
Selama ini macam mana cara mak-mak lerai jagung terutama bila nak buat bubur. Cungkil satu-satu guna pisau, atau lurutkan saja dengan pisau. Cara pertama itu, akan buatkan tongkol keras ikut sekali. Cara kedua pula buatkan isi manis jagung separuh terbuang.
Haa.. cara yang diajarkan oleh peniaga jagung ini memang mudah dan tak ambil masa yang lama pun. Kalau nak buat bubur jagung ke, corn in a cup ke, popcorn ke memang tak perlu susah hatilah.
Mana yang ada anak-anak tu, boleh ajak anak terut serta melerai.. memang boleh jadi aktiviti seronok ketika di dapur. Ini pun cara nak bagi anak seronok makan. Bila mereka sama-sama bantu mak sediakan bahan masak.
Cara Mudah Lerai Jagung
1. Pastikan ada screwdriver dan jagunglah ya.
2. Belah jagung kepada dua bahagian.
3. Cungkil jagung dengan srewdriver tadi.
4. Cungkil sampai jadi kecil-kecil macam gini.
5. Jagung sedia dileraikan. Tolak saja dah boleh lerai dengan cantik. Anak kecil pun akan berebut-rebut buat benda ni. Sebabnya seronok.
6. Taraaaa.. cantikkan hasilnya. Ok.. dah boleh rebus buat corn in a cup. Atau jemur biar kering dan jadikan popcorn.
Baca sini : Cara tanam jagung manis tepi rumah, rasa macam dari Cameron, walhal benih kedai eco.
MW : Mudahkan rupanya cara nak leraikan jagung ni. Bolehlah mak ayah mencubanya ya.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
’10 Beradik Konvo UIAM’ Inilah Hebatnya Didikan Cara ‘Old School’ Mak Ayah

Isi Kandungan
ToggleTular kisah hebat ini mengenai kejayaan 10 orang adik beradik yang kesemuanya graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dari Kota Bharu, Selangor, Negeri Sembilan Kuantan dan Kuala Lumpur.
Sama-sama turun dan memberi kenangan terindah buat mak dan ayah mereka, sempena majlis konvokesyen adik bongsu yang ke-10. Catatan, Dr Abdul Rahman Fauzi Al Hafiz di facebook miliknya berkongsi rahsia ibu dan ayah mendidik mereka dengan style ‘old school’ hingga berjaya kesemua anaknya.
Siapa Mak Ayah Di Mata Kami
Saya tak sangka gambar kami adik beradik 10 orang memakai robe UIAM yang saya upload semalam menjadi tular dan mendapat perhatian pihak UIAM. Ramai yang mengucapkan tahniah, tak kurang juga yang minta kongsi tips bagaimana cara mak ayah kami mendidik kami.
Jadi in sha Allah saya akan cuba kongsi sedikit sebanyak tentang siapa mak ayah di mata kami.
Memandangkan saya merupakan anak kesembilan, mungkin banyak saya akan cerita berdasarkan apa yang saya tahu dan dengar daripada abang-abang dan kakak saya sahaja.
“Ayah kami, Ir Haji Fauzi bin Abdullah merupakan seorang jurutera sivil graduan University of Manchester manakala mak, Wan Jamaliah binti Megat Hashim pula seorang suri rumah.”
Pertama : Ayah Didik Cara Old School
Didikan ayah memang jenis style ‘old school’ sikit. Ayah merupakan seorang yang sangat tegas, berdisiplin dan tidak boleh berkompromi terutamanya perkara-perkara berkaitan prinsip agama. Ayah awal-awal dulu tersangatlah tegas dan garang. Saya yang last-last ni tak merasa sangat zaman awal didikan ayah.
Kedua : Ayah Cukup Jaga Setiap Rezeki Yang Masuk, Tak Berhutang Elak Riba
Menurut kakak, ayah sangat mengambil berat tentang didikan agama, pergaulan, pemakaian dan pemakanan kami. Bahkan ketika zaman sistem perbankan Islam belum ada, ayah tidak pernah berhutang untuk membeli kereta atau rumah kerana ayah tidak mahu anak-anak disuap daripada hasil riba. Begitulah betapa telitinya ayah dalam membesarkan kami.
Ketiga : Anak-anak Mengaji Al Quran Di Rumah, Hafal Surah Al Kahfi
Pendidikan agama sangat ditekankan sejak dari kecil lagi. Ayah sendiri yang mengajar abang dan kakak kami untuk mengaji Al Quran di rumah dan kemudiannya diteruskan oleh kakak kami Maryam Fauzi yang akan mengetuai adik beradik lain mengaji Al Quran setiap kali selepas maghrib. Beliau siap buat jadual silibus khas untuk adik-adik yang lain capai. Ada target.
Setiap malam Jumaat pula kami akan duduk bersama-sama membaca surah Al Kahfi beramai-ramai. Dan tidak salah saya rasa kalau saya katakan adik beradik kami hafal surah Al Kahfi sejak sekolah lagi kerana amalan ini! Manakala setiap pagi hujung minggu, kami diwajibkan untuk membaca al-ma’surat beramai-ramai sampai habis.
Keempat : Anak-anak Dihantar Ke Sekolah Agama
Kami semua dihantar ke sekolah agama sejak sekolah rendah lagi kecuali abang dan kakak-kakak yang atas kerana masa tu sekolah rendah agama mungkin belum ada.
Yang lain dihantar bersekolah di Sekolah Rendah Islam Aman (bawah kelolaan MUSLEH) manakala sekolah menengah pula kami semua dihantar belajar di sekolah Maahad Muhammadi Kota Bharu, sekolah kelolaan kerajaan negeri Kelantan. 3 orang daripada kami dihantar belajar tahfiz di Darul Quran dan saya merupakan salah seorang daripadanya.
Kelima : Sejak Kecil Anak Dah Kena Berdikari
Ayah dan mak banyak mengajar kami berdikari sejak kecil. Kerja rumah, belajar dan kebersihan ayah akan selalu pantau. Kalau kat rumah ayah memang tak bagi kami membazir masa. Tidur selepas subuh pun tak boleh. Buat la apa sahaja. Baca buku, tolong buat kerja rumah, memasak dan sebagainya. Janji jangan membazir masa. Pelajaran pula ayah dan mak akan pastikan kami boleh fokus sendiri tanpa disuruh-suruh.
Keenam : Mak Ayah Jadikan Tahajud Dan Qiyamullail Rutin Harian
Ayah dengan mak memang sangat rajin beramal. Tahajud dan qiyamullail sudah menjadi rutin biasa. Pergi mana-mana, solat berjemaah subuh dan baca ma’surat memang tak pernah sekali pun tertinggal sepanjang saya kenal ayah!. Ayah akan pastikan juga untuk solat berjemaah walaupun hanya di rumah bersama keluarga.
Ayah dan mak selalu berpesan, pergi mana-mana pun, jaga imej Islam dan keluarga. Solat dan al Quran jangan pernah lupa. Hidup ini tak kekal lama. Sentiasa jadi yang terbaik dalam bidang kita dan bermanfaat pada orang, walau ke mana pun kami dicampak. Apabila tahu cerita kami tular, ayah hanya berpesan supaya gunakan platform yang Allah bagi ini untuk berdakwah kepada orang lain.
Ketujuh : Dalam Tegas, Mak Ayah Kami Sangat Penyayang
Begitulah serba sedikit tentang mak dan ayah kami. Nampak saja tegas, tapi sangat penyayang. Kami sangat-sangat bertuah kerana dilahirkan dan dibesarkan dalam suasana yang mementingkan Islam sebagai cara hidup tanpa meminggirkan urusan dunia.
Ayah dan mak meninggalkan satu amanah yang besar untuk kami pikul. Agar anak cucu mak ayah, terus menerus mendidik generasi akan datang, menjadi manusia yang berguna khususnya untuk agama.
Lastly kenapa memilih UIAM bukan institusi pengajian lain? Itu kena tanya ayah. Sebab ayah rasakan UIAM yang paling terbaik untuk kami sekeluarga dan memang rezeki kami untuk belajar dan grad di sini.
Senarai 10 Beradik Konvo UIAM Dengan Kelulusan Masing-masing
1) Anas bin Fauzi
Bachelor of Laws, 2002
2) Maryam bt Fauzi
Bachelor of Laws, 2003
Master in Comparative Laws, 2004
3) Asiah bt Fauzi
Bachelor of Human Science, 2004
Master in Human Science (Psychology), 2012
4) Sumayyah bt Fauzi
Bachelor of Laws, 2005
Master in Comparative Laws, 2009
5) Fatimah bt Fauzi
Bachelor Bio Chemical – Bio Technology Engineering, 2009
6) Muadz bin Fauzi
Bachelor of Information Technology, 2009
7) Aishah bt Fauzi
Bachelor of Laws, 2012
Bachelor of Laws (Shari’ah), 2013
8) Asma’ bt Fauzi Al-Hafizah
Bachelor of Mathematical Science, 2011
9) Dr Abdul Rahman bin Fauzi Al-Hafiz
Bachelor of Dentistry, 2015
10) Dr Abdullah bin Fauzi Al-Hafiz
Bachelor of Medicine & Surgery, 2018
Sekian sahaja coretan daripada saya. Moga ada manfaat untuk semua. Anda boleh share je post ni tanpa minta izin ya. 🙂
ان اكرمكم عند الله اتقاكم ان الله عليم خبير
Sumber/Foto : Dr Abdul Rahman bin Fauzi Al-Hafiz, BDS IIUM, Anak Haji Fauzi dan Wan Jamaliah yang ke 9
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Karakter Lucu Kak Kek Dari Pattani Popularkan Catriona, Menghiburkan & Beri Kesedaran Bahaya Covid-19

Isi Kandungan
TogglePelakon berdarah kacukan, Catriona Ross akui dia memanfaatkan masa lapangnya sepanjang PKP dengan menghasilkan video untuk menyampaikan pelbagai mesej penting berkenaan pandemik Koronavirus (Covid-19).
Menerusi video yang dimuat naik di laman Instagramnya ternyata mencuri perhatian ramai apabila dia menampilkan sketsa menggunakan dialek Kelantan menerusi karakter wanita kampung bernama Kak Kek Dari Pattani, Thailand.
Kak Kek Dari Pattani Melucukan
Seperti mana yang dipetik menerusi Sinar Plus Online, Catriona akui tidak menyangka ideanya itu mendapat sambutan ramai.


‘Kalau Tak ada Benda Baik Nak Cakap, Lebih Baik Senyum Je’ Padu Pesan Mak Ayah Catriona Ross
“Idea menghasilkan video tercetus secara spontan apabila anak perempuan saya teringin makan sejenis sate ikan yang dikenali sebagai LokChing di Thailand tetapi tidak lagi dijual kerana PKP.
“Jadi saya buat video tentang perkara tersebut dan kongsi dalam grup WhatsApp rakan-rakan. Mereka pula menyarankan saya untuk memuat-naik di Instagram (IG) kerana content itu sesuai dengan semua orang.
“Apa yang mengejutkan saya, video tersebut mendapat reaksi luar biasa daripada pengikut di IG yang rata-ratanya mengakui terhibur dan mahu saya menghasilkan lebih banyak video sebegitu.
‘Kak Kek’ Beri Kesedaran Bahaya Covid-19
“Video tersebut menjadi perhatian kerana menampilkan content semasa dan disampaikan dengan karakter lucu menggunakan cara percakapan orang kampung yang dekat dengan kebanyakan kita.
“Dalam masa yang sama, mungkin ramai yang terkejut dengan sisi berbeza saya dalam video tersebut kerana sebelum ini orang kenal saya sebagai seorang seorang yang serius dan sentiasa menjaga perlakuan.
“Saya langsung tak menyangka pengikut di IG naik mendadak biarpun video tersebut dihasilkan bukan untuk tujuan itu. Apa pun, bila semakin pengikut, tanggungjawab saya jadi lebih besar untuk berkongsi perkara bermanfaat buat semua,” katanya.
Dilema PKP, Puasa Tetap Puasa

Bercerita tentang sambutan Ramadan yang disambut dalam keadaan yang cukup berbeza, malah tidak pernah dilalui sebelum ini, kata Catriona, dia percaya kepada hikmah yang datang bersama.
“Memang ramadan kali ini sangat berbeza untuk kita semua. Bagaimanapun, puasa tetap puasa dan kita boleh lalui situasi ini dengan cara dan rutin baharu.
“InsyaAllah Ramadan kali ini lebih tenang dan bemakna apabila tidak perlu lagi terkejar-kejar dengan perkara lain di luar. Malah semua aktiviti sepanjang bulan mulia ini kita lakukan bersama keluarga.
“Cuma mungkin kita akan terasa dan rindu untuk solat terawih beramai-ramai di masjid sebagaimana kebiasaaan Ramadan sebelum ini,” akhiri Catriona.
Jawapan Catriona Ross Pada Netizen, Siap DM Tanya Beratnya Turun Sebab Pembedahan Ke Suntikan Ubat
Sumber: Sinar Plus Sinar Harian
Sumber/Foto: Instagram @catrionabrianross
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Pagi Hantar Bernyawa Balik Tinggal Jasad Jer, Bukan Mudah Baizura & Nain Nak Terima Kehilangan Anak

Bukan suatu perkara yang mudah menelan sebuah kehilangan. Apatah lagi kehilangan seorang anak. Mendapatkan perkhabaran gembira usai sepurnama melafazkan ijab dan kabul, menambahkan sinar bahagia buat pasangan Siti Nur Baizura Kamaruddin, 28 tahun dan Abu Nain Umar, 29 tahun. Biar pun pasangan ini langsung tidak sangka mendapatkan cahaya mata secepat mungkin, tetapi sudah tertulis rezeki, mereka berdua menerima dengan hati yang terbuka.
Tiada Masalah
Ternyata sepanjang kehamilan Siti NurBaizura atau mesra dengan panggilan Jojo tidak berhadapan dengan masalah kehamilan yang kronik. Seperti ibu-ibu lain, dirinya tidak terlepas daripada fasa alahan di trimester pertama. Dirinya agak lesu dan lelah melalui tiga bulan pertama. Namun tidak lama, memasuki trimester kedua segalanya berjalan seperti biasa.
Begitu juga ketika proses bersalin, segalanya berjalan lancar. Tanggal 24 May 2017, lahirlah puteri yang diberi nama Abu Zea Ophelia seberat 2.3 kilogram. Setelah menjalani proses berpantang, tibalah masanya Jojo kembali bekerja. Biar pun pedih hatinya untuk meninggalkan cahaya mata yang baru berusia dua bulan bersama pengasuh, dia tetap keraskan hati.
Baginya situasi ini pastinya turut dirasai oleh ibu-ibu lain yang terikat dengan kerjaya masing-masing. Lagi pula pengasuh anaknya telah dicari sejak awal lagi, ketika belum melahirkan sebagai persiapan awal. Segalanya bermula tanpa dirancang apabila Jojo yang menjalani rutin pemeriksaan bulanan di Klinik Kesihatan tanpa sengaja berjumpa dengan pengasuhnya.
Selidik
Hanya sekadar berbual kosong, akhirnya janji termateri yang sebaik sahaja bersalin nanti, Jojo akan menghantar anaknya kepada pengasuh tersebut yang tinggal tidak jauh daripada kediaman mereka. Sebelum kembali bekerja, Jojo dan suaminya ada berjumpa beberapa orang pengasuh sebelum memilih untuk menghantar kepada pengasuh tersebut.
“Awal-awal lagi saya dah selidik dengan dia bila dapat tahu dia juga menjaga empat orang anak orang lain. Risau juga sebab semuanya bayi di bawah umur setahun, yang dijaganya seorang diri. Tetapi kami tetap hantar seperti biasa. Tetapi selepas sebulan, mula berlaku beberapa kejadian yang buatkan kami seperti ingin mencari pengasuh lain.
‘Pernah sekali anak saya Opie lebam di bahagian telinga, alasan digigit semut. Ada pula satu ketika, bibir Opie macam ada kesan luka sebab terkena botol susu. Macam-macam telah berlaku dan dalam diam kami usahakan untuk mencari pengasuh lain tetapi ada sahaja halangan. Sebelum kejadian itu berlaku pun, kami sedang menunggu seorang pengasuh lain untuk menjaga anak kami.
‘Hati saya memang risau bila nampak pengasuh ini macam cuai dalam menjaga anak kami dan anak-anak orang lain di bawah jagaan dia. Tetapi kami masih tidak dapat mencari pengasuh lain hinggalah kejadian yang meragut nyawa anak kami berlaku,” ungkap Jojo sebak.
Terima Jasad kaku
Masih segar lagi di ingatan, di satu pagi Jumaat yang hening. Seawal pagi dalam kesibukan bersiap ke tempat kerja, Opie bereaksi seperti biasa. Dia tersenyum apabila dipanggil sambil ralit menonton video kegemarannya di kaca televisyen. Segala telatahnya seperti biasa, seperti hari-hari lain. Jadi ia langsung tidak menimbulkan kemusykilan di hati pasangan suami isteri ini.
Setelah menghantar Opie ke rumah pengasuh, Abu Nain menghantar isterinya ke pejabat. Lewat tengah hari, Jojo mendapat panggilan daripada pengasuh yang Opie asyik menangis sejak pagi, tidak mahu tidur dan tidak mahu minum susu. Dalam masa yang sama pengasuhnya meminta izin untuk menidurkan Opie dalam buaian kerana selama ini bayinya hanya tidur di tilam.
“Saya cuba fahami situasinya, kita tahu kalau bayi asyik menangis pasti kita risau. Lagi pun dia ada jaga anak-anak lain. Jadi saya izinkan dia untuk letakkan anak saya dalam buaian jika itu memudahkan tugasnya. Selepas beberapa jam, saya hubungi dia dan dia katakan Opie makin baik. Jadi saya pun tiadalah banyak bertanya. Tetapi petang itu ketika suami datang jemput untuk pulang kerja, sekali lagi pengasuh saya telefon dan beritahu Opie sudah berada di hospital.
“Ketika itu memang kami tak boleh nak fikir apa, terus ke Hospital Shah Alam. Lihat anak kami di zon merah, hati kami jadi tidak keruan. Saya cuba dapatkan anak saya dan doktor yang berada di situ beritahu anak saya diserang sawan. Doktor sudah beri ubat dan mereka sedang menunggu respons daripada anak kami. Tetapi malangnya anak kami berulang kena sawan ketika itu.
“Jadi doktor ambil keputusan untuk lakukan CT scan dan daripada situlah baru diketahui bahawa ada pendarahan pada otak Opie. Pengasuh yang berada di situ bermati-matian jelaskan yang Opie tidak pernah jatuh,” cerita Jojo satu persatu.
Terdapat Kesan Retak
Komplikasi yang dilalui Opie memerlukan dirinya untuk melalui pembedahan segera dan seterusnya dirinya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur kerana terdapat pakar. Pembedahan ini perlu dilakukan untuk mengeluarkan darah beku yang terdapat pada otak anak mereka.
Selepas tiga jam pembedahan berlangsung, doktor berjumpa pasangan ini dan menyatakan keadaan anak mereka dalam keadaan 50-50. Segalanya bergantung kepada Opie dan juga takdir, sekiranya dia kuat, dia akan pulih, begitu jugalah sebaliknya. Doktor juga terkejut dengan keadaan otak Opie yang seolah-olah menerima tekanan yang amat kuat.
Biar pun pedih untuk menelan kenyataan, Jojo dan Abu Nain berdoa agar keajaiban berlaku. Sejak pembedahan itu sehinggalah di hari terakhirnya, permata hati mereka berdua tidak sedarkan diri dan hanya bergantung kepada mesin bantuan pernafasan dalam berjuang meneruskan hayatnya.
Ketika ditempatkan di dalam Unit rawatan Rapi, Opie berada di ruang khas dan rupa-rupanya kes Opie paling kritikal pada ketika itu. Sedih mengenangkan situasi tatkala berada di wad, apatah lagi melihat jasad kecil yang baru berusia tujuh bulan berselirat wayar. Baik Jojo atau Abu Nain, masing-masing tidak mampu menahan sebak.
“Ada ketika saya bisik pada telinga Opie agar dia terus kuat untuk teruskan hidup. Tetapi ada ketikanya saya juga hampir putus asa apabila berjumpa ramai pakar, mereka pula berbeza pendapat. Kami sendiri keliru, tetapi dalam masa yang sama tidak putus berdoa agar Allah panjangkan umur Opie.
“Malam sebelum Opie pergi, ada ketua pakar berjumpa kami dan memberi pilihan sama ada kami memilih untuk meneruskan agar mesin oksigen dan ubat tidur Opie diteruskan atau tidak. Biar pun berat, kami akhirnya memilih untuk berserah pada takdir yang telah Allah tentukan.
“ Lebih-lebih lagi dengan keadaan Opie yang lemah, jadi bukan mudah untuk dia teruskan hidup,” celah Abu Nain yang akhirnya tidak mampu menahan air mata setelah anaknya pergi buat selamanya pada 14 Januari 2018.
Bukan Mudah Terima Takdir
Sebenarnya amat berat untuk menerima sebuah kehilangan, apatah di saat sedang ralit membesarkan anak yang telah mula berkeletah. Senyumnya, tawanya, tangisannya menjadi setiap momen terindah buat pasangan ini. Berat mata memandang, lagi berat bahu yang memikul.
Jojo sendiri hingga saat ini, dirinya terasa belum mampu untuk menerima segala yang berlaku. Tipulah jika dia mampu melupakan apa yang terjadi. Setiap masa bila terkenang Opie, pasti berjuraian lah air matanya. Begitu juga Abu Nain, kehadiran Opie banyak mengajar dirinya untuk bergelar seorang bapa yang bertanggungjawab, belum puas mengecap nikmat, pinjaman Allah ditarik balik.
Tetapi sebagai manusia biasa, baik Jojo atau Abu Nain sendiri, mereka perlu reda jika ini ujian yang perlu mereka hadapi. Bukan mudah tetapi perlu jua telan biar pedih, biar sakit. Ternyata kejadian yang menimpa kanak-kanak yang senasib Opie amat mengguris perasaan pasangan ini. Semoga pasangan ini dikurniakan kebahagiaan dan kekuatan dalam meneruskan hidup.
Menurut pegawai polis yang mengendalikan kes ini, katanya kecederaan yang dialami Opie mungkin disebabkan oleh kesan benda tumpul. Mereka berdua tidak mampu memberi komen lanjut kerana segalanya masih dalam proses siasatan.
Tetapi hati ibu dan bapa mana yang tidak pedih melihat pesalah yang menyebabkan kematian anak mereka tidak diadili. Dirinya hanya tidak dibenarkan untuk menjaga budak lagi buat masa ini, tetapi dia masih bebas di luar sana. Pasangan ini berharap agar pengasuh mereka mendapat balasan yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI