Setiap kali dalam selepas solat, mohonlah agar tuhan pertemukan kita dengan jodoh yang baik. Tapi jangan pernah lupa untuk selitkan juga doa agar dijodohkan dengan ibu mentua yang baik lagi superb.
Sebab kelak, anda bukan semata mengahwini pasangan anda. Tetapi akan juga bercampur gaul dan belajar beradaptasi dengan ibu mahupun ayah mentua anda.
Dengar pesanan yang dikongsikan Firda Ashaary ini. Agar kerukunan rumahtangga itu jadi milik anda dan pasangan.
Betul kawan-kawan.
Bila sebut tentang jodoh, pasti ramai yang berdoa dipertemukan dengan jodoh yang baik. Lelaki yang baik, penyayang dan bertanggungjawap. Kalau boleh nak yang hensem dan kaya juga.
Tapi ramai yang lupa untuk mohon dikurniakan IBU MERTUA yang baik dan diterima oleh seluruh ahli keluarganya. Ramai yang lupa semua lelaki itu pasti ada keluarga, lain lah dia anak buluh betung. Kalau lelaki tu baik mana sekali pun, tapi mak dia krik2. Makan hati jugak korang nanti, sebab kena ingat syurga dia ada pada mak dia. Bukan bawah tapak kaki isteri.
Ingat gais,
Kita berkahwin bukan hanya tentang kita atau tentang cinta. Tapi ianya penyatuan 2 keluarga besar, bukan hanya sebelah pihak sahaja atau hanya kita dan dia. Itu asas dalam membina sebuah keluarga dan kehidupan yang bahagia.
Ads
Cinta sahaja jaranglah dapat bertahan bila diduga dalam rumahtangga. Namun jika kita hidup dalam 2 buah keluarga besar yang saling hormat menghormati, ambil berat sesama saudara, berkasih sayang dari yang muda hingga yang tua. InshaAllah semua akan terasa mudah dan indah. Apa juga yang datang pasti tidak akan goyah.
Hati pun tenang hidup sehari-hari, tiada wabak iri atau sengketa. Biar susah cari duit takpa, jangan susah hati. Penyakit hati ni, amatlah susah dikawal jika tidak dibendung dari awal.
Bila dibiarkan ia makin merebak, jangan hairan jika cinta juga bakal sujud mengalah. Lalu robohlah mahligai dibina atas dasar cinta itu. Hanya kerana penyakit hati.
Ads
Sedih kan?
Jadi pada kawan-kawan yang masih mencari jodoh, yang single dan bujang tu aku nasihatkan mulai hari ni, mohon tukar doa korang ehh?
Mintak lah dipertemukan jodoh yang baik, pakej sekali dengan MAK MERTUA yang superb dan seluruh ahli keluarga yang sempoi.
Suami ini sedih dan menyesal kerana kasih sayangnya disia-siakan oleh isteri tersayang. Akhirnya mereka memilih cerai sebagai jalan terakhir. Ikuti luahannya kepada Mingguan Wanita.
Sebagai lelaki normal, Sham juga ingin berkahwin dan membina keluarga sendiri. Namun, ditakdirkan dia sukar mendapat jodoh sehinggalah usianya mencecah 38 tahun. Itu pun ahli keluarga yang carikan calon.
Tuhan saja yang tahu betapa gembiranya hati Sham apabila mak long memberitahu lamarannya telah diterima. Mak long merupakan ibu saudara yang menjaganya sejak kecil setelah ibu kandungnya meninggal dunia. Ayah pula berkahwin lain dan tidak pernah lagi peduli tentang dirinya.
“Mak long harap kau bina keluarga bahagia nanti ye. Mak long sentiasa doakan kau bahagia,” ujar mak long.
“Baik mak long. Sham akan cuba untuk menjadi suami dan seorang ayah yang baik kelak.” Balas Sham. Dia memang menyimpan azam untuk membina keluarga yang bahagia dan menjadi seorang ayah yang baik dan bertanggungjawab. Tidak seperti ayahnya.
Akhirnya Sham telah selamat melangsungkan perkahwinan dengan Mastura, seorang guru, gadis yang berusia pertengahan 30-an. Sham sebenarnya seorang sangat kreatif dan berjiw seni. Dari dulu dia membantu mak long menjalankan kerja-kerja membuat pelamin, hantaran dan sebagainya.
Dia juga mampu menjahit dan mempunyai kedai jahit sendiri. Sham kuat bekerja dan tidak hairan jika dia mampu membeli rumah dan kereta. Pendek kata, Sham mampu memberikan kesenangan untuk keluarganya.
Majlis pernikahan Sham berlangsung meriah di sebuah dewan di pekan kecil tempat tinggalnya. Pelamin, hiasan dewan dan hantaran semua dibuat sendiri oleh Sham. Dia ingin yang terbaik untuk majlis perkahwinannya.
Selepas berkahwin, Mastura tinggal di rumah yang dibeli Sham dan dia berulang alik ke sekolahnya kira-kira 40 minit. Sham melayan Mastura bagai menatang minyak yang penuh. Baju-baju kerja Mastura juga dijahit sendiri dengan pelbagai fesyen terkini.
Sham juga mengajar Mastura untuk menjaga wajah dan tubuh. Dahulunya Mastura yang berpenampilan ringkas mula pandai bergaya dan makin cantik. Sham pula rasa gembira dan tidak kisah bila ada yang mempertikaikan tindakannya itu. Tidak takutkah nanti jika Mastura diambil orang? Bagi Sham, dia yakin Mastura akan setia dan sayang padanya walau pun mereka berkahwin atas aturan keluarga.
Selepas tiga bulan, Mastura hamil dan Sham adalah orang yang paling gembira. Mastura semakin dimanjakan. Segala kehendak dituruti. Akhirnya Mastrua selamat melahirkan sepasan bayi kembar. Sham sendiri yang menjaga Mastura sepanjang tempoh berpantang dan sanggup menjaga bayi kembarnya sendiri. Walau penat tapi dia bahagia kerana Tuhan telah makbulkan doanya untuk memiliki sebuah keluarga.
Mastura kembali ‘pasang badan’ selepas habis berpantang. Sham tidak kisah malah menggalakkan asal tidak seksi. Anak-anak juga Sham yang jaga memandangkan dia bekerja sendiri.
Ternyata kebebasan yang Sham berikan kepada Mastura telah disalahgunakan. Satu hari Mastura meminta izin untuk bermalam di rumah rakannya kerana banyak kerja yang harus diselesaikan. Sham mengizinkan tanpa banyak soal.
Apabila Mastura pulang keesokan harinya, dia kelihatan biasa dan sibuk melayan si kembar. Cuma Sham hairan mengapa Mastura memakai tudung seharian berada di rumah. Lewat petang, Sham pura-pura tidur di dalam bilik bersama si kembar. Mastura membuka tudung dan bersiap hendak mandi. Kuasa Tuhan, Sham terpandang sesuatu yang amat memeranjatkannya. Ada beberapa kesan lebam di leher isterinya! Sham terus bingkas bangun dan Mastura terperanjat besar. Tanpa berkata apa-apa Sham hanya mampu menuding jari ke leher Mastura.
Tiba-tiba saja Mastura terduduk sambil menangis. Dia sedar kecurangannya telah terbongkar. Sham menelefon mak long dan berapa orang ahli keluarga lain. Malam itu juga Sham bertanya kepada Mastura bersaksikan mak long dan yang lain. Mastura mengaku dia telah menjalinkan hubungan sulit dengan seorang lelaki dan mereka sudah terlanjur. Sham hampir pitam mendengarkan pengakuan Mastura.
Kata Mastura, dia sebenarnya malu apabila mengetahui suaminya seorang lelaki yang lembut. Sebab itu dia tidak pernah kenalkan Sham kepada rakan-rakannya. Bahkan, katanya kalau dia tahu Sham begitu, sudah pasti di menolak untuk dijodohkan dulu. Mastura mengaku tidak pernah ada rasa sayang pada Sham. Hanya ada rasa simpati kerana Sham teramat baik baginya.
Dipendekkan cerita, talak digugurkan malam itu kerana Sham tidak sanggup menerima kecurangan Mastura. Apatah lagi sedar Mastura tidak pernah sayang padanya. Atas persetujuan bersama, anak-anak diletakkan di bawah jagaan Sham.
Tiga tahun berlalu, Sham masih belum berjumpa pengganti. Namun dia bahagia dengan putera puterinya yang makin membesar. Merekalah yang menjadi keutamaan. Namun jauh disudut hati, dia tetap seorang lelaki yang inginkan belaian seorang isteri. Luarannya dia lembut, namun jiwanya lelaki sejati…!
Berbanggalah bila kerjaya anda adalah seorang suri rumah tangga. Ia umpama sebuah kerjaya profesional. Siapa kata suri rumah tak boleh jadi profesional? Tak semestinya anda perlu bekerja baru boleh dikatakan profesional. Tak semestinya juga anda perlu punya diploma atau ijazah kemudian tinggal di rumah menjadi suri rumah, baru boleh dikategorikan sebagai profesional.
Suri rumah juga adalah satu kerjaya yang amat mencabar malah lebih mencabar daripada semua kerjaya yang ada walau hakikatnya anda tidak diberikan sejumlah pendapatan bagi hasil kerja anda pada setiap hujung bulan.
Malah, hasil kerja anda adalah asas utama kepada setiap pembangunan negara. Malangnya, tidak ramai yang sedar tentang hakikat ini termasuk mereka yang memegang jawatan suri rumah.
Perbincangan saya kali ini adalah untuk menyedarkan kita semua tentang betapa pentingnya tugasan seorang suri rumah dan betapa suri rumah juga adalah satu kerjaya profesional dan insya-Allah, saya akan berikan beberapa panduan untuk anda mencapai tahap profesional tersebut.
Moga para isteri suri rumah malah suami yang punya isteri sebagai suri rumah, lebih menghargai diri sendiri dan pasangan anda. Perkara paling utama ialah anda perlu berbangga dengan kerjaya anda sebagai suri rumah.
Rata-rata wanita yang saya jumpa semacam malu bila memperkenalkan diri sebagai suri rumah. Kenapa perlu malu? Anda sepatutnya berbangga kerana anda adalah pemangkin kepada segala pembangunan yang ada.
Mungkin sebelum ini anda tidak sedar tentang perkara ini dan kini anda telah tahu maka mulai hari ini, tanamkan rasa bangga di dalam diri kerana memegang jawatan sebagai suri rumah.
Perkara kedua; lakukan segala kerja dengan rasa rela dan gembira. Saya faham, kerjaya sebagai surirumah tak kenal erti rehat apatah lagi erti tamat. Bak kata Labu dalam cerita Labu Labi: “selagi tak tutup mata, kerja kerja kerja…”.
Saya pernah kendalikan beberapa kes yang melibatkan suami yang tak nampak sumbangan isteri yang bekerja di rumah menguruskan rumah tangga dan anak-anak. Bagi golongan seperti ini, isteri hanya tau goyang kaki, duduk rumah tonton televisyen dan makan itu ini sepanjang hari.
Jika anda tergolong dalam kumpulan tersebut, saya cadangkan agar anda berikan satu hari cuti kepada isteri anda. Hanya satu hari!! Anda akan tahu apa sebenarnya tugas isteri anda di rumah. Saya masih ingat cerita sahabat saya, rakan sepengajian di UM dan kini adalah seorang suri rumah.
Satu hari sahabat saya ini demam teruk. Masuk hari kedua, suami sahabat saya meluahkan isi hatinya agar isterinya itu segera sihat sebab tak larat melihat keadaan rumah yang tak terurus dan bimbang, si suami pula yang akan sakit teruk.
Di samping itu, anda perlu jaga penampilan diri. Siapa kata anda tak boleh bersolek jika di rumah? TIdak ada salahnya anda memakai pakaian yang kemas dan cantik untuk lakukan kerja-kerja rumah. Buang prinsip “duk rumah jer, tak per!!” sebaliknya tanam prinsip, “kemas dan cantik walau di mana berada dan bila-bila masa”.
Saya teringat luahan hati seorang suami, dia tak suka berada di rumah waktu cuti sebab terpaksa melihat isterinya yang hampir menyerupai hantu dengan pakaian selekeh dan rambut yang tak terurus. Jika sedemikianlah penampilan anda, jangan bising dan kecoh jika suami cari lain kat pejabat.
Perkara paling penting yang perlu setiap suri rumah lakukan bagi memantapkan keprofesionalan kerjaya anda ialah anda perlu belajar dan mengajar. Tak ada masa? Tak cukup wang? Saya tak mintak anda ikuti kursus-kursus kat kolej.
Anda boleh belajar daripada rancangan televisyen, rancangan radio malah anda sekarang ini kebanyakan rumah ada komputer dan internet, gunakan peluang tersebut untuk belajar. Memang kerja anda banyak dan tak habis-habis namun anda perlu bijak menguruskan segala kerja anda.
Anda juga perlu ajar anak-anak menguruskan keperluan mereka sendiri. Contoh paling mudah, ajar anak-anak mengemaskan semula mainan selepas selesai bermain, kemaskan bilik tidur dan ajar anak-anak mengangkat pinggan sendiri ke sinki. Bila dah besar sikit, ajar pula untuk mencuci.
Bila anda bijak mengatur setiap keperluan dan pengurusan rumah tangga dan anak-anak, anda bukan saja dapat memudahkan segala kerja anda sebaliknya anda menyediakan anak-anak anda menjadi seorang yang bertanggungjawab. Malah, anda boleh lakukan kerjaya sampingan untuk tabungan anda sendiri dan boleh juga membantu kewangan suami.
Ingat!! Berbanggalah dan tingkatkan keprofesionalan anda sebagai surir umah. Mak saya juga seorang suri rumah dan jika mak saya boleh, anda juga pasti boleh!!
Sumber artikel: Puan Suzana Ghazali, Perunding Psikologi Keluarga & Guaman Syarie, juga penulis di dalam majalah MINGGUAN WANITA http://bersamasuzana.blogspot.com
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!
Mak ayah mana yang tak risau kalau anak-anak susah dibentuk dan degil bila dinasihati. Bahkan lebih teruk bila terlibat dengan gejala yang tak elok termasuk jenayah!
Kadangkala sukar nak percaya apabila melihatkan kes jenayah yang melibatkan anak-anak yang masih lagi di bawah umur. Mengapa mereka boleh bersikap sedemikian sedangkan jiwa mereka sepatutnya masih lagi suci, tanpa sebarang noda dan dosa.
Apabila kita diuji dengan sikap anak-anak yang nakal, ia sebenarnya adalah teguran dari langit! Masyarakat melihat isu ini berpunca daripada kegagalan institusi keluarga dan ia telah mengajar kita satu hikmah yang besar.
Ikuti perkongsian daripada Dato’ Dr. Haji Juanda Haji Jaya, Perunding Undang-Undang Keluarga Islam, juga kolumnis di dalam majalah Mingguan Wanita.
Ramai mak ayah berasa sudah cukup baik dalam mendidik anak, padahal amat mengecewakan! Ambil gambar anak, letak dalam facebook kemudian tulis segala pujian setinggi langit kononnya aku ayah ibu mithali padahal bawa anak ke masjid pun setahun sekali. Bagaimana boleh kita terlepas pandang tentang hak-hak anak yang belum mampu dilunaskan? Bukan setakat makan, pakai, tempat tinggal, sekolah sahaja bagaimana dengan hak-hak anak yang lain? Hak mendapat bimbingan agama, hak untuk dihidupkan jiwanya?
Mak ayah tiada masa untuk anak, satu cabaran zaman kini yang ramai tak insaf lagi! Mak tidak lagi dilihat sebagai orang penting dalam mendidik anak, kerana menyerahkan sebahagian masa anak kepada sekolah, penjaga di rumah jagaan anak atau orang gaji. Kerjaya janganlah menjadi penghalang untuk menyentuh ke dasar hati anak, kerjaya seharusnya menjadikan mak sentiasa insaf dan takut berdosa kepada anak.
Ayah amat memalukan perangainya, semakin tidak berfungsi dalam keluarga. Sudahlah isteri ikut membantu mencari wang membayar bil-bil yang tak sanggup suami bayar sendirian dibebankannya juga isteri dengan seluruh kerja-kerja mengurus rumah dan anak, sehinggakan sakit penat isteri pun tidak didengar. Bagaimana isteri boleh membahagi masanya untuk menghidupkan jiwa anak jika nak hidupkan api di dapurpun suami tak boleh tolong?
Semua serah pada isteri, jika anak bermasalah isteri juga yang salah lalu apa fungsi suami dan ayah? Apakah suami-suami sekarang sudah hilang kejantanannya kerana tak sanggup pikul beban rumah tangga bersama isteri? Betapa tidak malunya suami berperangai begini!
Menjadi mak ayah bukannya senang, ia kerjaya yang amat mencabar! Pulangannya amat besar, kebahagiaan yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Anak yang soleh menjadi penenteram hati kita, di dunia menjadi penyejuk mata dan di akhirat menjadi pemberat timbangan amal soleh mak ayahnya.
Jangan malu jika isteri tidak bekerja, kerana kerjaya mendidik jiwa anak lebih mulia. Tetapi tak mustahil, ibu-ibu yang menjadi suri rumah tidak juga pandai mendidik anak-anak dengan baik. Masa dihabiskan untuk chatting, tengok drama tv, sibuk mengurus masalah kawan-kawan, sibuk dengan hobi sendiri, anak-anak terabai juga akhirnya.
Dua kali rugi, rugi tiada karier dalam kerjaya dan pencapaian anakpun tidak menjadi! Ramai ibu-ibu yang bekerja hanya boleh berjumpa anak setengah hari saja, tapi mereka isi masa begitu berkualiti, mereka tidak hampakan anak bila bersama, tidak sibuk dnegan telefon, tidak bawa emosi negatif dari pejabat bila berjumpa anak, tidak libatkan anak dengan kesilapan sendiri yang dibawa dari luar rumah, ibu-ibu ini begitu bijak menguruskan jiwa anak dan menghidupkannya dengan nilai-nilai positif, menanamkan benih-benih iman setiap kali bertemu muka. Senyuman ibu itu menghantarkan nilai positif pada anak, ia boleh menyuburkan iman, apatahlagi jika si ibu pandai memngambil hati, memberi kata semangat dan motivasi.
Tetapi malang jika mak ayah malas memahami perasaan anak, bagaimana mahu bercakap lembut sedangkan ayah selalu tengking mak, ayah tak hargai mak, ayah jarang memuji mak? Bagaimana mak mahu memahami emosi anak jika ayah tak sudi berkongsi rasa dengan mak?
Tapi kita tidaklah menyalahkan suami sebulat-bulatnya, dia pulang pun kadang-kadang membawa emosi yang luka kerana dia manusia biasa. Tetapi janganlah tiada usaha untuk mengubat emosi keluarga, bermula daripada mak ayah kemudian ubati juga jiwa anak-anak! Mak ayah perlukan suara Allah untuk menghidupkan jiwa, Allah itu Maha Lembut, berlembutlah! Bukan bermakna tiada peraturan tetapi ajar dengan cara membuka ufuk pemikiran anak, menyoal dan memberi kefahaman dengan ilmu supaya ilmu itu boleh melembutkan hatinya.
Ramai mak ayah yang menganggap biarlah anak belajar semua tentang kehidupan, kebaikan dan kejahatannya tak payah dikongkong dan dijaga sangat. Mereka kata, kami dulu tak juga emak ayah jaga dengan sempurna tapi menjadi juga sebagai manusia. Jangan dicabar ujian Tuhan, anak itu ujian dari- Nya kalau rasa berani sangat hendak diuji dengan kejahatan anak sila abaikan agama dari jiwanya. Emak ayah kita, Allah uji dengan sedikit ujian, kita belum tahu lagi! Jangan berani sangat minta Allah uji lebih dari emak ayah kita! Aduhai ibu bapa, tengoklah muka anak kamu berdua. Dengarlah teguran dari langit!