Suami bila berfikir memang takkan sama dengan cara isterinya fikir. Sebab itu bila isteri minta lain, lainlah nanti yang suami sediakan. Bila isteri marah-marah, suami bingung.. tak faham kenapa isteri marah-marah,
Sudahnya, terjadilah perbalahan kecil. Yang lama-lama kalau tak dibendung boleh jadi besar. Sebab masing-masing saling menyalahkan. Pengalaman berdepan situasi cara fikir yang tak sama inilah dilalui Puan Rohamiah Muda.
Kisahnya cuma minta suami pasangkan plug dalam rumah saja. Rupanya ada banyak pengajaran yang isteri boleh ambil positif dari kisah ini.
Minta Suami Baiki Plug, Dah 3 Bulan Masih Juga Belum Bertindak
“Abang, plug di dapur dah rosak. Pasang je, satu rumah black out,” adu saya kepada suami lebih kurang tiga bulan lepas.
“Erm… .”
Itu sahaja jawapan suami.
Kegunaan utama plug di dapur adalah untuk menghidupkan oven.
Saya menunggu juga, kalau-kalau suami memanggil seseorang untuk membaiki plug di dapur.
Tiada. Sehinggalah Ramadan tiba.
Nak Tak Nak, Isteri Kena Fikir Sesuatu
Jadi, solusinya, saya terpaksa menyambung dua extension ke plug lain untuk panaskan lauk. Wayar itu bersambung-sambung.
Agak leceh juga kerana wayar extension mengganggu ketika saya ingin membuka pintu peti ais.
Itulah tugas saya sepanjang Ramadan. Dini hari, terpaksa sambung dua extension. Kemudian, kemas semula extension yang telah dipasang. Ia memakan masa sebenarnya.
Nak tak nak, terpaksa buat.
Sekali lagi saya mengadu kepada suami, “Abang, susah la plug dapur ni rosak. Nak panaskan lauk pun leceh.”
Ads
“Ya, nanti baiki,” jawab suami.
Hati sudah rasa gembira dengan jawapan itu.
Saya masih menanti bilakah masanya plug akan dibaiki. Dalam fikiran saya, mungkin esok atau lusa plug itu akan dibaiki.
Tunggu.
Tunggu.
Tunggu.
Ramadan sudah ke penghujung.
Bila Biasa Susah, Lama-lama Jadi Mudah
“Abang, bila nak baiki plug?” Saolan saya sudah berubah.
Suami diam. Soalan saya tiada jawapan.
Saya pasrah. Tunggu sahaja. Sampai masa suami pasti akan memanggil tukang baiki.
Saya mengambil tindakan untuk bersabar. Lagipun, saya tidak suka bangkitkan isu yang remeh. Biarlah masa yang menentukan.
Ads
Jika ingin menggunakan oven, saya akan menyambung dua extension ke plug lain.
Rupanya, apabila kita biasa dengan kesusahan, ia menjadi mudah.
Soalan saya kepada suami untuk baiki plug seolah sudah dilupakan.
Dan…
Rupanya, apabila kita lupa perkara itu, ketika itulah masalah itu akan berakhir.
Akhirnya, semalam plug dibaiki.
Masya-Allah.
Saya suka sangat!
Sebab plug di bahagian tengah, suami meminta tukang baiki memasang plug dua pin.
Sebelumnya, semua plug tiga pin.
Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah.
Ads
Cara Fikir Suami Isteri Itu Tak Sama
Sebenarnya kan, inilah perbezaan antara suami dan isteri. Kadang isteri inginkan tindakan yang segera daripada suami.
Tapi, suami berfikir lain. Sampai masa dia akan ambil tindakan. Tapi, mungkin tindakan itu agak lambat.
Rupanya, suami mencari masa yang sesuai untuk baiki semua kerosakan yang ada di rumah. Semalam, setel semua masalah.
Jika isteri tidak bersabar dengan sikap suami, peluang inilah yang akan digunakan oleh syaitan untuk menghasut isteri supaya marah atau menjadi punca pertelingkahan.
Jika kita lihat pergaduhan dalam rumah tangga, ia berpunca daripada isu yang sangat kecil. Contohnya, isu ubat gigi, isu kain baju yang dibiarkan di atas lantai, isu stokin dan sebagainya.
Isu-isu inilah kadang membawa kepada perbalahan antara pasangan.
Inilah pentingnya kesabaran dalam melayari hidup berumahtangga.
Raikan perbezaan antara pasangan. Memang suami dan isteri sangat berbeza dari segi tindakan dan perasaan.
Moga semua yang membaca nukilan ini bahagia hingga jannah bersama pasangan masing-masing. Aamiin.
Sumber/Foto : Rohamiah Muda, Bercita-cita untuk bercinta hingga ke syurga. Penulis buku Diakah Jodohku.
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ibu susuan ialah seorang seseorang wanita yang bukan ibunya menyusukan bayi yang berusia kurang dua tahun sebanyak lima kali penyusuan penuh atau sehingga bayi tersebut kenyang.
Dewasa ini, umat Islam semakin peka dan mengambil berat tentang isu mahram. Sebab itu, bagi pasangan yang mengambil anak angkat, mereka mengambil inisiatif untuk menyusu badan bayi tersebut kerana hendak menjaga soal mahram. Bayi itu akan menjadi anak susuan kepada pasangan yang mengambilnya sebagai anak angkat. Tiada masalah lagi dari segi aurat bersama ibu/bapa angkat dan adik beradik angkatnya kelak.
Ini Cerita Ibu Susuan
Bila bercakap tentang saudara susuan, saya sendiri mempunyai saudara susuan iaitu sepupu saya, anak kakak kepada emak saya, arwah mak teh. Kami sebaya dan abang susuan saya itu hanya tua sebulan daripada saya. Pada zaman dahulu, ibu bapa kami tinggal serumah di rumah kepunyaan datuk dan nenek di kampung. Bila emak saya perlu ke kebun, arwah mak teh yang akan jaga dan susukan saya dan abang susuan saya, Ahmad Borhan.
Begitu juga bila giliran mak teh ke kebun, mak yang akan jaga dan susuan kami berdua. Bila besar, kami sudah maklum tentang hubungan kami itu. Jadi, kami tak kisah nak bertepuk bertampar kerana kami mahram. Walau pun saya anak sulung, tapi saya anggap dia abang saya dunia akhirat. Selepas berkahwin, saya terangkan kepada suami tentang hubungan kami. Tak mahu dia terkejut kalau tengok saya salam dan cium tangan sepupu lelaki saya itu atau selamba tidak bertudung di depannya. Kang ada yang kena cubitan berbisa!
Adik ketiga saya juga turut menjadi adik beradik susuan dengan seorang lagi sepupu kami. Mereka juga sebaya dan ketika itu mereka umpama pasangan kembar. Hubungan mereka juga tetap mesra sehingga kini walau pun masing-masing sudah berkeluarga. Agaknya, pernah berkongsi susu yang sama membuatkan kemesraan itu tetap wujud di hati walau pun jauh terpisah dan jarang bersua.
Apa Yang Bagusnya…
Dalam kalangan adik beradik saya pula, sembilan anak saudara saya ( berusia 4-11tahun) ada pertalian saudara susuan di antara mereka. Ini kerana adik-adik perempuan saya akan saling menyusukan anak-anak mereka. Bagi saya, ia sangat bagus kerana kelak mereka tidak perlu lagi risau soal aurat jika sama-sama pulang ke kampung. Bahkan anak susuan akan panggil mak dan bapa susuan mereka mengikut gelaran yang anak kandung panggil. Kecuali anak saya yang tidak sempat hendak menjadi saudara susuan sesiapa kerana ketika dia lahir, dia anak saudara sulung dalam keluarga dan tidak ada makciknya yang berkahwin ketika itu.
Secara peribadi, bagi saya ia sesuatu yang bagus kerana boleh menjaga aurat sesama sepupu. Soal takut dan bimbang jika kelak mereka jatuh cinta tak timbul kalau dari kecil lagi mereka sudah diberitahu akan status mereka sebagai adik beradik susuan. Betul tak?
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Bahagia yang dipinta, duka yang mendatang. Inilah yang berlaku dalam hidup Faizul ( bukan nama sebenar). Tidak pernah dia menyangka bahawa perkahwinan yang dibina atas dasar cinta hanya mampu bertahan separuh jalan.
Faizul berkahwin lambat. Dia bukannya memilih tetapi tidak ada wanita yang dapat menambat hatinya. Dia pernah juga mempunyai teman wanita. Namun tidak ada seorang pun yang berjaya menjadi suri hatinya.
Sehinggalah dia bertemu dengan Hani (bukan nama sebenar), hati Faizul telah memilih wanita tersebut sebagai suri hatinya. Tidak seperti teman wanitanya yang lain, Hani sempurna di mata Faizul.
Tidak sampai sebulan perkenalan, Faizul telah melamar Hani. Lamaran Faizul diterima Hani. Setelah kata sepakat dibuat antara kedua keluarga, perkahwinan Faizul dan Hani dilangsungkan dengan penuh meriah.
Faizul melayan Hani ibarat seorang permaisuri. Apa sahaja yang diminta oleh Hani akan dipenuhinya. Faizul amat menyayangi isterinya.
Apabila Hani disahkan hamil, Faizul meminta agar isterinya berhenti kerja. Faizul kasihan melihat isterinya yang alah teruk ketika hamil. Isterinya juga mengalami banyak masalah sepanjang tempoh hamil itu.
Pada mulanya Hani tidak mahu berhenti kerja. Namun setelah dipujuk oleh Faizul, isterinya itu bersetuju. Walau isterinya itu tidak bekerja Faizul tetap memberi nafkah dan elaun kepada isterinya.
Akhirnya setelah sembilan bulan, Hani selamat melahirkan anak lelaki. Betapa gembiranya Faizul dengan kelahiran zuriatnya itu. Bayi yang diberi nama Yusuf (bukan nama sebenar ) itu dilayan dengan penuh kasih sayang.
Sentiasa Tunaikan Permintaan Isteri
Faizul gembira dengan rezeki yang diberi Tuhan ini. Dia amat menyayangi isteri dan anaknya. Apa sahaja yang diminta oleh isterinya akan ditunaikan.
Wang bukan satu masalah buat Faizul kerana dia berjawatan tinggi. Walau kadangkala apa yang diminta oleh isterinya itu agak keterlaluan, Faizul akan cuba menunaikan permintaan isterinya.
Belum sampai usia Yusuf setahun, Hani disahkan hamil lagi. Faizul gembira dengan rezeki yang diberikan oleh Tuhan ini. Seperti ketika hamil kali pertama, Hani turut mengalami masalah sama apabila hamil anak kedua.
Dengan izin Tuhan, Hani berjaya melahirkan cahaya mata kedua. Bayi yang diberi nama Zahra (bukan nama sebenar) itu berjaya melengkapkan keluarga mereka. Dengan sepasang anak ini juga telah membuatkan Hani tidak mahu lagi hamil.
Jika diikutkan hati Faizul, dia mahu menambah anak. Tetapi sebab sayang isteri dia mengikut sahaja kehendaknya.
Sering Bertelingkah
Faizul mengimpikan bahagia dalam hidupnya. Namun akibat keadaan ekonomi yang semakin teruk, syarikat tempat Faizul bekerja terjejas. Gaji Faizul telah dikurangkan.
Faizul tidak lagi mampu menanggung gaya hidup mewah yang dilalui oleh isterinya. Setiap kali Hani meminta sesuatu, Faizul terpaksa menolaknya.
Hani tidak puas hati dengan situasi tersebut. Dia meminta kebenaran Faizul untuk bekerja semula. Faizul keberatan membenarkannya kerana siapa yang mahu menjaga anak-anak apabila Hani bekerja semula.
Faizul dan Hani sering bertelingkah setiap kali Hani meminta mahu bekerja semula. Keadaan ini telah menjejaskan hubungan mereka. Tidak ada gelak ketawa dalam rumahtangga tersebut.
Akhirnya disebabkan sentiasa bertelingkah dan bermasam muka, Hani meminta perpisahan. Dia tidak mampu hidup dalam rumahtangga yang tidak bahagia.
Faizul terpaksa merelakan perpisahan. Dengan lafaz cerai talak satu, Faizul dan Hani telah bercerai. Kini Faizul dan Hani bergilir-gilir menjaga anak-anak.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Leia Az Zahra Justin seorang muslimah yang pernah mengalami zaman gelap dalam hidupnya. Namun setelah mengenali agama Islam, sedikit demi sedikit ada sinar dalam hidupnya. Kini, wanita yang berasal dari Sabah ini berharap masa hadapannya lebih baik daripada sebelum ini.
Ditambah pula kini dia telah berkeluarga dan memiliki seorang anak perempuan bernama Ayra Gabriella, Leia berazam mahu jadi seorang ibu yang terbaik buat anaknya. Bergelar Islam sesungguhnya telah mengubah menjadi insan yang lebih baik.
Kisah hidup Leia penuh pancaroba. Sebelum dirinya mengenali agama Islam, boleh dikatakan hidupnya tidak ada arah tuju. Zaman remaja yang penuh dengan kesedihan adalah permulaan sikap memberontak dalam dirinya.
“ Saya memeluk Islam pada bulan Oktober 2007. Saya memeluk Islam bukan sebab didakwah oleh sahabat atau kenalan. Saya memeluk Islam atas kerelaan sendiri. Emak yang membantu saya memeluk agama Islam. Namun perjalanan sebelum bergelar saudara baru amat memeritkan.
” Sebenarnya saya membesar dalam keadaan keluarga yang berpecah-belah. Ayah dan emak saya telah berpisah semasa saya kecil. Saya kemudiannya hidup bersama ayah yang juga seorang pendakwah Kristian.
” Selalu juga saya mengikut ayah ke gereja. Ayah suka menyanyi dan dia ada buat album kerohanian. Ketika di gereja juga saya suka menyertai koir gereja. Saya suka ke gereja kerana saya suka hal-hal keagamaan.
” Namun saya tidak tinggal lama dengan ayah setelah dia berkahwin baru ketika saya berusia 14 tahun. Saya tidak suka ibu tiri dan akhirnya saya dihantar tinggal bersama nenek. Jiwa saya memberontak kerana berpisah dengan ayah.
” Ketika hidup bersama nenek, saya rasa hidup tidak ke mana. Untuk mengisi masa saya aktif dengan aktiviti di gereja. Malah saya pernah mengikuti kursus asas untuk jadi biarawati tetapi saya gagal,” cerita Leia panjang lebar.
Minta Petunjuk Dari Tuhan
Tidak tamat pengajian menyebabkan Leia mula bekerja. Ketika itu jugalah hidupnya semakin teruk kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan minuman keras. Melihatkan keadaan dirinya yang semakin tidak ada arah tuju pada ketika itu sering membuatkan Leia bermonolog sendirian.
“ Saya sering tanya pada diri sendiri apa hendak jadi pada diri saya. Umur sudah bertambah tetapi saya semakin teruk. Sepatutnya saya ada inisiatif untuk hidup lebih baik. Saya betul-betul stress. Saya mahu Tuhan beri petunjuk pada diri saya.”
Hidayah Allah itu datang dengan pelbagai cara. Leia mendapat hidayah melalui mimpi. Dia masih ingat mimpi tersebut.
“ Dalam mimpi tersebut saya berjalan di kawasan gelap. Di penghujung jalan saya terjumpa cahaya. Semakin saya mendekati cahaya itu saya mendengar suara orang bercakap dalam bahasa Arab. Saya juga nampak dia memegang kitab seperti Al-Quran. Tiba-tiba hati saya rasa tenang melihatkan situasi tersebut.”
Sebaik terjaga, Leia sedar jika ini adalah petunjuk yang diberikan oleh Tuhan, dia perlu mencari jalan bagi merungkai mimpi tersebut.
“ Setiap kali mendengar azan, saya jatuh cinta dengan azan. Akhirnya saya ambil keputusan menelefon emak dan beritahu pada dia yang saya mahu masuk Islam. Emak pula pada ketika itu sudah lama memeluk Islam.
Emak beli tiket kapal terbang untuk saya balik ke Sandakan, Sabah.Emak bawa saya ke pejabat agama di sana untuk mengucap dua kalimah syahadah. Selepas masuk Islam, saya kembali semula ke Semenanjung, “ tambah Leia lagi.
Rahsiakan Pengislaman
Perjalanannya untuk menjadi muslimah yang baik juga banyak cabarannya. Sebaik bergelar Islam, dia tidak memberitahu perkara tersebut bapa dan rakan serumahnya. Selama setahun dia menyembunyikan pengislamannya.
Walau sudah Islam pada ketika itu, Leia tetap berpakaian seksi dan mengambil minuman keras. Dia terpaksa berlakon dua watak demi mahu menyembunyikan pengislamannya.
“ Saya penat hidup begitu. Akhirnya pada bulan Ramadan 2008 saya tekad untuk istiqomah dan jihad melawan nafsu untuk meninggalkan minuman keras. Saya fikir apa guna masuk Islam jika tidak ikut ajaran Islam. Selepas itu saya mula belajar agama.
” Sehingga kini saya masih lagi belajar agama. Setiap kali pergi kelas agama saya rasa ketenangan. Belajar agama juga adalah terapi bagi saya menghadapi tekanan dan kemurungan, ” sambungnya.
Aktif Nyanyi Nasyid
Penghijrahan hidup menjadi seorang saudara baru juga telah menemukan Leia dengan industri seni. Pada tahun 2012, Leia dan kumpulan nasyidnya yang diberi nama Safiya telah menghasilkan satu album penuh. Semua ahli kumpulan nasyid ini adalah saudara baru sama seperti Leia.
Namun perkahwinan telah menghentikan aktiviti seni mereka. Bukan itu sahaja, salah seorang ahli kumpulannya juga telah berhenti. Pada bulan Oktober 2018 lalu, kumpulan nasyid Safiya mula melakukan comeback.
Kali ini Leia dan Nur Ain Tinungul serta ahli baru kumpulan mereka iaitu Julia Sakinah telah menghasilkan single terbaru mereka bertajuk Mudah-mudahan.
“ Saya amat mengharapkan peminat nasyid dapat menerima kehadiran kumpulan nasyid saya ini semula.”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...