Menakutkan dunia sekarang. Garis sempadan batasan hubungan suami orang mahupun isteri orang semacam sudah hilang. Bebasnya bergurau senda tanpa sedar diri siapa diri anda yang sebenarnya.
Benar, hubungan rakan sepejabat saja. Takkan berubah menjadi cinta. TAPIII.. jangan sesekali dimulakan. Sebab sekali terlajak meluah isi hati, amat payah untuk ditarik balik.
Angaunya bila berCINTA (kononnya) dengan rakan sepejabat, atau rakan apa-apalah.. akan membawa luka yang tersangat parah dalam rumah tangga anda kelak.
Mesej ini ditujukan buat suami mahupun isteri orang. Sebab zaman sekarang sama saja galaknya. Macam saling berdendam pula, bila suami boleh curang mengapa tidak isteri. Eh! Eh! Kau ni dah ikut mazhab mana.
Wahai Suami, Isteri Orang, Jangan Cari Pasal Dengan 4 Hal Ini
1. Jangan Cari Pasal Ya.. Tak Perlu ‘TEST MARKET’
Cukup-cukuplah menguji kesetiaan isteri. Tak perlu juga nak ‘test market’ dekat dara-dara, teruna, janda malah bapak-bapak orang. Sebabnya, isteri atau suami bila dah ikhlas cintai kita, mereka adalah pencinta yang setia.
2. Telefon Bukan Dicipta Untuk Melukakan Hati Isteri
Sayangnya ramai dah salah guna. Telefon canggih itu lebih indah rupanya berbanding isteri sendiri. Lihat! Berapa ramai isteri-isteri makan hati dengan telefon suami.
Sekat telefon bimbit anda ketika berada di kamar tidur (ketika bersama isteri, suami), di meja makan, ketika bersantai atau jalan-jalan dengan famili.
Ads
Pleaselah.. set dekat minda yang tak dapat hadap telefon setengah jam itu tak rugi mana pun.
3. Ke Mana Pun Pergi.. Kena Sedar Diri
Tahu status diri, siapa kita sebenarnya. Suami orang atau isteri orang. Dua-dua kena kawal emosi agar tak terlalu bergurau mesra sampai membawa mimpi-mimpi indah ke orang lain.
Bukan tak boleh bergurau dengan kawan. Isk! Melampau sangat sekatan itu. Cuma, berguraulah dengan cara yang sepatutnya. Kena letak batasan. Jangan terover.. membawa kepada whatsapp personal yang krik! krik! sangat.
Ads
4. Jangan Mulakan Perbualan ‘Nak Tolong Selesaikan Masalah Kawan’
Oh.. ini sangat bahaya untuk suami atau isteri orang. Mula-mula memang anda mendengar kisah-kisah rumah tangganya yang berantakan. Suami tak beri kasih sayang, mentua tak sayang, anak-anak berjauh hati.
Nah! Lama-lama.. PERCAYALAH! dari niat nak tolong dengar dan bantu nak selesaikan masalah itulah yang akhirnya menjerat diri. Sudahnya, isteri orang kau tolong.. isteri di rumah kau abaikan. APOO??
Doa Itu Senjata Terbaik Untuk Baiki Hubungan Suami Isteri
Berdoa boleh saja di mana-mana. Tak perlu tunggu ketika waktu solat. Sambil menyapu boleh berdoa, ketika memasak boleh memohon padaNya.
Kalau suami isteri ‘car pool’ ketika pulang dari kerja, bolehlah isteri bacakan doa-doa pengerat kasih sayang. Biar suami di sebelah tenang mendengar. Itu lebih baik daripada bergosip pasal jiran atau kawan-kawan sepejabat yang kita tak sebulu.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Siapa sangka… baru saja bahagia dengan berita kelahiran orang baru dalam hidupnya, tetapi tetiba Hamijan Mijan terpaksa menerima kehilangan isteri tersayang secara mengejut ketika mereka sedang melalui fasa bahagia dalam hidup.
Ibu muda itu, Siti NurHidayah Mohd Saad sempat memuat naik status terakhir di facebook sehari sebelum pemergiannya dengan tidak sabar mengajak suami untuk bercuti ke Cameron Highland setelah habis pantang pada hari ke-45. Namun impian itu tidak kesampaian akhirnya apabila dia dahulu dijemput tuhan.
Dia yang baru menerima cahaya mata pertama 12 hari yang lalu tidak menyangka isterinya pergi secara tiba-tiba kerana Siti NurHidayah Mohd Saad tidak memberikan sebarang tanda. Malah, beberapa jam sebelum kejadian mereka masih berbual seperti biasa.
“Masa pukul 4 pagi tu elok je sembang-sembang ajak pergi jalan apa semua lepas subuh tu saya tidur sampai pukul 11 saya tersedar anak menangis.
“Saya bangun buat susu anak lepas tu saya panggil isteri saya dia tak menyahut, saya pergi dekat dia tarik selimut dia tengok tangan arwah dah kebiruan.”
Panik dengan keadaan isterinya yang sudah tidak sedarkan diri, dia terus memanggil ambulans untuk membawa isterinya ke hospital.
”Lepas tu terus panggil ambulans bawa pergi hospital sampai hospital isteri dah disahkan meninggal dunia.”
Ada Darah Beku Dan Alami Diabetis Masa Hamil
Dalam kes ini, doktor mengesahkan terdapat darah beku di peranakan isterinya yang menjadi punca kepada kejadian tersebut, selain mengalami hipoglisemia (bacaan gula dalam darah rendah) kerana mengalami diabetes semasa mengandung.
Bagaimanapun, keputusan penuh dari doktor masih belum diketahui.
Ramai netizen yang bersimpati dengan ujian lelaki ini apabila membaca bait-bait cinta yang diluah dengan penuh rasa cinta pada arwah isterinya di laman facebook miliknya.
Terima kasih kerana awak dah menjadi isteri yang sempurna buat saya dan anak sayang.
Wajahmu sentiasa dalam ingatanku, disusuli doa buatmu isteri.
Gelak tawa mu sentiasa di ingatan ku sayang tak pernah sikit pun hilang dalam ingatan ku, aku bahagia dengan mu sayang, terima kasih atas segala pengorbanan manja dekat abang selama ni, abang sentiasa doakan manja sayang , abang tak pernah lupakan manja walaupun sekejap, abang janji dengan manja abang akan jaga MUHAMMAD HUD HAYYAN dengan sebaik baik nya.
05/04/1995 – 08/09/2018 AL – FATIHAH buat mu isteri tercinta.
Cahaya mata yang ditinggalkan menjadi bukti cinta si isteri buat suami. Moga suami allahyarham terus tabah membesarkan satu-satunya zuriat mereka.
Pesanan buat para suami, hargailah isteri yang telah berjuang nyawa untuk melahirkan anak. Hargailah isteri, bahagiakanlah mereka.
Semoga perkongsian kisah sedih ini mampu membuka mata golongan lelaki bergelar suami di luar sana untuk menghargai kaum wanita yang telah berkorban lahirkan zuriat anda.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Kata penulis, Khadijah Mohamad Nor, kisah yang dikongsikan ini didedikasikan untuk arwah kakaknya yang berjuang melawan kanser sebaik disahkan hamil tiga bulan.
Hebatnya arwah kakak, dalam disahkan kanser bertekad meneruskan kandungan hingga selamat bayinya dilahirkan. Malah kakaknya yang sentiasa menjaga solat dalam apa jua keadaan dihadiahkan kesempatan olehNya menunaikan umrah biarpun baru dua minggu usai menjalani pembedahan.
Tulisnya,
Hari ini (ketika status ini dimuatnaik) umat Islam di Malaysia dan yang seangkatan dengannya meraikan Hari Raya Aidiladha yang sinonim dengan ibadah korban.
Perayaan ini disambut sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sanggup menyembelih anaknya, Nabi Ismail AS kerana menurut perintah Allah SWT.
Firman Allah SWT di dalam surah Al-Hajj ayat 37 yang bermaksud:
“Daging-daging dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (Keredhaan) Allah, tetapi Ketaqwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayahNya kepada kamu dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik”.
Berkat keikhlasan Nabi Ibrahim melaksanakan suruhan Penciptanya, maka Allah Yang Maha Baik telah menukarkan seekor kibas yang besar sebagai ganti korban Ismail.
Subhanallah, banyak sebenarnya ibrah yang boleh kita dapati melalui kisah Nabi Ibrahim yang sanggup berkorban apa sahaja demi Tuhan yang dicintai.
Ini termasuklah meninggalkan isteri tersayang, Siti Hajar di padang pasir yang tandus bersendirian bersama anak mereka, Ismail.
Kakak Hamil Tiga Bulan Dan Disahkan Kanser
Berbicara tentang aspek ini, hatiku terpanggil untuk berkongsi kisah pengorbanan arwah kakak, Siti Annisah Mohamad Nor ketika diuji dengan masalah kesihatan.
Aku dan arwah hanya berbeza jarak setahun. Dia anak kelapan, manakala aku anak kesembilan daripada 14 beradik (7 lelaki dan 7 perempuan).
Allahyarhamah disahkan menghidap penyakit paling digeruni kaum Hawa, kanser payudara pada usia 31 tahun.
Lebih menyedihkan berita itu diterima ketika arwah sedang hamil anak keempatnya pada usia kandungan hampir tiga bulan.
Masih kekal dalam ingatanku pada tarikh 13 Disember 2013 bila mana arwah kakak memaklumkan perkara tersebut kepada kami semua melalui group WhatsApp keluarga.
Allahuakbar, aku yang ketika itu berada di sebuah sekolah di Ampang untuk mendaftarkan persekolahan anak terkedu membaca mesej tersebut.
Secara tiba-tiba air mata mengalir keluar tanpa dipinta.
“Abang, kak Nisah confirm kanser payudara stage 3. Ya Allah, kesiannya dia,” tuturku pada suami di sisi.
Demam On Off Dekat Sebulan Lamanya
Suasana tiba-tiba sepi seketika. Kegembiraan kami untuk mendaftarkan anak terbantut dek berita yang tidak diduga.
Kerana apabila menyebut tentang kanser, sudah terbayang di mataku ia pasti berakhir dengan kematian. Cuma persoalannya cepat atau lambat.
“Ya Allah kepadaMu kami berserah. Kurniakanlah kekuatan pada kakakku menghadapi ujian hidupnya. Selamatkanlah kandungannya,” tulus doa yang kupanjatkan buat kak Nisah dalam hati.
Sebelum arwah membuat pemeriksaan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), dia telah menghidap demam yang on off hampir sebulan.
Ia diikuti dengan rasa lemah-lemah badan selain mempunyai ketulan di bahagian pangkal lengan.
Seminggu selepas keputusan diagnosis diperoleh, kak Nisah memberitahu kami sekeluarga bahawa dia enggan meneruskan rawatan kemoterapi sebaliknya mahu mencuba rawatan alternatif terlebih dahulu.
Tujuannya cuma satu kerana ingin menyelamatkan bayi dalam kandungan.
“Akak bukan tak sayangkan nyawa, tapi siapa tahu baby ini anak perempuan. Lepas ni mesti akak dah tak boleh mengandung lagi,” katanya menjelaskan hasrat hati yang begitu mahukan anak perempuan selepas dikurniakan tiga anak lelaki.
Kami hanya akur mendengar penjelasannya walaupun dalam hati bimbang bagaimana dia akan meneruskan kehamilan di saat berdepan penyakit yang mengancam nyawa itu.
Apa yang pasti, kakak sangat kuat dan tidak pernah berputus asa mencuba pelbagai rawatan alternatif dalam usaha melawan kanser payudara.
Malah, dia dan suaminya, Azwan Abdullah sanggup mengeluarkan wang sehingga RM30,000 semata-mata untuk membeli ubat daripada seorang pakar yang dikatakan mampu menjadi penawar kanser yang dihidapi.
Besar Jumlah Wang Ringgit, Tenaga Dilaburkan Untuk Rawatan
Ketika menziarahinya di rumah mertua, aku melihat deretan ubat yang dibeli itu memenuhi ruang meja makan bersaiz besar.
Daripada ubat jenis tablet, serbuk hinggalah cecair, semuanya ada.
“MasyaAllah..macam mana kak Nisah nak makan ubat ni. Banyaknya,” bisikku sendirian.
Dalam proses ikhtiar untuk pulih, arwah sentiasa berusaha mencari rawatan yang dirasakan sesuai.
Habis wang ringgit, tenaga dan masanya digunakan bagi tujuan tersebut.
Apa yang lebih mengejutkan, sewaktu dimasukkan ke hospital akibat komplikasi kehamilan, kakak begitu tegar untuk tidak memberitahu doktor bahawa dia merupakan pesakit kanser payudara.
“Lecehlah kalau beritahu doktor, nanti macam-macam prosedur pula nak dibuat. Allah ada,” ucap kak Nisah tanpa sebarang riak kebimbangan di wajahnya.
Dengan tubuhnya yang kurus, kami rasa sayu dan hiba melihat keadaannya tetapi kesedihan itu tidak dipamerkan ketika melawatnya.
“Kita semua kena kuat, jangan tunjukkan perasaan sedih depan Nisah. Dia perlukan sokongan kita semua,” nasihat kakakku, Siti Hanim, 45, pada kami adik-beradik.
Berkat doa semua dan kuasa Allah, arwah kakak akhirnya selamat melahirkan bayi perempuan secara normal pada 24 Mac 2014 ketika usia kandungannya tujuh bulan.
Bayi pramatang seberat 1.3 kilogram itu diberi nama Fatimah As-Syifa dan dia menjadi simbol kekuatan kakak sebagai pesakit kanser.
Menurut seorang lagi kakakku, Siti Mariam, 40, dia tidak dapat melupakan saat mendengar perbualan seorang jururawat dengan arwah.
“Payudara sebelah kanan puan dah keras sangat. Bengkak susu ni. Nanti puan tuam dengan tuala panas ye untuk kurangkan bengkak tu,” ucap jururawat tersebut sambil menekan-nekan bahagian payudara arwah yang membengkak.
Pada waktu yang sama arwah membuat mimik muka seolah-olah meminta kak Siti jangan memberitahu perkara sebenar kepadanya.
“Disebabkan tak tahan melihat situasi itu, akak terus lari keluar dari wad dan menangis semahunya,” imbau kak Siti mengenai peristiwa lalu.
Usai tempoh berpantang, kak Nisah tetap enggan mendapatkan rawatan kemoterapi di hospital.
Akhirnya Kakak Mengalah, Lakukan Rawatan Di Hospital
Dia masih setia dengan rawatan alternatif hasil sokongan kumpulan rakan-rakan survivor kanser.
Pernah satu ketika, arwah mengajak abang ipar, Mohd Fauzie dan kakak, Siti Hanim menemaninya ke Kelantan untuk menjalani rawatan alternatif disebabkan suaminya tidak dapat turut serta atas kekangan tugas.
Memandangkan mahu bermusafir jauh, suamiku menawarkan kereta Viosnya untuk digunakan semata-mata mahu kak Nisah berasa selesa.
Bagaimanapun selepas keadaan kesihatannya semakin merosot, kakak akhirnya bersetuju dibawa ke hospital.
Itupun selepas dipujuk mak dan abah.
Sejak itu sekitar Mac 2015, HUKM mula menjadi rumah keduanya.
Kakak berjaya menjalani lapan cycle kemoterapi selain beberapa rawatan radioterapi.
Sentiasa Jaga Solat Walau Diuji Sakit Tenat
Apa yang sangat kami kagumi, walaupun dalam keadaan menahan sakit dan kurang bermaya, arwah kakak tidak pernah meninggalkan solatnya.
“Dia akan minta bantuan untuk berwuduk dengan cara semburan air.
“Waktu den ratakan air wuduknya, kelihatan wajahnya tenang sekali. Allahurabbi…kuatnya kak Nisah,” jelas adik perempuan bongsu kami, Siti Salbiah, 27, yang sering menemani kakak di hospital termasuk ketika menginap selama tiga minggu di sebuah homestay di Melaka bagi tujuan berubat.
Sepanjang kakak dirawat di hospital, saya akan cuba melawatnya sekerap yang mungkin kerana ia terletak berdekatan dengan pejabat Kosmo di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
“Ijah, nanti tolong belikan akak milo ye kalau datang. Milo dah habis,” antara mesejnya melalui WhatsApp yang masih ku simpan hingga kini.
Pada awal Januari 2016, kakak menjalani pembedahan mastektomi untuk membuang sebelah payudaranya.
Ironinya pembedahan itu dilakukan hanya dua minggu sebelum tarikh arwah dijadualkan menunaikan umrah bersama suaminya.
Dalam keterujaannya untuk ke Tanah Suci, kami sekeluarga yang risau tentang keadaan kesihatannya.
Namun, Subhanallah… kakak berjaya melaksanakan ibadah umrah dengan sempurna.
Berseri-seri Kakak Tunaikan Umrah
Wajahnya penuh berseri ketika menghantar gambar berlatarkan Kaabah di group WhatsApp keluarga.
Alhamdulillah. Setinggi-tinggi kesyukuran kami panjatkan pada Ilahi atas nikmat yang dikurniakan padanya.
Bagaimanapun, sebagai manusia yang telah ditentukan ajalnya, tiada yang mampu menghalang takdir Allah.
Sebagaimana firman Allah dalam surah Ali Imran, ayat 145 yang bermaksud:
“Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya.”
Selepas mengharungi tiga tahun yang penuh dugaan sebagai pesakit kanser payudara, kakak akhirnya dijemput pulang bertemu Ilahi pada hening pagi 15 Oktober 2016, dua hari selepas hari lahirku.
Kali terakhir melawatnya pada 13 Oktober bersama hari Khamis malam Jumaat, arwah sudah tidak mampu berbicara.
Bening matanya seolah-olah mahu berkata sesuatu, namun tidak terluah.
Selesai membacakan surah Yassin buatnya, aku memegang tangan kakak dan mengucup dahinya lama sambil berkata: “Malam esok den datang lagi ye kak Nisah. Den minta maaf atas segala salah silap.”
Entah mengapa, selepas habis kerja keesokan harinya, badan terasa lemah membuatkan niat untuk pulang ke kampung menziarahi kakak seperti yang dijanjikan kepadanya tidak kupenuhi.
“Takpelah abang, esok pagi-pagi la kita balik. Nanti terus lawat kak Nisah. Macam tak larat pula nak balik malam ni,” syorku kepada suami yang kemudian menurut sahaja keputusan itu.
Kakak Sudah Pergi Untuk Selamanya
Bagaimanapun, deringan telefon kira-kira pukul 4.30 pagi mengejutkanku dari lena.
“Kak ijah, kak nisah dah takde. Dia meninggal pukul 4 tadi. Abang Azwan baru bagitau,” sayup-sayup suara seorang lagi adikku, Khamsiah mengkhabarkan berita sedih itu.
Ya, ternoktah juga penderitaan kak Nisah di dunia. Apa yang pasti, semangat juang dan ketabahannya berdepan ujian hidup sangat kami kagumi.
Bak kata pepatah, kasih ibu membawa ke Syurga, itulah makna pengorbanan seorang ibu yang sukar dicari ganti.
Begitu juga dengan pengorbanan suami arwah, abang Azwan yang telah melaksanakan tanggungjawab menjaga kakak dan anak-anaknya dengan baik.
Apa tidaknya, sepanjang arwah sakit abang Azwan yang merupakan cinta hati kak Nisah sejak mereka berusia 14 tahun, menguruskan makan pakai dan persekolahan anak-anak.
Kini, walaupun telah berkahwin lain dan dikurniakan seorang anak lelaki bersama isteri barunya, dia tetap akan meluangkan masa membawa anak-anak arwah kakak ke rumah mak dan abah.
Ahmad Atoillah, 12, Mahmud Said Mamduh, 11, Ahmad Zahid, 8, dan Fatimah As-Syifa, 5, kini membesar dengan sempurna.
Dan pastinya Syifa yang mewarisi wajah persis arwah uminya akan sentiasa menjadi lambang ketabahan dan kekuatan seorang wanita bergelar ibu dalam perjuangan melahirkan anak itu ke dunia.
Mohon hadiahkan Al Fatihah buat arwah kakak, Siti Annisah Binti Habibah sebagai bekal buatnya di alam barzakh.
Semoga rohnya berbahagia di sisi Tuhan dan dikurniakan ganjaran syurga tertinggi, Syurga Firdaus asbab pengorbanan yang telah dilakukan. InsyaAllah Amin…
Selamat Hari Raya Aidil Adha 1440H buat semua. Semoga rahmat dan kasih sayang Allah yang tiada batasan sentiasa memayungi kita hendaknya.
Berapa ramai pasangan yang sebelum mendirikan rumah tangga pernah berbincang secara serius akan masa depan dan kewangan mereka sebaik hidup berdua.
Percayalah! Jarang-jarang kita berjumpa.
Ketika diri kemaruk bercinta, sibuk mengurus hal pertunangan.. tolong ya wahai wanita di luar sana. Ingatlah pesan Puan Marlia Ramli ini.
Bincanglah dengan bakal suami akan 6 perkara yang bantu kewangan suami isteri lebih berkat dan tidak stabil selepas berkahwin.
Sebelum Kahwin Bincanglah Awal-awal
Gadis…
Masa bertunang tu bincang awal-awal beberapa perkara penting seperti di bawah.
Bukan setakat merajuk tunang tak bagi bunga dan cekelat saja. Ini realiti, bukan kisah dalam drama korea. #apeni
Fikirkanlah masa depan diri. Jangan main tangkap muat janji kawen dengan sesapa saja. Tengok agamanya. Perhati sikapnya terhadap wang. Tengok feedback nya bila ditanya beberapa soalan seperti di bawah.
Zaman gegadis menangis lepas kawen sepatutnya diakhiri segera. Bermula awal kita patut bincang dan rancang agar tiada penyesalan di kemudian harinya.
Tak kan lah hidup gadis dan wanita hanya sekadar mahu mengharap ratap nasib pada sesiapa?
Contohnya :
1 – Abang… dah kahwin nanti abang bagi nafkah kat ayang ya… Sikit pun tak pe asalkan ada. Ayang sayangkan abang, sebab tu ayang nak nafkah agar rezeki abang bertambah-tambah dengan tertunainya nafkah.
2 – Abang… dah kahwin nanti kita terus cari rumah sewa ya? Ayang susah nak jaga aurat jika tinggal dengan ipar duai satu rumah. Kalau boleh biarlah kita belajar berdikari susah senang bersama.
3 – Abang… dah kahwin nanti kita terus wujudkan dana beli rumah pertama ya? Kecik pun tak apa janji rumah sendiri punya. Kita mulakan dengan mencari ilmu dan juga 15% modal pertama.
Selepas Kahwin, Izinkan Isteri Bekerja
4 – Abang… dah kahwin nanti izinkan ayang bekerja ya? Ayang pun nak juga hantarkan sedikit belanja bulanan buat ibu bapa. Sian diorang tanggung kos ijazah ayang belajar dulu. Boleh kan bang?
5 – Abang… dah kahwin nanti kita rancang keluarga ya. Setiap anak-anak kita fikirkan takaful, kesihatan dan pendidikan. Tak nak la kalau boleh saban tahun beranak sedozen tapi kewangan keluarga huru hara plan langsung nan hado. Rezeki Allah bagi, tapi kita manusia rancanglah untuk berusaha.
6 – Abang… wang hantaran nanti ayang nak simpan dalam bentuk emas pelaburan ya… Ayang nak cari kak Marlia buka akaun emas GAP simpan emas 999. Mulakan dari RM100 ringgit pertama. Daripada membazir beli make up dan pelamin. Esok-esok emas ni boleh jadi modal beli rumah pertama kita. Lebih sukar bocor jika simpanan dalam bentuk emas pelaburan.
Salam sayang dan BINCANGLAH AWAL-AWAL
Sumber/Foto : Marlia Ramli
Makluman : Artikel ini diterbitkan dengan keizinan daripada penulis asal
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
“Ida Selalu Cakap Dia Segan Saya Layan Dia Sangat Baik, Sayang Ida” itulah antara luahan daripada Bonda Rozita terhadap menantunya Datin Seri Shahida Mohd...