Lega dapat tunaikan permintaan arwah emak. Sukarelawan urus jenazah Covid-19 hadapi detik sukar bila kebumikan ibu sendiri.
Ternyata bukan sesuatu yang mudah apabila berdepan dengan kematian orang tersayang. Ibu yang melahirkan dan membesarkan kita pergi buat selamanya. Apatah lagi nyawa ibu yang disayangi diragut pandemik Covid-19.
Walaupun setiap hari berdepan dengan kematian orang lain, ianya tidak akan sama apabila kita sendiri kehilangan insan tersayang. Insan yang terlalu dekat iaitu ibu, pasti sangat menguji emosi sepanjang menguruskan jenazah emak tercinta.
Sukarelawan Urus Jenazah Covid-19
Meskipun sudah ‘lali’ menguruskan jenazah pesakit Covid-19 saban hari, namun menjadi hari berbeza dan sukar dilupakan Abdul Razak Nordin apabila perlu mengebumikan jenazah ibunya sendiri yang meninggal dunia akibat wabak itu.
Abdul Razak, 34, gagal menahan air matanya daripada tumpah sepanjang perjalanan membawa jenazah ibunya, Patimah Ibrahim, 68, dari hospital ke tanah perkuburan hingga dimasukkan ke dalam liang lahad.
Berat untuk melepaskan ibunya pergi, namun Abdul Razak reda dengan ketentuan Ilahi dan melakukan tugas mengebumikan jenazah demi menjalankan amanah bapa, Nordin Saeran, 70, dan enam adik-beradiknya yang tidak dapat hadir ke Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, di sini.
Detik SUKAR Kebumikan IBU Sendiri
Abdul Razak berkata, ibunya menghembuskan nafas terakhir di rumah dekat Seksyen 20, di sini, sekitar 11.30 malam kelmarin dan dia hanya dapat tahu mengenainya selepas dihubungi kakak ipar, Nabila Syahrain, 33.
“Abang (Zulkarnain Nordin, 41) kemudiannya bergegas membawa emak ke Hospital Shah Alam dan doktor mengesahkan kematian pada 4 pagi semalam dengan menyatakan puncanya adalah Covid-19 Pneumonia.
“Kira-kira 4 petang hari emak meninggal dunia, saya ada menghubunginya menerusi panggilan video dan nampak keadaannya yang lesu tetapi tak sangka arwah akan pergi serta disahkan positif Covid-19,” katanya.
Dapat Tunaikan Permintaannya
Bercerita lanjut, anak bongsu daripada tujuh beradik itu berkata, dia kebetulan adalah salah seorang sukarelawan Pengurusan Jenazah Covid-19 (PJC-19) jadi mendapat kebenaran menguruskan jenazah ibunya dengan dibantu lima petugas lain.
Ads
Sepanjang perjalanan ke tanah perkuburan, Abdul Razak tidak henti berdoa dan berzikir walaupun dalam keadaan berjuraian air mata.
“Arwah emak pernah menyatakan hasratnya dan harapan supaya anaknya dapat mengiringi jenazahnya ke tanah perkuburan seandainya meninggal dunia.
“Alhamdulillah, saya dapat tunaikan permintaannya malah berpeluang menatap wajahnya dan mengiringi perjalanan terakhirnya sebelum ke negeri abadi.
“Detik paling sebak dan buat saya ‘terduduk’ adalah ketika mahu memasukkan jenazah emak ke liang lahad kerana tahu itu kali terakhir dapat melihatnya,” katanya yang bertugas di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan mula menjadi sukarelawan PJC-19 sejak dua minggu lalu.
Urusan Pengebumian Dipermudahkan
Abdul Razak berkata, biarpun bapa, adik-beradik dan ahli keluarga lain tidak dapat bersama, dia ada meminta bantuan salah seorang petugas sukarelawan yang juga rakannya untuk mengaktifkan mod siaran langsung di Facebook (Fb) untuk tontonan mereka.
Menurutnya, dia bersyukur kerana urusan pengebumian ibunya dipermudahkan dengan bantuan Jais, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Hospital Shah Alam dan Pengurusan Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong yang menyediakan kemudahan van jenazah untuk ke tanah perkuburan.
“Tidak lupa dan terima kasih juga kepada pihak yang menginfaq wang bagi membiayai kos pengurusan jenazah emak walaupun saya tidak tahu siapa gerangannya.
“Saya terima pemergian emak dengan reda kerana percaya Allah lebih menyayanginya lagipun arwah sudah lebih setahun tiada dua jari kaki kanan yang dipotong akibat diabetes.
Ads
“Disebabkan penyakit emak juga, saya berusaha membantu pasangan yang berhasrat melangsungkan perkahwinan dalam tempoh pandemik dengan menjawab pertanyaan mereka di Twitter supaya Allah memudahkan urusan saya dan syukur apabila semalam, segala-galanya dipermudahkan.
“Diharap perkongsian saya ini menjadi asbab untuk kita semua ingat akan kematian, percaya Covid-19 benar dan berikhtiar melawannya dengan mengambil suntikan vaksin,” katanya.
Mingguan Wanita : Bila kita memudahkan urusan orang lain, insyallah Allah akan memudahkan urusan kita. Semoga arwah di tempatkan di kalangan orang beriman. Al-Fatihah.
Elak fitnah & salah sangka Mas Anizan kini ibu tunggal “suratan takdir. Allah tentukan segalanya”. Jodoh dan pertemuan semuanya merupakan ketentuan oleh Allah S.W.T yang tidak mampu untuk kita duga.
Begitulah yang diakui oleh pelakon cantik popular era 1990-an, Mas Anizan apabila mengesahkan dirinya sudah bercerai.
Elak Fitnah & Salah Sangka Mas Anizan Kini Ibu Tunggal
Seperti mana yang diluahkan menerusi sebuah portal berita, Mas Anizan membuat pengakuan tersebut kerana tidak mahu ada salah faham. Bukan itu saja dirinya juga mahu mengelak dari fitnah memandangkan dia kini aktif berlakon.
“Pada mulanya saya belum bersedia untuk berkongsi.
“Namun, kerana saya hendak mula berlakon, jadi lebih baik saya berterus terang.
“Saya tidak mahu timbul salah faham dan fitnah pula nanti di lokasi penggambaran.
“Jadi, lebih baik saya membuka mulut, cuma saya memilih untuk tidak berkongsi butir lanjut kerana tidak mahu mengguris hati mana-mana pihak.
“Apa yang terjadi adalah suratan takdir.
“Allah yang menentukan segalanya,” kongsi wanita berusia 48 tahun ini.
Lebih Selesa Tidak Berkongsi Identiti Bekas Suami & Tarikh Perceraian
Wanita yang peramah ini juga sebelum ini memilih untuk tidak berkongsi identiti bekas suaminya. Malah dia juga tidak mendedahkan tarikh perceraian mereka.
Kisahnya mula diperkatakan apabila bekas suaminya tidak kelihatan pada majlis pernikahan anak sulungnya, Mas Aliza, baru-baru ini.
“Ajal maut semuanya ketentuan Allah, jadi saya sendiri tidak berani mengulas lanjut mengenai hati tertutup dan sebagainya.
“Semestinya jika berkahwin kita berharap bahtera yang dibina berkekalan hingga akhir hayat.
“Tiada apa lagi sebenarnya yang ingin dipanjangkan kerana kisah perceraian ini sudah lama selesai.
“Saya tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan kerana itu saya memilih mendiamkan diri selama ini,” akhirinya.
Seperti yang diketahui Mas berkahwin dengan ahli perniagaan dari Kuala Lumpur itu pada 2012. Perkahwinan pertamanya dengan ahli perniagaan Allahyarham Datuk Ali Bapoo pada 1993 dikurniakan dua anak iaitu Mas Aliza dan Muhamad Masli Daniel.
Ali meninggal dunia pada 2008 dan menerusi perkahwinan kedua, Mas dikurniakan seorang anak perempuan, Ariana Marissan yang kini berusia tujuh tahun.
Teguran terbuka Liza Hanim terhadap usahawan kontroversi menjadi perhatian ramai terutamanya para netizen di media sosial.
Seperti mana yang umum ketahui, sebelum ini telah tular video tindakan seorang usahawan kontroversi yang bertindak menyusukan anak di tempat awam secara terbuka.
Teguran Terbuka Liza Hanim
Liza yang juga penyanyi lagu Andai Aku Bersuara serta ibu kepada lima orang anak itu menerusi hantaran di akaun rasmi Instagramnya telah menyuarakan pendapat tersendiri tentang isu tersebut.
“Saya terpanggil untuk menyuarakan pendapat. Baru-baru ini ternampak gambar seorang usahawan menyusukan anak depan khalayak ramai dan ambil gambar.
“Sebagai seorang ibu yang menyusukan anak, saya sepenuhnya menyokong usahawan ini dalam breastfeeding journey (kisah penyusuan badannya).
“Namun, sebagai seorang saudara dalam Islam, saya juga mohon tolonglah jaga adab ketika menyusu di khalayak ramai.
Aurat Harus Dijaga
“Saya sendiri pernah susukan anak di mana-mana sahaja. Malah pernah satu ketika di tepi jalan di bandar Seoul, Korea dan saya juga merakamkan gambar.
“Tetapi ingatlah, kita harus menjaga adab. Aurat harus dijaga. Ini bukan masalah saya berhijab dan dia free hair (tidak bertudung). Cukuplah jaga kehormatan kita sebagai wanita Islam dan ibu.
“Jagalah kehormatan kita sebagai wanita. Jaga agama kita Islam. Saya bersuara untuk mengingatkan diri sendiri juga,” luah Liza Hanim.
Masih belum terlambat untuk mengucapkan salam takziah buat selebriti Linda Rafar dan Diana Rafar atas kematian ibunya, Rasimah Abd Rahman di Hospital Shah Alam kira-kira pukul 9.50 malam, pada hari Jumaat lepas.
Mak Linda Dah Pergi
Arwah yang berumur 74 tahun, meninggal dunia akibat jangkitan kuman yang merebak ke dalam darah. Dan beberapa jam sebelum kematian ibunya, Linda berkongsi kisah Allahyarham berada di rumah pada sebelah pagi namun dimasukkan ke hospital semula pada waktu malam kerana kesihatannya merosot.
Al-Fatihah.. Ya Allah.. Ampunilah Ratu Hatiku Rasimah bt abd rahman Limpahkanlah rahmat ke atas roh nya.. Muliakanlah tempatnya.. Luaskanlah.. Terangilah.. Dan Harumkanlah persemadiannya.. Mandikanlah dia dengan air salju dan embun.. Sucikanlah dosa dan segala kesalahan sebagaimana pakaian disucikan dari najis.. Gantikan untuknya rumah yang lebih baik dari rumahnya.. Gantikan untuknya keluarga yang lebih baik dari keluarganya.. Gantikan untuknya (pasangan) yang lebih baik dari pasangannya.. Tempatkanlah dia disisi orang-orang yang kau redhai.. Lindungilah dia dari azab kubur dan azab api neraka.. Masukkanlah dia ke dalam syurgaMasukkanlah dia ke dalam syurga mu ya ALLAH… ~ Aamiin ya robbal alaamiin ~
Si ibu yang berusia 74 tahun akhirnya menghembuskan nafas terakhir dan Linda memohon agar Allah mengampuni dosanya dan jadikan syurga sebagai ganti tempat tinggal ibunya itu.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!