Ahli Akademik, Prof Madya Dr Rusinah Siron menjelaskan cinta yang berputik semasa majlis pertemuan semula atau reunion ini berlaku kerana masing-masing sudah tidak menggunakan kewarasan akal dalam membina perhubungan peribadi.
“Kalau setakat membina ukhwah dan kerjasama dengan kawan-kawan lama, tidak salah malah bagus kerana dapat membina hubungan kerja, hubungan niaga, keluarga dapat disatukan dan menjadi sahabat keluarga.
“Tetapi jika membina hubungan cinta peribadi ini dan kononnya menjadi cinta, itu namanya hawa nafsu menguasai diri. Ditambah lagi masing-masing sudah berpunya dan mempunyai komitmen.
“Jadi peringkat usia midi dan maxi ini, jauhkan lagi unsur-unsur negatif dalam reunion dan kembali kepada objektif utama dalam pertemuan kembali untuk bertautnya hubungan ukhwah yang positif dengan rakan-rakan lama.”’
Teknologi mengeratkan silaturahim sahabat lama, reunion jadi penyatu. Kenyataan ini diakui benar oleh Prof Madya Dr Rusinah.
“Ya memang betul sebab teknologi sekarang banyak memberi penyatuan kepada perhubungan jarak jauh dan dekat. Kawan hilang boleh bertemu, jejak kasih dipertemukan semula, ini semua komunikasi dengan teknologi canggih dengan facebook sudah tidak perlu hanya “face to face”.
“Dengan Facebook sahaja,hubungan jauh dekat bertaut rapat. Boleh kirim berita, kirim ucapan, kirim gambar, kirim jemputan dan pelbagai lagi perkara boleh dilakukan melalui komunikasi dengan teknologi yang canggih.
“Kawan daripada luar negara sudah 10 tahun tidak bertemu juga boleh berbual mesra dengan “skype” dan video. Jadi reunion ini juga adalah impak kepada teknologi. Dengan grup Whatsapp, boleh berbincang, berkomunikasi dan lain-lain.
“Ini semua boleh menjadikan reunion dapat dijayakan dan menjadi penyatu kepada pertemuan semula rakan-rakan yang sudah berbelas dan berpuluh tahun tidak berjumpa.”
Pesan Prof Madya Dr Rusinah kepada mereka yang terperangkap cinta reunion ini, jangan salah gunakan teknologi sehingga meruntuhkan ikatan rumah tangga.
Sebab-Sebab Bertemu Jodoh Ketika Reunion
Jelas Prof Madya Dr Rusinah lagi,ada beberapa sebab memungkinkan seseorang itu bertemu jodoh ketika majlis pertemuan semula atau reunion.
“Sebab pertama, mungkin ketika bersekolah dahulu mereka pernah bercinta. Cinta monyet ketika masa sekolah ini boleh bertaut kembali. Ditambah lagi dalam keadaan diri sekarang yang sudah menjanda atau menduda. Jadi kesempatan ini diambil untuk membina semula kenangan lama dengan kematangan diri yang ada.
“Sebab kedua, keadaan dan masa berubah. Melihat kepada perkembangan diri rakan-rakan lama yang telah berjaya atau telah stabil memberi daya tarikan kepada rakan. Dengan itu ia membawa kepada pertemuan demi pertemuan diatur.
“Mulanya cerita hanya berkisar kepada cerita-cerita zaman sekolah. Kemudiannya ia terbawa-bawa hingga kepada kehidupan peribadi. Akhirnya cerita lama jadi permulaan bibit-bibit cinta yang dibina di bawah kesedaran masing-masing.
“Sebab ketiga, kemudahan komunikasi yang ada dengan telefon bimbit yang boleh melayari pelbagai laman media sosial seperti Whatsapp, Telegram dan lain-lain lagi memberi kemudahan kepada rakan-rakan menghantar berita, gambar-gambar cantik dengan gaya dan cerita masing-masing. Ini memberi kepada akses perhubungan yang lebih cepat dan akhirnya melarat kepada soal-soal hati.”
Faktor-Faktor Pendorong
Mudahnya cinta berputik ketika reunion ini mungkin sebab didorong oleh beberapa perkara. Prof Madya Dr Rusinah menjelaskan ada beberapa faktor-faktor pendorongnya.
“Faktor pendorong pertama adalah erdorong dengan emosi dan mudah sangat terpaut hati. Ingatlah status diri yang sudah berpunya dan keluarga. Kalau diri belum ada yang punya, fikir-fikirlah secara positif. Bukannya dengan lagak meluru. Jumpa selepas reunion terus membina hubungan peribadi. Ibarat pepatah kata orang Barat, Keep it steady and cool. Jangan gopoh sangat membina cinta reunion.
“Faktor pendorong kedua berkaitan dengan keadaan diri semasa reunion itu. Masa itu diri sudah tunggang-langgang dengan masalah rumah tangga, kerjaya dan lain-lain. Jadi bertemu dengan rakan lama yang prihatin dan faham dengan situasi diri. Jadi pertemuan diatur dan juga saling mendorong. Akhirnya terdorong untuk melanjutkan hubungan lebih jauh lagi.
“Faktor pendorong ketiga adalah cinta kilat yang dibina kerana terpana melihat fizikal kawan lama yang dahulu cantik, sekarang sudah beranak lima pun semakin bergetah. Dan pujian diberikan kawan-kawan menjadikan diri rasa dalam dunia khayalan. Ditambah lagi jika pasangan pula tidak pernah ambil perhatian kepada dirinya. Scenario ini biasa berlaku dan terbuainya perasaan akhirnya membentuk perhubungan mesra.
“Faktor pendorong keempat apabila terjerat dengan kawan lama melalui ikatan bisnes dan lain-lain skim hingga akhirnya terpaksa terus menjalin hubungan. Dan jika tidak terkawal, boleh tergadai ‘body’dan maruah tercela.”
Kebaikan Dan Keburukan Bertemu Jodoh Semasa Reunion
Fikir-fikirlah dahulu kebaikan dan keburukan bertemu jodoh semasa reunion sebelum mengambil keputusan untuk meneruskan atau menghentikan hubungan tersebut. Ini penjelasan Prof Madya Dr Rusinah.
“Kebaikannya adalah apabila sudah saling mengenali masa zaman “comot-comot” dahulu tanpa prejudis dan mungkin sekampung, sekelas atau satu kejiranan masa zaman persekolahan. Jadi keserasian sikit-sikit sudah ada.
Dengan itu tidak menjadi satu perhubungan yang melemaskan kepada pasangan tersebut. Hanya perlu ‘refreshment’dan ‘refinement’serta tokok tambah dalam perhubungan.Perhubungan sudah matang dan dewasa jadi kematangan itu membawa kepada perhubungan yang lebih santai dan rasional.
“Keburukannya pula adalah pasangan sudah ada keluarga dan mempunyai suami atau isteri masing-masing. Dan perhubungan reunion ini sudah tentu membawa kepahitan dan kekecewaan kepada pasangan masing-masing dan impak negatif kepada keluarga. Akhirnya perhubungan menjadi skandal yang memberi kontroversi kepada keluarga, kerjaya dan masyarakat.”
Tip Elakkan Cinta Reunion
1-Kembali kepada landasan hidup yang benar, sedar siapa diri kita. Dahulu kawan sekelas kita “si-comat” sekarang kita semua sudah dewasa dan ada berkeluarga, kerjaya dan masyarakat yang perlu kita jaga imej dan maruah diri kita. Jadi jangan terlalu ikut emosi dan kehendak hati. Kita sudah cukup dewasa untuk mengatur hidup dan perhubungan dengan siapa dan apa risiko dan baik buruknya
2-Jangan berlebih-lebihan dengan apa yang kita buat dalam hidup kita. Kita banyak tanggungjawab pada diri dan orang-orang yang kita sayang, keluarga, agama dan sebagainya. Jadi jangan habiskan masa dengan telefon bimbit yang banyak memberi impak negatif jika tidak dikawal.
Jangan bergayut dengan telefon bimbit. Setiap mesej-mesej dibalas. Lama-kelamaan ia menjadi habit dan perhubungan dibentuk melalui komunikasi. Jadi elakkan daripada meneruskan secara aktif hubungan komunikasi dengan whatsapp, facebook dan lain-lain seperti hantar gambar personal dan cerita-cerita peribadi, mohon pendapat mengenai hubungan suami isteri dan lain-lain kerana ini akan menjadi terbentuknya cinta yang memberi implikasi kepada kehidupan.
3-Bentuk hubungan yang sihat melalui motivasi dan nasihat dan kembali kepada kenyataan, jangan dilayan perasaan dan menjadi perasan kepada pujian dan inspirasi daripada kawan-kawan. Terima seadanya dan seimbangkan dengan kehidupan kita. Insyallah jika betul caranya, kita tidak terjerat dengan cinta kilat reunion ini.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI