Setelah lama ‘berkurung’ kini tiba masanya untuk kita bertandang ke rumah saudara mara, kawan rapat dan balik kampung untuk bertemu dengan orang yang kita sayangi.
Rasanya, kalau bertandang ke rumah jiran mahu pun saudara mara mesti macam-macam cerita. Maklumlah sudah berapa lama tak bersua dan bertanya khabar.
Seperti sebelum ini, kalau bertandang ke rumah orang, tak kiralah saudara mara, adik beradik atau jiran sekali pun, orang tua-tua selalu pesan, masuk rumah butakan mata dan keluar rumah bisukan mulut.
Sebab kita tak tahu kehidupan mereka sebelum ini. Susah senang mereka dan kehidupan mereka. Paling penting, hormatilah cara kehidupan mereka.
Jangan kita yang nak ‘berlagak’, tunjuk pandai atau lebih teruk ‘kaki sembang’ macam kita saja yang tahu dan betul.
Inilah yang dikongsikan oleh Syahirah Omar tentang pesanan maknya bila bertandang ke rumah orang. Ada betulnya.
Kalau ke rumah orang, biar kita nampak ‘bodoh’ dari kita memandai-mandai. Mak saya pesan lagi, kalau pergi rumah orang, kalau tak pandai nak menolong dan berbual, basuh je pinggan di dapur. Yelah waktu tu umur saya masih mentah.
Bila tuan rumah masak sedap,
Puji masakkan. Ucapkan terima kasih sebab susah payah tuan rumah siapkan makanan.
Tanya resepi supaya kita belajar sesuatu. Jangan buat palatao. Cuma mak saya tak sebut la palatao. Palatao ni budak zaman sekarang je cakap.
“Eh, bukan macam ni. Mana sedap buat macam ni. Nenek aku masak sedap gila, dia letak halba, lada hitam,”
Contoh jelah ni.
Ads
Cuba hormati orang lain, tak perlulah kita ajar itu ini melainkan orang minta ajar.
Maksud mak saya buat ‘bodoh’ tadi.
Kita sentiasa merendah diri. Janganlah asyik nak cerita kita tahu semua. Kita pandai semua. Cara kita paling sedap, paling bagus, paling perfect. Jangan sesekali. Sebab setiap orang ada caranya. Tak kisah la bab masak, bab uruskan rumahtangga atau sebagainya.
Hormatilah cara orang lain, raikanlah. Jangan asyik nak jadi palatao.
Apa itu palatao? Palatao ni bermaksud ‘kepala tahu’ atau ‘sembang deraih’ dalam bahasa utara. Palataologist ni selalunya jenis cakap sampai bergegar tiang rumah. Maksudnya sembang beria betul. Sedangkan belum tentu apa yang dia rasa dan tahu tu adalah betul belaka.
Bila orang lain beri pendapat semuanya tak betul, dia je betul. Bila orang tengah cakap, dia mencelah pertahankan pendapat dia dan lansung tak mahu terima pendapat orang lain.
Jenis Kaki Sembang
Hari ini, sekali lagi saya nak kongsikan tentang 3 jenis kaki sembang yang Rasulallah paling benci. Perkongsian asal dari Dr. Kamilin Jamilin.
Ads
1. “Thartharun”, iaitu golongan yang sembang kencang atau cakap berjela-jela yang tidak berfaedah. Mereka ini biasanya suka mencelah percakapan orang lain dan gemar menguasai perbualan tanpa memberi ruang kepada orang lain bercakap.
2. “Mutasyaddiqun”, iaitu golongan yang suka bercakap dengan gaya yang merendahkan atau meremehkan orang lain.
.
3. “Mutafayhiqun”, iaitu golongan yang bila bercakap, suka cerita tentang dirinya sahaja untuk tonjolkan dirinya lebih dari orang lain.
.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:
.
أَبغَضَكُمْ إِليَّ وَأبْعَدَكُمْ مِني مَجْلساً يَومَ القِيامةِ: الثَّرْثَارونَ، والـمُتَشَدِّقُونَ، وَالـمُتَفَيْهِقُون
.
“Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh kedudukannya daripadaku pada hari Kiamat ialah orang yang paling lebat sembangnya, orang yang suka memperolok orang lain dan orang yang sombong bicaranya.” [riwayat al-Tirmidzi].
Jadilah seperti buah jagung. Jagung membungkus semua butir biji yang banyak. Dan janganlah jadi seperti buah gajus, sedangkan buah gajus menunjukkan bijinya yang cuma ada satu.
Semoga bermanfaat. Insya Allah
Mingguan Wanita : Adab ziarah rumah orang. Buat tak nampak saja sebab cara dia dengan cara kita berbeza. Hormatilah tuan rumah.
Biasanya berapa lama mak-mak ambil masa untuk lipat kain. Angkat dan simpan dalam bilik khas. Senang ada tetamu datang tak adalah nampak kain tak berlipat. Atau ada yang angkat saja terus lipat baru rasa hati tenang.
Begitulah, kerja mak bukan hanya fokus kain tak berlipat, mana yang berkesempatan terus lipat sebab banyak lain kerja rumah lain yang nak disiapkan. Ada masanya, mak-mak mula rasa naik angin, maklumlah kerja rumah banyak tak siap, tak ada pula bantuan dari ahli keluarga, suami atau anak.
Sebenarnya, bila mood isteri atau ahl keluarga dalam rumah mula rasa panas dan tak tenang, lihat kembali keadaan dalam rumah kita. Rasanya dah kemas elok supaya nampak tenang. Rupanya keharmonian rumahtangga masih lagi tenang. Apa sebabnya?
Seperti yang kita ketahui, rumah adalah tempat untuk kita dan keluarga rasa tenang bahagia. Tapi boleh jadi juga ia menjadi tempat yang ‘panas; buat suami isteri. Anak-anak asyik bergaduh, rezeki susah masuk, rasa malas nak beribadah, kerpa sakit dan sebagainya.
Tahukah anda, itu mungkin menjadi salah satu tanda-tanda bahawa terdapat jin yang mendiami rumah anda. Pesanan dari Cikgu Charm ini, ada tanda kawasan rumah yang paling jin suka.
1. Tandas & Dapur Jin memang suka dekat tandas kerana titulah tempat untuk kita membuang kotoran. Manakala dapur pulak jin suka makan sisa makanan yang tidak di buang dengan baik. Oleh itu, sisa makanan hendaklah terus dibuang di dalam plastik dan ikat dengan baik.
2. Bilik Kosong Mesti ada satu bilik khas yang mak-mak tidak guna, ada pun hanya untuk meletakkan barang saja. Bilik yang tidak dihuni biasanya menjadi tempat kesukaan jin. Lebih-lebih lagi apabila bilik tersebut tidak di bersihkan dan jarang dibuka.
3. Kain Berterabut & Tidak berlipat Ada mak-mak siap buat stok kain yang dah siap dibersihkan tapi dilonggokkan dalam bilik khas. Nanti bila ada masa dan berkesempatan, barulah ambil mood untuk melipatnya. Dari sehari sampai seminggu dibiarkan berlonggok. Kononnya akan lipat pada hujung minggu. Inilah salah satu tempat jin suka.
4. Bilik Simpan Barang Lama Pernah ada satu kes, di mana ahli keluarga sakit-sakit kerana gangguan jin dalam rumah. Puncanya. Penghuni rumah menyimpan barang-barang lama peninggalan nenek moyang atau harta pusaka.
5. Bahagian Penjuru Rumah Kalau gunakan sebagai tempat maksiat, sudut itulah akan menjadi salah satu tempat kesukaan jin.
Mingguan Wanita : Lepas ni ubah sikap, yang mana suka timbun kain, segeralah lipat dan sentiasalah bersihkan serta dengarkan alunan Al quran dalam rumah. Moga kita semua dijauhkan dari kemungkaran.
Malaysia sedang memasuki fasa kedua PKP. Bagi mereka yang mata pencarian utamanya melalui cara berniaga, pasti sedikit sebanyak terasa kesempitannya. Tak kiralah Mak Kiah yang jual goreng pisang di simpang PPRT, Uncle Muthu jual roti sambil naik motosikal pusing satu pekan Tampin, Daniel Lim buka kedai handphone dan jual prepaid…semua pasti bimbang memikirkan macam mana nak meneruskan hidup, kerana pendapatan utama mereka samar-samar nampaknya.
Ketahuilah sekalipun anda usahawan berskala kecik-kecilan mahupun besar-besaran, masing-masing ada skala ujiannya. Kisah kurma busuk Abdul Rahman bin Auf ini mungkin boleh dijadikan iktibar. Jangan terlalu dibimbangkan hal kerugian, kerana dalam kerugian itu kita mungkin lupa ada rezeki lain yang Allah S.W.T kirimkan. Ingatlah La Tahzan, yang mana maksudnya, janganlah bersedih, sesungguhnya Allah S.W.T bersama kita.
—————————————————————————————————-
Kisah Abdul Rahman bin Auf r.a seorang saudagar kurma kaya raya di zaman Rasulullah S.A.W. Rasulullah S.A.W pernah bersabda, bahawa orang terpaling akhir yang akan memasuki syurga Allah nanti, adalah manusia bernama Abdul Rahman bin Auf r.a. Kerana kekayaannya membuatkan dia dihisab paling lama.
Sebaik mendengar sendiri khabar mengenai nasib dirinya nanti dan disampaikan sendiri oleh Rasulullah S.A.W, Abdul Rahman bin Auf r.a mula memikirkan cara apa yang boleh dilakukannya, bagi memastikan dia masuk syurga lebih awal daripada sepatutnya. Beliau ingin menjadi miskin seperti sebelumnya supaya dia tidak perlu menunggu lama, memandangkan kalau hidupnya masih kaya sampai bila-bila, dia perlu dihisab bersama harta-harta kekayaan yang mengambil masa.
Selepas Perang Tabuk, kurma di Madinah yang ditinggalkan para sahabat menjadi busuk. Harganya jatuh teruk. Abdul Rahman bin Auf r.a nekad menjual semua harta bendanya dan membeli kesemua kurma busuk itu dengan harga yang baik. Tindakan beliau itu membuatkan para sahabat yang bimbang rugi teruk, kembali tersenyum lega. Kesemuanya memanjatkan rasa syukur kerana dikurniakan rezeki dalam waktu mereka rasa mereka bakal berdepan kerugian teruk. Sebaliknya Abdul Rahman bin Auf r.a pun turut tersenyum gembira, kerana misinya untuk masuk syurga dulu bakal terlaksana.
Maka pulanglah Abdul Rahman bin Auf r.a dengan kurma busuknya itu dengan hati berbunga riang. Terbayang-bayang indahnya syurga seperti mana yang disampaikan Rasulullah S.A.W. Namun benarlah, Allah itu sebaik-baik perancang. Dalam kita berfikir nak diapakan buah kurma busuk yang banyak itu, Allah hantarkan satu utusan dari Yemen yang membawa khabaran, Raja Yemen mencari kurma busuk dalam kuantiti yang banyak dan segera.
Rupanya di Yemen, rakyat di negara itu sedang dilanda wabak penyakit yang rancak menular. Ajaibnya, ubat yang boleh menyembuhkan wabak ini adalah dengan makan kurma busuk! Hanya Abdul Rahman bin Auf r.a sahaja satu-satunya peniaga yang mempunyai banyak kurma busuk. Subhanallah dan dengan izinNya, ke semua kurma busuk itu habis diborong oleh Raja Yemen itu dengan bayaran 10 kali ganda daripada harga kurma biasa.
فَبِأَيِّ آلاءِ رَبِّكُما تُكَذِّبانِ
“Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kau dustakan?” (ar-Rahman: 13).
Ya Allah, ketika MW menaip artikel ini kembali rasa kerdilnya diri ini. Dengan keadaan semasa yang ramai peniaga bimbangkan menanggung kerugian besar. Allah dorong MW untuk temui kisah penuh inspirasi daripada kurma busuk Abdul Rahman bin Auf r.a.
Merujuk kepada nama Ar-Razzaq, Allah SWT mengurniakan rezeki yang banyak kepada hamba-Nya sama ada manusia itu beriman ataupun sebaliknya.
Makna dan kelebihan Ar-Razzaq tidak dapat ditandingi setiap daripada makhlukNya. Dialah berkuasa mengurniakan rezeki kepada setiap makhlukNya. hal itu dijealskan Allah SWT menerusi firmanNya yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikendakiNya dengan tidak dikira.: (Surah Ali ‘Imran, ayat 37. )
Istilah rezeki perlu difahami dalam konteks yang luas. Rezeki bukan hanya merujuk kepada wang ringgit, sebaliknya rezeki mencakupi pelbagai perkara seperti makan, minum, zuriat, pekerjaan, masa lapang, keluarga, kesihatan dan kesejahteraan.
Ibrah daripada kisah kurma busuk ini boleh kita perhalusi sebaiknya. Bacalah umpama mata lebah yang melihat madu, jangan pula jadi mata lalat yang hanya menilai dari sudut busuk dan buruk. Di dalam situasi sekarang, keberserahan kepada Allah adalah sebai-baiknya. Yakinlah dalam kita runsing mengenangkan sales waktu-waktu getir sebegini, mungkin Allah nak kirimkan rezeki lain dalam kita tak sedar.
Kadang-kadang kita mengeluh dengan apa yang berlaku. Kadang-kadang juga kita berputus asa dengan apa yang telah kita lakukan. Segala yang dirancang tak semuanya menjadi. Jadi di mana silapnya.
Yakinlah setiap yang berlaku, pasti ada hikmahnya. Allah tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia dan tidak sesekali menzalimi hambaNya. Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita kerana Dialah yang mencipta kira. Didiklah hati untuk selalu bersangka baik dengan ketetapanNya, kerana sesungguhnya Dia lah sebaik-baik perancang.
Harta boleh dicari, tapi hubungan kekeluargaan andai retak, sukar nak dipulihkan kembali. Sebab itulah, PENTING untuk menjaga hubungan kekeluargaan. Tapi akibat harta pusaka, banyak hubungan adik-beradik dan saudara mara yang terlerai.
Harta Mudah Dicari Zaman Sekarang
Pada era digital masa kita, ada macam-macam cara untuk mendapatkan duit. Bahkan ada cara yang tidak pernah terfikir oleh kita dahulu. Bagi mereka yang mahir dalam hal-hal berkaitan IT, mereka mempunyai banyak peluang untuk mengumpul duit kerana era ini adalah era yang mana IT menjadi satu keperluan.
Justeru, tidak hairanlah jika kita melihat anak-anak muda hari ini memandu kereta yang mahal-mahal serta sering war-warkan percutian luar negara mereka di media sosial. Bahkan ada di antara mereka yang belajar biasa-biasa sahaja namun pengetahuan mereka tentang keperluan dunia hari ini amat membantu mereka memperoleh pendapatan yang begitu lumayan.
Pada saya, ia satu perkembangan yang bagus asalkan mereka masih berpijak di bumi yang nyata, tidak tamak dan jauh daripada kesombongan. Ini kerana ada kalanya kemampuan untuk hidup mewah pada ketika usia muda mampu menjadikan seseorang tidak berpijak di bumi nyata dan bersikap sombong.
Mereka hanya akan sedar apabila apa yang dikumpulkan selama ini hilang sekelip mata biarpun ketika sedang memeluknya. Ada kalanya mereka lupa harta yang mereka kumpul masih belum boleh dipanggil harta mereka sepenuhnya kerana pembiayaannya dengan bank masih belum selesai.
Harta Sepenuhnya Bila Selesai Bayar
Sesuatu harta itu, pada saya adalah milik kita sepenuhnya apabila ia tiada lagi hubungan dengan bank. Selagi ada, ia belum bermakna harta kita sepenuhnya. Banyak yang kita lihat dan dengar bagaimana harta-harta yang dahulunya lambang kemegahan akhirnya diambil semula oleh pihak instituisi kewangan.
Zaman dahulu, harta yang dimiliki oleh ibu bapa kita adalah yang kebanyakannya dibeli secara tunai. Justeru, mereka tidak memiliki tanah-tanah yang besar. Namun mereka mempunyai banyak tanah. Ini kerana mereka mengumpul sedikit-demi sedikit wang untuk pembelian harta seterusnya, demi kesenangan anak cucu.
Ada juga yang hanya mempunyai harta yang sedikit dan tanah sekangkang kera untuk dijadikan tanah pusaka. Sudah beberapa kali saya mendengar cerita tentang pertembungan adik beradik tentang tanah pusaka. Lebih menarik lagi pertembungan antara adik beradik yang dahulunya akrab tetapi setelah kematian orang tua, masing-masing sibuk mahukan tanah sekangkang kera itu, seolah-olah tiada aturan yang ditetapkan Allah SWT.
Dinafikan Hak
Ada di antara mereka yang sanggup menipu pejabat-pejabat kerajaan yang berkaitan demi mengambil secara mutlak harta peninggalan orang tua dan kemudian menjualnya.Mereka melakukan hal sedemikian sering membuat penilaian nafsu dan bukan dengan garis panduan yang ditetapkan Allah SWT.
Bagi mereka, apa yang mereka buat itu tidak salah kerana mereka mempunyai alasan yang kuat. Mereka lupa apabila mereka menidakkan hak orang lain maka mereka sebenarnya sedang cuba menipu Allah SWT. Mereka juga sebenarnya sedang mempertikaikan apa yang ditetapkan Allah SWT untuk menjadi panduan hidup hamba-hambaNya. Apa yang ada di benak mereka adalah keperluan pemilikan harta untuk kesinambungan hidup.
Orang Tua Meninggal, Diri Difitnah
Pernah ada yang bercerita tentang kesedihan yang mereka alami tentang pembahagian harta segenggam dan tanah sekangkang kera. Katanya dia hidup penuh derita. Dia bercerita panjang lebar kisah hidupnya yang difitnah oleh adik beradiknya. Kemudian apabila orang tuanya sudah tiada masing-masing membahagikan harta mengikut cara mereka dan menafikan haknya.
Saya bertanya kepadanya, adakah dia akan menggunakan kaedah perundangan untuk mendapatkan haknya.Katanya harta yang ditinggalkan tak sebanyak mana, tanah pun sekangkang kera, jadi dia malas untuk bergaduh hanya kerana itu.
Apa yang menyedihkannya ialah sikap tamak dan menafikan ketetapan Allah SWT. Mereka sanggup berbuat apa sahaja untuk memiliki harta yang ada. Mereka lupa apa yang bakal mereka terima di dunia sebelum mereka mati nanti dan apa yang bakal mereka terima setelah berada seorang diri di alam kubur nanti.
Pengajaran Dalam Hidup
Dia memberitahu saya yang dia banyak belajar dari kisah kehidupannya sendiri. Pertama, katanya, berpadalah dalam memanjakan anak. Kita juga perlu adil untuk kesemua anak agar tiada yang terasa hati. Keduanya, hindarilah perkara-perkara yang khurafat.
Seandainya kita ingin berubat secara tradisi maka carilah mereka yang berdamping secara benar dengan Allah SWT dan bukan yang berdamping dengan jin dan suka membuat tilikan. Ketiga, katanya bahagilah harta semasa hidup secara bersemuka supaya apabila kita sudah tiada mereka tidak bermasam muka dan berebut harta. Mendengar ceritanya banyak pelajaran yang dapat saya jadikan panduan masa depan.
Pelajaran itu tidak hanya datang dengan pembacaan tetapi juga dengan pengalaman orang lain. Air dicencang memang takkan putus tetapi apabila air sudah menjadi dingin dan beku, ia sangat senang untuk dipecahkan.
Sumber: Dato’ Dr. Azhar Haji Sarip, NLP Gold Trainer (NFNLP USA)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pengetua wanita pulas telinga pelajar didenda RM2000, gara-gara tersalah tulis huruf G. Padah buat seorang pengetua wanita yang gagal mengawal perasaan apabila bertindak memulas...