Wanita ini, Siti Suryani Yaakop belajar sesuatu dari adik yang bekerja di kedai menjual Corndog. Biarpun gaji tak ribu riban, tetap wajahnya ceria melayan pelanggan.
Malah, ingatannya terkenang pula pekerja pembersih yang pernah ditemui. Setiap hari bekerja dengan penuh keseronokan. Malah, perasaan gembira itu terpancar pada lantai tandas yang sentiasa bersih memukau pandangan.
Ternyata, setiap orang bila sampai bab pekerjaan, perlunya ada prinsip bahagia yang menjadi pegangan masing-masing.
Bukan Biasa-biasa Layanan Adik Peniaga Corndog
Tadi pergi beli corndog. Aku tak tau kenapa nama dia seram macam tu. Tapi serius, makanan tu halal. Boleh sentuh. Dan boleh makan.
Lepas dah order tu, adik tu kata, “Kereta akak yang mana?”.
Aku tunjuk la kereta aku dekat gerai depan sikit tu. Dia kata, “Takpa, akak boleh tunggu dalam kereta. Nanti saya hantar.”
Tak tau la dalam berapa lama aku tunggu bila sedar-sedar ada orang ketuk cermin tingkap tu.
Ads
“Maaf kak sebab menunggu. Ni corndog akak.”
Wow! Macam kagum benar rasa hati aku. Aku beli cordog je. Harga dia RM 3.50 sen je pun. Tapi bukan biasa-biasa layanan budak ni. Siap minta maaf. Padahal aku tunggu dalam kereta. Ada aircond. Bukan kena berdiri dekat kedai dia.
Sanggup Berhabis, Berpenat Bekerja
Adik ni mengingatkan aku pada bibik ofis aku. Kadang aku yang naik letih tengok dia menyapu. Entah berapa kali. Cuci tandas pun gitu. Padahal yang membuang dalam tu kami 10 orang ni je. Lantai toilet ofis aku boleh buat tempat baring dia punya bersih.
Ada dia tunjuk kat aku pewangi dia buat sendiri. Campur Softlan dengan air. Modal sendiri. Belum kira beli pewangi yang jenis letak dekat lantai tu lagi. Bau lemon. Tu pun guna duit sendiri.
Takda la kata kalau buat gitu dapat bonus. Markah lebih. Boss puji. Takda. Tapi bila aku tanya kenapa sanggup berhabis dan tak penat bersihkan ofis aku, katanya “Iya, saya suka kerja bersih-bersih ni puan.”
Ads
Biar Gaji Tak Ribu Riban Pun..
Aku kira begitu adik kedai corndog tu juga. Dia suka dengan kerja dia. Dia bahagia. Biar gaji tak ribu riban pun. Biar tak kerja dalam tempat hawa dingin pun. Biar tidaknya kalau hantar corndog tu esok tauke terus wasiat gerai tu kat dia pun.
Aku belajar sesuatu dari depa. Kerja ni kita kena suka. Kena rasa bahagia buat kerja tu. Baru rasa ikhlas nak buat extra. Lantaklah takda siapa nampak. Bila suka, hasilnya cemerlang. Bila cemerlang, rezekinya berkat. Bila berkat, kita jadi suka kerja. Bila suka, hasilnya cemerlang. Bila cemerlang, rezekinya berkat. Bila berkat….
Pusinglah sendiri.
Kadang kita pergi mana-mana kita jumpa orang yang ceria sungguh duduk di tempat dia bekerja. Sengih je muka. Soal satu, explainnya berjela. Dan ada orang kita baru tengok muka pun dah seram sungguh nak tanya apa-apa.
Ads
Tapi takpa. Yang ceria kita ikut. Yang mencuka jangan takut.
Anggaplah saja dia sedang senggugut…
Mingguan Wanita :Begitulah, apabila dia suka dengan pekerjaannya. Hatinya jadi ikhlas, perasaannya lapang dan bahagia. Rezekinya pun bertambah berkat. Biarpun gaji tak ribu riban, tetap bahagia melaksanakan pekerjaannya itu.
Pokok pangkalnya hati dan iman, lelaki tak perlu tunggu punya segalanya untuk diuji. Jika dia mahu curang, susah atau senang, ia tetap berlaku.
Setiap hati manusia ini adalah milik Allah, ada ketikanya hati ini berbolak-balik.
Namun jika benar-benar hatinya hanya untuk yang satu, pasti seorang suami tidak akan curang atau jatuh hati pada wanita lain tidak kiralah di waktu senang atau susah.
Pokok Pangkalnya Hati Dan Iman
Kongsi Annie Sukery, sebagai perempuan, kita kena ada duit sendiri, jangan harapkan lelaki!
Perempuan diuji saat tiada apa-apa, lelaki diuji saat miliki segalanya!
Entah siapa yang keluarkan frasa begini. Ayat atas itu biasanya dari orang bisneslah. Alih-alih suruh join team dia buat duit. Ayat bawah pula keluar bila ada isu isteri kena tinggallah, suami curanglah.
Hancur.
Islam tak pernah ajar sebegitu. Bila berkiblatkan dunia, kita mudah membuat kesimpulan sendiri.
Lelaki Tak Perlu Tunggu
Mula-mula, fahami konsep qada dan qadar Allah. Rezeki, jodoh, pertemuan dan perpisahan, semua atas izin Allah yang Maha Mengatur hidup kita.
Betul, perempuan perlu ada duit sendiri. Tak salah. Tapi bila menafikan fitrah lelaki, itu yang bermulanya suatu kemusnahan.
Lelaki memang fitrahnya suka melindungi dan punya rasa berkuasa. Sebagai isteri, hak kita untuk harapkan duit lelaki ( nafkah). Tak kisah isteri itu seorang CEO sekalipun. Jangan sesekali keluarkan ayat…
Kasihan abang, tak cukup duit hendak tanggung saya. Tak apalah, rumah dan kereta saya bayarkan.
No!
Itu tugas dia. Bagi dia pikul tanggungjawab dia sebagai lelaki. Pepandailah dia cari duit nak tampung nafkah. Jangan pernah rasa kasihan. Cuma, berempati dengan rasa syukur. Jangan merungut atau bandingkan dengan cara hidup orang lain.
Tunggu Punya Segalanya Untuk DiUji
Lelaki, tak perlu tunggu punya segalanya pun untuk diuji. Saya jumpa ramai yang tak punya apa-apa pun ,masih pasang dua di belakang isteri. Kerja huru-hara pun, ada hati punya buah hati sana, sini.
Lelaki, masih ramai, walau punya duit berkepok, jika hatinya setia, tetap setia walau ribut badai melanda. Walau banyak dugaan dan godaan di luar sana. Kerana hatinya terikat pada yang satu selamanya.
Pokok pangkalnya hati dan iman. Dua-dua ni kita tak mampu kawal. Sebab yang mampu pegang dan ubah hanya Allah. Apa yang kita punya ini milik Allah. Anak, suami, keluarga, harta dan sebagainya. Cukup masa, ia akan kembali selayaknya mengikut yang Allah takdirkan.
Jalan Hidup Manusia
Jalan hidup tiap manusia tak sama. Tapi mengikut timbangan Allah yang Maha Adil. Ada diuji dengan sakit, dengan suami, dengan anak, dengan harta, dengan kesempitam hidup, dengan keluarga.
Bila difikirkan dan direnungkan. Dalam hidup, kita tak perlu kejar duit sangat pun. Tak perlu kejar kemewahan, kekayaan dan kedudukan. Kerana percayalah ia bersifat sementara.
Yang paling lama yang kita inginkan adalah ketenangan dan kebahagiaan jiwa. Dan inilah harta yang tak ternilai harganya.
Mingguan Wanita : Dalam hidup berumahtangga ada pasang surutnya, pelbagai ujian datang melanda. Usaha dan berdoalah pada yang Maha Berkuasa agar rumah tangga sentiasa bahagia dan selalu berada di bawah redha Allah.
Susahnya nak rapat dengan ibu mentua, apa lagi nak jadi menantu pilihan. Tak boleh salah sikit, habis kita dihamunnya. Mungkin betul lah kata orang, wanita mana yang rapat dengan mentua dia memang cukup beruntung!
Haaa… Jangan main-main, untungnya sampai boleh mengalir pada cucu.
Jangan risau, sebenarnya ada ‘Top Secret’ yang anda perlu tekankan dalam hubungan menantu mentua. Cuba semak sini…
Pikat Hati Mentua
1. Jadikan ibu mentua sebagai guru masakan anda. Pasti dia gembira.
2. Rajinkan diri bertanya khabar dengan menghubungi ibu mentua. Paling tidak satu minggu sekali.
3. Berikan ibu mentua hadiah semasa hari lahirnya.
4. Apabila bercuti ke mana-mana, pastikan ada cenderahati untuk ibu mentua. Lebih bagus sekiranya cenderahati itu memang menjadi minatnya
5. Banyakkan merujuk masalah dengan ibu mentua walaupun hanya perkara kecil. Secara automatik membuktikan bahawa dia adalah orang penting.
Macam mana pula cara untuk lebih dekat di hati? Haaa… kenalah ambil ilmu ini.
Masuk Dunia Keluarga Mentua
1. Anggap keluarga pasangan seperti keluarga sendiri.
2. Terima pandangan daripada ipar-duai dengan hati terbuka.
3. Tanamkan rasa hormat antara satu sama lain.
4. Bersikap lebih terbuka dan menerima.
5. Jadilah seorang yang ringan tulang.
6. Belajar jaga hati masing-masing.
7. Bertolak ansur.
8. Amalkan sikap saling memaafkan.
Mungkin masih ada yang tak ngam dengan mentua tetapi apa salahnya rapatkan hubungan dengan ilmu curi hati mentua ini! Janji tak peningkan kepala encik suami.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Madu itu manis, tapi bermadu itu pahit bagi wanita bergelar isteri! Kadangkala tertanya-tanya, apa kesilapan mereka hingga diri dimadukan dalam diam?
Ikuti luahan hati seorang wanita yang telah dijawab oleh kaunselor dan penulis bebas, Puan Hajah Maimunah Mohamad. Beliau juga salah seorang penulis tetap di dalam Majalah Mingguan Wanita.
Assalamualaikum puan. Saya berusia awal 40-an. Memiliki empat orang cahaya mata, dua lelaki dua perempuan. Saya beryukur kerana mempunyai suami yang penyayang, anak-anak yang sihat dan boleh dikatakan cemerlang di dalam pelajaran.
Yang sulung kini di Ireland mengikuti jurusan kedoktoran; kedua di UiTM di dalam jurusan Mechanical Engineering, ketiga di UIA di dalam jurusan Undang-Undang dan keempat sedang menunggu keputusan SPM (ketika e-mel ini dihantar).
Dulu Suami Isteri Hidup usah
Suami seorang ahli perniagaan dan saya pula tidak lagi bekerja selepas anak kedua lahir. Soal duit tak jadi masalah dan kami mampu hidup selesa. Namun, kami bukan sesenang sekarang. Awal kahwin, saya bersusah payah bersama suami yang baru nak membina perniagaan. Sehinggalah akhirnya dia memiliki beberapa buah syarikat.
Saya jenis isteri yang tak pernah campur urusan kerja suami dan fokus saya pada anak-anak. Sejak anak-anak kecil, saya yang uruskan segala-galanya tentang mereka; pelajaran dan sebagainya. Suami hanya akan berikan duit. Tapi saya tak kisah kerana faham tanggungjawab masing-masing.
Banyak Urus Anak
Walau pun ada bibik, tapi saya selesa bab memasak, saya tak lepas tangan kerana suami dan anak-anak cerewet soal makan. Kami jarang makan di luar kecuali nak meraikan hari-hari tertentu seperti hari jadi dan sebagainya.
Saya juga bersyukur, dua anak gadis saya rajin membantu mengemas dan memasak. Mungkin kerana saya dah didik mereka sejak kecil. Yang lelaki juga sama, malah mereka pandai masak walau pun tak lah sehebat chef. Bolehlah masak untuk mereka makan. Jadi, saya tak risau bila anak-anak belajar jauh kerana bab makan, mereka akan masak sendiri.
Jika suami cuti lama, kami akan curi masa untuk melawat anak sulung di Ireland. Kalau dia sibuk, kadangkala saya pergi bercuti bersama anak-anak atau rakan-rakan saya. Tak Pernah merungut kalau suami sibuk kerana faham nak uruskan bisnes bukan mudah.
Isteri Aktif NGO
Di kala anak-anak sudah besar, saya punya banyak masa luang dan itu yang membuatkan saya menyertai beberapa NGO. Dapatlah saya hilangkan kebosanan bila anak-anak sibuk dengan pelajaran dan suami juga sibuk dengan kerjanya.
Saya seronok bila dapat menyumbangkan tenaga untuk badan-badan tersebut. Itu juga bagi saya, salah satu cara untuk saya mencari sedikit pahala untuk amalan. Kadangkala saya turut menyertai misi ke luar negara menerusi badan-badan sukarelawan tertentu.
Selain itu, saya banyak menyertai kelas pengajian bagi menimba ilmu agama dan saya ada ‘geng road to jannah’. Kadangkala kami akan ronda-ronda, sambil makan-makan, kami cari masjid untuk ‘merasa’ pengalaman solat di situ. Rasa seronok yang sukar digambarkan.
Suami Buat Perangai
Menuju ke usia emas, saya inginkan kehidupan yang tenang. Bersama suami dan anak-anak. Namun, ternyata dugaan hebat muncul di penghujung usia.
Sejak tahun lalu, saya perasan suami bersikap pelik tapi saya cuba bersangka baik. Namun akhirnya terjawab semua apabila dia pergi menunaikan umrah awal tahun ini. Saya tak ikut serta kerana saya baru saya menunaikan umrah hujung tahun lalu. Ketika itu suami tak boleh pergi kerana banyak kerja katanya.
Kuasa Tuhan, ada salah seorang sahabat ‘ Road To Jannah’ saya turut menunaikan umrah pada waktu yang sama dan terserempak dengan suami ketika di Madinah. Sekembali ke Malaysia, rakan itu terus berjumpa saya. Katanya, puas dia berfikir namun demi sayangnya pada saya, dia rasakan dia patut luahkan. Dia pulang beberapa hari lebih awal.
Madu Kenalkan Dirinya
Rupanya di Mekah, dia terserempak dengan suami dengan seorang wanita muda. Bila ditanya, suami mulanya hanya diam namun wanita itu yang menjawab yang dirinya adalah isteri kepada suami!
Tuhan saja yang tahu apa yang saya rasa ketika itu. Tiada air mata yang mengalir kerana saya sangat terperanjat. Dalam diam, suami memadukan saya rupanya! Dia menunaikan umrah bersama isteri muda.
Saya memohon kekuatan daripada Yang Esa dan akhirnya saya tekad untuk berterus terang dengan suami sebaik dia kembali ke tanah air. Dia seolah dapat menduga saya akan bertanya hal tersebut. Dia mengaku, dia telah berkahwin dengan seorang janda anak tiga, hujung tahun lepas ketika saya menunaikan umrah.
Waktu inilah air mata saya tumpah. Sebelum ini hati saya cuba menafikan berita yang disampaikan oleh rakan saya itu tapi bila keluar daripada mulut suami sendiri, ia adalah satu hakikat.
Lepas Tau Dimadu, Perasaan Tak Keruan
Saya masih keliru dengan apa yang terjadi. Hati saya sakit dan marah tapi tak mampu saya luahkan. Memang benar suami mampu berpoligami. Tapi sebagai isteri, ia teramat pedih untuk saya telan. Rasa diri ini dikhianati. Wanita itu masih muda, baru berusia 32 tahun.
Saya sedaya upaya melayan suami dengan baik jika giliran dia di rumah. Namun saya tak dapat membohongi kedukaan hati saya. Sikap saya berubah. Jarang berbual dengannya lagi. Walau pun pelbagai cara dilakukan untuk mengambil hati saya, tapi hati saya seolah-olah sudah layu.
Saya tak tahu sampai bila saya mampu bertahan dalam keadaan ini. Saya cuba reda untuk terima namun hati saya amat sakit.
Luahan Hati: Isteri Terluka, Melaka.
Jawapan Kaunselor:
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Poligami adalah perkara yang tidak disukai oleh isteri, tetapi disukai oleh ramai suami. Ada suami yang mampu dan mahu berpoligami. Ada yang tidak mampu tetapi mahu berpoligami.
Tanggungjawab
Ada yang mampu tetapi tidak mahu berpoligami kerana tidak mampu menjalankan tanggungjawab yang lebih berat. Kepada seorang isteri ia adalah suatu kecurangan terhadap kesetiaan dan kasih sayang yang telah diberikan sepanjang perkahwinan.
Tiada wanita yang mahu dimadukan oleh suaminya. Kepada suami diberikan kasih sayang, layanan yang baik, dijaga makan dan pakaiannya, diberi asuhan yang sempurna kepada anak-anak , namun kenapa suami mencari wanita lain selain dia. “Apa salah saya” adalah soalan yang biasa diajukan oleh isteri apabila suaminya ada wanita lain, sama ada dalam alam percintaan dengan wanita lain, mahupun suami telah berkahwin dengan wanita lain. Rasa dikhianati, rasa tertipu, rasa keliru dan kecewa bermain dalam emosi yang remuk redam.
Isteri Tak Mudah Terima
Puan yang dirahmati Allah. Saya dan pembaca memahami situasi yang puan alami. Bukan mudah untuk menerima hakikat dan berhadapan dengan hakikat suami telah ada seorang lagi wanita lain yang disayangi suami.
Tidak dinafikan untuk menerima dan menyayangi suami seperti sebelumnya teramatlah sukar. Ada kebenarannya yang puan sebut, tidak mampu berbohong dengan diri. Namun, kehidupan perlu dilalui bersama suami. Apa yang perlu dilakukan?
Pertama, ambil masa untuk menerima suami. Luka yang teruk pastinya memerlukan rawatan yang lama. Malah luka itu perlu ubat yang kuat untuk menyembuhkannnya. Antara ubat itu adalah banyak mengingati Allah melalui solat, doa, zikir, membaca al-Quran. Kerap mengikuti kuliah agama juga antara penawar untuk sembuhkan luka.
Luka ini pula kalaupun sembuh pastinya meninggalkan parut yang boleh memberi sedikit kecacatan. Malah setiap kali pastinya akan terkenang apabila melihat parut itu. Namun parut tidak boleh hilang bukan? Maka apa yang suami lakukan terhadap puan mungkin sukar untuk dilupakan.
Tidak mengapalah jika hati masih rasa berat untuk menerimanya. Puan boleh melayan perasaan itu. Kita tidak mampu berbohong apabila kepercayaan dicalari. Namun membiarkan perasaan sebegitu dalam tempoh yang lama juga memberi kesan buruk kepada puan. Aktiviti seharian tidak terfokus, emosi tidak gembira, kecewa dan sebagainya.
Lihat Apa Yang Dimiliki
Sebagai manusia kita perlu meneruskan kehidupan. Cuba puan lihat sekeliling dan lihat kehidupan yang puan miliki. Puan punya anak-anak yang berjaya, punya harta, punya masa dan hobi yang puan boleh lakukan, puan juga mampu menjalankan kerja-kerja amal dalam hidup yang ramai orang belum dapat melakukannya.
Puan juga punya suami yang bertanggungjawab.Tiada apa pun kekurangan yang puan miliki. Namun, Allah hanya beri sedikit ujian ini. Ujian suami ada wanita lain. Jika ditakdirkan puan dilanda ujian yang lebih besar bagaimana? Ujian pastinya ada dalam hidup bagi meningkatkan keimanan kita. Bila ingin mengubat hati, pasti kita bermunajat dan lebih banyak memohon kepada Allah agar hati kita tidak kecewa dengan begitu lama.
Isteri Kena Luahkan Dan Jangan Simpan
Daripada apa yang puan nyatakan, saya dapat memahami bahawa puan tidak dapat membohongi diri puan untuk menyayanginya. Untuk meringankan kekecewaan yang puan hadapi, terus terang katakan kepada suami bahawa hati puan tidak dapat menyayanginya walaupun telah cuba. Puan ada menyebut tidak mampu luahkan.
Jangan biarkan ianya tersimpan dalam hati. Perlu luahkan kepada suami. Lihat responsnya. Kalau dia tidak respon bermakna dia tidak kisah kepada persoalan hati dan perasaan. Maka tidak perlu puan menjeruk rasa terhadapnya. Puan boleh memilih sama ada puan belajar dan berusaha menyayanginya atau pun puan kekal untuk perasaan biasa-biasa terhadapnya.
Perasaan kasih dan sayang terhadapnya boleh diagihk-agihkan kepada aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang puan terlibat. Ini adalah salah satu cara bagaimana puan boleh mengubat hati yang duka kerana puan tidak memfokuskan kasih itu kepada suami sahaja. Banyak ruang dan peluang untuk menyebarkan kasih sayang dan dengan sendirinya hati puan akan terubat.
Banyakkan sedekah, menyantuni asnaf dan anak yatim. Insya-Allah, lagi banyak kebaikan yang puan lakukan untuk manusia lain dan untuk agama Allah, suatu hari Allah akan “campakkan” ketenangan dan kebahagiaan dalam diri puan. Wallahuallam.
Kali ini team Kongsi Kasih bersama Perfume Paradise ke Pasir Puteh, Kelantan. Pertemuan berlaku di hadapan Markas Jejak Jalanan dengan bantuan Abe Hae. Dengan...