Raya hanya berbaki sekitar seminggu lagi. Dengan kelonggaran PKP, pastinya ada yang memasang niat untuk menziarahi keluarga (bagi yang tinggal berdekatan). Tetapi bila berpeluang untuk ziarah tu, jagalah adab dan tutur kata. Raya musim PKP ni, pastikan anda kekal menjaga penjarakan sosial, tak perlu adegan salam laga-laga pipi,bersentuhan tangan, pastikan anda memakai topeng muka serta sentiasa memastikan tangan dalam keadaan bersih. Bagi yang tak sihat, dinasihatkan batalkan saja keinginan nak berziarah atau menerima tetamu. Begitu juga menziarahi mereka yang baru menyambut kelahiran bayi. Jika tak ada keperluan, tak ziarah pun tak ada siapa yang berkecil hati. Sebab masing-masing aware dengan pandemik ini. Berziarah tetapi patuhi lah SOP PKP dan sentiasalah berjaga-jaga. Selain menjaga diri, diingatkan jaga juga perilaku dan tutur kata. Pesanan Dr Redza Zainol ni ada benarnya juga dan boleh dijadikan panduan.
Setiap hari, hidup saya dipenuhi dengan bayi. Maklumlah, jaga wad bayi. Hehe. Sehari boleh pegang, belek-belek sampai 30-40 bayi. Ada beberapa perkara ni, tak perlu buat kalau pergi melawat bayi.
- Kalau nampak bayi yang baru lahir, tak payah nak main cak cak dengan bayi tu. Dia belum pandai lagi nak main cak cak. Mata bayi tu baru boleh tengok bayang-bayang je.
- Jangan suka-suka pegang dan cium bayi orang tanpa izin ibu dan ayah bayi tu. Bayi ni sistem imun dia belum matang, jadi mudah dijangkiti kuman.
- Banyak kuman yang ada pada orang dewasa, gejala tak teruk tapi pada bayi sampai boleh mengancam nyawa.
- Jangan tegur bayi tu mata dia juling. Kebanyakan bayi ni, kedudukan mata dia akan jadi normal semula selepas umur 4 bulan. Kalau masih juling selepas umur 4 bulan, boleh dirujuk pada doktor mata.
- Kurangkan bagi tips itu dan ini pada ibu muda. Kalau dia tanya, bolehlah kita kongsi tips dan pengalaman. Yang lebih penting ialah sokongan moral dan mental. Kita ada di situ, dah cukup untuk buat dia rasa selesa.
- Perokok ada risiko bawa third hand smoke pada bayi. Maksudnya partikel asap rokok pada badan perokok tu boleh melekat pada kain bedung dan baju bayi.
- Bayi yang terdedah pada third hand smoke, berisiko untuk dapat jangkitan paru-paru, jangkitan telinga dan kematian secara tiba-tiba ketika tidur (SIDS).
- Jadi, perokok sila jauhkan diri anda dari bayi.
- Ni paling selalu pelawat buat. Mak tu berjam-jam susukan anak sebab nak bagi anak dia tidur. Kita pula datang terus kejutkan bayi. Memang boleh bikin mak tu naik gila dan stress.
- Bila pergi ke rumah orang, ingat tau apa yang saya kongsikan ni. Kadang-kadang kita tak sengaja sebab excited sangat nampak baby kan.
Bantu saya #sebarkan supaya lagi ramai yang lebih prihatin masa pergi melawat rumah keluarga terdekat semasa Raya ni.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Makan Pisang Untuk Tambah Tenaga Berpuasa
Tenaga amat penting ketika berpuasa. Anda mahu tambah tenaga ketika berpuasa? Apa kata makan pisang kerana buah yang dikenali dengan nama saintifiknya Musa Paradisiaca ini mampu menambahkan tenaga ketika anda menjalani ibadah berpuasa.
Di kalangan rakyat Malaysia, buah pisang paling popular dimakan setelah digoreng dan dijadikan kerepek pisang.Tidak salah memakan pisang goreng dan kerepek pisang. Tetapi digalakkan untuk makan pisang segar jika mahu mendapatkan khasiat buah yang bebas lemak, bebas kolesterol, kandungan garam yang rendah serta kaya dengan vitamin dan potassium ini.
Anda tahukah apa khasiat dan zat-zat, vitamin dan mineral yang terdapat dalam sebiji pisang?
1-Penambah tenaga yang hilang
Tubuh menggunakan karbohidrat sebagai sumber utama mendapatkan tenaga. Biasanya mereka yang suka bersenam atau bersukan akan memilih untuk memakan pisang bagi menggantikan tenaga yang hilang sewaktu melakukan aktiviti sihat itu. Oleh itu tidak hairanlah jika buah pisang boleh dijadikan makanan tambahan lain yang dimakan bersama makanan biasa anda makan pada waktu bersahur kerana ia akan memberikan tenaga yang diperlukan untuk menjalani urusan seharian ketika berpuasa.
2-Mencegah kekejangan otot.
Pisang memang terkenal dengan kandungan potassium yang tinggi. Lebih kurang 400 mg potassium terdapat dalam sebiji pisang bersaiz sederhana. Potassium amat perlu untuk fungsi saraf dan otot yang baik. Ia juga perlu bagi mengekalkan keseimbangan kesihatan cecair dalam tubuh. Potassium dalam pisang dikatakan boleh membantu mencegah kekejangan otot selepas bersenam.
3-Memperbaik penyerapan zat-zat lain.
Jangan tak percaya. Buah pisang juga mengandungi sejumlah vitamin C yang baik. Sebiji pisang dikatakan menyedia lebih 10 mg vitamin C atau lebih kurang 15 peratus nilai vitamin C yang disyorkan untuk tubuh. Vitamin C mampu merangsang kesihatan sistem dan sel-sel tubuh. Ia juga mampu memperbaik penyerapan zat-zat lain seperti besi.
4-Membina sel-sel baru.
Tahukah anda pisang juga merupakan sumber terbaik vitamin B-6 atau dikenali sebagai pyridoxine. Biasanya Vitamin B-6 lebih banyak ditemui dalam produk daripada haiwan. Vitamin B-6 digunakan oleh tubuh untuk membina sel-sel baru. Sebiji pisang dikatakan menyediakan 35 peratus nilai seharian vitamin B-6 yang diperlukan tubuh.
5-Baik untuk kesihatan tulang
Orang dewasa memerlukan lebih kurang 1.8 dan 2.3 mg mangan setiap hari. Mangan amat perlu untuk kesihatan tulang dan metabolisme tubuh. Pisang adalah sumber baik mangan. Sebiji pisang bersaiz sederhana menyediakan lebih kurang .3 mg mangan.
6-Memudahkan proses pencernaan.
Serat dalam pemakanan amat diperlukan untuk membantu anda rasa kenyang lebih lama. Ia juga penting bagi memudahkan proses pencernaan berjalan lancar. Sebiji buah pisang dikatakan mengandungi lebih kurang 3 gm serat pemakanan. Pilihlah buah pisang bagi memastikan pencernaan dalam usus berjalan lancar.
Pisang turut mengandungi bahan prebiotik fructooligosaccharide. Ia menyediakan zat untuk bakteria baik yang ada dalam perut. Prebiotik adalah komponen serat mudah larut yang terdapat dalam makan yang boleh merangsang pertumbuhan bakteria dalam sistem pencernaan dan membantu menghasilkan enzim pencernaan.
7-Mengurangkan kemurungan
Buah pisang dikatakan mampu mengurangkan kemurungan kerana ia mengandungi tryptophan yang akan ditukar kepada serotonin apabila dimakan. Serotonin terkenal sebagai kimia untuk memperbaiki mood atau perasaan.
8-Ada banyak lagi Vitamin dan mineral lain
Selain zat-zat yang disebutkan tadi, buah pisang turut menyediakan sejumlah kecil vitamin dan mineral lain. Sebiji pisang ada juga mengandungi zat besi, magnesium, kalsium, fosforus, vitamin A, vitamin E, folat, karotena dan choline. Terdapat juga sedikit asid amino di dalam buah ini.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Bermula Ketulan Sebesar Guli & Rasa Sengal Pada Lengan, Sangkaan Saraf Terhimpit, Rupanya Diuji Dengan..
Kaum wanita, jika rasa ada ketulan sebesar guli pada payudara, rasa sengal-sengal dan bisa-bisa dari paras bahu hingga ke lengan, sebaiknya berjumpa doktor untuk melakukan pemeriksaan.Simptom berikut merupakan antara yang dilalui oleh Puan Norhafiza Muzelan sebelum disahkan menghidap Kanser Payudara.
Kanser Payudara merupakan antara penyakit yang ‘digeruni’ oleh kaum wanita. Bukan semua wanita kuat semangat dan kekal positif bila diuji dengan penyakit ini. Perjuangan wanita pesakit kanser ini wajah dicontohi. Perjalanan beliau melalui pelbagai rawatan kanser juga bukannya mudah namun segalanya dihadapi dengan tenang, redha serta hati terbuka.
Berikut antara perkongsian beliau;
Kronologi peristiwa – Bagaimana aku disahkan menghidapi kanser.
Genap arini setahun tamatnya kemoterapi terakhir (8/11/16 – 8/11/17)
Oktober 2015 :
Perasan ada ketulan sebesar guli di breast kanan. Tapi diamkan diri tak bagitau sesiapa pun. Sebab tak rasa sakit langsung. Hehe rahsia.
November 2015 :
Tangan dari paras bahu hingga ke lengan dah mula terasa sengal-sengal. Tapi bukan pada setiap masa. Waktu ni dah mula bagitau semua ahli keluarga. Tapi masih tak ke klinik atau hospital. Hahahaha sebab kurang pengetahuan bab-bab kesihatan.
Disember 2015 :
Tidur malam mula terganggu dan tersedar jam 2 pagi. Tangan terasa AMAT BISA seperti dilenyek treler. Menangis-nangis kejutkan suami. Ingatkan tidur tangan terhimpit. Siap buka gelang dan cincin sebab ingatkan aliran darah tak lancar sebab tu jadi bisa. Rupanya tak ada kena mengena pun. Huhu.
Januari 2016 :
“Sekali lagi tidur terganggu. Sakit + bisa + berdenyut-denyut hanya Allah yang tahu. Airmata tak segan silu mengalir. Nekad ke kecemasan, dan doktor HSA mengatakan “ooo saraf awak terhimpit, saya beri awak vitamin saraf ye”. Sebulan berlalu tak mendatangkan hasil yang memuaskan. Maka…bermulalah kini sesi FISIOTERAPI setiap 2 minggu sekali untuk ‘betulkan’ saraf yang terhimpit tu selama 6 sesi.”
Februari 2016 :
Masih setia dengan fisioterapi dan makan vitaman saraf. Dalam pada tu ada buat pemeriksaan saraf guna mesin. Tapi lupa dah nama alat tu kihkihkih.
Ketulan Sebesar Bola Ping Pong
Mac 2016 :
Ketulan yang asalnya sebiji guli tadi dah membesar jadi bola ping pong.Alamak. Masa ni dah mula rasa sakit kat breast bila terlanggar sikit pun. Kebetulan ada ziarah kawan kat KPJ, so dia la yang paksa diri ini untuk rujuk doktor dengan segera.
30 April 2016 :
Merajuk dengan hospital kerajaan sebab tak habis-habis suruh buat fisio dan beri vitamin saraf aku terus ke hospital bukan kerajaan untuk buat ultrasound hehehe.Ternyata ketulan aku jenis solid dan perlu dibuang serta diuji. Lalu aku dirujuk ke pakar bedah. Kebetulan pula masa tu doktor bedah ada kecemasan so tak dapat la jumpa dia hari tu, dah la hari Sabtu. Adehhh.
Ok tak pe aku terus deal dengan nurse dan bgtau yang kami akan datang semula pada 3 Mei memandangkan 1 dan 2 Mei adalah cuti hari pekerja.
*gambar atas sekali tu menunjukkan breast kiri yang normal. Gambar tengah menunjukkan kehadiran ketulan di breast kanan dan gambar terakhir menunjukkan anggaran saiz ketulan.
3 Mei 2016
9 pagi kami bertolak ke hospital untuk temujanji dengan pakar bedah. Segala perbincangan dan penerangan Doc Lee tentang pembedahan berjalan lancar. Dan aku minta untuk dibedah pada hari itu juga. Kelihatan Doc Lee agak terkejut “tak ada orang yang datang jumpa saya menyerah diri macam awak, bagus awak seorang yang sangat berani”. Hehe kembang jugalah hati ni bila dipuji. Yelakan kalau minggu depan atau 2 minggu sekalipun aku tetap juga kena bedah. Baik buat terus.
Mulanya memang doktor tak berapa setuju, tapi bila dah bagitau yang beg baju dan suami dah siap-siap mohon cuti so Doc akur. Weee.
Pembedahan Ketulan Dibuang
4 Mei 2016
Hari ke 2 dalam wad. Alhamdulillah berpeluang merasai nikmat kesakitan. Sesungguhnya sakit itu penghapus dosa-dosa kecil. Syukur semuanya berjalan lancar dan dimudahkan ALLAH. Aku selamat dalam pembedahan buang ketulan di breast kanan pada jam 650 petang pada hari sama semalam.3 hari 2 malam di dalam wad, kami buat seperti percutian keluarga. Anak beranak tidur sekali. Tq semua sebab sudi teman mama.
Keputusan akan doktor umumkan 2 minggu lagi. So dalam 2 minggu proses penyembuhan ni memang ada ulang alik ke hospital untuk cuci luka tp Doc tetap rahsiakan keputusan. Katanya tunggu 18 Mei..
11 Mei 2016
Jumpa doktor untuk rawatan susulan dan dressing.
2 Minggu Tunggu Keputusan Disahkan Kanser
18 Mei 2016
Bermulalah episod baru dalam kehidupan. Ye perubahan 100% yang mendadak. Pagi-pagi dah sampai hospital dengan semangat yang berkobar-kobar untuk dapatkan keputusan. Walau apapun jua keputusan tetap kena terima, tetap kena redha.
Nama dipanggil oleh nurse yang manis, Doc persilakan kami duduk, bertanyakan khabar macam biasa. Ada riak serba salah di wajahnya sambil menunduk memandang fail. Aku mulakan bicara, macam mana Doc keputusan saya. Adakah ia baik atau tidak. Doc senyum tawar dan sebelum tu minta maaf pada kami. Katanya ketulan yang dibuang itu keputusannya adalah tidak baik, suaranya semakin perlahan aku rasakan. Doc tenung aku dan sahkan aku kena kanser.
“ALLAHUAKBAR, alhamdulillah. Inilah saya Doc, 2 minggu saya tunggu keputusan ni” kataku tersenyum sambil toleh suami dan nurse di sisi. Suami masih tergamam dengan kata-kata Doc apatah lagi melihat aku seolah-olah seronok. Dalam tak sedar dia menangis. Ye dia menangis dulu sebelum aku. Mana tahan tengok air mata mahal sang suami mengalir. Maka aku pun menangis semahunya. Huwaaaaa..Tiba-tiba nurse lari keluar bilik dia tak tahan tengok drama air mata berjemaah kami. Kihkihkih.
Selesai sesi perbincangan aku minta dipindahkan ke KPJ yang lebih dekat dengan rumah. Doc Lee sangat pro, diberinya no tel untuk kami hubungi bila-bila masa. Terima kasih banyak-banyak Doc, jasamu dikenang sepanjang hayat.
Kami terus ke KPJ dan mendapatkan temujanji untuk berjumpa Dr Kadir pada keesokkan harinya.
*ini dia ketulan yang berjaya dikeluarkan bersaiz 35mm x 25mm x 20mm. Sel kansernya dibahagian tengah berwarna kekuningan. Kiri kanan tu hanya tisu dan daging breast.
31 Mei 2016
Masuk wad lagi dan lagi. Sebelum tu kena jalani prosedur biasa sebelum pembedahan iaitu ambil darah, x ray dan ECG. Alhamdulilah semuanya baik-baik je.
Pengalaman ke 5 Dalam Bilik Bedah & Buang 14 Kelenjar Limfa
1 Jun 2016
Disorong ke dewan bedah pada 1 tengah hari. Dalam hati tetap ada rasa takut walaupun itu pengalaman ke 5 aku dalam bilik bedah. 5 petang aku sedar-sedar dah ada semula dalam wad, tapi masih mamai akibat kesan bius. Aku terlelap semula sehinggalah 730 ptg baru betul-betul tersedar dan mula rasa pedih-pedih dan sakit dibahagian pembedahan subhanallah ramainya saudara mara dan keluarga dikeliling katil. Terharu huwaaaaaa.
Jadilah aku penghuni wad selama 7 hari 6 malam bersama 2 botol vacum darah yang ditebuk di kanan badan. Muka ada senyum, padahal bila jalan terbongkok-bongkok macam mak nenek..
*masa nak cabut tiub vacum tu memang best rasanya. Nama pun vacumkan, rasa macam kena sedut segala urat-urat dalam badan. Subahanallah dalam tak sedar aku menangis. Hehehe manja la katakan, ahaksss.
Menu yang sama aku minta. Supaya lancar penghadaman selepas pembedahan. Manja sangat selama dalam wad ni hehe. Makan bersuap macam pengantin baru bukan sebab apa, semuanya sebab tangan kanan aku ketat tak boleh angkat. Aku buang sekali 14 kelenjar limfa.
6 Jun 2016 : Dibenarkan pulang pada hari yang penuh rahmat di mana seluruh umat islam menyambut 1 Ramadhan. Seminggu kemudian kena datang semula untuk buka jahitan benang dan dapatkan keputusan makmal. Weee sedap.
Kategori ‘Triple Negative Breast Cancer’ & Jalani Kemoterapi 6 Cycle
Jun 2016 :
Alhamdulillah aku semakin sihat. Luka pembedahan pun kering, cantik sangat kata Doktor Kadir. So keputusan di baca 1 persatu. Katanya aku perlu dirujuk ke KPJ JOHOR pula memandangkan pakar kanser tiada di sini. Hari yang sama aku terus bawa segala medical report ke KPJ JOHOR. Kes aku diterima Doktor Natasya Onkologi. Dia menyatakan yang kanser aku dikategorikan sebagai TRIPLE NEGATIVE BREAST CANCER. Wow apa tu,Aku disarankan menjalani kemoterapi sebanyak 4 cycle, dimana harga 1 cycle adalah rm4500. Alamak macam mana ni. Insuran cover RM2k je setiap cycle, so aku minta pula dirujuk ke HSI. Haa ni hospital ke 3 tau. Best tak asyik pindah-pindah hospital.
Esoknya aku terus ke unit Onkologi HSI untuk dapatkan temujanji dgn bawa segala medical report. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan aku dapat tarikh 30 Jun 2016 untuk berjumpa Doktor pakar onkologi d HSI.
30 Jun 2016
Kes aku diterima Doktor Tan. Sangat berhemah bila bercakap, penerangannya sangat lembut dan mudah difahami. Katanya aku hanya perlu jalani kemoterapi 6 cycle, tak perlu radioterapi, hormon terapi, herceptin dan tak perlu makan ubat hormon TAMOXIFEN. Alhamdulillah syukur ku panjatkan ke hadrat Ilahi atas kurniaan ini.
12 Julai 2016
Pagi 5 Syawal dah sampai Onkologi utk pra – kemoterapi. Ambil darah, timbang berat badan dan buat ECG. Nurse pesan kalau pihak hospital tak ada buat call petang hari maknanya bacaan darah cantik dan boleh datang kemo pada 14 Julai. Alhamdulillah semuanya baik-baik je sebab hospital tak call. Yippi boleh kemo.
Bermula Rawatan Kemoterapi
14 Julai 2016
9 pagi daftar dan terus naik ke pusat harian kemoterapi di tingkat 5 HSI. Hati rasa berdebar-debar walaupun suami setia di sisi. Tertanya-tanya bagaimanakah proses kemo tu berjalan. Sakit ke, menakutkan ke atau perlu masuk dalam mesin ke. Oooo rupanya kemoterapi ni cucuk jarum kat tangan dan ubat masuk melalui drip.
Sebelum masuk ubat, nurse suntik dulu ubat tahan muntah dan steroid. Lepas tu on air dulu dalam setengah botol untuk lancarkan perjalanan darah dan baru la on ubat kemo. taklama pun, cycle pertama ni berlangsung 45 minit je. Selesai kemo makanan tengahari pun dah tersedia. Apalagi, makan la dengan lahapnya. Lapar kihkihkih. Bismillah.
*rawatan kemoterapi yang aku terima adalah sebanyak 6 kali iaitu setiap 3 minggu sekali. Bermula 14 Julai 2016 sehingga 8 Nov 2016.
4 Ogos 2016
Alhamdulillah..
2nd cycle chemotherapy. Segalanya dipermudahkan. Aamiin Ya Rahman Ya Rahim.
Masih lagi ubat yang sama iaitu FEC.
21 Ogos 2016
Lengan dah dimasukkan jarum utk sesi CT SCAN. Ngeri sikit bila cucuk jarum kat lengan sebab biasanya kat belakang tapak tangan. Tapi memang untuk proses CT SCAN jarum memang kena pasang kat situ, jangan pelik tau. Ok Jom.
21 Ogos 2016
Baru selamat 2 cycle kemoterapi doktor dah suruh buat CT SCAN untuk melihat sama ada sel-sel berjalan ke tempat lain. Sebelum tu kena puasa 6 jam dulu. Sekarang masa untuk minum ‘air anggur’ 1 jug. Hahahaha kena minum 1 cawan panjang depan nurse, sebab kata nurse ada yang tipu tak minum. Sebab dah haus sangat so habis sekali nafas, nurse senyum je. Lepas tu dia pesan baki dalam jug ni jangan minum senafas kak, minum setengah cawan setiap 10 minit. Ok proses penyedian utk CT SCAN ni amik masa lebih 1 jam jugak la.
Dalam bilik scan. Baring tegak di atas katil mesin, diselimutkan. Kedua-dua tangan di letak ke hujung kepala. Sebelah tu ada mesin wayar lalu di sambungkan ke jarum yang dah sedia ada di lengan tadi. Bila staff hospital cakap, ok puan saya nak on ubat di lengan ye. Serta merta rasa sakit mencucuk. Subhanallah. Sakitnya, aku menangis dan menggeletar kesejukan. Rupanya tu percubaan je.
Ok kali ni kita on ubat sekali lagi ye kak, tahan ye kak. Terus dia lari tinggalkan aku di pembaringan yang mana mesin itu bergerak ke dalam hingga paras bahu dan keluar semula hingga ke hujung kaki. Berulang2 la mesin tu keluar masukkan aku untuk di scan.
Ni masa dalam wad. Tak sedih pun bila tengok rambut mula tanggal dan gugur. Hati dah cukup kuat dan sangat-sangat bersedia. Lagipun doktor dah pesan awal-awal antara kesan kemo adalah rambut akan keguguran. Sebab tu sebelum kemo suami dah potongkan rambut aku sampai atas bahu. Alaaa rambut kan boleh tumbuh dan panjang semula. Alhamdulillah ?
Ye aku menjadi botak, kening dan bulu mata juga gugur. Anak-anak suka usap kepala mama dia yang licin ni. Melihat kegembiraan mereka aku menjadi semakin kuat alhamdulillah.
*masa ni baru hari ke 12 selepas kemo pertama. Dahsyat sungguh penangan ubat FEC ni. Secepat itu rambut menjadi rapuh dan gugur.
*rambut gugur disebabkan kesan daripada kemoterapi ye. Bukan disebabkan penyakit kanser. Jangan terpedaya dengan lakonan drama. Pesakit yang tak menerima rawatan kemoterapi tak akan sesekali rambutnya gugur, ingat tu. Lagi 1 kesan keguguran juga mengikut jenis-jenis ubat.
Julai 2016
Tarikh lupa. Cuma ingat aku demam teruk kat rumah dah 4 hari sejak kemo pertama. Suami bawa ke kecemasan terus masuk zon kuning. Rasa macam nak mati sangat masa tu. Dari zon kuning aku di tempatkan di bilik isolated ni.
Rasa hiba sangat bila doktor cakap “saya nak selamatkan awak”
Sesiapa nak masuk kena pakai
Tapi terus terang, aku memang tak nak terima pelawat pun. Hanya en suamiku nan abadi je yang setia menemani sepanjang 4 hari aku di sini. Weee.
Selama 4 hari dalam wad, aku terima 1 beg darah disebabkan bacaan sel darah merah sangat rendah. T.kasih pada penderma darah, anda memang baik hati dan semoga beroleh kesihatan yang berpanjangan. Aku disuntik antibiotik di bahu untuk naikkan bacaan sel darah putih, ok suntikkan ni sedap rasa dia.
Setiap 4 jam lengan dicucuk amik darah untuk pemantauan bacaan darah agar sentiasa stabil. Ubat jangan cakap la. Berpuluh biji masuk dalam perut. Hehehe kenangan semua ni. Alhamdulillah.
Ok ni 3 jenis ubat kemo untuk cycle 1, 2 dan 3 yang aku terima. Cycle 4, 5 dan 6 doktor bagi ubat DOCETAXEL. Tak pam guna jarum kat tangan lagi dah tapi ubat tu sebotol yang digantung.
FEC ikut huruf depan setiap ubat tu.
F : FLUOROURACIL
E : EPIRUBICIN (yg ni kaler merah)
C : CYCLOPHOSPHAMIDE
Proses kemo langsung tak menyakitkan. Yang sakit masa cucuk jarum je. Biasalah tajamkan. So jangan terpedaya yang kononnya kemo tu menyakitkan .Ok. Gambar ubat tadi dan proses kemo ni memang minta izin dengan nurse dulu. Nurse kat daycare HSI ni semuanya best-best, baik hati. Layanan 1st class. Macam ni la masukkan ubat kemo terus ke urat. Sedap.
*proses untuk 3 jenis ubat ni amibk masa 45 minit hingga 1 jam kerana prosesnya kena serentak dengan air drip.
20 Sept 2016
Alhamdulillah. Syukur dapat jalani kemo ke 4 selepas tunda minggu lalu disebabkan sel darah putih x cun. Hari ni kali pertama tukar ubat baru. Guna ubat DOCETAXEL ni sampai kemo ke 6. Ubatnya dalam botol pulak. Kalau FEC guna jarum je pam kat urat. Lain ubat lain caranya. Kannn.
*untuk kemo cycle 4, 5 dan 6 aku terima ubat DOCETAXEL. Masa ni rambut dah mula tumbuh tapi bulu mata pulak yang gugur.
18 Okt 2016
Kemo cycle ke 5
8 Nov 2016
Kemo cycle ke 6
Alhamdulillah. Semuanya berjalan dengan lancar. Syukur ke hadrat ilahi.
Gambar ni masa baru kemo ke 2. Sengaja amik risiko keluar jalan2. Yelakan dari duduk rumah layan perasaan baik keluar tengok keindahan alam semula jadi. Cuma doktor pesan, pakai mask dan elakkan ke tempat2 sesak ?
Tq en suami yang setia menemani. Layan ayang bagaikan puteri. Love u forever, selagi hayat dikandung badan.
T.kasih buat kamu-kamu yang sudi baca.
Doakan Fiza terus sihat dan kuat hadapi hari2 mendatang. Aamiin.
Sehingga kini Fiza masih follow up
3 bulan sekali : ONKOLOGI HSI
4 bulan sekali : SURGEON HSI
Semoga kita semua diberi kesihatan yang optima dan sentiasa dalam rahmat yang ESA.
Aamiin. Allahumma Aamiin.
Sumber: Norhafiza Muzelan
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI
Jangan Anggap Emak Macam Al-Quran Buruk, Dibaca Tak Boleh, Dibuang Berdosa
Suasana hiba dan sebak di set studio Mingguan Wanita TalkShow hari ini membuatkan ramai pemanggil cuba menembusi talian dan ingin menyuarakan pendapat mereka sendiri tentang isu "Syurga Yang Dipinggirkan". Dikendalikan oleh Iman Muda Naufal Hatta dan Siti Elizad saling berkongsi pandangan berkenaan isu ibu bapa yang ditinggalkan di rumah orang tua. Hadir sama memberi pandangan adalah Encik Rashid Mohd Nor yang merupakan pengasas Pusat Jagaan Husna Arrashid di Kuala Lumpur.
Menurut pandangan Encik Rashid, beliau meluahkan rasa kecewanya apabila ada anak-anak yang menghantar ibu bapa mereka ke rumah jagaan ini dengan sengaja memutuskan terus hubungan dengan orang tua mereka. Walaupun ramai kakitangan lain yang menguruskan, orang tua ini tetap mahukan 'Encik Rashid' menghubungi anak mereka.
"Disini kami menetapkan peraturan ketat berkenaan waktu wajib melawat ibu bapa yang ditempatkan disini. Walaupun pada permulaannya ada yang mematuhi, lama kelamaan anak-anak ini sengaja melanggar peraturan dan tidak melawat orang tua mereka. Ada yang dengan sengaja tidak melawat sehingga bertahun-tahun lamanya. Orang tua disini yang mengalami macam-macam masalah kesihatan, sering menyuarakan hasrat hati mereka dan merayu saya menghubungi anak-anak mereka. Apa yang menyedihkan mereka sentiasa ternanti-nanti kedatangan anak-anak, tetapi anak-anak dengan sengaja menghampakan penantian ibu bapa mereka,"kongsinya mengenai ragam anak-anak yang sengaja mengabaikan orang tua terutamanya yang berurusan dengan pusat jagaan orang tua kendaliannya.
Jangan anggap Emak macam Al-Quran buruk!
Seorang wanita tua yang hadir dengan berkerusi roda ke set Mingguan Wanita hari ini, merupakan salah seorang penghuni Pusat Jagaan Husna Arrashid. Identitinya sengaja dirahsiakan dan beliau meluahkan kenyataan ini apabila SIti Elizad bertanyakan apa pesanannya khas untuk anak-anaknya.
"Saya redha dihantar anak-anak ke sini. Saya cuba memahami situasi mereka. Masing-masing sudah dewasa dan saya tak pernah lupa usaha saya dan suami membesarkan dan menyekolahkan mereka sewaktu mereka kecil. Pesan saya, jangan dianggap Emak ini seperti Al-Quran buruk, dibaca tak boleh …dibuang berdosa,"kongsinya ringkas tapi mendalam maknanya.
Azab Allah balasan anak mengabaikan orang tua – Datuk Ustazah Siti Norbahyah Mahmod
Ustazah Siti Norbahyah menegaskan darjat seorang ibu bapa, letaknya ditempat kedua selepas kita mentaati Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W. Susu termahal di dunia adalah susu yang lahir dari ihsan dan kasih sayang seorang ibu, Keringat termahal dunia pula datangnya dari keringat yang menitis dari usaha keras seorang ayah.
"Jangan kamu bercakap kasar dan melayan kasar orang tua mu. Allah juga mewasiatkan kepada manusia, agar sentiasa menjaga pintu syurga kita di dunia yang ada pada ibu dan bapa kita. Syukur kepada Allah SWT kerana memberikan kita nikmat untuk berbakti kepada orang tua. Rebutlah dan hargai syurga kita itu sebaiknya.
"Anak-anak hari ini duji dengan tiga situasi yang menyebabkan mereka kurang peka dengan kepentingan menjaga orang tua. Kurangnya rasa bersyukur, terlalu mengejar kebendaan dunia dan desakan daripada pasangan yang enggan menjaga orang tua antara punca mengapa anak-anak mengabaikan orang tua. Pantun orang dulu juga ada memberi nasihat,
Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan,
Buang emak buang saudara,
Kerana kasih hamba turutkan.
Jangan kerana berpaling kasih kepada pasangan, kita buang dan lupakan syurga yang menjaga kita sejak kita dialam rahim lagi,"pesan Ustazah SIti Norbahyah.
Dalam sesi yang sama Ustazah sempat berkongsi tiga potongan doa melembutkan hati anak-anak yang mengabaikan orang tua. Jangan lupa ikuti siaran ulangan Mingguan Wanita TalkShow untuk mengetahui apa doa-doa tersebut jam 8 malam ini berkenaan topik "Syurga Yang Dipinggirkan" di Astro Prima 105 dan Prima HD 121.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI