlife Physiotherapy & Rehabilitation
◾Penafian: saya tak larang pergi taman permainan konvensional atau kolam bola. Boleh pergi, namun pilihlah yang diselenggara dengan baik, pantau anak-anak.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat. Biarlah anak membesar dengan bermain, melalui zaman kanak-kanak dengan seronok.Bagus untuk perkembangan mereka. Paling penting peranan mak ayah memantau mereka bermain dan memilih tempat yang telah diselenggara dengan baik.
Sumber:Kamarul Ariffin Nor Sadan
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI