Tiada siapa antara kita mahukan pasangan yang dikahwini itu ditimpa masalah kesihatan
Diharapnya pasangan kita sihat dan kekal bersama selamanya, baik susah atau senang. Namun, tidak semua yang diharapkan itu berkekalan dan pastinya ada ujian yang Allah ingin duga, mungkin juga dengan masalah kesihatan yang harus dilalui oleh pasangan.
Apakah yang harus dilakukan oleh pasangan bila diuji begini. Kupasan lebih lanjut bersama Abdul Muiez Ruslee tentang topik ini.
Galas Amanah
Menjaga orang sakit tidak semudah yang disangka. Banyak yang perlu diuruskan. Bukan sekadar memberi makan ubat, kemudian tinggalkan. Maksud jaga itu sendiri membawa pengertian yang spesifik.
Jika orang yang sakit itu adalah ibu bapa sendiri, mungkin antara adik-beradik boleh
berkongsi tanggungjawab. Tetapi bagaimana pula jika si isteri atau pasangan yang diuji?
Mungkinkah, ada orang lain yang boleh menggalas amanah itu bersama? Jawapannya sudah tentu tidak. Ini kerana tanggungjawab menjaga isteri terletak pada pundak sang suami.
Kata orang, isteri diuji ketika suami susah, suami pula diuji ketika mempunyai segalanya.
Memang benar. Tetapi dalam konteks kehidupan berumah tangga, pasangan suami isteri akan benar-benar diuji ketika salah seorang ditimpa sakit.
Ads
Kehendak & Tanggungjawab
Mungkin pada pandangan kita, menjaga pasangan yang sakit itu mudah. Hakikatnya, pada waktu itulah suami isteri akan berada dalam gelanggang pertarungan yang sebenar. Pertarungan antara kehendak dan tanggungjawab. Pertarungan antara ingin terus berada dalam zon selesa dengan pengorbanan yang merumitkan.
Jika kita mampu mengharungi perlawanan ini, nescaya kita telah hampir melangkah ke garisan kemenangan. Kejayaan melawan nafsu yang menuntut keselesaan dalam hidup berumah tangga.
Benar. Ujian ini sebenarnya menggoyahkan hati. Sebagai seorang suami, perasaan rasa terbeban itu sedikit sebanyak akan timbul di lubuk hati yang paling dalam. Tetapi, apakah kita tegar untuk membiarkan sahaja perasaan itu terus bergelut di dalam jiwa? Tidak? Kerana yang sakit itu adalah isteri kita. Isteri yang patut kita jaga dan sayangi.
Muhasabah Diri
Bila pasangan ditimpa dengan ujian kesakitan, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah:
1. Stabilkan Emosi Sendiri Dan Pasangan – Tidak ada orang yang berharap untuk sakit. Sebagai orang yang pernah merasai nikmat sihat, sudah pasti ujian kesakitan itu akan menimbulkan rasa resah dan gelisah bukan sahaja kepada pasangan tetapi kepada diri kita juga.
Ads
Sebab itu, emosi perlu dipupuk dengan sifat positif. Ini kerana, jika kita mulakan langkah
pertama dengan rasa malang dan sedih, nescaya perkara negatif akan sentiasa memeluk erat kehidupan kita.
Hidup tidak tenang, tidak mampu terima hakikat yang sebenarnya kita sedang diuji dan akan menyalahkan takdir atas apa yang berlaku. Itulah yang kerap berlegar di fikiran. Sebab itu, kita perlu muhasabah diri.
2. Rasional Di Tahap Yang Tertinggi – Tenangkan diri dengan mengatakan bahawa satu hari
nanti pasti pasangan kita akan sembuh. Nabi s.a.w telah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, “tidaklah Allah menurunkan suatu penyakit, melainkan dia juga menurunkan ubatnya.”
Susun Semula Kehidupan
Ujian kesihatan yang menimpa, tentu akan mengundang tekanan akibat tidak mampu bekerja atau menguruskan rumah tangga. Sebagai suami, perkara utama yang perlu dibuat ialah menyusun semula kehidupan seharian.
Ads
Benar, biasanya tugas harian di rumah akan dilakukan oleh isteri. Tetapi, jika hal ini
berlaku, mahu atau tidak, suami perlu menggalas tanggungjawab untuk menguruskan rumah tangga sendirian. Bermula dari pagi hinggalah ke tengah malam. Susun setiap tugasan agar semuanya berjalan lancar.
Jika sebelum ini urusan anak-anak diuruskan oleh isteri, kini servis bertukar tangan.
Suamilah yang perlu uruskannya. Bangun awal pagi, kemudian siapkan semua keperluan
persekolahan seperti menggosok baju, memandikan mereka, memakaikan pakaian yang bersih serta mengisi perut anak-anak sebelum bertolak ke sekolah.
Bab makan, mungkin suami mempunyai talian hayat. Zaman sekarang, makanan boleh dihantar ke rumah dengan hanya satu panggilan. Dobi juga tiada masalah. Dengan wujudnya perkhidmatan dobi layan diri 24 jam, urusan membersihkan pakaian mungkin tidak lagi membebankan.
Wahai Suami!
Sebagai suami, elak daripada menunjukkan rasa tidak senang, penat dan tidak puas hati di hadapan isteri. Ini kerana bahasa tubuh itu akan membuatkan pasangan hilang keyakinan diri. Dalam hatinya, akan terbit rasa bersalah sehingga menyebabkan kesihatan semakin memburuk.
Suami boleh menaikkan semula semangat isteri dengan menunjukkan rasa senang dan berkata yang baik-baik di hadapan pasangan. Walaupun hakikatnya, rasa penat itu ada, tetapi pandai-pandailah disorok.
Suami boleh memberi sokongan dengan cara mengurut badan, menepuk belakang jika batuk, sediakan keperluan ubat-ubatan, teman ke hospital dan beri peluang isteri berehat dengan menjauhkan anak-anak.
Memang betul, pasangan kita tahu yang kita tidak mampu untuk merawat mereka, tetapi dengan sedikit perhatian yang kita curah pasti akan membuatkan mereka berasa senang.
Tip Untuk Pasangan
Ada dua tip untuk suami atau isteri apabila pasangan diuji jatuh sakit yang dapat dikongsi.
1.Cara yang terbaik ialah hadapi sahaja ujian yang menimpa. Mudah-mudahan Allah akan berikan jalan terbaik.
2.Pasakkan dalam diri yang kita tidak akan selamanya sihat. Satu ketika, kita juga akan
diuji dengan sakit. Mungkin lebih teruk daripada apa yang dialami oleh pasangan. Sekiranya, kita mengabaikan pasangan ketika mereka diuji dengan kesakitan, tidak mustahil, satu hari nanti, kita pula akan diperlakukan dengan cara yang sama.
Kesimpulannya, untuk diri kita disayangi, kita perlu menyayangi. Berikan yang terbaik kepada pasangan kita di saat mereka sedang diuji. Satu hari nanti, kita juga akan dijaga mungkin dengan lebih baik saat kita pula ditimpa musibah.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Baca perkongsian Wan Syafiq Wan Zahidi ini akan buat mak ayah faham apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘MANJAKAN” anak. Yang mana, kalau disalah tafsir akan membuatkan mak ayah jadi lebih keliru.
Penerangan yang jelas ini akan membuatkan mak ayah lebih faham, rupanya betullah apa yang rasulullah pesan tentang memanjakan anak-anak kecil. Cuma kadangkala kita tersalah tafsir istilah membuatkan mak ayah jadi susah hati, sama ada nak manjakan anak atau tak nak manjakan anak-anak mereka.
Kenapa Orang Kata Jangan Manjakan Anak?
Ini adalah antara persoalan dalam kepala saya sejak saya sekolah rendah lagi.
Kenapa orang kata JANGAN MANJAKAN ANAK? Padahal dalam masa yang sama nabi suruh manjakan budak-budak.
Bila tengok budak-budak perangai ntah apa-apa.. Pentingkan diri.. Semua nak dapat.. takyah buat keje sangat.. masak nasi pun tak reti..
Ni semua buat saya jeles masa kecik-kecik dulu.. Tapi bila dok dengar orang kata “Tu anak manja.. jangan jadi macam tu..” Buatkan saye takut orang cop anak manja.
Bila Sudah Ada Anak Sendiri
Bila dah kawin, ada anak.. Persoalan yang sama timbul sebelum nikah lagi.. “Aku nak manjakan anak ke tak ni?”
Kang bila manjakan anak, possibility anak membesar jadi budak sakai tinggi.. kalau ikut kata orang lah..
Tapi nabi suruh manjakan anak.. hmm..
Analisis Semula
Saya pun cuba fikirkan balik point-point “anak manja” ni.. Adakah istilah “anak manja” itu tepat?
Saya recall balik tengok budak-budak yang “dimanjakan” sejak kecik.. Semua nak dapat.. Mintak apa je, diberi.. Mak ayah marah pun tidak.. Enjoy je.. Bila besar, ramai yang perangainya dibenci orang.
Adakah budak-budak tu “dimanjakan”.. Kenapa yang “dimanjakan” ni kebanyakan datang dari keluarga senang?
Hmmmm..
Rupanya Ada 2 Sudut Manja
Bila saya rujuk kamus Dewan Bahasa & Pustaka, “manja” membawa 2 erti.
1. Manja = kelakuan kurang baik kerana selalu dituruti kemahuannya atau dibiarkan untuk membuat sesuka hatinya.
2. Manja = sangat kasih atau sangat sayang.
Wahh!! Satu perkataan yang mempunyai 2 makna yang berlawanan.
Saya suka ambil maksud “manja” sebagai sangat kasih atau sangat sayang..
Untuk kelakuan kurang baik kerana selalu dibiarkan membuat sesuka hatinya, saya lebih suka guna istilah “terabai”.
Mindblowing
Fuhh.. Bila saya bandingkan perkataan terabai dan manja.. Barulah saya boleh buat keputusan yang saya akan “manjakan” anak saya..
Betul!
Bila saya fikir balik kenapa budak-budak yang selalu dapat apa sahaja yang dipinta, boleh buat sesuka hati.. Bila besar ada perangai yang buat orang tak suka..
Ini semua sebab budak-budak tu bukan dimanja tapi TERABAI.. Ibu bapanya malas layan anak buat perangai, dibaginya apa yang dipinta..
Bila anak ajak main.. Ibu bapa malas dan gantikan anak untuk main dengan benda lain.. TERABAI
Sebab itu mostly anak “orang senang” ada perangai begini sebab bila parent “senang”.. Parent boleh bagi sesuatu sebagai ganti “parent”..
Kita tengok anak orang susah lebih banyak yang baik sebab parentnya sukar memberi ganti, so parent yang kene layan anaknya itu..
Itulah “manja”.. Iaitu “sayang” atau “kasih”.. Itu yang nabi suruh.. Manjakan anak @ Sayangkan anak @ Kasihkan anak..
Ibu yang tegur dan cuba betulkan anak dia adalah ibu yang sayang anaknya.. Sebab nak anak dia jadi anak yang baik..
Bila ibu biarkan anaknya buat apa sesuka hati, itu bukan manjakan anak.. Itu ABAIKAN anak.. Sebab itu output berbeza..
Kesimpulan
Akhirnya Terjawab Persoalan Saya
MANJA-kan anak.. Ikut kata nabi.. Jangan takut untuk manjakan anak..
Jangan ABAIKAN anak..
Kerana sayang/kasih/manja anak itu diperlukannya untuk membesar. Sepertimana pentingnya susu ketika bayi dilahirkan..
Perghh.. Bermadah malam ni.. kiki..
PS: saya bukan kata semua orang senang abaikan anak ya.. Just possibility untuk anak terabai itu tinggi bila parent bekerjaya.. Saya sendiri selalu rasa macam nak bagi anak saya benda lain supaya saya takyah pening layan kerenah anak.. Tapi terpaksa lawan perasaan tu.
Sumber/Foto : Wan Syafiq Wan Zahidi
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Emosi anak-anak sering terkait dengan persekitaran yang berada di sekeliling mereka terutama ibu bapa. Dalam membentuk sebuah keluarga yang bahagia asas utama yang diperlukan adalah ketenangan hati yang memunculkan emosi ceria dan gembira dalam diri ibu dan ayah lalu membentuk persekitaran keluarga yang juga ceria dan bahagia. Tenang adalah sifat orang beriman.
Emosi Terburu-Buru
Tenang berasal daripada perkataan “amana” yang juga merupakan kata dasar kepada iman. Lawan kepada sifat tenang adalah terburu-buru. Mengapa manusia menjadi tidak tenang atau terburu-buru?
Menurut Ibnu Qayyim, sifat terburu-buru ini berlaku apabila keinginan untuk mendapatkan sesuatu sebelum tiba waktunya oleh kerana besarnya keinginan seseorang itu terhadap perkara tersebut.
Ingat Allah Sentiasa
Untuk kekal dalam tenang, seorang mukmin harus sentiasa mengetahui posisinya selaku hamba Allah yang setiap urusan-Nya terletak pada tangan Allah SWT. Sifat sabar dan reda adalah kunci utama kepada ketenangan.
Caranya ialah dengan sentiasa mengingati Allah. Hal ini diabadikan dalam Quran dalam surah Ar-Ra’du yang berbunyi: (Iaitu) orang –orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati akan tenang”
Dalam konteks mendidik anak, kita sering meletakkan harapan yang tinggi menggunung kepada setiap anak-anak kita. Walaupun usia anak masih kecil, kita berharap anak sudah pandai makan tanpa menyepahkan makanan. Kemudian anak mampu memahami bahawa ayah memerlukan keadaan yang tenang untuk menyiapkan kerja.
Anak Tak Dapat Sempurnakan
Semua keadaan ini tidak dapat difahami dengan mudah dan jika dapat difahami sekali pun belum tentu mereka boleh menyempurnakan setiap keinginan ibu ayah itu sebagaimana yang diharapkan. Oleh yang demikian, sebagai ibu bapa yang sedar akan kemampuan semasa anak-anak dengan keadaan fitrahnya akan tahu meletakkan keinginannnya bersesuaian dengan keadaan anak-anak pada waktu tersebut.
Sabar Dan Rela
Satu lagi aspek yang harus difahami adalah hakikat diri insan yang amat bergantung kepada Allah SWT dalam segenap hal ehwal kehidupannya. Memahami hakikat ini meletakkan kita dalam keadaan yang sabar dan redha dalam setiap perkara yang terjadi dalam kehidupan kita termasuk dalam hal mendidik anak-anak.
Contohnya, jika anak tidak memberikan tindak balas yang baik terhadap arahan ibu ayah, ibu akan cuba melihat daripada posisi kemampuan anak-anak dan ketentuan Allah SWT yang mungkin belum mengizinkan sesuatu itu untuk berlaku pada ketika itu.
Jadi ibu akan menjadi lebih sabar dan tenang dalam menguruskan keadaan tersebut. Sekali gus akan memunculkan emosi yang baik dalam persekitaran keluarga tersebut.
Sebaliknya jika ibu amat bergantung kepada keinginannya yang menggunung agar anaknya sentiasa patuh dan mengikut arahan contohnya, dan perkara itu tidak berlaku sedemikian, sudah pasti ibu akan menjadi marah dan kecewa lantas memarahi anak tersebut. Ketegangan yang kerap berlaku dalam keluarga bukan sahaja mengeruhkan hubungan ibu dan anak malah dalam keadaan anak-anak yang sedang membina kepercayaan dalam hubungan, perkara ini mungkin sukar untuk diperteguhkan.
Sesuai dengan status dunia sebagai tempat ujian. Maka segenap hal yang berlaku di dalam kehidupan kita disini adalah ujian untuk melihat tahap kebergantungan kita kepada-Nya. Jika kita mengetahui matlamat yang ingin dicapai, insya-Allah kita akan dapat menghadapi setiap ujian ini dengan sabar dan reda.
Emosi Ceria Diterap Dlam Keluarga
Oleh yang demikian, kita akan lebih menghargai setiap saat kita bersama keluarga dan melihat setiap perkara yang terjadi dalam mendidik keluarga ini adalah bergantung kepada ketetapan Allah dan akan cuba sedaya mungkin untuk bersabar dan reda dengan setiap perkara. Pokok pangkalnya, usaha harus mengiringi kebergantungan tersebut.
Rakan penjaga yang dihormati, emosi yang baik dan ceria harus diterapkan dalam keluarga. Di sinilah asas kefahaman anak-anak tentang hubungan dan kepercayaan akan terbentuk. Apabila tayangan dan contoh yang baik sentiasa dilihat dalam persekitarannya, begitu jugalah faham keluarga yang akan wujud dalam minda mereka seterusnya membentuk amalan dan tingkah laku mereka.
Sedaya mungkin kita ingin generasi anak-anak kita mengamalkan amalan-amalan yang baik menuruti syariat sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w dalam keluarga mereka. Oleh yang demikian, kitalah yang harus meletakkan penanda aras tersebut dalam keluarga kita dahulu. Moga Allah SWT sentiasa memberikan petunjuk dan taufik-Nya dalam kehidupan kita, insya-Allah. Allahua’lam..
Realitinya, mak ayah zaman sekarang memang sibuk cari nafkah. Baik suami atau isteri, masing-masing berusaha cukupkan ekonomi rumahtangga sampai kadang terabai nak semak hal anak-anak yang semakin membesar.
Lebih malang lagi kalau ada pasangan yang menyerahkan hal anak-anak kepada si isteri sahaja. Ini tak adil! Sebelum pergi jauh tentang didikan anak-anak, cuba baiki dan renungkan perkongsian Puan Habiah Abd Kadir ini.
Mudah-mudahan kita tak terlambat untuk menjadi mak ayah yang berjaya dalam mendidik ‘amanah Allah’.
Sibuk Cari Nafkah
Kita sebagai ibubapa, biarlah sayangi anak-anak kita seikhlas hati, bukan sebab anak-anak puji, sayang kat kita dulu baru perasaan sayang kita tu hadir. Masa ni, baru nak rasa restu dan redha. Kalau anak-anak tak terhegeh-hegeh tunjuk ambil berat, utamakan ibubapa… maka kita sebagai ibu bapa, tak restu!
Anak-anak ni cermin kepada ibubapa.
Andai kita sebagai ibu bapa tak sayang, tak perihatin, tak melayan emosi mereka, tak amik berat… hanya fokus pada cari nafkah semata, fokus berbakti atau amik berat kebajikan orang lain saja, macam manalah anak-anak tu nak ikhlas buat yang sepatutnya itu kat kita.
100% diletakkan pada bahu dan tanggungjawab si ibu, tanpa cakna lansung emosi siibu menguruskan anak-anak sendiri. Alasan… sebab si ibu boleh diharap. Sebab fitrah yang telah Allah tetapkan iaitu ibu ni Allah beri dah boleh jaga anak. Fitrahnya gitu dah. Jadi jangan nak mengadalah kata tak boleh nak jaga anak sendiri tanpa bantuan.
Mak-mak Habiskan Masa Seharian Dengan Anak
Sedih bila tengok ibu-ibu yang menghabiskan masanya dengan rumah tangga jer. Setiap hari buat rutin yang sama. Kekadang bercakap depan cermin dan meletakkan pelbagai watak cerita. Kejap jadi watak baik, ayu.. kejap jadi watak bengis, kejap jadi watak mak cik kepoh. Tapi itu sahaja pengubat stress dia.
Kekadang orang nampak dia bahagia.. disebalik raut wajah cerianya itu, kekadang dia menangis sendiri. Kekadang rasa menyampah bila tengok atau baca sharing ibu-ibu lain yang nampak havoc keluar shopping firstime bawak 4,5 anaklah tanpa suamilah. Mkan dengan 4,5,6 anak tanpa suamilah… ke hulu ke hilir atas jalan antar amik anak sekolahlah.
Lepas itu, ramai pula komen kata dia power, superwomanlah.. hebatlah.. hurmmm…. “aku ni hari-hari kot gitu” tak ada siapa pun puji! Tak ada siapa pun hargai! Emosi tak stabil, memang normal rasa macam tu.
Masa anak-anak sihat, oklah sikitkan… tapi masa anak-anak sakit pula macam mana? Tak ke berganda penatnya dia kena urus anak sakit sorang diri?
Kekadang dia rasa semua orang sedang hipokrit!
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!