‘Boleh tak saya nak lari?’ Suami berhenti kerja, isteri terpaksa tanggung suami dan keluarganya sekali. Allahuakbar beratnya ujian wanita ini.
Bayangkan sudahlah perlu menanggung suami yang tak bekerja, keluarga suami pun dia terpaksa tanggung sekali. Ini bukan cerita sinetron ya, ini realiti yang berlaku dalam masyarakat.
Boleh Tak Saya Nak Lari?
Ikuti perkongsian Ustaz Firdaus Mokhtar ini dan hadam baik-baik ya:
“Boleh tak saya nak lari ustaz?” Soalan yang buatkan saya diam lama. Nak berikan jawapan yang macam mana pun saya keliru.
Jawapan untuk setuju atau tidak, keduanya memberikan kesan yang besar untuk dia.
Dia dah berkahwin dengan suami selama 4 tahun. Kawan yang kenalkan dia dengan suami dulu. Sebelum berkahwin, suami elok bekerja sebagai juruteknik di sebuah universiti swasta.
Namun sejurus lepas berkahwin terus berhenti. Tak bekerja sampai sekarang. Semua belanja duit puan inilah yang kena sediakan.
Bukan setakat belanja rumah sendiri. Selama 4 tahun ini, setiap minggu mesti balik rumah mak suami. Sudah setiap kali balik itulah dia kena belikan barang dapur rumah mak mertua.
Ads
Dipaksa dalam tak rela. Atas arahan suami, dia usahakan. Sedangkan untuk dia sendiri tidak ada lebihan sangat.
“Ustaz bayangkan minggu ini mesti balik lagi. Nak kena beli barang untuk rumah mak mertua lagi,” kata puan ini. Ya Tuhan.
Isteri Terpaksa Tanggung Suami
Saya tanya, “kata tak cukup selalu, mana dapat duit?” Dia mengaku sudah beberapa kali buat pinjaman Ah Long. Sebab kalau tak bagi duit beli barang rumah mak mertua, suami mesti marah, tengking dan pernah kena pukul pun.
Yang lebih dia sedih, lepas dia kahwin baru dia tahu suami ini sebenarkan tak sembahyang langsung. Puasa pun tak pernah. Ramadan sepanjang 4 tahun berkahwin ini, suami memang tak puasa.
Sama juga bila tak sediakan makanan, kena marah dan kena ugut untuk dipukul. Mula dulu ingatkan akan berubah, tapi dah 4 tahun ini, keadaan makin teruk.
Mesti ada yang bertanya kenapa tak balik ke rumah mak ayah dia sendiri. Minta sokongan keluarga. Iya, saya pun bertanya hal yang sama.
Keluarganya Sekali
Puan ini berusia hujung 20-an. Masih muda. Mak dengan ayah dah bercerai masa dia berumur 2 tahun. Sejak itu tak pernah jumpa dengan mak lagi. Dia tinggal dengan ayah berdua sahaja.
Ads
Ayah berkahwin lain. Dan mak tiri ini memang sungguh jadi mak tiri yang kejam macam dalam tv tu. Depan ayah baik, belakang ayah dera emosi anak.
Fuhh, real!
Ayah puan ini sekarang dah tak ada. Meninggal lepas dia setahun berkahwin. Jadi dia tak ada sokongan keluarga sendiri.
“Tempat yang saya boleh tenang cuma dekat tempat kerja sahaja. Saya takut balik rumah. Saya takut tunggu setiap hujung minggu.”
Bayangkan rumah yang sepatutnya tempat mendapatkan kerehatan dan ketenangan menjadi tempat dia diseksa hati dan perasaan.
Dapatkan Bantuan Untuk Diri Sendiri
Buat masa ini saya cuma minta dia jangan terfikir untuk buat tindakan yang bukan-bukan. Saya pesan dia kena dapatkan bantuan untuk diri dia.
1. Cari sokongan untuk jadikan dia bertahan dan kekal kuat. Dia tak dapatkan semua itu daripada keluarga dia dan suami. Maka dia kena sumber lain, contohnya kawan-kawan.
Andai kita menjadi kawan kepada mereka ini, tugas kita untuk bagi kekuatan pada mereka. Kekuatan yang membina, bukan menambah haru.
2. Cari kaunselor rumah tangga. Ini saya ulang lagi, hari tu sudah tulis di satu posting.
Di hospital ada unit Psikologi dan Kaunseling. Mereka ini boleh bantu urusan begini. Caranya pergi ke Klinik Kesihatan atau terus ke hospital.
Mereka akan bagi prosedur yang betul untuk kalian dapatkan sokongan rawatan psikoterapi.
Ads
3. Puan ini ada beritahu dia nak tuntut fasakh. Saya minta dia rujuk ke jabatan agama.
Banyak Rumah Tangga Yang DiUji
Kawan-kawan yang baik,
Ada yang PM, tanya kenapa saya selalu menulis tentang rumah tangga, memenangkan isteri dalam banyak hal. Kisah begini lah jawapan saya.
Kalau rumah tangga kalian baik, ada isteri solehah, bersyukurlah. Tak payah nak kutuk perli rumah tangga orang lain.
Banyak lagi rumah tangga dekat luar sana yang berkecamuk, dihenyak masalah dan bebanan akibat daripada sikap tak bertanggungjawab lelaki yang bernama suami.
Mereka perlukan kekuatan, sokongan dan panduan daripada kita. Maka kami ambil tanggungjawab ini untuk membantu. Sekadar yang kami mampu.
Begitulah.
Firdaus Mokhtar,
Moga kita dibantu.
Mingguan Wanita: Semoga rumah tangga kita sentiasa dilindungi Allah selalu.
Balik kampung adalah saat indah untuk anak rantau. Dapat menyalami tangan mak ayah dan menghirup udara segar di kampung mengubat kerinduan.
Aidiladha atau hari raya haji dah tak lama lagi. Rasanya ada anak rantau yang sudah pun kembali ke kampung untuk meraikan hari raya bersama mak dan ayah. Teruja memang teruja apatah lagi ada yang pertama kali berkesempatan balik sejak PKP dilaksanakan. Alhamdulilah, rentas negeri dibenarkan namun jangan lupa untuk patuhi SOP yang ditetapkan ye.
Balik Berkumpul Adik Beradik
Hati mak ayah bukan main seronok bila anak menantu dan cucu balik beraya. Macam-macam makanan sudah disediakan. Ada yang buat persiapan membeli barang kering. Nanti nak dimasak sup tulang lembu korban untuk anak menantu yang suka sup. Itulah cara mak ayah luahkan sayang dan kasih mereka pada anak-anak. Mungkin bukan jenis cakap di mulut, tapi dengan perbuatannya kita dah faham.
Bila semua balik, selain kemeriahan, soal belanja juga berganda bertambah. Kalau dulu mak ayah tinggal berdua di rumah, tapi kini mungkin kena sediakan makan untuk 17 orang. Mereka memang tak kisah, tapi anak-anak pun kenalah ‘reti bahasa’. Takkan nak biarkan mak ayah yang keluar duit?
Bila dah ramai, anak-anak kena main peranan. Tak patut susahkan mak ayah. Bincang dan berpakat adik beradik. Berapa nak kutip duit untuk makan minum sepanjang cuti di kampung. Kalau boleh, jangan biarkan mak ayah yang keluar duit ye.
Bila dah sepakat, seorang ambil tugas untuk jadi bendahari. Tiap hari nak beli barang makanan, dia akan bagi duit. Jadi, terkawal bajet. Rancang juga belanja harian untuk memudahkan beli barang dapur.
Masak Bersama
Bila dah ramai, seronok kalau masak sama-sama di dapur dengan mak dan adik beradik serta ipar duai. Selain eratkan silaturahim, ia juga bantu kita kawal bajet. Kalau masak, bajet rendah dan makan pun puas. Lebih-lebih lagi anak-anak tengah meningkat remaja, selera makan memang ‘besar’. Bila masak, dapat sediakan dalam kuantiti yang banyak. Bolehlah mereka makan berulang.
Jangan Ada Yang Ambil Kesempatan
Tak dinafikan, adik beradik ada banyak kepala. Belum kira ipar duai. Mungkin ada yang jenis ambil kesempatan dan berkira. Dia nak keluar duit sikit punya payah. Ada saja alasannya. Kononnya anak-anak dia makan sikit je. Haii..macam tu pulak ye?
Ada juga sumbang sedikit dengan alasan keluarga dia kecil, dia ada dua anak je. Biarlah adik beradik yang ada anak ramai keluar lebih bajet. Boleh difikir macam tu? Cubalah berlapang dada. Bila kita hulur duit dan dibeli barang makanan yang kemudian dimakan ramai-ramai, tak ke banyak pahala kita dapat? Janganlah berkira sangat.
Lainlah memang kewangan keluarga itu agak ketat. Yang bekerja hanya si suami. Mungkin ada kelonggaran dan adik beradik lain pun faham. Tapi sepatutnya, walau pun begitu, dia kena keluarkan juga bajet tapi ikut kemampuan. Kalau mampu beri RM30 saja, tak apa. Sebenarnya bukan jumlah yang dilihat, tapi sebagai tanda kesepakatan adik beradik. Dalam hal ini, kena terus terang juga pada adik beradik yang lain. Jangan pendam, sebab tak bagitahu mana orang nak tahu kan?
Sama-Sama Buat Kerja
Bila semua dah balik, rumah pun mesti bersepah, pinggan mangkuk kotor bersusun dalam sinki. Jadi, pandai-pandailah bahagi tugas. Bukan untuk isteri saja tapi para suami juga. Ketika ini, kita boleh ajar anak-anak untuk sama-sama ada tanggungjawab dan berdikari. Misalnya keluarga besar yang cucu-cucu lelaki tidur di ruang tamu rumah. Ha..pagi selepas bangun tidur, masing-masing kena kemaskan tempat tidur dan sapu.
Selain itu, seeloknya latih dan pesan pada anak-anak, bila balik kampung, cuci pinggan masing-masing lepas makan. Bila masing-masing buat, taklah terbeban pada seorang saja nak mencucinya nanti. Yang lebih besar tolong cuci pinggan adik yang kecil. Kalau nak mudah, beli siap-siap pinggan, cawan dan susu plastik. Dah guna, buang! Terpulang.
Isteri-isteri pula tak kira anak atau menantu, sepakat dalam tugasan di dapur. Jangan ada yang ‘mengelat’. Asyik kendong anak 24 jam sedangkan anak tu boleh disuruh anak yang lebih besar jagakan. Suami pun ada. Yang memasak orang yang sama. Mana tak penat! Ingat, bila semua kerja dilakukan bersama, pasti akan rasa lebih ringan.
Jangan Tinggalkan Rumah Mak Ayah Bersepah
Bila masing-masing nak balik, pastikan bersihkan rumah kampung itu elok-elok. Kemaskan apa yang patut. Jangan biarkan mak ayah yang dah tua tu kemas nanti. Ingat tu!
Selamat balik kampung. Jaga diri dan keluarga.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Percayalah sebab sikap suami pun si dia boleh minta bercerai sebab kadang lelaki tak sedar yang perbuatan mereka dibenci dan perlahan-lahan akan jadi musuh isteri. Kebanyakan suami selalu menyalahkan isteri apabila isteri kerap merajuk dan marah tanpa mengetahui apakah puncanya. Kerap kali apabila timbulnya masalah sikap isteri yang dikatakan mengada-ngada, itu menjadi punca pertengkaran.
Cuba anda semak kalau ada 15 sikap ini dalam diri, anda kenalah ubah. Buang terus pun lagi ok…
1. Suka tunjuk baran
Pantang silap sikit, terus nak maki. Lagi parah, kaki tangan cepat nak tampar atau mencekik leher isteri nak tunjuk dia berkuasa. Kalau dah selalu hadap, wanita akan jadi trauma dan benci dengan lelaki. Tapi ada juga yang sanggup bertahan, terpaksalah berendam air mata dan membiarkan hidup menderita. Lama kelamaan wanita ini akan hidup dalam keadaan tertekan dan boleh menyebabkan kemurungan!
2. Semua tak boleh
Kontrol sudut yang betul tak apa, ini kalau nak keluar dengan kawan-kawan perempuan sesekali pun kena marah. Kalau cakap elok-elok tak apa. Yang tak adil, kalau dia keluar melepak malam-malam sampai ke pagi, isteri tanya lebih terus dicop ‘queen control’. Aduhaaaiii… tolonglah saling memahami dalam dunia masing-masing. Mungkin cemburu, tapi jangan sampai seksa isteri, ya.
3. Buat salah tak minta maaf
Kalau gaduh, wanita selalu dipersalahkan. Kadang marahnya sudah hilang tetapi ego punya pasal sanggup mendiamkan diri nak tunggu isteri pujuk. Sesekali boleh, tapi jangan sampai perempuan merajuk dan keluar ego dia pula.
4. Suka cuci mata
Tak semua tapi ada yang jenis isteri dah cantik, mata masih lagi suka pandang wanita lain. Bayangkan kalau berjalan sebelah dengan anak isteri pun mata sempat ‘cuci mata’ tengok perempuan lain. Eh, ada ke isteri tak kisah bab ini?
5. Cepat mesra dan over
Peramah biar bertempat. Ini ada kes sampai nak tolong hantar ke rumah (dah kahwin), ada lagi pelik yang pantang jumpa wanita cantik terus banyak cakap sampai tak malu minta nombor telefon. Konon nak berkawan. Tak payah nak jadi ‘teman tapi mesra’ sangatlah.
6. Tak sensitif perasaan wanita
Wanita kadang suka merajuk, tapi lelaki kenalah tahu pujuk. Mungkin dah lama berumah tangga jadi ada yang buat tak kisah. Sebenarnya, wanita bukanlah terlalu sensitif atau terlalu manja. Isteri perlu rasa dirinya disayangi dan dibelai dengan penuh kasih sayang.
7. Lebih pentingkan kawan-kawan
Sanggup membatalkan perjanjian keluar dengan isteri semata nak menonton bola sepak atau diajak melepak oleh kawan-kawan lelaki. Ya, ada lelaki terlalu pentingkan kawan-kawan dalam segala hal. Merana juga kalau sampai terabai anak bini.
8. Tidak tahu menghargai
Penat isteri memasak, langsung suami tak sentuh. Haruslah sedih, terus hilang semangat wanita nak bahagiakan lelaki. Cubalah ambil hati wanita sikit, walau tak ikhlas.
9. Cakap tengking atau tinggi suara
Ada suara yang macho sekali pun ,tak payah nak tinggikan suara depan orang ramai. Atau mungkin depan mak ayah isteri. Ini antara kelemahan lelaki kerana mereka mudah meninggikan suara walaupun pasangannya tidak bersalah.
Kalau isteri meninggikan suara sikit, mulalah kata isteri dah pandai melawan. Tapi kalau dah selalu sangat suami guna nada tinggi, mana wanita tak buat perangai!
10. Asyik bagi alasan dan tipu
Sifat menipu dan suka berdolak-dalih ini, lama-kelamaan akan membuatkan isteri cepat meluat dan benci. Lelaki akan kerap menipu sekiranya dia ada bermain kayu tiga. Oppss…
11. Selekeh dan tak jaga penampilan
Nabi adalah contoh suami yang selalu kemas dan harum. Ingat bahawa Allah SWT Maha indah dan sangat menyukai keindahan. Jadi jagalah penampilan untuk sebahagian dari keimanan.
12. Malas buat kerja
Minta tolong kemas rumah pun macam-macam alasan si dia guna. Habis kalau dah isteri pun bekerja, janganlah pentingkan diri sangat.
13. Kurang bercakap dan bergurau
Jangan fikir bila dah kahwin, anda tak perlu tanya khabar. Isteri cepat bosan, jadi cubalah caring lebih untuk jaga perasaan dia. Apa salahnya hantar mesej sekali sehari tanya khabar walau sibuk dengan urusan kerja. Sekarang ni lagi canggih, WhatsApp dan Facebook pun boleh. Dan curilah peluang bergurau senda, bukan kena bayar pun.
14. Tidak bertanggungjawab terhadap anak
Semua nak suruh isteri yang buat, cubalah sesekali dekatkan diri dengan anak. Mendidik biarlah bersama, barulah lengkap. Ini biar je isteri dengan anak-anak. Letihlah emosi wanita kalau asyik diarah itu ini.
15. Berat sebelah
Kadang ada kes mentua tak suka menantu, ya bab inilah suami kena lebih peka. Tak bolehlah dengar sebelah pihak saja, peranan suami lebih berat kalau isteri tak ngam dengan Mak. Dengar saja cerita buruk, suami kena semak dan tidak keruhkan keadaan. Banyakkan doa dan mohon pada Allah, bukan hanya tahu salahkan isteri. Ya, isteri kena mengalah dengan Mak, tapi suami kena cari jalan terbaik untuk maniskan hubungan kekeluargaan.
Baik lelaki atau perempuan, jagalah rumah tangga dengan susunan dan petua hidup yang teratur. Jangan asyik mengarah, sesekali bagi ruang dan peluang kepada pasangan untuk meluah dan berkongsi masalah. Dan ketahuilah lelaki, emosi wanita sangat cepat berubah dan hatinya rapuh. Semua terpulang pada layanan dan kasih sayang anda sebagai suami. In shaa Allah bahagia itu datang…
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ada orang kata, kehidupan itu bermula bila masuk umur 40 tahun. Masa itulah nak dicuba macam-maam perkara yang tak dapat dilakukan semasa muda.
Hakikatnya, ada rahsia yang disebut dalam Al-Quran bila tentang umur 40 ini. Sebagaimana yang dikongsikan Abdul Muiez Ruslee ini tentang perihal bila nak masuk umur 40 tahun.
Dah Nak Masuk Umur 40, Apa Perlu Dilakukan
Umur dah nak masuk 40 tahun ni, banyak benda yang saya fikir.
Ikut akal manusia, lebih banyak umur, lebih dekatlah kita untuk menemui Allah.
Banyak terfikir tentang diri. Terutama bab ibadah. Bab wajib satu hal. Bab sunat lagilah banyak.
Macam mana dengan sedekah? Cukupkah sedekah selama ini? Dengan RM1 yang dimasukkan dalam tabung masjid setiap Jumaat, agak-agak boleh beli syurga tak?
Sempurnakan Amalan
Teringat sabda Nabi. Apabila mati anak Adam, terputus segala amalan kecuali 3 perkara. Salah satunya sedekah jariah.
Macam mana pula dengan solat? Cukup tak solat kita? Pukul berapa kita solat?
Teringat pesan Imam Al- Ghazali di dalam kitabnya, Ihya’ Ulumuddin.
Apabila solat dilakukan dengan sempurna, ia pasti diterima. Lain-lain amal juga diterima. Tetapi apabila terdapat kekurangan, solat dan lain-lain amalan dikembalikan kepada si pelakunya.
Macam mana pula dengan ibadah lain? Seperti membaca surah Al-Mulk, puasa sunat, solat dua rakaat sebelum solat subuh dan banyak lagi.
Macam yang kita tahu, surah Al-Mulk itu menghindarkan kita dari azab kubur.
Ada banyak hadis nabi tentang puasa sunat. Salah satunya, hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari.
Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun.
Itu belum lagi kelebihan menunaikan solat dua rakaat sebelum subuh.
Nabi pernah bersabda. Dua rakaat fajar adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya.
Allahu akbar. Kalau nak dihitung, ish, macam tak cukup je amalan nak jumpa Allah ni.
Dan kalau umur panjang, rezeki. Kalau umur pendek pun, rezeki.
Kata orang, life begins at fourty. Betul dah tu.
Umur 40 ni dah dekat sangat dengan Allah. Kalau kita meninggal lebih kurang sama dengan umur Nabi wafat, ada dalam 20 tahun lagi. Itu pun kalau sampai.
Kenapa 40?
Allah sendiri sebut dengan jelas umur 40 tahun dalam surah Al-Ahqaf ayat 15.
Umur 40 tahun ini sempadan bermulanya perubahan. Kalau dah umur tu pun masih belum berubah, susah dah untuk kita berubah.
Dalam kita persiapkan diri untuk dunia, jangan lupa juga untuk akhirat.
Nasihat untuk diri saya, dan rakan-rakan yang lahir tahun 81, 82 dan 83. Zon emas 40 tahun. Ya, kitalah orangnya.
“Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)”.
Mingguan Wanita : Meniti usia 40 tahun, banyakkan bersyukur. Berdamai sajalah dengan takdir Ilahi.
Sekeluarga dirempuh treler pemandu microsleep, ibu belum tahu anak meninggal kerap tanya mana anak sulung. Sebuah keluarga yang menaiki kereta proton saga mengalami detik...