Bertuahnya seorang isteri, apabila mempunyai suami yang benar-benar faham dalam menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Lebih-lebih lagi dalam mencukupkan urusan nafkah dan duit belanja untuk isteri serta perbelanjaan keluarga.
Duit belanja juga merupakan satu keperluan dan nilainya mengikut kemampuan namun sering dipandang remeh oleh pihak suami. Apatah lagi, sekiranya isteri bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri.
Pesanan buat para suami, berusahalah beri duit belanja kepada isteri dan keluarga.Jemput baca perkongsian mengenai duit belanja daripada Dr Ahmad Zakimi Abdullah ini sebagai panduan;
“Nanti Ita check atas meja. Kot ada apa-apa rezeki ya. Love you.”
Biasanya aku akan menghantar whatsapp begitu jika aku siap dulu ke tempat kerja setiap pagi. Jika isteri pergi dulu, biasanya dia akan periksa sendiri atas meja apa yang ada sambil-sambil dia sediakan sarapan pagi untuk kami.
Jika sempat, aku kongsikan sepotong ayat Alquran atau hadis pada nota. Kalau tak sempat aku hanya tinggalkan nota ringkas atau hanya duit saja.
Tanggungjawab Suami
Setiap hari aku akan bagi duit belanja makan minum untuk kami sekeluarga. Bermula dari 18 tahun lepas lagi. Ya, itu nafkah suami kepada keluarga. Itu tanggungjawab seorang suami selaku ketua keluarga.
Sejak dari awal perkahwinan kami, aku mulakan dengan sedikit. Dari tahun ke tahun, gaji aku naik maka aku tambah sikit demi sedikit. Almaklumlah, keluarga pun semakin besar. Belanja pun semakin tinggi.
Ads
“Abang, takyah lah bagi duit belanja banyak sangat. Ita pun kerja. Ada gaji,” ujar isteri.
“Eh mana boleh. Belanja makan dan pakai keluarga mesti abang. Itu kan nafkah. Tanggungjawab abang. Jangan sesekali guna duit ita,” balas aku.
Duit Isteri Belanja Diri Sendiri
Duit isteri adalah untuk belanja diri dia sendiri. Bukan untuk keluarga.
Setiap kali aku memberi, isteri akan tanya,“Eh abang! Banyak sangat ni. Nanti abang tak cukup duit lak.”
“Alah tak banyak mana pun. Abang ada lagi ni,”balasku. Itu selalu akan aku jawab.
Ads
Tak ternilai dengan wang ringgit pun pengorbanan seorang isteri kepada kita dan keluarga.
Walaupun kadang kala aku ‘kekeringan’, aku tetap berusaha untuk beri belanja kepada keluarga. Itu tanggungjawab suami dan bapa kepada anak-anak. Muka mesti buat tenang. Takut dia terperasan.
“Alah, takde duit. Benda boleh settle lah. Kita kan anak jantan”– aku bermonolog kadang-kadang.
Beri Ikut Kemampuan
Rezeki sikit, sikit lah. Jika banyak maka banyak lah. Ikut kemampuan. Alhamdulillah, masih cukup untuk kami sekeluarga.
“Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut miskin. Kamilah yang akan menanggung rezeki mereka dan juga (rezeki) bagimu.” (Surah Al-Israa’ : Ayat 31)
Segala makan minum, pakaian, rumah, kereta, pendidikan anak-anak dan lain-lain keperluan rumahtangga aku yang bertanggungjawab. Itu kewajipan. Itu juga prinsip aku.
Ads
“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka”.
(Surah al-Nisa’ ayat 34)
Membelanjakan harta untuk isteri dan keluarga bukan sekadar kewajipan malah ia satu amalan yang disukai Allah.
Walaupun si isteri bekerja dan makan gaji, tak kiralah gaji si isteri lagi besar dari si suami, kewajipan itu harus diletakkan kepada ketua keluarga iaitu si suami.
Semoga si suami seluruhnya dimurahkan rezeki. Amin.
MW: Semoga perkongsian ini bermanfaat dijadikan panduan dan rujukan. Pesanan buat para suami, jika ingin rezeki melimpah ruah, berusahalah tunaikan nafkah dan keperluan buat isteri serta anak-anak. Jangan abaikan kepentingan beri duit belanja, tak kiralah berapa pun jumlahnya mengikut kemampuan diri.
Indah dan bahagianya rumah tangga bila setiap pasangan memberi fokus sepenuhnya pada pasangan masing-masing. Ini tidak, setelah bertahun-tahun melayari bahtera perkahwinan, hubungan suami, isteri nampaknya semakin tawar.
Rumah tangga yang tinggal adalah hanya dibina dengan saki baki perasaan yang ada. Ungkapan sayang jadi acuh tak acuh saja.
Sedarlah mak, ayah… Rumah tangga adalah keutamaan selepas berkahwin, usahlah jadi hero di luar nampakkan bahagia tetapi di rumah seperti tunggul kayu.
Ikuti perkongsian Ustaz Firdaus Mokhtar ini dan hadam baik-baik iya:
Bina Rumah Tangga Dari Saki Baki Perasaan
Ramai hari ini membina rumahtangga daripada saki baki perasaan yang ada. Baki sayang yang ada, itu yang dia guna untuk rumah tangga dia.
Baki perhatian yang ada, itu yang dia beri pada pasangan. Lebihan kata-kata indah yang dia sudah beri punya banyak pada orang lain, itu yang dia ungkap pada pasangan.
Senyum kita banyak kita habiskan dengan kawan-kawan. Sedikit kita bawa balik rumah.
Usahlah Jadi Hero Di Luar, Di Rumah Tunggul
Bergelak ketawa pun sebanyaknya kita tumpahkan di luar rumah. Terkenal lah kita sebagai seorang yang riang dan sentiasa gembira.
Balik rumah sudah tak ada modal nak ketawa dengan pasangan. Kita pulang ke rumah, yang tinggal cuma muka yang masam.
Dahi yang berkerut. Mulut yang asyik nak marah. Mata yang penuh penat, merah dan menunggu masa untuk lelap tak pedulikan mata pasangan kita yang tunggu untuk ditatap.
Kawan-kawan yang baik, Selepas kita berumahtangga, fahamlah keutamaan kita adalah rumah kita. Bukan kehidupan di luar rumah.
Hidup di rumah ini dah tentu bersama suami, isteri, anak-anak dan keluarga. Bukan keutamaan di luar dengan kawan-kawan atau kenalan.
Maka usahlah di luar dia hero, di rumah dia cuma jadi tunggul kayu. Ada macam tiada. Tak ada peranan. Tak memberi apa-apa melainkan sedikit sahaja.
Nyatakan sayangnya sedikit, perhatiannya macam tak ada, kata-kata indah dah bertahun tak terucap dan ketawa pun terpaksa.
Allahu. Berubahlah. Sedar yang tanggungjawab utama kita di rumah. Apa yang ada di luar adalah alat dan bahan tambah untuk kita suburkan kasih sayang di dalam rumah.
Begitulah. Firdaus Mokhtar, Berjela pula orang yang mesej cerita hal rumah tangga terbiar.
MW: Bila di luar bukan main ceria, tiba di rumah lain pula ceritanya. Jangan biarkan rumah tangga mak, ayah begini lama-lama. Bimbang jika dibiarkan hilang terus kasih sayang yang tinggal.
Sebenarnya nak mulakan menyimpan duit anak itu, seseorang ibu cuma perlukan satu istilah iaitu istiqomah. Yang mana, jika ibu culas maka tak berhasillah impian ibu nak lihat tabungan anak penuh menggunung ketika anak menginjak remaja. Dan inilah yang dikongsikan oleh Dr Nur Izah tentang panduan istiqomah menyimpan duit anak dalam Tabung Haji.
Beliau memberikan 7 langkah mudah yang perlu diambil oleh mak ayah untuk memastikan anak ada simpanan lebih RM10, 000 dalam Tabung Haji ketika usianya 17 tahun dan ke atas. Tak mustahil ada mak ayah akan merasakan cara ini kelakar malah mengambil masa yang terlalu lama.
Tapi, ianya lebih kelakar jika mak ayah cuma memikirkan ianya kelakar dan tidak bermula malah bertindak membuat simpanan. Seringgit sehari tidaklah membebankan. Mak ayah boleh sebenarnya pejam mata sambil menyimpan.
Ini Cara Simpan Duit Anak Di Tabung Haji Bermula RM1 Sehari
1) Bukalah akaun Tabung Haji anak dengan deposit RM100. Paling lewat waktu anak berumur 6 bulan.
2) Simpan duit anak secara konsisten ke Tabung Haji anak i.e RM30 sebulan (RM1 sehari).
3) Buat direct debit lebih memudahkan urusan. Apa itu direct debit? Direct Debit ini adalah transaksi yang anda telah benarkan untuk ditolak terus dari akaun anda untuk amaun yang tertentu.
4) Jika potong gaji setiap bulan lagi menyenangkan.
5) Selepas 17 tahun, perlu buat persediaan anak mahu melanjutkan pengajian, anak kita sudah ada lebih RM10K:
Nilai prinsipal: RM6220
Nilai dividen: RM4706
Jumlah simpanan: RM10926
6) Ini tidak masuk lagi duit raya anak, duit tabungan anak dan lain-lain, jumlahnya akan meningkat lagi.
7) Kalau terguna duit anak mesti kita ganti, anak pun tidak sedih hati.
Ingatlah simpanan hari ini memudahkan hidup anak di kemudian hari.
Share jika bermanfaat.
Kredit :- Dr Nur Izah
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Mak ayah memang main peranan besar dalam mencorakkan anak-anak. Beberapa insiden yang berlaku kebelakangan ini memberikan kita petanda bahawa ada sesuatu yang perlu diperbaiki dalam persekitaran pendidikan anak-anak kita di rumah.
Gejala dadah, buli, maksiat dan zina semakin berleluasa dan yang paling menyedihkan apabila gejala ini turut melibatkan kanak-kanak di bawah umur. Ikuti perkongsian daripada Dr. Nurul Asiah Fasehah Muhammad, Pensyarah, USIM, juga kolumnis majalah MINGGUAN WANITA. https://www.facebook.com/naznur.muhamad
Ambil Langkah Untuk Bendung
Mak ayah, tidak dapat tidak, kita harus mengambil langkah untuk kembali memerhati dan menyelidiki persekitaran pendidikan yang telah kita bentuk di rumah agar gejala seumpama ini dapat dibendung daripada terus menular. Perubahan ini bersifat urgent dan harus dilakukan segera memandangkan generasi kita semakin tenat.
Pendidikan Bermula Di Rumah
Kita tidak dapat menolak kenyataan bahawa, pendidikan teras anak-anak bermula di rumah. Kitalah guru pertama anak-anak. Secara langsung atau pun tidak segala tindakan dan persepsi yang diperhatikan anak akan diserap ke dalam minda bawah sedarnya dan kemudiannya dijadikan panduan untuk menjalani kehidupannya.
Foto 123royaltyfree
Persekitaran Positif
Perkara ini berlaku sedari kanak-kanak berusia kecil. Oleh yang demikian, bagi memastikan persepsi yang terbentuk dalam mindanya adalah sebuah persepsi yang positif maka persekitaran yang kita sediakan untuk dirinya juga harus positif.
Tambahan pula, dalam keadaan generasi dan zaman yang semakin maju. Persekitaran yang ada di luar persekitaran rumah anak-anak sangat mengancam diri mereka. Jika tidak dipasakkan terlebih awal dengan sebuah persepsi yang positif dalam persekitaran keluarga maka dia akan cenderung tenggelam di dalam arus yang sedia terbentang di luar rumahnya.
Hasilnya, anak-anak mudah terpengaruh dan kehilangan identiti dirinya sebagai seorang muslim yang seharusnya berperwatakkan hamba dan khalifah Allah SWT.
Bantu Anak Tapis Maklumat
Anak-anak kita berada di tengah-tengah arus kemodenan yang amat mencabar. Dunia yang materialistik dan kurang perikemanusiaan. Dunia tanpa sempadan yang mereka sedang hadapi kini membuka minda mereka seluasnya terhadap pelbagai jenis informasi yang tidak dapat ditentukan baik dan buruknya. Perkara inilah yang amat membimbangkan.
Jika kita masih menggunakan cara yang lama dalam mendidik generasi yang sebegini maka kita hakikatnya telah membuka seluasnya peluang untuk perkara yang buruk terjadi kepada anak-anak dari segi pemikiran, perwatakan, jati diri, akhlak dan adab. Oleh yang demikian, kita perlu ambil peduli bukan sahaja tentang makan dan pakainya malah yang lebih penting adalah pertumbuhan emosi dan spiritualnya.
Pasakkan Ilmu Agama
Anak-anak kita harus dipasakkan dengan ilmu agama yang boleh membantunya menguruskan dirinya dan persekitarannya mengikut peraturan yang telah ditetapkan Allah.
Perkara ini harus diberikan seawal mungkin kerana waktu kecil inilah minda dan kefahaman mereka masih boleh dibentuk dengan baik.Gunakan cara yang baik seperti saranan daripada imam Ali r.a iaitu berdasarkan kepada umur mereka.
Disiplin Dan Kasih Sayang
Dalam pada ingin mendidik mereka dengan disiplin, mereka seharusnya dapat merasakan kasih sayang yang tidak berbelah bagi daripada kita, kedua ibu bapa mereka. Kasih sayang ini menyuburkan hati, membentuk emosi yang positif dan memberikan rasa empati. Oleh yang demikian, anak-anak ini sukar untuk menurut hawa nafsu dan melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya.
Selain itu, perkukuhkan institusi kekeluargaan dengan amalan-amalan sunah yang telah disarankan dalam Islam. Sebagai contoh, solat di awal waktu, membaca al-Quran, bertadabbur al-Quran berserta maksudnya dan sebainya. Amalan-amalan ini membantu mengukuhkan institusi kekeluargaan dan hubungan hati sesama ahli keluarga.
Apabila hati telah bertaut segala masalah akan dikongsi bersama. Dari sinilah kelak kita dapat memberikan tunjuk ajar dan panduan kepada anak-anak kita dalam menghadapi kehidupannya.
Mak Ayah Kena Tunjuk Akhlak Baik
Kemudian, tunjukkan akhlak yang baik dan boleh dicontohi oleh anak-anak. Segala tingkah laku kita diperhatikan mereka. Oleh yang demikian tidak dapat tidak kita harus mengubah perangai yang tidak baik kepada yang lebih baik kerana generasi yang kita ingin lahirkan adalah generasi yang soleh.
Selain itu, luangkanlah masa bersama dengan mereka. Hanya dengan meluangkan masa kita dapat tahu perkembangan diri anak-anak dan memantau kegiatan mereka serta memberikan panduan dan nasihat. Kurangkan hiburan di rumah kerana hiburan melalaikan hati.
Jadi, berpada-padalah dalam berhibur. Anak-anak perlu didedahkan dengan batasan-batasan yang perlu dijaga dalam kehidupan. Semua perkara harus diseimbangkan. Insya-Allah didoakan usaha yang kita jalankan ini ada impak yang positif dalam diri dan kehidupan anak-anak kita kelak. Wallahuallam.
Sekeluarga dirempuh treler pemandu microsleep, ibu belum tahu anak meninggal kerap tanya mana anak sulung. Sebuah keluarga yang menaiki kereta proton saga mengalami detik...